Oleh Teri K. Reisser & Dr. Paul C. Reisser
Adakah rasa sakit hati atau rasa tidak puas hati terpendam dalam perkahwinan anda? Jangan biarkan ia membawa kepada perceraian pada usia tua! Inilah cara untuk mencipta dinamik hubungan perkahwinan yang sihat.
Deb dan Don* kedua-duanya berusia awal 60-an apabila Deb memaklumkan Don bahawa dia tidak mahu melakukan hubungan seks dengannya lagi.
Ini sukar diterima oleh Don.
Selama beberapa dekad, Deb telah mematuhi cara Don melakukan hubungan seks. Sebenarnya, dia telah mematuhinya dalam banyak perkara, tahun demi tahun. Ini bukan sekadar seks. Akibatnya, dia bangun pada suatu pagi dan memutuskan bahawa dia telah bosan dengan keadaan di mana dia tidak kelihatan dan tiada suara dalam hubungan itu.
Selama setahun, Don cuba menukarkan keputusannya tetapi tidak berjaya. Pada mulanya Deb tidak dapat memberitahu Don kenapa dia tidak berpuas hati. Namun begitu, dia mula mencari suaranya dalam terapi dan meluahkan perasaannya. Seperti yang diamalkannya selama beberapa dekad, Don dengan tegas menyatakan pendapatnya tentang apa yang dirasakan oleh Deb dan apa yang Deb lakukan adalah salah.
Untuk menukarkan keputusan Deb, Don berpindah keluar dari rumah dengan pengumuman bahawa dia tidak mahu hidup dalam perkahwinan tanpa seks. Deb tiba-tiba mendapati dirinya menikmati kebebasan hidup seorang diri. “Anak-anak telah berpindah keluar dari rumah”, fikirnya. “Saya hanya mempunyai beberapa tahun lagi dalam hidup ini. Jadi saya ingin mencari kebahagiaan, dan itu tidak akan berlaku dengan Don.”
Siapakah yang menghadapi risiko perceraian pada usia tua?
Bolehkah ini berlaku kepada anda dan pasangan anda? Anda mungkin ‘bergerak’ tanpa haluan yang tentu dalam apa yang kelihatannya pada zahirnya perkongsian yang stabil dan mesra. Tetapi anda mungkin sebenarnya berada dalam apa yang digelar sebagai “perkahwinan pengelap cermin depan” oleh pakar dalam pencegahan hubungan sulit, Dave Carder – perkahwinan di mana anda berdua sedang menjalankan tugas masing-masing tetapi tidak berinteraksi antara satu sama lain. Atau anda mungkin berasa terlalu sibuk dan letih untuk menangani rasa sakit hati atau ketidakpuasan hati yang tersembunyi di bawah perbualan yang sopan tetapi cetek.
Kerana Deb dan Don telah mengabaikan punca konflik mereka untuk sekian lama, tugas saya untuk membantu mereka memulihkan perkahwinan menjadi lebih sukar. Berikut adalah perkara yang anda perlu tahu untuk mewujudkan dinamik hubungan yang sihat dalam perkahwinan anda supaya tidak menghadapi situasi seperti Deb dan Don.
Mengapa perceraian berlaku bila usia sudah meningkat?
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, anda mungkin pernah mendengar ungkapan grey divorce. Ia merujuk kepada perkahwinan yang berakhir di kalangan orang yang berumur 50 tahun ke atas. Kadar perceraian dalam kumpulan ini meningkat dua kali ganda antara 1990 dan 2015, menurut artikel Pusat Penyelidikan Pew yang memetik Pusat Statistik Kesihatan Kebangsaan dan Biro Banci Amerika Syarikat. Daripada jumlah ini, 34% melibatkan perkahwinan selama 30 tahun atau lebih, dan 12% berlaku dalam perkahwinan lebih daripada 40 tahun.
Beberapa sebab dan faktor telah dicadangkan untuk perkembangan ini. Di pejabat kaunseling saya, saya telah mendengar berbagai ragam semua factor tersebut. Memahaminya boleh membantu anda mengenal pasti isu-isu dalam perkahwinan anda yang mungkin memerlukan perhatian.
Hubungan yang menjadi renggang
Sebab pertama dan paling utama pasangan bercerai bila usia sudah meningkat adalah kerana lama-kelamaan, hubungan mereka menjadi renggang. Ini disebabkan oleh pasangan yang sibuk dengan perkara harian kehidupan: kanak-kanak, kerjaya dan aktiviti sukarelawan lain.
Dalam semua bidang ini, suami dan isteri dengan mudahnya mendapati diri mereka berada di landasan hidup yang selari atau mencapah. Selepas anak-anak meninggalkan rumah, mereka sering memandang satu sama lain dan bertanya, “Kau ni siapa?”
Konflik yang tidak diselesaikan
Selain daripada hubungan renggang, dan yang jauh lebih berbahaya, adalah konflik bertahun-tahun yang tidak diselesaikan, kebencian dan kemarahan yang terpendam. Semua orang terlalu sibuk, tidak menumpukan perhatian atau terlalu letih untuk menangani perkara ini, apatah lagi menyelesaikannya. Melakukannya memerlukan tumpuan, tenaga dan keberanian yang tinggi. “Kau ni siapa?” boleh dengan mudah berubah menjadi “Saya benar-benar tidak menyukai anda, dan keadaan ini sudah berlarutan sekian lama.”
Jam yang berdetik
Sebab ketiga perceraian bila usia sudah meningkat adalah sesetengah orang dalam lingkungan umur ini mempunyai perasaan yang berterusan bahawa jumlah tahun yang bahagia sudah terhad. Pasangan yang tidak berpuas hati mungkin berkata kepada diri mereka sendiri: Saya tidak mahu menghabiskan 25 tahun terakhir dalam hidup saya dengan perasaan tidak puas hati. Dan saya tidak boleh melihat diri saya gembira dalam perkahwinan ini, dan ia akan memerlukan terlalu banyak usaha untuk menyelesaikan semua isu-isunya.
Tiga faktor tambahan juga boleh mengurangkan komitmen pasangan untuk kekal bersama selepas beberapa dekad perkahwinan:
· Kanak - kanak kini sudah dewasa dan mempunyai kehidupan mereka sendiri dan selalunya mempunyai keluarga sendiri untuk diuruskan. Satu atau kedua-dua pasangan mungkin percaya bahawa anak mereka tidak akan terjejas jika mereka bercerai. (Ini adalah tanggapan yang salah.)
· Jika jumlah harta yang terkumpul sudah mencukupi, cadangan berpisah mungkin tidak begitu berbahaya dari sudut kewangan, terutamanya jika kedua-dua pasangan mempunyai pendapatan semasa persaraan.
· Jika terdapat pihak ketiga dan pasangan tidak rela menamatkan hubungan sulit tersebut, sama ada emosi atau fizikal, tugas saya sebagai kaunselor hampir sudah bertukar menjadi pengarah pengebumian perkahwinan.
Sebab untuk berfikir dua kali sebelum bercerai bila tua
Walaupun keputusan meninggalkan perkahwinan yang tidak memuaskan mungkin nampaknya menarik, perceraian bukanlah tiket untuk mendapat kebahagiaan. Berikut ialah beberapa sebab untuk mempertimbangkan semula keputusan menandatangani surat cerai:
Perceraian pada zaman tua mewakili berakhirnya suatu tamadun
Suka atau tidak, pasti ada kesan buruk dari perceraian. Anak-anak anda, sama ada sudah dewasa atau sebaliknya, pasti akan terjejas. Keyakinan mereka terhadap idea perkahwinan akan goyah. Jen Abbas de Jong, yang menulis Generation Ex: Adult children of divorce and the healing of our pain, menjelaskannya demikian:
Jika anda hampir menyelesaikan teka-teki jigsaw sehingga hanya tinggal beberapa keping dan seseorang masuk dan membalikkan meja, mengoyakkan teka-teki anda, adakah anda berasa lebih baik atau lebih teruk kerana teka-teki itu sudah hampir selesai? Anda berasa lebih teruk, bukan? … Sebahagian sebab perceraian itu sangat menyakitkan ialah semua yang anda percaya tentang perkahwinan semasa membesar – dan yang mungkin menjadi asas perkahwinan anda – telah berubah.
Selalunya, semua hubungan keluarga menjadi lebih rumit. Apabila Atuk dan Nenek berpisah, interaksi dengan cucu mungkin akan terjejas, jika tidak musnah sama sekali. (Ini benar terutamanya jika anak-anak anda menyalahkan satu pihak kerana perpisahan itu dan membencinya.) Kehilangan hubungan anda dengan seorang atau lebih cucu adalah harga besar yang terpaksa dibayar.
Selain itu, hubungan di luar keluarga juga berubah. Menghabiskan masa dengan rakan-rakan yang anda bergaul sebagai pasangan suami isteri mungkin akan menjadi lebih janggal. Ataupun persahabatan akan terlerai sama sekali.
Rancangan kewangan mesti diatur semula
Sumber dan aset (termasuk rumah anda) yang diperolehi dengan susah payah selama beberapa dekad usaha selalunya terjejas, terutamanya selepas membayar yuran peguam.
Utamakan hubungan anda dengan betul
Berikut ialah beberapa tindakan yang saya syorkan untuk pelanggan saya untuk membantu mereka menghalang perkahwinan dari berakhir dengan perceraian:
· Pasangan anda perlu menjadi hubungan yang utama dalam hidup anda – bukan ibu bapa anda, anak-anak anda, adik-beradik anda, majikan anda, pelanggan anda, rakan anda atau seseorang yang anda temui di Facebook.
· Jangan biarkan konflik anda membara atau meletus tanpa memikirkan cara untuk menanganinya. Mempelajari cara bercakap tentang isu asas tanpa kritikan atau penghinaan ialah kemahiran yang boleh dipelajari daripada kaunselor, atau pasangan mentor yang berpengalaman.
· Kenali, dan dikenali oleh, pasangan anda. Saya menekankan kepada pelanggan saya betapa pentingnya untuk mengikuti perkembangan terkini dalam fikiran dan hati pasangan anda, dan saya secara rutin memberi mereka satu set soalan “bertanya khabar” untuk membantu proses ini. (Lihat “Membuat penilaian dengan pasangan anda untuk mengelakkan perceraian bila usia meningkat” di bawah.)
Deb dan Don tiba di pejabat saya tiga bulan selepas perpisahan mereka. Don memberitahu saya beberapa kali mengapa dia fikir pendapat Deb adalah salah. Saya dapat menerangkan kepada Don bagaimana sikap mendominasinya telah menyakitkan Deb. Kerana takut mereka akan bercerai, Don kini berusaha mendengar pendapatnya – satu langkah yang besar untuknya. Deb mungkin atau mungkin tidak bertindak balas terhadap perubahan tingkah lakunya.
Bagaimana dengan perkahwinan anda?
Jangan biarkan konflik anda membara atau meletus tanpa memikirkan cara untuk menanganinya. Sebaliknya, pelajari cara bercakap tentang isu asas dengan sikap ambil berat dan rasa hormat.
Berikut adalah berita yang sangat baik: Sama seperti gaya hidup sihat bukan sahaja mencegah penyakit tetapi juga membantu anda menikmati kehidupan sepenuhnya, maka pelbagai langkah pencegahan ini boleh menghindari perceraian dan membantu anda memupuk perkahwinan yang sangat memuaskan.
Membuat penilaian dengan pasangan anda untuk mengelakkan perceraian pada usia tua
Proses ini melibatkan usaha mendengar pasangan anda tanpa memberi sebarang maklum balas negatif, nasihat atau cara menyelesaikan masalah (kecuali pasangan anda secara khusus memintanya).
Sehubungan itu, ini adalah janji temu mingguan yang melibatkan soalan-soalan berikut:
· Apakah perkara terbaik dan terburuk yang berlaku kepada anda minggu ini?
· Bagaimanakah cara yang terbaik untuk saya memenuhi keperluan anda minggu ini?
· Bagaimanakah saya kurang memenuhi keperluan anda minggu ini?
· Apa yang anda rasa sekarang?
· Adakah terdapat sesuatu yang boleh saya lakukan secara berbeza yang akan lebih membantu kami?
· Apa yang paling anda risaukan sekarang? (Ini adalah satu-satunya soalan yang paling penting yang boleh anda tanyakan.)
· Adakah terdapat apa-apa cara saya boleh membantu anda dengan kebimbangan itu?
*Nama-nama telah ditukar untuk melindungi identiti.
© 2019 Teri Reisser. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.
Artikel yang sangat bagus. Puji Tuhan.