Renungan: Yohanes 11: 1-44 Maka mereka mengangkat batu itu. Lalu Yesus menengadah ke atas dan berkata: “Bapa, Aku mengucap syukur kepada-Mu, kerana Engkau telah mendengarkan Aku.” (ayat 41)
Bilakah kita bersyukur? Adakah kita bersyukur apabila doa kita telah terkabul atau mukzizat ternyata di depan mata kita? Pengucapan syukur sewaktu berdoa dapat melenyapkan segala kegelapan jiwa kita dan menolong kita untuk menantikan Tuhan dengan penuh pengharapan. Tuhan Yesus mengucapkan syukur ketika Lazarus masih terbaring kaku di kubur gelap. Dengan beriman penuh, Dia yakin sungguh bahawa Lazarus akan segera dibangkit oleh kuasa Tuhan. Kemenangan selalu tercapai dengan pengucapan syukur dan iman yang melayang kepada Bapa Syurgawi.
Pengucapan syukur membebaskan kita daripada kubur keraguan kita yang dingin. Orang yang beriman tidak seharusnya tinggal di penjara atau bersunggut- sunggut sehingga masalah kehidupan mereka berlalu. Belajar bersyukur atas berkat kehadiran anak-anak kita dan jangan hanya melihat masalah besar dalam sikap mereka. Belajar bersyukur atas kehadiran suami kita sekalipun mereka belum ditransformasi sekian lamanya! Sungutan hanya akan membesarkan masalah kita dan memperbesar jurang komunikasi kita.
Bersyukur atas setiap masalah dan mempelawa campurtangan Tuhan. Terapkan sikap bersyukur dan memberkati orang lain setelah anda menerima berkat- Nya yang berkelimpahan. Jeanne Philipps, penulis “Dear Abby” menulis demikian:
Ya Bapa di syurga: Kami bersyukur kepada-Mu atas makanan, dan ingat orang yang lapar. Kami bersyukur kepada-Mu atas kesihatan, dan ingat orang yang sakit. Kami bersyukur kepada-Mu atas kawan-kawan dan ingat orang yang tiada kawan. Kami bersyukur kepada-Mu atas kemerdekaan, dan ingat orang yang diperhambakan. Semoga ingatan ini menggerakkan kami untuk melayani Engkau. Amin.
Doa: Tuhan Penebusku, ajari aku sentiasa bersyukur kepada-Mu.