Bacaan Alkitab Hari Ini : 2 Tawarikh 17-26
Selasa, 14 Sep 2021
Yosafat adalah raja kedua Yehuda yang baik. Dia berjuang memerangi kemasukan penyembahan Baal di Yehuda dan mengutus orang Lewi dalam misi bergerak untuk menyampaikan Hukum Tuhan kepada semua orang. Imannya sendiri bersinar ketika Yehuda diserang oleh musuh. Dia membangunkan pasukan yang kuat dan mengukuhkan banyak kota. Dia juga menghidupkan kembali sistem hukum atau pengadilan agar sesuai dengan yang ditetapkan dalam Hukum Musa (Ulangan16:18). Tetapi ada “titik buta” dalam dirinya. Dia membuat persekutuan dengan Israel, tidak ada yang berhasil. Malah dia menikahkan anaknya, Yoram, dengan Atalya, salah seorang anak perempuan Ahab, yang sama jahatnya dengan ibunya, Izebel (2 Raja-raja 8: 16-19).
Nilai-nilai teras kita menentukan siapa kita. Nilai-nilai ini memberitahu kita mengapa kita melakukan apa yang kita lakukan. Nilai- nilai kita adalah alasan untuk pilihan yang kita buat, teman yang kita pilih, gaya hidup yang kita amalkan dan harta benda yang kita sayang. Raja Yosafat memulai dengan baik dengan niat yang jelas, tetapi dia menjadi lalai dan mengizinkan “titik buta” terjadi ketika dia memerintah kemudian dalam hidupnya.
Ada kemungkinan kita jatuh ke dalam “titik buta” kehidupan kita jika kita tidak berhati- hati dan gagal konsisten di mezbah doa harian kita. Berdiam adalah selaras dengan nilai teras kita. Nilai-nilai inti dari mengasihi Tuhan, mengenal Dia, dan mencari keadilan dan kebenaran adalah perisai terhadap godaan harian kita. Roh Kudus akan mengingatkan kita kepada “titik buta” kehidupan yang tercantum dalam 1 Yohanes 2:16.
Doa Hari Ini :
Ambil 10 minit untuk berdiam di hadapan Tuhan. Izinkan fikiran anda fokus untuk menikmati hadirat-Nya. Sekiranya boleh, mainkan muzik lagu penyembahan dengan lembut. Tuliskan di buku catatan peribadi anda apa saja yang dibawa oleh Roh Kudus ke dalam fikiran anda. Carilah titik buta dan bersyukur kepada Tuhan kerana telah mengungkapkannya kepada anda.
Berdoa agar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan hasilkan rancangan yang konkrit untuk membantu mengatasi bencana banjir yang selalu menimbulkan ancaman kepada kawasan-kawasan yang terjejas semasa musim hujan, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.
Berdoa untuk suku kecil Utik di mana sebahagian besarnya tinggal di Sungai Rajom Hulu dan Tatau, Baleh, Sarawak, agar mereka belajar kemahiran hidup yang baru untuk mengatasi perubahan persekitaran, dan agar mereka dijamah oleh Berita Baik tentang Yesus Kristus.