Bacaan Alkitab Hari Ini : 2 Raja-raja 21-25, 1 Tawarikh 1-5
Khamis, 9 Sep 2021
Orang-orang Israel dan Yehuda menjadi tawanan di negeri asing kerana pemberontakan mereka yang terus-menerus. Itu membuktikan bahawa kemurkaan Tuhan ditimpakan ke atas mereka dan penghakiman-Nya wajar sepenuhnya. Namun, Tuhan menasihati umat-Nya untuk mengakui dosa-dosa mereka dan bertaubat, dan Dia berjanji kepada mereka bahawa mereka akan kembali ke tanah air mereka dari pembuangan.
Tuhan telah menepati janji-Nya dengan setia kepada keluarga Daud, dan Dia menegaskan kepada mereka bahawa kerajaan Daud akan menjadi kerajaan kekal bagi umat pilihan-Nya. Tuhan murah hati kepada keturunan Daud kerana kasih-Nya kepada Daud. Meskipun beberapa anaknya jahat, dan dihukum kerana pelanggaran mereka terhadap perjanjian Tuhan, Tuhan tidak akan mencabut pemerintahan beraja dari keluarga Daud. Ada masa penting yang dicatat dalam kitab 2 Raja-raja di mana Yoyakhin raja terakhir Yehuda, meskipun dipenjarakan oleh orang Babel, dibebaskan dan menerima bantuan khusus sepanjang pembuangannya di Babel. Ini menandakan harapan bahawa Tuhan tidak berputus asa terhadap keluarga Daud (2 Raja-Raja 25:27-30).
Janji Tuhan untuk kebangkitan semula takhta Daud akhirnya digenapi di dalam Kristus. Kristus adalah keturunan Daud, dan pewaris sah takhta kerana Dia telah memenuhi semua pensyaratan yang ditetapkan oleh Tuhan sebagai keturunan Daud. Setelah kebangkitan-Nya, Kristus bertakhta di syurga. Dia memimpin umat-Nya menuju berkat dan kemenangan, dan Dia akan memerintah sampai semua musuh-Nya dikalahkan. Tuhan Yesus Kristus adalah Raja kekal yang memerintah selama-lamanya, dan Dia akan memenuhi kehendak Tuhan dan janji-janji-Nya yang kekal dan tidak berubah pada akhirnya.
Doa Hari Ini :
Berdoa agar Tuhan setia menepati semua janji-Nya, kita akan bersyukur atas kasih-Nya yang tiada berkesudahan yang dicurahkan ke atas kita tanpa syarat kerana dengan iman, kita terus dilindungi oleh kuasa-Nya di dalam Kristus Yesus sampai datangnya keselamatan yang sudah siap untuk dinyatakan pada kali yang terakhir.
Berdoa agar parti-parti politik menunaikan janji dalam apa pun janji yang mereka buat di depan umum dalam propaganda pilihan raya, supaya mereka tidak hanya akan pandai bermain dengan kata-kata tetapi juga dengan rajin menyusun rancangan dalam pembangunan negara.
Berdoa untuk komuniti kecil Tonga yang tinggal di sempadan di antara Thailand dan Malaysia, agar mereka dapat mengejar kemajuan di bandar dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan serta orang Kristian yang melayani di kalangan mereka.