Renungan: Mazmur 32 Sebab siang malam tangan-Mu menekan aku dengan berat, sumsumku menjadi kering, seperti oleh teriknya musim panas.Sela. (ayat 4)
Tanpa displin dan kesedaran terhadap hajaran-Nya, kita mungkin lebih menderita dalam kehidupan kerana kita tersesat lagi serta menerima kepahitan. Ibu bapa yang mengasihi anak mereka akan merotan mereka apabila mereka berkelakuan jahat. Ibu bapa yang mengamalkan demokrasi tuntas akan melemahkan moral anak mereka. Sebaliknya, ibu bapa yang bersikap autoritatif mungkin menghasilkan anak yang suka memberontak. Tangan Tuhan diibaratkan tangan seorang bapa yang mendisplin anak- anaknya yang tersayang.
Daud telah berdosa terhadap Tuhan dan selama dia berdiam diri, tulang- tulangnya menjadi lesu kerana dia mengeluh sepanjang sehari. Selain itu, sumsum tulang menjadi kering kerana dia berasa tangan Tuhan menekan dirinya. Hanya orang yang peka kepada tangan Tuhan akan mengeluh dan menyesali dosa mereka. Bagi mereka yang bangga akan dosa mereka, pertaubatan tidak mungkin akan berlaku. Daud menasihati orang yang bangga akan dosa dan enggan mengakui tangan Tuhan dengan nasihat ini, “Janganlah seperti kuda dan bagal yang tidak berakal, yang kegarangannya harus dikendalikan dengan tali les dan kekang, kalau tidak ia tidak akan mendekati engkau. Sela.” (ayat 9).
Biarlah kita berdoa, “Dosaku kuberitahu kepada-Mu dan kesalahanku tidaklah kusembunyikan; aku berkata: Aku akan mengaku kepada Tuhan pelanggaran- pelanggaranku, dan Engkau mengampuni kesalahan kerana dosaku.” (ayat 5). Setelah bertaubat, Daud dapat bersorak sorai semula dalam kejayaan kerana tangan Tuhan yang berat digantikan dengan tangan yang mendukung dia dalam kelembutan semula.
Oh, sucikan pialaku dari dosaku Aku mengaku dosa dan pelanggaranku
Kuatkan tulang-tulangku yang lesu
Penuhi sumsumku dengan kasih-Mu
Berilah sinar cahaya dan pengampunan-Mu
Agar aku mengenal Engkau dan firman-Mu
Aku ingin bertumbuh dalam kemuliaan-Mu
Aku tidak akan mengikut jalan sendiri lagi
Doa: Tuhan, ajari aku bertaubat dan menurut bimbingan-Mu apabila tangan-Mu mendisplin aku agar aku tidak serong lagi.