Renungan: Mazmur 46:1-4 Tuhan semesta alam menyertai kita, kota benteng kita ialah Allah Yakub.Sela. (ayat 8)
Yosua baru berumur lapan tahun namun dia sudah mengalami kepahitan hidup. Dia sering bermuka muram dan tergelincir dalam perasaan sedih. Kadangkala kepal kecilnya mengeras apabila teringat akan masalah ibu bapanya yang menimbulkan kekusutan rumahtangga. Kakaknya juga tahu emak mereka sering menangis dan sudah beberapa kali masakan mereka terhangus kerana akhir-akhir ini ibunya kurang berfokus dan berdepresi. Mereka memahami bahawa perasaan emak mereka semakin runcing setelah berperang mulut dengan ayah mereka. Kini bapa Yosua jarang berada di rumah dan sering beralasan bahawa pekerjaan di pejabat bertumpuk-tumpuk.
Apakah yang sebenarnya terjadi kepada bapa Yosua? Sejak dia berkenalan dengan setiausaha baru, dia mulai berselisihan faham dengan emak Yosua. Susie yang bersusuk mungil pandai mengaut hati dengan penampilan yang mesra dan pakaian yang jarang. Bapa Yosua sudah beralih hati kepada Susie yang sudi memberi yang terbaik untuk menghibur hatinya.
Di keheningan biliknya, Yosua bersumpah dia tidak akan ikut jejak langkah bapanya yang curang itu setelah dia menumbuk tembok dengan buku lima yang mengeras.Yosua berasa seakan-akan bentengnya roboh apabila bapanya berkata dia terpaksa membangun hidup yang baru. “Sayang, pasti suatu hari apabila awak dewasa, awak akan memahami kenapa emakmu dan aku harus berpisah demi masa depan yang lebih baik.” Yang paling pahit lagi, Yosua menolong ayah mengangkat kopernya ke keretanya serta melambaikan sayonara kepada bapa yang tiada bertulang itu.
Banyak benteng duniawi kita atau orang yang kita harapkan dalam kehidupan kita mungkin akan roboh pada suatu hari kerana manusia sering berubah. Kalau kita hanya bersandar pada kasih Tuhan, kita tidak akan roboh kalau benteng duniawi kita roboh. Biarpun air berbuih dan gunung-ganang bergoyang oleh gelora semasa, kota benteng orang yang beriman kepada Tuhan tidak bergoyah. Dialah gunung batu kita yang teguh.
“Pada Allah ada keselamatanku dan kemuliaanku, gunung batu kekuatanku, tempat perlindunganku ialah Allah.” (Mazmur 62:8) Tuhan memahami perasaanmu pada saat ini kerana Tuhan Yesus pun pernah dihina dan ditolak orang, dia penuh dengan kesengsaraan dan banyak menerima penderitaan serta pukulan. ( Yesaya 53:3)
Doa: Tuhan, sekalipun benteng yang kusandarkan roboh, ajari aku bersandar pada gunung batuku.