Oleh Carolyn Macinnes
Tim dan Sandra duduk berdekatan di ayunan mereka, berpegangan tangan. Sukar untuk mempercayai bahawa kurang daripada setahun yang lalu, mereka telah berbincang bagaimana menjual rumah mereka, membahagikan harta benda dan berkongsi hak penjagaan tiga anak mereka. Pasangan itu menjelaskan bahawa suatu penyakit biasa tetapi yang boleh dirawat hampir memusnahkan perkahwinan mereka yang bertahan kukuh selama 12 tahun.
“Saya masih ingat hari ia bermula,” kata Tim. “Saya berjalan ke dapur pada suatu pagi dan mendapati Sandy duduk di atas lantai. Dia masih memakai jubah mandi, dan matanya bengkak kerana menangis.”
Apabila Tim bertanya apa yang tidak kena, Sandra memberitahunya secara jujur bahawa dia tidak tahu. Hidup mereka baik. Mereka tidak bergelut dari segi kewangan atau menghadapi masalah dengan anak-anak. Dia tahu tiada sebab untuk menangis, namun air matanya mengalir setiap pagi sejak itu. Konsentrasinya mula terjejas juga, membawa kepada kesilapan yang hampir mengakibatkan kehilangan pekerjaan yang disukainya. Akhirnya, Tim berkeras menghendakkan dia berjumpa doktor.
“Saya memang tidak menyukai diagnosis itu,” jelas Sandra sambil menggelengkan kepalanya. “Saya menjangkakan dia akan memberi saya vitamin atau memberitahu saya supaya jangan bekerja begitu keras. Saya sama sekali tidak menjangkakan apa yang dicadangkannya.”
Selepas beberapa ujian, doktor Sandra memberitahunya bahawa dia percaya bahawa Sandra mengalami kemurungan. Dia menjelaskan bahawa badan kita perlu mengekalkan tahap stabil bahan kimia serotonin untuk berfungsi secara normal – tetapi reseptor dalam otak Sandra menghalang alirannya ke kawasan tertentu. Apabila dia mencadangkan supaya dia mencuba ubat antidepresan untuk mencetuskan penyerapan serotonin yang betul, Sandra menolak.
“Saya meninggalkan pejabatnya dengan perasaan serba salah,” kata Sandra. “Saya yakin bahawa kesengsaraan saya disebabkan oleh kekurangan iman, bukan keadaan kesihatan saya. Tetapi sebenarnya, saya tidak pasti pilihan mana yang lebih menakutkan. Saya tidak sanggup memberitahu Tim bahawa doktor telah mempersoalkan kesihatan mental saya.”
Dalam beberapa bulan berikutnya, Sandra cuba menyembunyikan rahsianya – tetapi kesedihannya terlalu meluas untuk disembunyikan. Anak-anak mereka yang ketakutan mula bertanya apa masalah yang dihadapi oleh ibu.
Sementara itu, Tim mengakui bahawa kebimbangannya bertukar kepada kekecewaan. “Saya akan bertanya berulang kali apa yang salah, tetapi dia tidak pernah memberi jawapan,” katanya. “Bukan sahaja saya bersusah hati dengan perasaan tidak berdaya, saya juga marah kerana gaya hidup yang saya bekerja keras untuk memberinya tidak cukup untuk membahagiakannya.”
“Dan semakin dia marah, semakin dia menarik diri daripada saya,” tambah Sandra. “Kemudian saya akan rasa bersalah dan semakin menarik diri darinya. Kami terus hanyut lebih jauh dari satu sama lain.”
Mengenal pasti Kemurungan
Kisah Tim dan Sandra mungkin serupa dengan banyak pasangan. Menurut Institut Kesihatan Mental Kebangsaan (NIMH), setiap tahun satu daripada lima orang dewasa di Amerika akan mengalami gangguan mental yang boleh didiagnosis. Wanita menghadapi penyakit ini dua kali lebih kerap berbanding lelaki, tetapi statistik menunjukkan bahawa lelaki sangat kurang didiagnosis kerana keengganan untuk mengakui bahawa mereka sedang bergelut dengan masalah.
Stigma dan salah tanggapan sering menghalang mereka yang mempunyai penyakit kemurungan (yang selalunya termasuk kebimbangan dan panik) daripada mendapatkan rawatan. Bagi sesetengah orang, perkataan seperti penyakit mental dan terapi masih membangkitkan imej pesakit yang memakai jaket yang menghadkan pergerakan atau watak filem neurotik yang fobia terhadap kuman, lif dan bayang-bayang mereka. Pada hakikatnya, kemurungan mungkin kurang ketara. Walaupun begitu, ia masih melemahkan dan memusnahkan mangsanya jika tidak dirawat.
Beberapa tanda utama kemurungan ialah:
• Kesedihan setiap hari
• Hilang minat dalam aktiviti yang pernah dinikmati
• Tingkah laku resah, cemas atau mudah marah
• Masalah menumpukan perhatian, memfokus atau mengingat
• Keletihan dan kelesuan yang berlebihan
• Tidur atau makan berlebihan atau terlalu sedikit
• Sakit dan kepedihan yang tidak dapat dijelaskan
• Fikiran tentang bunuh diri atau kematian
Jika anda mengenal pasti mana-mana gejala ini yang berterusan dalam pasangan selama lebih daripada beberapa minggu, jumpalah doktor keluarga anda.
Sediakan Diri Anda untuk Membantu Orang Tersayang
Pramugari penerbangan sentiasa memberitahu anda memakai topeng oksigen sendiri sebelum membantu orang di sebelah anda. Begitu juga, adalah penting untuk mempersiapkan diri sebelum cuba membantu orang lain apabila pasangan berasa murung. Kesedihan yang mendalam boleh berjangkit, dan agak biasa bagi penjaga untuk juga mengalami gejala kemurungan. Berjaga-jaga terhadap kemungkinan ini dengan pemakanan yang baik, bersenam, mendapat tidur yang cukup, dan mendalami Firman.
Pantau juga anak-anak anda. Kanak-kanak sering terpengaruh oleh kebimbangan ibu bapa. Satu kajian menunjukkan bahawa 20% daripada kanak-kanak berumur 10 tahun yang ibunya mengalami kemurungan menjadi mangsa kemurungan dalam tempoh lima tahun.
Jangan memandang remeh nilai rakan dan keluarga yang prihatin pada masa seperti ini. Biarkan orang tersayang membantu anda dengan tugasan seharian dan benarkan mereka mendengar anda. Tingkah laku yang pasti meningkatkan kesengsaraan ialah mengasingkan diri dan keluarga terdekat daripada mereka yang menyayangi anda.
Meminta Pertolongan dari Pasangan anda
Apabila penjaga memahami bahawa kemurungan klinikal sebenarnya adalah sejenis penyakit, dia mungkin berasa lebih berkuasa untuk menangani keadaan. Adalah menggalakkan untuk menyedari bahawa terdapat beberapa cara nyata untuk membantu pasangan yang tertekan:
LAKUKAN
• Bantu mereka melihat bahawa keluarga memerlukan mereka sembuh.
• Dengar; akuilah kredibiliti perasaan mereka.
• Dapatkan bantuan untuk diri sendiri dan cadangkan berjumpa kaunseling bersama mereka.
• Galakkan mereka untuk mempertimbangkan memakan ubat; penyelidikan menunjukkan bahawa 80% daripada mereka yang mengalami gangguan kemurungan boleh dirawat dengan jayanya dengan ubat-ubatan moden.
• Tunjukkan kasih sayang; galakkan mereka keluar dan melakukan aktiviti dengan anda.
JANGAN
• Buat mereka rasa bersalah kerana kesan penyakit mereka terhadap keluarga.
• Menyalahkan atau mengkritik mereka.
• Membayangkan bahawa mereka perlu bantuan kerana mereka lemah. Juga, jangan segera mengecualikan ahli keluarga lain daripada kaunseling. Kadangkala, isu hubungan yang rumit yang melibatkan beberapa ahli keluarga boleh mencetuskan kemurungan.
• Harapkan bahawa ubat akan menyelesaikan segala-galanya. Juga, jangan menolak keperluan untuk berdoa – dan mungkin terapi.
• Biarkan mereka meneruskan gaya hidup tidur berlebihan atau terlalu sedikit dan pengasingan diri.
Kesudahan yang Bahagia
Sebaik sahaja Tim dan Sandra mengatasi ketakutan dan salah tanggapan mereka tentang penyakit mental, mereka mula mendapat kaunseling setiap minggu. Sandra pun kembali berjumpa doktor. Dalam beberapa bulan, dia berasa seperti dirinya yang normal, akibat pengambilan dos rendah ubat Selective Serotonin Re-uptake Inhibitor (SSRI). Ubat itu membantu mengembalikan tahap serotoninnya kepada keseimbangan. Anak-anak mereka teruja melihat ibu tersenyum semula.
Pasangan itu, yang kini mengetuai bersama kumpulan sokongan penyakit mental, mendapati bahawa mereka boleh mengatasi kemurungan dengan kerja berpasukan, pendidikan dan empati.
“Pada masa yang paling sukar, Tim memutuskan untuk tidak berputus asa dengan saya – dan keputusan itu telah mengubah hidup kami secara radikal,” kata Sandra.
Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.