Kamu masih ingat malam-malam tanpa tidur, rasa pening selepas melihat dan senyuman lebarnya yang indah dan menyerikan sebuah bilik. Kamu masih ingat suatu ketika dahulu bila hanya fikiran tentang dia memegang tanganmu menyebabkan sesak nafas dan perut mual.
Di setengah negara, ia dipanggil malaria.
Dalam budaya kita, ia dipanggil cinta romantik.
Malah, beberapa tahun dahulu, dua orang doktor menyebut tentang “Liebeskummer” di Kongres Perubatan Dalaman di Wiebasden, Negara Jerman. “Liebeskummer” – sakit cinta – adalah suatu penyakit yang penuh dengan gejala fizikal.
Pada ketika ini, adakah kamu tertanya-tanya ke mana hilangnya ‘gejala-gejala’ tersebut?
Mengekalkan keterujaan emosi ‘dilamun cinta’ adalah sukar dan meletihkan. Kilaun berpacaran sering diganti dengan realiti seperti kesempitan kewangan dan kain lampin yang kotor.
Dorothy Tennov, pakar psikologi yang mengubati beribu-ribu pasangan, menyatakan bahawa cinta romantik secara purata bertahan selama tiga tahun. Adakah ini fakta yang menyedihkan? Jika benar apa yang dikatakannya, dan jika perkahwinan adalah komitmen seumur hidup, kita perlu mengubah pendekatan kita terhadap cinta romantik.
Cinta romantik hanya salah satu jenis kasih yang penting dalam perkahwinan. Jika perkahwinan diibaratkan sebagai sebuah rumah, empat jenis kasih melengkapkan rumah tersebut.
1. Batu asas rumah adalah kasih tak bersyarat. Bila agen rumah mengiklankan sebuah rumah, dia jarang mengulas tentang mutu batu asasnya. Tetapi itulah tempat pertama yang dilihat oleh pakar pemeriksa bangunan bila membuat penilaian sama ada sebuah rumah boleh bertahan lama. Kasih tak bersyarat memberi kestabilan untuk perjanjian yang berkekalan.
2. Bingkai rumah melambangkan kasih persahabatan. Komunikasi terbuka, aktiviti yang dilakukan bersama, gelak ketawa, malah air mata memberi ruang untuk cinta pasangan berkembang. Sebenarnya, pasangan berkahwin yang bahagia paling sering menggambarkan hubungan mereka sebagai persahabatan yang paling akrab.
3. Bila batu asas dan bingkai rumah siap dibina, bumbung – atau cinta romantik – ada tempat bertapak. Bumbung melambangkan cinta romantik kerana ia adalah ‘kemuncak’ pengalaman. Ia adalah kasih yang dijana oleh sifat orang yang dicintai, dan penuh dengan keterujaan. Namun demikian, perkahwinan yang berasaskan cinta romantik semata-mata adalah seperti memunggah bahan binaan bumbung ke tapak kosong dan memikirkan bahawa anda mempunyai sebuah rumah. Bila bumbung bocor, kamu tidak menyingkirkan rumahmu; kamu buat kerja pembaikan yang perlu.
4. Akhirnya, perabot yang dibawa masuk ke dalam rumah yang lengkap melambangkan kasih seksual selepas perkahwinan.
Kesemua empat jenis kasih ini perlu untuk perkahwinan anda. Tetapi dalam setengah budaya, cinta romantik telah ditinggikan sehingga mengatasi jenis kasih yang lain.
Lagu, drama dan puisi telah mendendangkan keindahan cinta romantik sepanjang sejarah. Kini filem dan iklan membuat perkara yang sama. Cinta romantik adalah serba kekurangan bila dibandingkan dengan kasih tak bersyarat yang cirinya adalah pengorbanan diri. Cinta romantik mencari apa yang boleh ia terima; sebaliknya, matlamat kasih tak bersyarat ialah pemberian kepada orang yang dikasihi.
Jika cinta romantik dalam perkahwinanmu telah pudar, pertimbangkanlah keadaanmu dengan bijak. Usahakan-lah pembaharuan cinta romantik tersebut. Adakan malam pacaran yang kerap walaupun anda perlu membayar untuk membayar pengasuh menjaga anak-anak.
Tulislah surat cinta kepada suamimu. Beli bunga ros untuk isterimu. Anda harus kreatif dalam cara menunjukkan kasih sayang kepada satu sama lain.
Buatlah satu senarai ciri-ciri pasanganmu yang pada mulanya membuat anda tertarik kepadanya. Ciri-ciri itu mungkin sudah kurang berseri, tetapi anda boleh mencarinya dengan sedikit ‘penggilapan’. Jika konflik antara anda berdua telah melenyapkan cinta romantik, carilah bantuan untuk menyelesaikan konflik.
Selepas beberapa tahun perkahwinan, Donna dan Pete sedar bahawa cinta romantik sudah hilang. Cabaran kerja, pertengkaran yang kerap dan edaran masa telah memudarkan kilauan yang pada mulanya menyinari hubungan mereka.
Mereka tidak berputus asa tetapi melihat cinta romantik dengan lebih realistik. Kemudian mereka mengorak langkah ‘membaiki bumbung’. Mereka membuat komitmen untuk berpacaran dua kali sebulan, meluangkan masa setiap hari untuk komunikasi dan berusaha menyelesaikan isu mertua yang sudah bertahun-tahun mengecewakan mereka.
‘Simtom’ cinta romantik tidak sama kuat seperti dahulu kala. Namun demikian, cinta mereka mendalam bila mereka berusaha memajukan perkahwinan mereka.
Jika kamu fikir bahawa kamu sudah putus cinta, ia mungkin kerana perkahwinan memerlukan usaha yang gigih. Ingat: lebih sukar pendakian gunung, lebih bagus pemandangannya!
Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin.
Dipetik dari Focus on the Family’s Complete Guide to the First Five Years of Marriage, diterbitkan oleh Tyndale. Hak cipta © 2006. Focus on the Family. Hak cipta terpelihara.
Mempelajari bagaimana menumpukan perhatian kepada kasih sejati oleh pasangan yang berkahwin bila mengharungi dugaan hidup adalah suatu komitmen. Sila ambil Focus on Marriage Assessment (percuma) untuk memahami kekuatan hubungan anda dan bidang yang harus dipupuk dalam setiap musim perkahwinanmu.