Firman Tuhan Hari Ini : 2 Raja-raja 11-20
Rabu, 8 Sep 2021
Kitab Raja-raja menggambarkan bangsa- bangsa yang berpecah daripada kerajaan selatan Yehuda dan kerajaan utara Israel, dan menyatakan perbezaan utama mereka. Politik Yehuda teguh di bawah pemerintahan 20 orang raja daripada salasilah keluarga yang sama selama lebih kurang tiga abad setengah, ketika takhta tetap kukuh dengan keturunan Daud. Sebaliknya, politik Israel bergejolak dengan raja dan dinasti yang sering digulingkan. Dalam sekitar 200 tahun sejarahnya, Israel telah berada di bawah pemerintahan 20 orang raja yang berasal dari sembilan buah keluarga yang berbeza. Semasa menyimpulkan sejarah kerajaan utara, penulis menunjukkan bahawa alasan utama kehancuran Israel oleh Kerajaan Asyur adalah kerana ketidaksetiaan mereka kepada Tuhan, di mana mereka melanggar perjanjian Tuhan dan menyembah tuhan- tuhan lain sesuai dengan adat istiadat dan hukum-hukum kafir. (2 Raja-Raja 17:7-23)
Raja-raja Israel dari kerajaan utara melakukan kejahatan di mata Tuhan, kerana mereka berpegang kepada dosa- dosa Yerobeam bin Nebat (2 Raja-Raja 3:3; 10:29-31; 13:2; 14:24; 15:9,18,24,28; 17:9). Sebagai perbandingan, beberapa orang raja Yehuda memerintah dengan benar di mata Tuhan, namun mereka tidak memindahkan mezbah berhala, di mana orang-orang terus mempersembahkan korban dan membakar dupa kepada berhala (2 Raja-raja 12:3, 14:4, 15: 4,35; bab 16). Kira-kira 150 tahun setelah kehancuran kerajaan utara, kerajaan selatan juga dihancurkan oleh Babel, dan rakyatnya dibuang ke dalam perhambaan. Masalah sinkretisme (pencampuran aliran), iaitu menyembah Tuhan dan dewa-dewa pagan lainnya pada masa yang sama, adalah masalah yang sangat serius yang menyinggung Tuhan, penyembahan tuhan-tuhan palsu adalah penyebab utama kehancuran Israel dan Yehuda.
Mari kita renungkan adakah Gereja saat ini juga mencampurkan ibadah kita dengan penyembahan berhala, pemikiran dan konsep duniawi yang telah melemahkan kerohanian kita? Ketidaktaatan ialah penyebab tidak diberkati, dan Tuhan menuntut ketaatan yang murni dan sepenuh hati dari Gereja.
Doa Hari Ini :
Berdoa melawan ibadah sinkretisme yang datang dengan cara yang licik di kalangan umat Tuhan. Doakan agar Roh Kudus menyedarkan kita dalam masalah kekudusan sesuai dengan Firman Tuhan, agar hati kita kembali kepada Dia dalam penyembahan yang sejati.
Bertaubat bagi pihak negara dan bangsa kita, termasuk Gereja, atas dosa- dosa yang kita lakukan sebagai satu bangsa dalam penyembahan berhala dan penyembahan yang tidak murni. Berdoa agar hati bangsa berpaling daripada hasrat kita yang menyimpang yang enggan untuk mencari jalan kebenaran dan hidup.
Berdoa untuk suku Sonsogon yang tersebar di sepanjang Sungai Magandai di Sabah, agar anak-anak mereka yang berada di sekolah berasrama mendapatkan rawatan jasmani dan mental yang baik, dan mereka akan mendengar Injil yang melayani keperluan batin mereka dan menyembuhkan luka mereka.