Oleh Danny Huerta
Hormat ialah unsur yang perlu dalam komunikasi dan pembetulan tingkah laku dalam sebuah keluarga. Baca selanjutnya tentang bagaimana hormat ialah salah satu dari tujuh ciri keibubapaan yang berkesan.
Keluarga saya sedang beratur untuk ‘roller coaster’ gaya lama di sebuah taman tema. Giliran kami hampir tiba dan apabila sekumpulan orang keluar dari gerabak mereka, seorang budak lelaki terlupa mengambil topinya. Topi tersebut berada di ruang kecil yang digunakan untuk menyimpan barang supaya tidak keluar ketika roller coaster bergerak. Dia berlari balik mendapatkan topi dan tiba-tiba tidak sengaja memotong jalan di depan seorang dewasa. Bila budak itu kembali ke keluarganya, ayah menampar kepala budak tersebut. Saya berasa sedih melihat keadaan ini. Ayah ini mungkin cuba mengajar anak tentang betapa pentingnya menghormati orang lain. Namun demikian, ini adalah kaedah yang berunsur tidak hormat dan tidak berkesan. Sikap menghormati melahirkan sikap hormat dan sikap biadap melahirkan sikap biadap.
Hormat ialah unsur yang perlu dalam komunikasi dan pembetulan tingkah laku dalam keluarga. Ibu bapa perlu ada berbagai jenis interaksi dengan anak-anak. Kita mengajar dan mendisiplinkan mereka. Ibu bapa yang bijaksana melayan anak-anak dengan hormat dalam semua jenis situasi. Ini membina nilai diri seorang kanak-kanak. Dan ia sebahagian penting bagaimana anak-anak belajar menghormati orang lain – terutamanya ibu bapa.
Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang berunsur hormat belajar ciri-ciri penting ini:-
Kemaafan dan kasih karunia
Dalam keluarga yang mana ahlinya saling menghormati, kanak-kanak belajar bagaimana memaafkan dan menerima kemaafan. Setiap orang, termasuk ibu bapa, melakukan kesilapan dan perlu peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan. Suasana keluarga yang penuh sikap hormat mewujudkan sikap rendah diri dan kasih karunia.
Sikap Rendah Hati yang Sejati
Kanak-kanak yang diajar sikap menghormati akan belajar bahawa orang lain adalah penting. Mereka mula berfikir tentang orang lain dan bukan hanya diri sendiri, dan sering benar-benar mengambil berat tentang orang lain.
Perhatian dan Kesabaran
Suasana keluarga yang berunsur hormat mengajar kanak-kanak menumpukan perhatian dan mendengar orang lain – menyedari bahawa apa yang orang lain katakan adalah penting. Mereka belajar menunggu giliran dan tidak berkeras mengikuti kehendak sendiri.
Garis Sempadan dan Ketegasan
Bila kanak-kanak faham kepentingan menghormati barang kepunyaan dan masa orang lain, mereka belajar menjaga barang yang dipunyai orang lain dan barang sendiri.
Kepercayaan
Keluarga yang mempunyai unsur hormat membina kepercayaan di kalangan ahlinya, iaitu asas kasih sayang. Sikap hormat mewujudkan perwatakan yang baik, iaitu kelakuan kita bila orang lain tidak melihat kita. Kepercayaan membantu membentuk aliran semula jadi empati, belas kasihan dan kemurahan hati kepada ahli-ahli keluarga.
Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Hakcipta terpelihara.