Bacaan Alkitab Hari Ini : 1 Tawarikh 6-15
Jumaat, 10 Sep 2021
Sembilan bab yang pertama 1 Tawarikh adalah salasilah panjang yang bermula dari Adam sampai Daud. Semasa membacanya, kita melihat bagaimana tangan Tuhan menyusun sejarah manusia. Dia memilih bejana yang menyenangkan hati-Nya dan berguna untuk pelayanan-Nya.
Kebanyakan daripada ratusan nama yang disebutkan dalam salasilah itu tidak kita kenal. Penampilan mereka tidak lama dan tidak pernah disebutkan lagi. Mereka tidak meninggalkan riak dalam perjalanan sejarah. Namun, beberapa adalah pahlawan dan penjahat yang kita kenal dan mereka meninggalkan jejak yang tidak dapat dihapuskan dalam sejarah. Ada orang yang memberontak melawan Tuhan, seperti Akhan dan Raja Saul, yang membawa pengakhiran yang buruk dan menyedihkan bagi diri mereka sendiri dan keluarga mereka. Di sisi lain, ada orang-orang yang menyenangkan Tuhan, seperti Musa dan Harun, Yosua dan Kaleb, Daud dan keluarganya serta orang- orangnya yang kuat, dan lain-lain lagi.
Setelah menceritakan salasilahnya, penulis berpindah ke tema baru tentang penyebab kejatuhan kerajaan Saul dan kematiannya kerana ketidaksetiaannya kepada Tuhan dengan tidak berpegang kepada firman Tuhan atau mencari Dia, dan sebaliknya mendapatkan ahli tenung untuk bimbingan. Akibatnya, Tuhan memberikan kerajaan itu kepada Daud, anak Isai (1 Tawarikh 10:13- 14). Sebaliknya, Daud sangat menghargai hadirat Tuhan, dan dia mencari segala cara yang mungkin untuk membawa Tabut Tuhan kembali ke kota Daud sehingga dia dapat mencari Tuhan setiap saat. Daud sangat disenangi oleh Tuhan dan Tuhan berjanji dengan dia untuk mengatur dia memerintah atas rumah dan kerajaan-Nya untuk selama- lamanya, dan menjanjikan dia sebuah takhta yang akan dibangunkan selama-lamanya (1 Tawarikh 17:14). Perjanjian Baru memuji Daud sebagai orang yang menyenangkan hati Tuhan, dan orang yang mentaati kehendak Tuhan dalam segala hal untuk melayani tujuan-Nya (Kisah Para Rasul 13: 22,36).
Doa Hari Ini :
Tuhan mencari orang pada zaman ini yang menyenangkan hati-Nya dan bersedia dipakai oleh Dia untuk mengubah generasi ini. Berdoa agar kita, walaupun sebagai minoriti, bersedia menawarkan diri untuk bertindak sesuai dengan kehendak-Nya dalam generasi ini.
Lebih dari 32,000 buah syarikat dan kedai tutup di antara Mac-Sept 2020, dan 70% daripadanya ialah perniagaan kecil. Berdoa agar rancangan dan subsidi kerajaan berkesan dan perniagaan kecil akan menemukan cara kreatif untuk mempertahankan perniagaan mereka.
Berdoa untuk suku Mah Meri di Sungai Pelek & Pulau Carey, Selangor, dan mereka yang ada di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor supaya membuka hati mereka kepada Yesus, terutamanya 5 buah kampung di sepanjang Sungai Klang yang mudah dilawati oleh orang luar melalui pelancongan.