Renungan: Yesaya 42:3-4 “Buluh yang patah terkulai tidak akan diputuskannya, dan sumbu yang pudar nyalanya tidak akan dipadamkan-Nya, tetapi dengan setia akan menyatakan hukum.” (ayat 3)
Pernahkah anda meluncur di lebuhraya baru teringat anda terlupa mengisi minyak petrol? Ngerilah. Temanku sewaktu pergi ke suatu tempat, berseru dengan panik, “Alamak! Aku lupa mengisi minyak!” Kalau kereta tersangkut di tengah tengah lebuhraya tentunya payah, pelbagai masalah di luar dugaan akan menjelma! Tabir hitam sudah menutup langit dan dia berdoa setengah mati agar tangki petrol tidak akan kehabisan!
Perjalanan kita di dunia ini juga seperti meluncur di lebuhraya gelap. Bagaimana kalau kita dihujani angin taufan kehidupan? Kita perlu selalu diisi dengan kasih dan kekuatan yang luarbiasa untuk menghadapinya dengan penuh ketabahan. Kadangkala kita bagai buluh yang tertumbuh megah pada saat ini dan dalam sejenak waktu hampir patah kerana tiupan angin badai atau tersangkut di lebuhraya cabaran.
Tuhan Yesus tidak mematahkan buluh yang patah terkulai.(Matius 12:20) Sumbu yang pudar nyalanya pun tidak akan dipadamkannya. Tuhan tidak memadamkan sumbu di hati seorang perempuan yang sudah bercerai lima kali. Hati perempuan ini dimenangi dan semangatnya dipulihkan sehingga dia menjadi insan yang berguna. Tuhan Yesus tidak memandang jijik terhadap dia. Bartimaues yang gelap dunianya diterangi lagi sehingga dia boleh melonjak dengan kegembiraan. Pesakit kusta yang disingkirkan masyarakat disembuhkan Yesus agar mereka boleh diterima oleh masyarakat lagi. Mereka tidak lagi seperti buluh yang terkulai dan sumbu mereka yang pudar dinyalakan lagi.
Adakah anda berasa terluka? Kekecewaan melandai kehidupan anda sehingga anda hampir terpatah? Kesedihan hampir memadamkan terang yang pudar?
Tuhan Yesus akan menegakkan buluh yang terkulai itu. Yang pudar akan dinyalakan dengan terang lagi. Orang yang lemah tidak disingkirkan Tuhan malahan sumbu yang tertinggal akan dinyalakan. Layangkan pengharapanmu kepada Tuhan.
Doa: Tuhan, biarlah kasih-Mu bersinaran terang di tengah-tengah lebuhraya cabaran.