Renungan: Filipi 3:12-14 Firman-Nya, “Lihat, Aku hendak membuat sesuatu yang baru, yang sekarang sudah tumbuh, belumkah kamu mengetahuinya? Ya, Aku hendak membuat jalan di padang gurun dan sungai-sungai di padang belantara.” (Yesaya 43:19)
Sewaktu Sinclair melihat di cermin, dia seakan-akan melihat seorang perempuan dan bukan jejaka jantan yang kacak dan bersifat macho. Dia sering diusik teman- temannya sewaktu di sekolah kerana bersifat seperti perempuan. Dia berasa dirinya seperti seorang perempuan kerana gerak gerinya sungguh lemah lembut dan kulitnya halus! Pelbagai kejadian dalam latarbelakang kehidupannya menyebabkan dia menjadi seorang homoseksual. Sewaktu dia membesar, dia ingin ubahkan identiti seksnya melalui satu pembedahan namun jiwanya bergelora. Menjelang pembedahannya, dia menangis agar Tuhan menyatakan kehendak-Nya.
Tuhan mendengar doanya sewaktu dia mengambil keputusan untuk mengubah diri menjadi perempuan.
Akhirnya, pembedahannya tidak dijalankan kerana ada perubahan peraturan di Hospital John Hopkin. Hospital itu berkeputusan tidak mengizin pembedahan seperti itu lagi kerana ia menimbulkan masalah yang lebih rumit lagi.
Sinclair berkata, “Ketika aku menyedari aku berada di persimpangan jalan, aku mencampak segala hormon perempuanku dan berhenti membeli pakaian perempuan. Menjelang Hari Natal aku membuang semua baju perempuan dan mulai membeli beberapa barangan lelaki.”
Sinclair diubah oleh Tuhan sehingga dia kemudian berkahwin dan menanggalkan sifat homoseksualnya.
Anda sudah hidup seperti perempuan bertahun-tahun namun anda mengetahui bahawa Tuhan mencipta anda sebagai lelaki? Lihat, Tuhan ingin membuat sesuatu yang baru dalam kehidupanmu. Bukalah jendela untuk memeluk kejatian kelakian anda yang telah diberikan Tuhan dan bekerjasama dengan Tuhan. Segala kegagalan dan cara hidup lama yang tidak berkenan kepada Tuhan harus ditinggalkan dan saat baru perlu dimulakan dengan pertolongan Tuhan dan kaunselor yang baik.
Tuhan dapat melakukan sesuatu yang baru dalam kehidupan kita seandainya kita dapat melupakan yang di belakang dan menjaring panggilan Tuhan baru. Kini Sinclair sudah berumahtangga dan menjadi seorang bapa yang sejati!
“Perubahan yang ajaib jadilah padaku, sejak Yesus Kristus aku terima. Dalam hati ada terang dan harapan penuh, sejak Yesus Kristus aku terima.” (Rufus H. Mc Daniel)
Doa: Tuhan, aku serahkan roh serta tubuhku kepada jamahan tangan-Mu.