Oleh Joe Dallas
Selepas mengakui ketagihan pornografi anda kepada isteri, anda perlu membina semula kepercayaan. Ramai lelaki salah cakap. Garis panduan ini akan membantu anda mengetahui perkara yang patut dan tidak patut anda katakan.
Dalam kerja saya sebagai kaunselor, saya telah melatih ramai lelaki menjalani proses membina semula perkahwinan mereka selepas kerosakan dan kesan sampingan ketagihan pornografi. Saya telah berjalan bersama mereka melalui pelbagai cabaran, tetapi yang paling sukar dari segi emosi ialah kepedihan yang dialami oleh isteri akibat ketagihan mereka.
Menyedari kesilapan anda adalah satu perkara; melihat kesannya kepada orang yang anda cintai adalah perkara berlainan. Sangat perit untuk menyaksikan kesakitan pasangan anda dan mengetahui bahawa anda yang bertanggungjawab. Ini sering menyebabkan suami meminimumkan betapa seriusnya tingkah laku mereka atau memberi alasan untuknya. Tetapi keengganan seorang suami untuk menangani dan mengakui kesakitan isterinya yang mendorong isteri untuk mengeluh, “Adakah dia tahu betapa teruknya dia telah menyakiti saya? Setiap kali saya membangkitkannya, dia menggangapnya remeh atau enggan bercakap mengenainya. Bagaimana kita boleh mara ke hadapan jika dia enggan menghadapi masalah itu?"
Wanita dalam situasi ini menghadapi dilema yang dahsyat. Mereka mahu memaafkan, dan sebenarnya menyedari bahawa mereka perlu memaafkan untuk kesihatan emosi dan rohani mereka sendiri. Tetapi mereka tidak boleh memilih untuk mempercayai semula dengan begitu sahaja, kerana kepercayaan yang hancur tidak boleh dibina semula melainkan suami menghadapi kegagalannya dan mengakui betapa parah kegagalan tersebut. Keengganan mengakui kesalahan dengan sepenuhnya hanya akan melumpuhkan proses penyembuhan.
Tiga kesilapan yang perlu dielakkan
Sepanjang karier kaunseling saya selama 31 tahun, saya telah mendapati tiga kesilapan biasa yang dilakukan oleh lelaki apabila cuba membina semula kepercayaan dalam perkahwinan.
“Saya betul-betul minta maaf!”
Kesungguhan memang baik dan elok, tetapi memanipulasi keadaan untuk disenangi semula dengan permintaan maaf yang paling hebat adalah kurang matang dan biasanya tidak menyakinkan.
Ini tidak bermaksud bahawa air mata yang ikhlas atau ungkapan penyesalan yang mendalam adalah salah. Tetapi adalah tidak adil untuk mengharapkan isteri anda mempercayai bahawa lakinya telah dipulihkan hanya kerana permintaan maaf yang dramatik. Jika anda benar-benar menyesal, katakan demikian dengan semua emosi yang anda rasakan. Tetapi jangan harap kesungguhan sahaja adalah bukti yang cukup untuk menunjukkan bahawa anda tidak akan tersilap lagi. Pengakuan yang paling bersemangat tidak boleh dibandingkan dengan gaya hidup yang konsisten. Taubat sejati hanya dibuktikan melalui perubahan tingkah laku dari segi jangka masa panjang.
“”Janganlah pandang terlalu serius, ini perkara biasa bagi lelaki."
Jangan fikir walaupun hanya untuk seketika bahawa menggunakan pornografi bukan pengkhianatan terhadap kepercayaan isteri anda. Apabila anda meminimumkan keterukan pengkhianatan itu, anda memberi isteri alasan yang baik untuk berfikir anda akan menggunakannya semula. Jika pornografi hanyalah ‘perkara lelaki’ – dan andailah anda kekal lelaki sepanjang hayat – mengapa dia harus percaya bahawa anda akan berubah?
Ungkapan ‘perkara lelaki’ membayangkan bahawa kebanyakan lelaki melihat pornografi, sesuatu yang boleh dipertikaikan. Ia juga bermaksud bahawa jika kebanyakan lelaki melakukannya, ia mesti bukan masalah besar, dan ini tidak tepat.
Jika anda ingin memulihkan hubungan yang telah anda rosakkan, anda tidak harus menafikan betapa seriusnya kesalahan yang dilakukan. Apabila dia berkahwin dengan anda, dia mempercayai bahawa anda akan mengatasi naluri asas yang keji, tidak kira betapa berleluasanya naluri tersebut. Anda tidak akan memenangi kembali kepercayaannya dengan memberi alasan untuk tingkah laku buruk dengan mengelakkan tanggungjawab.
“Saya sudah minta maaf. Kenapa kita tidak boleh kembali seperti biasa?"
Mendesak untuk pemulihan cepat selepas pengkhianatan seksual dan emosi adalah tidak adil dan tidak sensitif, terutamanya jika anda adalah orang yang menjejaskan hubungan anda berdua.
Bolehkah anda bayangkan jika seorang lelaki memukul muka isterinya, menjatuhkannya ke tanah, dan kemudian memandangnya dengan tidak sabar dan berkata, “Maaf, sayang, sekarang bangun dan mari kembali seperti biasa?” Permintaan ini adalah keterlaluan. Dengan cara yang sama, adalah keterlaluan bagi seorang suami untuk mendesak isterinya pulih dari pengkhianatan tanpa memberinya masa untuk bersedih dan sembuh.
Berilah isteri seberapa banyak ruang dan masa yang dia perlukan untuk menangani kesakitannya. Sementara itu, biarkan dia melihat tingkah laku anda yang berubah dan buktikan kepadanya bahawa sikap anda sekarang berbeza. Masa untuk pemulihan, serta integriti anda yang berkekalan, akan membolehkan dia kembali kepada perkongsian hidup yang sejati dan menyeluruh. Mengubah tingkah laku anda – dan hati – kemungkinan besar bermakna bahawa anda perlu mendapatkan kaunseling dan sokongan untuk menyelesaikan isu yang mendorong penggunaan pornografi anda.
Tiga perkara benar untuk diisytiharkan
Adalah tidak cukup sekadar mengelak daripada mengatakan perkara yang salah. Semasa anda berusaha untuk membina semula kepercayaan isteri, pastikan anda menyampaikan ketiga-tiga perisytiharan ini.
Mulakan dengan pengisytiharan niat, seperti, “Ini adalah langkah-langkah yang akan saya ambil supaya perkara ini tidak akan berulang. Dan ini adalah rancangan saya untuk membina semula ikatan kami dan memulihkan kepercayaan anda.”
Kemudian buat pengisytiharan kesedaran, seperti, “Saya faham bahawa saya telah merosakkan hubungan kita, dan membahayakan keluarga kita. Saya sedar ia akan mengambil masa untuk memahami sepenuhnya betapa dahsyatnya kelakuan ini.”
Akhir sekali, buatlah pengisytiharan inspirasi, seperti, “Saya menjemput anda untuk mengesahkan bahawa saya akan kerap membina hidup saya, akauntabiliti saya dan komunikasi kami."
Pengisytiharan ini akan membantu membuktikan kepada isteri bahawa anda serius tentang mengubah perangai anda, bahawa anda sedang berusaha untuk memahami kesakitan yang anda sebabkan dan bahawa anda sedang memikul bertanggungjawab untuk memperbaiki perkahwinan anda.
Selagi anda bersedia untuk mengakui kesilapan dan menunjukkan keprihatinan terhadapnya, serta mengambil langkah-langkah praktikal untuk mengelak daripada mengulangi kesalahan, ikatan dengan isteri anda bukan sahaja akan pulih tetapi menjadi lebih kukuh dari sebelumnya.
© 2018 Joe Dallas. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.