Bacaan Alkitab Hari Ini : Bilangan 24-33
Sabtu, 21 Ogos 2021
Komputer merupakan suatu teknologi yang menakjubkan. Ia dapat melakukan banyak perkara bahkan hari ini dapat memberikan respons seperti manusia dengan perkembangan Kecerdasan Buatan. Saya sedar beberapa orang bercakap dengan komputer seolah-olah komputer itu hidup. Teknologi akan terus maju dan akhirnya mungkin kelihatan hampir seperti makhluk hidup. Namun, pada dasarnya, komputer masih berdasarkan kepada pengiraan algoritma dan tidak memiliki jiwa yang hidup. Tuhan kita ialah Tuhan yang hidup. Dia bukanlah komputer super yang hanya memproses permintaan kita. Dia adalah Tuhan yang benar dan hidup yang menciptakan alam semesta dan yang menghakimi dunia (Yer 10). Meskipun orang Israel telah ditebus oleh Tuhan, mereka masih mengikat diri mereka kepada Baal Peor, tindakan tidak setia yang membangkitkan murka Tuhan (Bil 25). Mereka yang menyembah dewa- dewa yang tidak hidup akan binasa bersama dewa-dewa mereka. Tetapi mereka yang menyembah Tuhan yang hidup dan benar akan hidup kekal (Mrk 12:25-27; Yoh 17:3).
Tuhan yang hidup terus menyatakan diri- Nya kepada semua generasi. Meskipun Dia ialah Tuhan Abraham, Ishak, dan Yakub (Kel 3:13-15), ini tidak bererti bahawa Dia adalah Tuhan masa lalu. Sebaliknya, kita bergabung dengan banyak saksi untuk menemukan Tuhan yang bercakap berulang kali kepada setiap generasi. Sama seperti orang Israel mengalami Tuhan di padang gurun, orang percaya hari ini juga dapat mengalami karya Tuhan yang berkuasa dalam hidup kita.
Tuhan yang hidup adalah sumber semua kehidupan (Yoh 1:3-4; 5:26). Alkitab berbicara tentang “hidup” sebagai lebih daripada sekadar degup jantung. Ia adalah kuasa hidup ilahi yang tetap untuk selama- lamanya. Ketika kita percaya pada Tuhan yang hidup, kita boleh tenang di tengah- tengah badai. Tuhan yang hidup akan memimpin kita, berbicara kepada kita, dan membuat kita tetap hidup kekal.
Doa Hari Ini :
Oleh kerana Tuhan hidup dan tinggal dalam kita, berdoa agar kita ada pertemuan baru dengan Dia dan menjalani kehidupan rohani yang bersemangat bila kita bersekutu dengan Bapa, Anak dan Roh Kudus setiap hari.
Berdoa untuk undang-undang perlindungan atas hak kanak-kanak, agar mereka tidak menjadi mangsa kepada orang lain, terutamanya di negeri Sabah, Sarawak dan Kelantan di mana perkahwinan anak secara aktif dipraktikkan seperti yang dilihat dalam statistik tahun 2020.
Berdoa untuk kelompok Jah Hut (atau Cheres), yang sebahagian besar terdapat di Jerantut dan Termeloh, Pahang, agar Tuhan memberi mereka keadilan dan menemukan keselesaan dan kekuatan dalam Kristus setiap kali mereka menghadapi pemerasan di pasaran tenaga buruh.