Bacaan Alkitab Hari Ini : Hakim-hakim 1-10
Sabtu, 28 Ogos 2021
“...bangkitlah sesudah mereka itu angkatan yang lain, yang tidak mengenal TUHAN ataupun perbuatan yang dilakukan-Nya bagi orang Israel.” (Hakim-hakim 2:10)
Di penghujung Hakim-hakim 1, orang Israel menikmati harta pusaka mereka dalam pemilikan tanah perjanjian. Kepemimpinan Yosua benar-benar memberi kesan kepada kehidupan bangsa Israel. Orang-orang melayani Tuhan sepanjang masa Yosua, dan ini termasuk semua penatua yang melayani di bawah Yosua dan hidup lebih lama daripada dia. Mereka melayani Tuhan kerana mereka telah mengetahui, melihat dan mengalami semua pekerjaan besar yang telah Tuhan lakukan bagi Israel.
Sayangnya, segera setelah Yosua dan generasinya meninggal, muncullah generasi lain yang tidak mengenal Tuhan atau pekerjaan yang telah Dia lakukan untuk Israel.
Kita telah mengalami kebaikan, rahmat, dan belas kasih Tuhan atas bangsa kita sepanjang pandemik Covid-19. Tidak diragukan lagi sektor ekonomi telah terpukul dengan banyaknya perniagaan yang mengalami masalah dan pengangguran yang meningkat, tetapi ketika seseorang mempertimbangkan kadar jangkitan dan kematian di negara ini dibandingkan dengan banyak negara lain, kita dapat mengatakan bahawa Tuhan itu baik dan penuh belas kasihan.
Itulah mengapa sangat penting bagi kita untuk selalu mengingatkan anak-anak kita dan remaja di gereja kita tentang pekerjaan Tuhan dan kebaikan-Nya. Alkitab berkata, “Angkatan demi angkatan akan memegahkan pekerjaan-pekerjaan-Mu dan akan memberitakan keperkasaan-Mu.” (Maz 145:4)
Sekiranya kita tidak menguatkan pesan ini, akibatnya akan mengerikan, dan kita boleh kehilangan generasi berikutnya kepada cara- cara dunia... “Lalu orang Israel melakukan apa yang jahat di mata TUHAN dan mereka beribadah kepada para Baal. Mereka meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka ... lalu mengikuti allah lain...” (Hakim 2:11-12)
Doa Hari Ini :
Berdoa untuk anak-anak anda diingatkan tentang karya-Nya dan perbuatan-Nya yang perkasa dalam hidup mereka, dan bahawa mereka akan berpegang teguh pada iman apa pun yang terjadi di dunia.
Berdoa agar timbul kesedaran di kalangan para remaja bahawa mereka akan menghargai kesucian mereka dan melihat kehidupan sebagai anugerah suci dari Tuhan, bahawa mereka tidak akan melanggar kesucian satu sama lain atau melakukan pengguguran. Berdoa agar mereka memiliki saluran yang tepat untuk mencari bantuan setiap kali mereka menghadapi cabaran dalam hidup.
Berdoalah untuk kesesuaian keseluruhan program dan dasar yang dijalankan oleh sistem pendidikan / sekolah di kampung-kampung di mana penduduk pribumi berada, dan mereka akan mempunyai guru dan tenaga kerja yang mencukupi untuk memudahkan keperluan dan pertumbuhan pelajar secara menyeluruh.