Renungan: Yohanes 3:1-21 “Jangan engkau hairan, kerana Aku berkata kepadamu: kamu harus dilahirkan kembali.” (ayat 7)
Api pelita bersinaran semakin pudar di tengah-tengah kesunyian malam.Seorang anak comel sedang menyeret kerusi tinggi, mengisi pelita dengan minyak seraya memandang dewa-dewa yang disembah keluarganya. “Siapakah di antara kamu Tuhan? Beritahu aku...” bisik anak itu seraya memandang sederet berhala di mezbah rumahnya. Sesetengah dewa itu kelihatan tersenyum keriangan khususnya dewa kekayaan, ada pula yang berwajah bengis. Anak kecil ini bersenyum dengan dewa yang tersenyum namun ketika dia memandang dewa perang yang berwajah bengis, dia bergegas turun dari kerusinya dengan bergementaran. Walaupun anak kecil ini kuat berdoa, dia tetap diserangi roh-roh jahat setiap malam sehingga dia hidup dalam ketakutan.
Siapa Tuhan? Itulah pertanyaannya yang pertama. Anak kecil ini juga tinggal berhampiran rumah mayat hospital. Ratapan dari rumah mayat menyayatkan hati anak ini. Apakah erti hidup ini? Mengapakah kita mesti mati? Itulah pertanyaannya. “Teman kita sudah meninggal dunia kerana kereta yang dinaikinya terbabas setelah melanggar kereta lain,” kata seorang temannya. Kedinginan rumah mayat di hospital serta kekakuan mayat teman-temannya yang tidak bermaya mencengkam nafas anak remaja ini. “Tuhan, di manakah Engkau?”
Anak remaja itu berdoa bersungguh-sungguh dan bersinggah di sebuah gereja berdekatan rumahnya untuk berbincang dengan pastornya. Pada suatu malam, setelah didoakan oleh sekumpulan pemuda-pemudi, mata rohaninya tercelik dan dia memahami Yohanes 3:16. Pada pukul 3 malam itu, Tuhan membangunkan anak remaja ini dan dia dapat berasa kehadiran-Nya serta memahami Yohanes 3:16. Dia memahami bahawa Tuhan Yesus datang ke dunia ini untuk menebus dosanya dan memberi dia kehidupan kekal. Pertemuan yang ajaib ini membawa pengharapan baru dalam kehidupan saya untuk meniti kehidupan ini dengan pengharapan baru. Sudahkah anda mengalami kasih dan pengharapan Tuhan dalam kehidupan anda?
Sejak Tuhan Yesus Penyelamat aku terima
Hatiku penuh dengan lagu yang baru
Oh sungguh ajaib Oh sungguh indah Kini aku meniti pengharapan baru
Doa: Tuhan, celikkan mata rohaniku sehingga aku dapat memahami kasih-Mu yang kekal.
Amen. Tuhan adalah pengharapan kami.