Oleh Kevin Leman
Apakah yang paling ditakuti oleh anak remaja anda? Ia berbeza daripada apa yang anda khuatiri untuk mereka. Dr. Kevin Leman membincangkan tiga perkara yang anda mungkin tidak sedar tetapi ditakuti anak remaja anda dan apa yang mereka perlukan daripada anda supaya mereka tidak takut lagi.
Perkara yang paling ditakuti oleh anak remaja anda berbeza daripada perkara yang menyebabkan anda terjaga pada waktu malam. Kebanyakan kebimbangan ibu bapa adalah secara teori dan berasaskan masa depan – kekhuatiran terhadap keselamatan anak remaja mereka di sekolah dan keupayaan mereka untuk bersaing dalam dunia yang semakin mencabar. Mereka bimbang tentang mendapat tempat di universiti, pekerjaan dan layanan tidak adil oleh rakan sebaya. Para remaja, sebaliknya, takut dengan apa yang sudah ada di depan mereka. Walaupun media sosial meluaskan perspektif global mereka, apa yang paling mereka fikirkan adalah lebih sempit daripada apa yang anda duga.
Tiga jenis ketakutan semula jadi mendorong reaksi para remaja. Apabila anda mengetahui ketakutan tersebut dan perkara yang paling diperlukan oleh anak remaja daripada anda, anda boleh memberikan apa yang sudah ada dalam kawalan – penawar berkekalan untuk membantu mereka mengatasi dan muncul dengan perspektif yang positif.
Ketakutan No 1: Penolakan
Siapa yang tidak mahu disenangi dan diterima? Tetapi dengan remaja, keinginan ini mengatasi segala-galanya kerana dorongan yang kuat untuk menjadi anggota suatu kumpulan. Lebih buruk lagi, di kalangan rakan sebaya, orang yang disukai adalah berdasarkan siapa yang paling tinggi dalam senarai populariti untuk hari itu, jadi penolakan sukar dielakkan. Apabila kawan terbaik Becca meninggalkannya, Becca berasa sangat kecewa. Dan apabila Aaron, yang sangat suka bersukan, tidak dapat menyertai pasukan bola keranjang, dia mahu berhenti dari segala aktiviti dan bertukar sekolah.
Penawar penolakan
Penawar kepada penolakan adalah kasih dan penerimaan tanpa syarat di rumah. Oleh kerana penolakan adalah sebahagian daripada kehidupan, mempelajari cara mengendalikannya secara positif adalah penting. Jika anak remaja anda menduduki tangga terakhir dalam senarai populariti rakan sebaya atau gagal menyertai suatu pasukan atau kelab, anda harus dengar dengan empati, dan kemudian membantunya melihat ‘gambaran keseluruhan’. “Tidak hairanlah anda berasa sedih. Ini memang menyakitkan hati. Tetapi tahukah anda? Apabila saya melihat anda, saya melihat seseorang yang istimewa – sikapmu yang suka membantu orang lain dan semangat anda untuk (isi tempat kosong). Ingat ketika anda (berkongsi cerita), dan anda tidak berputus asa? Nah, anda akan menyelesaikannya kali ini juga. Saya percaya padamu, dan saya bertuah kerana mempunyai anak sepertimu.” Dengan kasih sayang dan penerimaan tanpa syarat sedemikian, anak remaja boleh belajar untuk menerima penolakan dengan tenang dan menjadi berdaya tahan.
Ketakutan No. 2: Ketidakpastian dan ditinggalkan bersendirian
Anak remaja anda mungkin berlagak seperti tiada apa-apa yang mengganggu mereka, tetapi sebenarnya mereka sentiasa risau. Apa yang sentiasa bermain di fikiran mereka ialah persekitaran di kalangan rakan sebaya di mana hanya yang kuat akan dapat bertahan dan mereka yang berada di kedudukan tertinggi pun boleh dijatuhkan pada bila-bila masa. Itu menyebabkan dunia mereka di luar rumah menjadi bergelora, tetapi jika ditambahkan dengan ketidakpastian di rumah – seperti Maya, yang ayahnya tiba-tiba mendapat tugasan di luar negara yang panjang, atau Trevor yang ibu bapanya sedang melalui proses perceraian yang menyakitkan – akibatnya ialah ketidakpastian yang boleh melumpuhkan.
Penawar ketidakpastian
Penawar kepada ketidakpastian adalah kestabilan di rumah. Apabila anak remaja anda pulang ke rumah, mereka memerlukan suasana yang selamat dan tenang di mana mereka boleh menyusunkan pemikiran mereka akibat peristiwa yang membingungkan pada hari itu. Anda adalah tonggak dalam persekitaraan mereka yang berubah dengan pesat. Mereka perlu tahu bahawa anda bersama mereka, tidak akan meninggalkan mereka dan mengutamakan mereka daripada kerja. Maya perlu diyakinkan bahawa walaupun ayahnya berada di luar negara, ibu akan bersamanya. Trevor kadangkala berasa seperti bola ping pong yang dilantunkan antara dua rumah, tetapi dia tahu rumah ibunya adalah tempat yang selamat dan tenang untuk menyelesaikan kegawatan dan dia selalu berpeluang untuk berbincang pada bila-bila masa dia bersedia.
Tiada pengalaman yang lebih teruk daripada melalui hari yang buruk, berasa keperluan untuk bercakap tentangnya tetapi tiada sesiapa yang dipercayai untuk berbincang. Apabila kesukaran timbul di dapur anda, katalah dengan nada rendah, “Saya dapat melihat bahawa anda telah mengalami hari yang sukar. Kalau awak nak cakap, saya ada di sini.” Kemudian apabila mereka membuka mulut (lambat laun ini akan berlaku), dengarlah secara aktif. Ujarkan “Wah, saya faham mengapa anda susah hati,” atau “Beritahu saya lebih lanjut tentang itu,” dan anda akan berasa kagum dengan apa yang akan diberitahu. Memberikan teladan di mana keperibadian-mu tidak berubah, mempunyai keutamaan yang sesuai, dan yang paling penting, kehadiranmu yang mantap dalam hidup anak-anak remaja menjaminkan batu asas yang mengatasi sebarang ketidakpastian yang dihadapi oleh mereka.
Ketakutan No. 3: Menjadi sasaran
Ketakutan boleh bermaharajalela dalam kumpulan rakan sebaya yang kompetitif atau ganas. Sebarang ciri anak remaja anda yang “berlainan”, termasuk pakaian, sikap “penyendiri” atau hakikat mereka berada di sisi orang yang berasa tidak selamat yang perlu memastikan bahawa dialah orang yang paling hebat, akan menghasilkan suatu sasaran besar di belakang anak anda. Dengan kemudahan menyebarkan khabar angin melalui telefon pintar, ia bukan hanya sekadar membuli secara bersemuka. Sifat ketanpanamaan media sosial dengan akibat buruk yang sedikit – jika ada pun – bermakna sesiapa sahaja boleh mengatakan apa-apa tentang orang lain pada bila-bila masa dan berkongsinya dengan menekan satu butang, dan ia akan kekal selama-lamanya di alam semesta elektronik. Tidak ada “pembetulan,” seperti pengalaman pahit Megan selepas bekas “kawan terbaik selamanya” (BFF) mengkhianatinya untuk mendapat penerimaan sementara oleh rakan-rakan yang suka mengumpat. Remaja hari ini sentiasa takut menjadi sasaran yang seterusnya.
Penawar dijadikan sasaran
Penawar bila dijadikan sasaran ialah perspektif yang seimbang dan jaminan bahawa “kita akan mengharunginya bersama-sama”. Perkara buruk memang boleh berlaku, dan orang lain boleh berkelakuan kejam. Kedua-duanya adalah fakta kehidupan dan oleh itu, anda harus menyediakan anak remaja anda sebelum ia berlaku, jika boleh. Kongsi-lah pengalaman bila anda disasarkan. Jelaskan bahawa ramai pembuli berkelakuan sedemikian kerana mereka berasa tidak selamat, dan menjatuhkan seseorang membuatkan mereka berasa penting buat sementara waktu. Mengetahui kebenaran ini menghilangkan sedikit kepedihannya.
Jika anak remaja anda telah terluka seperti Megan, biarkan dia meluahkan perasaannya atau menangis tanpa dihakimi. Jangan tambah bahan api ke dalam api. Sebaliknya, katakan, “Beritahu saya dengan lebih lanjut” untuk mendapatkan gambaran keseluruhan. Selepas itu, hitung sampai 10. Kemudian katakan, “Tidak hairanlah anda kecewa. Saya akan kecewa jika itu berlaku kepada saya. Jadi apakah langkah anda seterusnya?” Gesaan kecil itu menggalakkan peralihan daripada hanya meluahkan perasaan kepada penyelesaian yang boleh dilaksanakan. Apabila ibunya menggunakan penawar itu, Megan mencipta taktiknya sendiri, disokong dengan persetujuan ibunya.
Keesokan paginya, Megan berjalan ke kumpulan yang mengumpatnya dan berkata terus terang, “Apa yang saya buat agak bodoh, kan? Saya tidak akan melakukannya lagi.” Dia bersikap acuh tak acuh seolah-olah itu bukan masalah besar, kemudian meneruskan perjalanannya, meninggalkan kumpulan pengumpat itu yang kini bisu. Dalam dua saat, dia telah melepaskan dirinya dari dijadikan sasaran.
Akui-lah bahawa anak remaja anda lebih bijak daripada yang anda bayangkan. Tetapi mereka masih memerlukan jaminanmu sebagai pendengar dan sandaran.
Setiap kali anak remaja anda melangkah keluar dari pintu rumah, ketiga-tiga ketakutan itu menyelubungi mereka. Oleh itu, adakah sesuatu yang mengejutkan jika mereka kadang-kadang bertindak balas terhadap tekanan tinggi itu dengan bertengkar dengan adik-beradik atau anda? Tetapi apabila anda memahami apa yang sebenarnya berlaku di sebalik sikap tersebut, anda boleh memberikan sokongan untuk perjalanan harian mereka yang bergelora di kalangan remaja lain.
© 2018 Kevin Leman. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.