Renungan: 2 Korintus 1:3-11 Sebab sama seperti kami mendapat bagian berlimpah-limpah dalam kesengsaraan Kristus, demikian pula oleh Kristus kami menerima penghiburan yang berlimpah-limpah. (ayat 5)
Sarang kepompong! Siapa suka tinggal di dalamnya? Sarang kepompong bukan sahaja kelihatan gelap tetapi juga hodoh. Siapakah yang suka menjadi kepompong yang terhempit dalam sarang yang gelap dan kecil itu? Namun siapakah yang dapat menduga bahawa kepompong itu akan menjelma menjadi rama-rama yang begitu indah dan berwarna-warni seperti ‘Blue Tiger’ (Harimau Biru), ‘Golden Angel’ (Malaikat Emas), ‘Jungle Queen’ (Malaikat Hutan), dan sebagainya.
Penderitaan yang anda hadapi sekarang mungkin tidak selesa dan gelap. Anda seperti tinggal dalam kepompong yang gelap dan sempit. Anda tidak sabar lagi dan ingin berterbangan bebas seperti rama-rama lain namun saat ini belum waktunya dan anda terpaksa tinggal di dalamnya lebih lama lagi. Gelap tetapi sesuai untuk pembentukan keperibadian yang utuh. Sesungguhnya kita tidak tahu bagaimana Tuhan membentuk kepompong ini dengan ajaib sekali. Jangan hanya melihat daripada satu paradigma sahaja apabila anda dilandai oleh penderitaan. Bapa syurgawi dengan tangan ilahi-Nya sedang membentuk yang sesuai dan berkenan kepada mata-Nya dalam dirimu.
Salah satu rahsia yang kita pelajari ialah menjalin persahabatan intim dengan Tuhan sewaktu menderita, dan membuktikan kemurnian iman kita. “Bergembiralah akan hal itu, sekalipun sekarang ini kamu seketika harus berdukacita oleh berbagai- bagai pencobaan. Maksud semuanya itu ialah untuk membuktikan kemurnian imanmu- yang jauh lebih tinggi nilainya daripada emas yang fana, yang diuji kemurniannya dengan api-sehingga kamu memperoleh puji-pujian dan kemuliaan dan kehormatan pada hari Yesus Kristus menyatakan diri-Nya.” (1 Petrus 1: 6,7)
Kedua, kita akan menjadi seseorang yang lemah lembut dan sanggup memahami penderitaan orang lain. “Terpujilah Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa yang penuh belas kasihan dan Allah sumber segala penghiburan, yang menghibur kami dalam segala penderitaan kami, sehingga kami sanggup menghibur mereka, yang berada dalam bermacam-macam penderitaan dengan penghiburan yang kami terima daripada Allah.” (2 Korintus 1:3- 4).
“Pembacaan Perjanjian Baru secara menyeluruh dan genap menunjukkan dengan tuntas bahawa Tuhan tidak berjanji menyelesaikan masalah kita atau menjawab semua soalan atau meluluhkan semua penderitaan kita. Kalau kita boleh memahami nilai-nilai melalui fokus kekristianan yang elok, kita akan memahami bahawa kehadiran Tuhan yang penuh kasih sayang di obor pengujian adalah berkat yang jauh lebih besar daripada kelenyapan masalah akibat campurtangan ilahi.” Erwin G. Tieman
Oh Tuhan, Benarkah seperti bunga ros aku harus diremuk agar keharuman-Mu terasa? Oh Tuhan, Benarkah seperti burung sayap jiwa aku harus dipatahkan agar aku menyanyikan lagu merdu? Oh Tuhan, Benarkah seperti kepompong aku harus terhempit-hempit merangkak dengan siksa agar aku melihat terang-Mu? Oh Tuhan, Benarkah aku biji mata-Mu mesti dilukai agar dapat berterbangkan lebih tinggi lagi?
Doa: Tuhan Penyayang, terima kasih atas segala penderitaan dan penghiburan syurgawi yang Engkau curahkan dalam jiwaku.
Kristus Bersertaku Kristus bersertaku, Kristus di dalamku, Kristus di belakangku, Kristus di depanku, Kristus di sampingku, Kristus memenangi hatiku. Kristus menghiburkan hatiku, Kristus menyembuhkanku, Kristus di bawahku, di atasku, Kristus pada waktu kesepian, Kristus pada waktu bahaya. Kristus pada bibir teman dan orang yang tidak kukenali. (Santo Patrick, misionari Ireland)