Soalan: Ketagihan pornografi suami saya sedang memusnahkannya serta perkahwinan dan keluarga kami. Para sahabat yang mengambil berat tentang kami menasihati saya menggunakan ‘kasih tegas’ dengannya. Namun demikian, saya telah membaca makalah yang menyatakan bahawa ini adalah pendekatan yang salah – dan belas kasihan dan kesabaran adalah cara yang lebih baik. Apa yang harus saya buat?
Jawaban: Konsep tough love atau ‘kasih tegas’ sudah lama wujud – dan ia juga sekian lama disalahertikan dan disalahgunakan. Masalah dengan kasih tegas selalunya berkait dengan sebab seseorang menggunakannya dan bagaimana ia dilaksanakan. Inilah hakikatnya: Kasih tegas bukanlah formula atau penyelesaian mudah untuk perasaan sakit hati yang dialami-mu. Namun demikian, ia adalah tindakan yang betul dalam setengah situasi – dan satu-satunya pilihan yang sihat – walaupun perubahan yang dibawanya bukanlah apa yang anda harapkan. Kami berbesar hati menghuraikan dengan terperinci apa itu kasih tegas, apa bukan kasih tegas dan bagaimana mempraktikkannya.
Apa bukan kasih tegas
Bila orang yang dikasihi sedang mencederakan dirinya dan orang-orang lain, kami mempunyai tiga pilihan:
· Berputus asa, mengalah dan memainkan peranan mangsa atau orang yang mengorbankan dirinya.
· Merayu, meleter, mendesak atau menjadi orang yang terlalu bergantung kepada orang lain.
· Memberikan kata dua dengan menetapkan batasan tingkah laku berasaskan kaedah kasih tegas.
Petua: Hanya pilihan ketiga ialah keputusan yang sihat. Namun demikian, untuk memahami bagaimana kasih tegas berfungsi yakni keberkesanannya – kita mesti tahu apa yang bukan kasih tegas.
Kasih tegas BUKAN perkara-perkara yang anda utamakan
Keutamaan berbeza daripada tanda-tanda amaran. Manusia memang menghadapi kekecewaan dari masa ke semasa dan ada perkara yang mudah mengjengkelkan kita. Namun demikian, situasi seperti tidak suka bagaimana pasanganmu memuatkan mesin pembasuh pinggan, tidak bersetuju dengan cara anak perempuan mengemaskan rumahnya, atau berurusan dengan rakan sekerja yang malas, marah kerana kawan melupakan hari jadi anda, berbeza pendapat bagaimana membelanjakan bonus akhir tahun bukan situasi yang sesuai dengan kaedah kasih tegas. (Situasi sebegini adalah peluang untuk mencari cara penyelesaian konflik yang sihat atau mempelajari bagaimana bertolak ansur.)
Kasih tegas BUKAN cara penyelesaian untuk segala masalah
Tingkah laku yang sangat memudaratkan adalah kompleks – dari segi puncanya, impak dan pemulihan. Isu-isu seperti penderaan (fizikal, lisan, emosi dan seksual), ketagihan, kecurangan, sikap tidak bertanggungjawab dari segi kewangan dan lain-lain lagi tidak dapat diselesaikan dengan cepat. Kasih tegas adalah salah satu pendekatan yang sesuai dalam kes-kes sebegini dan boleh menjadi bahagian yang penting dalam usaha pemulihan.
Namun demikian, setiap situasi adalah berlainan kerana setiap individu adalah berlainan. Ambillah sikap terbuka kerana kesudahannya mungkin bukan apa yang anda jangkakan.
Kasih tegas TIDAK dilaksanakan atas sebab hukuman atau membalas dendam
Jangan tersilap: Perasaan marah kerana ketidakadilan atau kezaliman adalah perasaan yang sihat. Masalah timbul apabila kita lupa bahawa kita semua melakukan kesilapan. Bila ini berlaku, kita mengalih dari sikap rendah diri kepada sikap bahawa kita lebih baik dari orang lain dan akibatnya, kasih tegas dilaksanakan kerana perasaan marah yang tidak sihat. Kita mungkin akan cuba menjatuhkan hukuman kerana kerosakan yang dilakukan oleh orang lain tanpa mempertimbangkan kebahagiaan mereka atau kesejahteraan jiwa kita. Kasih tegas tidak seharusnya diamalkan dengan sikap aku akan membalas dendam terhadap engkau kerana melukai aku.
Kasih tegas BUKAN memanipulasi atau mengawal orang lain
Tidak mengapa jika kita mengharapkan penyembuhan atau menginginkan kesejahteraan untuk semua orang yang terlibat. Tetapi manipulasi merupakan cubaan menghapuskan kebebasan memilih dan menggantikannya dengan kemahuan anda. Kasih tegas tidak dapat mengubah seseorang secara paksa, walaupun hidup mereka terancam. Kami memang tidak dapat mengawal hati atau tingkah laku orang lain.
Kasih tegas TIDAK menafikan kepentingan garis sempadan tingkah laku
Tanggapan salah yang sering berlaku ialah kasih tegas bersifat tindakan yang terlalu keras, bersikap dingin dan mengasingkan diri dari orang lain. Sesetengah orang tersangkut dengan ‘ketegasan’ dan gagal menyedari bahawa ‘kasih’ juga termasuk dalam proses tersebut. Mereka menyangka bahawa anda hanya perlu menetapkan garis sempadan tingkah laku walaupun dalam situasi yang berbahaya. Malangnya, pendekatan ini tidak berkesan dalam kes terbaik dan dalam kes terburuk, ia mendatangkan lebih banyak kemudaratan. Ya, garis sempadan tingkah laku adalah sebahagian besar kasih tegas. Namun demikian, tingkah laku yang merosakkan perlu ditangani dengan tegas – dan ini boleh dilakukan tanpa kekerasan.
Kasih tegas BUKAN mudah
Suatu lagi andaian yang salah ialah bahawa orang menggunakan kasih tegas kerana ia adalah jalan keluar yang mudah. Namun demikian, kasih tegas mungkin lebih sukar untuk orang yang melaksanakannya daripada orang yang menerimanya. Misalnya, orang yang memerlukan kasih tegas mempunyai garis sempadannya sendiri (walaupun ia tidak sihat) dan mereka biasa dengan keadaan di mana tiada orang yang mengganggunya. Sekiranya situasi semasa berubah, mereka mungkin bertindak balas dengan keras kerana cuba mengekalkan ilusi bahawa situasi adalah di bawah kawalan. Pergelutan ini akan dirasai oleh setiap orang.
Kasih tegas bukanlah suatu cara penyelesaian mudah yang akan serta merta membetulkan hidup seseorang dan membaiki kelakuannya. Sebaliknya, ia adalah rancangan yang difikirkan dengan teliti untuk jangka masa panjang dan besar kemungkinannya adalah pedih untuk kedua-dua pihak sesuatu hubungan. Kasih selalunya menyatakan kebenaran, walaupun ia sukar. Dan walaupun ia adalah tindakan yang betul, ia tidaklah mudah.
Apanya kasih tegas
Salah satu fakta tentang kasih tegas ialah ia adalah terutamanya berkaitan dengan anda – bukan tentang orang yang melakukan kesalahan. Nanti. Apa?! Bukankah matlamat kasih tegas ialah membantu orang lain menyedari kemudaratan yang mereka lakukan dan mengubah tingkah laku mereka?
Ya, tetapi satu-satunya cara untuk menggunakan kasih tegas dengan bijak – satu-satunya cara kasih tegas akan membawakan kesudahan sihat yang diharapkan – ialah menyedari siapakah diri anda. Untuk menjadi orang yang mempunyai keyakinan diri, teguh dan yang menyedari apa garis sempadan tingkah laku, keperluan dan tanggungjawab anda.
Kasih tegas adalah cara menangani tingkah laku yang benar-benar memudaratkan
Kecurangan. Pornografi. Penyalahgunaan dadah dan alkohol serta ketagihan. Penderaan emosi, lisan, fizikal, rohani dan seksual. Kemarahan yang bertindak ganas. Ketidajujuran. Sikap yang langsung tidak bertanggungjawab dalam hal kewangan. Keengganan mengakui kesilapan atau dosa. Itu adalah setengah tanda amaran yang tidak seharusnya diabaikan atau diterima semasa berpacaran, berkahwin atau memainkan peranan ibu bapa atau dalam apa-apa hubungan lain. Mereka mesti ditangani dan biasanya kasih tegas adalah jalan yang terbaik.
Kami bukannya menyatakan bahawa anda seharusnya berlagak seperti anda tiada cacat cela dan itu bukan dosa yang anda tangani. Apa yang kami maksudkan ialah anda harus telus dan berterus terang tentang kerosakan yang didatangkan kepada hubungan anda.
Kasih tegas adalah berkait dengan menambah keyakinan diri
Menjadi lebih yakin diri bermakna bahawa anda tidak perlu bergantung kepada perkenan orang lain. Walaupun dalam keadaan sukar, anda masih boleh bergerak balas dengan yakin kerana jati diri. Dalam erti kata lain, anda mempunyai kekuatan ego – kesedaran diri yang kukuh bahawa harga diri anda tidak bergantung kepada orang lain.
Kasih tegas adalah berkait dengan pembelajaran penerimaan diri
Penerimaan diri berkait rapat dengan keyakinan diri. Misalnya, setengah orang menganggap pasangan seperti mentari hidup mereka. Namun demikian, orang lain tidak dapat menjana cahaya. Mereka boleh mencerminkan sesuatu kebenaran mengenai seseorang tetapi mereka tidak dapat mencipta kebenaran tersebut. Itulah sebabnya penerimaan diri adalah sangat penting: Suatu perkahwinan yang sihat sepatutnya berkait rapat dengan keutuhan pasangan – bukannya situasi kebergantungan di mana satu atau kedua-dua pihak bertindak dengan sikap, Saya bukanlah diri saya tanpamu.
Kasih tegas adalah berkait dengan sifat berlandaskan realiti
Anda harus mempunyai pertimbangan realistik tentang dirimu dan situasi yang dihadapi. Bukan sikap terlalu menekankan sifat kerohanian atau keengganan menghadapi realiti dengan anggapan bahawa situasi akan membetulkan diri. Sebaliknya, anda bertapak atas realiti (anda memberi fokus kepada) keadaan sebenar. Kamu tidak memandang remeh kerosakan yang sedang berlaku.
Kasih tegas adalah berkait dengan pemahaman sebenar tentang garis sempadan
Kita diajar mengambil berat dan membantu orang lain. Dan kita dikehendaki membantu mereka yang menanggung beban yang amat berat (balu, anak yatim, orang miskin dan kurang upaya). Tetapi ini tidak bermakna bahawa kita seharusnya diperhambakan kepada keperluan yang dirasakan penting oleh seseorang. (Ini adalah kehendak dan keinginan yang dirasakan penting – dan bukannya kekurangan keperluan asas yang sebenarnya.) Manusia harus menangani tanggungjawab kehidupan harian diri mereka.
Kasih tegas adalah berkait dengan pengetahuan batasan dan tanggungjawab anda
Batasan peribadi adalah tempat di mana anda berakhir dan bermulanya orang lain. Batasan menentukan siapa diri anda, melindungi apa yang berharga untuk anda, menunjukkan tanggungjawab anda dan menjaga keselamatan anda. Anda mempunyai hak dan tanggungjawab menjaga kesejahteraan diri anda. Anda seharusnya bersikap jujur tentang diri anda dan apa anda boleh tangani dan sebaliknya, apa tanggungjawab anda dan sebaliknya, dan anda mungkin perlu membetulkan halatuju interaksi hubungan anda dengan orang lain.
Kasih tegas adalah berkait dengan belas kasihan tetapi bukan sebagaimana yang difikirkan oleh setengah orang
Para pengkritik kasih tegas selalu menganggap bahawa belas kasihan bermakna bahawa kita mesti bertolak ansur dengan orang yang melakukan kesalahan. Malah mereka yang terperangkap dalam hubungan yang memudaratkan mungkin percaya bahawa mereka menunjukkan belas kasihan dengan memberi satu lagi peluang kepada pesalah laku (dan banyak lagi peluang selepas setiap kesalahan). Mereka salah anggap bahawa sikap tegas akan memburukkan lagi keadaan orang yang bermasalah. Tetapi ini bukannya maksud kasih yang sebenar.
Kasih yang ikhlas bukan bermakna tidak mengendahkan kelakuan seseorang. Sebaliknya, kasih yang ikhlas berbelas kasihan terhadap kelemahan seseorang (dan kita semuanya ada kelemahan) tetapi memahami bahawa membolehkan kelakuan buruk tidak akan membantu seseorang. Kasih yang ikhlas membuat tuntutan supaya seseorang berkelakuan baik, hidup dengan bijaksana dengan sikap berterima kasih dan berkhidmat kepada orang lain. Kasih dan perkenan bukanlah perkara yang sama.
Anggaplah ketegasan sebagai kebenaran. Kasih tegas yang dilaksanakan dengan berkesan adalah kasih sejati.
Kasih tegas mengiktiraf pilihan bebas
Kita mesti membenarkan orang lain membuat pilihan dengan bebas walaupun mereka membuat pilihan yang buruk dan menerima akibatnya. Dengan cara yang sama, walaupun menyaksikan orang yang dikasihi memusnahkan hidup mereka adalah sangat menyakitkan – walaupun tindakan mereka mencederakan kita – kita mesti mengiktiraf hak mereka untuk memilih.
Kasih tegas adalah berkait dengan proses menjadi orang yang kuat
Apakah yang anda rela hilang sekiranya garis sempadan yang anda tetapkan dalam sesuatu hubungan tidak dihormati? Adakah anda rela kehilangan hubungan tersebut demi keselamatan dan kesejahteraan anda?
Adalah penting untuk memupuk kekuatan rohaniah, emosi dan fizikal. Bidang-bidang ini akan terjejas dalam sesuatu hubungan yang rosak. Dan jika penderaan rumah tangga berlaku, si pendera akan sengaja menjejaskan identiti dan kekuatan pasangan mereka.
Apakah yang anda lakukan untuk menjaga diri supaya anda tidak akan membuat keputusan yang terlalu dipengaruhi oleh emosi? Adakah anda sedang berjumpa dengan kawan yang dipercayai atau kaunselor berlesen untuk membantu anda menjadi kuat? Seseorang yang telah dilukai, diasingkan atau dipinggirkan oleh tindakan orang lain memerlukan orang yang bijaksana dan prihatin yang akan memupuk kesihatan dan keseimbangan dalam hidupnya. Kekuatanmu tidak perlu sempurna untuk membolehkan anda melaksanakan kasih tegas; kamu hanya perlu cukup kuat untuk melakukannya. Anda perlu kekuatan dalaman untuk menghadapi ribut yang bakal tiba bila anda menuntut akauntabiliti dari orang yang disayangi.
Kasih tegas adalah berkait dengan keberanian mengambil tindakan – walaupun anda berasa takut
Kasih tegas adalah berkait dengan menjaga kesejahteraan dirimu sambil mempertimbangkan kepentingan orang lain. Apabila anda memahami garis sempadan tingkah laku dan tanggungjawab anda, anda dapat berkata dengan berani, Tidak, kelakuanmu tidak boleh diterima. Anda tidak patut melayani saya (atau orang lain) sebegini. Kamu mungkin berasa takut tetapi masih cukup berani untuk mengambil tindakan yang sihat.
Inilah masanya sistem sokongan anda menjadi sangat penting. Anda memerlukan orang-orang yang menyokong keputusan anda untuk bertindak. Dan anda memerlukan pendapat mereka yang tidak berat sebelah sama ada orang yang anda kasihi sedang membuat perubahan baik yang konkrit dan berkekalan.
Langkah-langkah asas kasih tegas:
1. Pastikan bahawa anda mempunyai sistem sokongan yang baik yang termasuk kawan-kawan yang dipercayai dan kaunselor yang berlesen.
2. Kamu harus menguatkan dirimu untuk menghadapi tingkah laku yang memudaratkan. (Anda akan memerlukan kekuatan tersebut untuk meneruskan komitmen terhadap kasih tegas walaupun kesudahannya bukan apa yang anda harapkan.)
3. Anda harus bersikap jujur dengan dirimu sama ada anda sedang membantu atau saling bergantung dengan pesalah laku dan bagaimana anda harus berubah supaya anda dapat menggunakan kasih tegas dengan berkesan. (Berundinglah dengan kaunselor yang bertauliah.)
4. Buatlah keputusan terlebih awal apa yang tindakan yang anda inginkan dari orang lain. Tuliskannya. Sekiranya anda terpaksa menanggung sesuatu akibat, suatu rancangan yang sudah ditetapkan akan mengurangkan tekanan kerana anda tidak perlu berfikir dengan cepat.
5. Beritahulah orang lain dengan jelas bagaimana tindakan mereka memudaratkan. Gunakan perkataan ‘saya’ bila menerangkan garis sempadan anda dengan jelas, jujur dan dengan sikap hormat. Jelaskan apa langkah-langkah yang mesti diambil untuk mengubah tingkah laku mereka – dan akibatnya jika perubahan yang diharapkan tidak berlaku.
6. Berhenti seketika dan perhatikan tindak balas orang lain dalam bentuk tindakan yang diambil. Jangan mengejarnya, menekan, merayu, menghinakan diri, memanipulasi atau menuntut pematuhan. Sebaliknya, biarkan orang tersebut membuat keputusan sama ada dia akan bertanggungjawab atas apa yang boleh dikawalnya.
7. Terima-lah pilihan bebas orang lain dan jawaban mereka (dalam bentuk tindakan yang diambil) – sama ada jawaban (atau tindakan) itu adalah apa yang diharapkan.
8. Tuntutlah akauntabiliti dari orang lain dari segi akibat yang anda sudah nyatakan terlebih awal.
Melihat kasih tegas dengan lebih dekat
Suami Sarena*, Nick*, mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain – dan Sarena tahu bahawa kasih tegas adalah diperlukan. Beliau menyatakan apa yang mesti dibuat: Nick mesti menamatkan hubungan sulit tersebut dan sebarang perhubungan dengan wanita tersebut dan mendapat kaunseling. Apakah yang akan berlaku sekiranya Nick enggan berbuat sedemikian? Dia mesti meninggalkan rumah. Ya, Nick terus berkata, saya sudah tamatkan hubungan sulit itu. Namun demikian, Sarena mendapati bahawa ini tidak benar dan beliau telah menukar kunci rumah mereka.
Walaupun keputusan tersebut memedihkan, Sarena telah menghasilkan akibat yang telah dinyatakan terlebih dahulu kepada Nick. Ia bukannya mudah; beliau percaya pada Nick bila dia memberitahunya bahawa hubungan sulit tersebut telah berakhir. Namun demikian, kaunselor Sarena mengingatinya bahawa kata-kata sahaja tidak boleh diambil kira; apa yang penting adalah tindakan yang diambil. Dan apabila dia ‘mendengar’ tingkah laku Nick, dia menyedari bahawa ia bukanlah seperti yang diberitahu kepadanya. Oleh itu, dia mengambil tindakan susulan dengan akibat yang dijanjikan – dan komitmennnya terhadap kasih tegas. Tindakan sebagai balasan kepada sesuatu tindakan adalah penting dalam pelaksanaan kasih tegas.
Sebagai penjelasan, kasih tegas bukanlah bertindak balas dengan cara yang sama dengan salah laku. Dalam kata lain, anda tidak melayan seseorang dengan cara mereka melayani anda. (Ingat, kasih tegas bukan hukuman atau membalas dendam; ia adalah berkaitan dengan garis sempadan tingkah laku.) Sebaliknya, anda mengambil tindakan susulan yang telah dirancang terlebih dahulu (akibat) sebagai tindak balas terhadap kelakuan (pilihan) orang lain.
Kasih tegas adalah umpama permainan dam. Apakah gerakan permainanmu? Dalam kes Nick dan Sarena, Nick telah membuat ‘gerakan’ (iaitu tidak mengubah kelakuannya). Walaupun dia tidak melakukan apa yang dikehendaki tetapi Sarena bertindak bijak dengan tidak merayu untuk perubahan. Sebaliknya, Sarena melakukan gerakannya dengan tenang untuk menghindarinya dari memasuki rumah seperti yang dinyatakan terlebih dahulu.
Anda mesti dapat melihat bahawa orang yang dikasihi mengambil langkah yang perlu untuk disembuhkan – bukannya semata-mata percaya pada janji bahawa mereka tidak akan melakukannya lagi. Niat yang baik tidak penting jika tidak disertai dengan tindakan.
Ini adalah penting dalam kes penderaan fizikal atau emosi dalam sesuatu hubungan. Pendekatan yang proaktif tidak bermaksud bahawa langkah yang betul adalah menghalau pesalah laku dengan segera dari rumah. Mungkin ia adalah Jika saya tidak melihat perubahan, saya akan berjumpa dengan kaunselor – atau memanggil pihak polis.
Walau bagaimanapun, anda harus mengambil langkah-langkah berjaga-jaga tambahan untuk melindungi dirimu dan anak-anak sekiranya anda berada dalam suatu hubungan yang bersifat penderaan. Buatlah panggilan telefon 999 sekiranya anda berada dalam keadaan berbahaya.
Akauntabiliti juga penting
Melarikan diri ke arah kesihatan adalah istilah yang digunakan dalam profesion kaunseling untuk menggambarkan ‘pemulihan’ mendadak seseorang yang enggan berusaha untuk pemulihan jangka panjang. Misalnya seorang penagih alkohol mungkin berkata, saya sudah tidak mabuk selama dua minggu dan oleh itu, saya harus dibenarkan pulang ke rumah. Sebenarnya, mereka menipu diri mereka (dan orang lain) untuk menganggap bahawa terdapat penyelesaian yang mudah untuk masalah yang sudah berakar umbi dengan mendalam.
Adalah mudah untuk mengatakan bahawa keadaan telah bertambah baik. Tetapi anda mesti dapat melihat bukti perubahan yang sebenar ke arah penyembuhan. Kasih tegas tidak boleh bersifat lemah. Pesalah laku mungkin berkata, Berilah saya sedikit penghargaan! Saya sudah jarang melakukan ‘xyz’! Walaupun demikian, tingkah laku mereka masih tidak boleh diterima. Anda telah menetapkan batasan tingkah laku. Anda telah memberitahu orang yang disayangi, Ini tidak boleh diterima. Ia mesti berakhir dan jika tidak, akibat buruk akan menyusul. Pertimbangkanlah semula garis sempadan peribadi anda. Jika orang lain dalam hubungan itu berkeras dalam pilihan mereka tanpa menghiraukan garis sempadan yang telah ditetapkan, anda terpaksa memilih: Sama ada menuntut akauntabiliti untuk kelakuan mereka, atau jangan ambil peduli tingkah laku mereka dan kekalkan status quo. Perlu diingati bahawa pilihan kedua tidak akan membantu sesiapa dan mungkin merupakan tanda kebergantungan bersama (motivasi yang bercelaru untuk membantu).
Kasih tegas dalam perkahwinan mungkin memerlukan pencetusan krisis
Kami tidak menyarankan anda memburukkan keadaan. Sebaliknya, anda mesti memberi motivasi kepada pasangan anda untuk mengakui masalahnya dan bersetuju untuk dirawati. Katakan sesuatu seperti Kamu mesti mengakui masalahmu dan bersetuju menerima pertolongan yang perlu atau kamu mesti mencari tempat tinggal yang lain sehingga masa anda bersedia untuk bekerjasama.
Bukan sekadar tidak membenarkan seseorang pulang ke rumah, anda perlu berpisah dengannya secara terapeutik. Perpisahan terapeutik ialah perpisahan rasmi yang mempunyai garis sempadan yang jelas dan khusus mengenai hubungan sulit, kaunseling professional, keintiman seksual, peraturan komunikasi, susunan hidup, anak-anak dan kedudukan kewangan. Perceraian bukanlah matlamatnya; anda hanya mahu menghapuskan penafian realiti.
Jika perpisahan diperlukan, dapatkan nasihat guaman yang bijak. Keadaan yang paling baik ialah pasangan anda keluar dari rumah. Namun demikian, jika dia tidak bersetuju, anda mungkin terpaksa berpindah bersama-sama dengan anak-anak. Jika ini berlaku, pastikan bahawa anda mempunyai sistem sokongan dan tempat tinggal. (Buatkan rancangan, sediakan sumber kewangan dan buat persediaan terlebih dahulu supaya anda tidak payah bertindak balas terhadap kelakuannya dan berpindah dengan tergopoh-gapah.)
Beritahu pasanganmu bagaimana dia dapat berhubung dengan anda dan jelaskan kepadanya bahawa anda akan menyambung semula rundingan jika dia rela bekerjasama.
Perpisahan terapeutik mungkin apa yang diperlukan untuk mendorong mereka mengakui betapa seriusnya keadaan semasa. Seperti yang sudah kami nyatakan, perhatikan kelakuannya. Kerapkali pasangan akan menabur janji-janji manis supaya dibenarkan pulang ke rumah tetapi kata-kata tidak sama dengan perubahan tingkah laku.
AMBIL PERHATIAN: Perpisahan terapeutik semasa krisis berbeza dari beberapa segi dari perpisahan untuk tujuan pemulihan. Dalam kes perpisahan untuk tujuan pemulihan, terdapat andaian bahawa kedua-dua pasangan berniat untuk memulihkan perkahwinan mereka – dan ini tidak selalu begitu bila seorang pasangan sedang terjebak dalam kelakuan yang memudaratkan.
Bagaimana kasih tegas berfungsi
Kami tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menggambarkan secara terperinci semua situasi yang memerlukan kasih tegas. Dan usaha mencari kemajuan memerlukan khidmat seorang kaunselor berlesen yang pakar dalam bidang ini untuk mengenal pasti isu-isu yang tersirat dan corak hubungan yang mencetuskan kemelut ini.
Namun demikian, kami ingin menyentuh dengan ringkas dua hubungan yang selalunya akan mendapat manfaat dari kasih tegas: perkahwinan dan penjagaan membimbing anak-anak yang sudah dewasa.
Kasih tegas dalam perkahwinan
Kasih tegas memang merupakan pendekatan yang betul jika pasangan anda terjebak dengan pornografi dan enggan berubah. Penagihannya tidak menghormati-mu, menghina janji-janji yang dibuat bila berkahwin, dan menyakitkan hati semua anggota keluarga.
1. Pertimbangkanlah apa garis sempadan tingkah laku yang boleh diterima oleh anda. Bincang dengan sistem sokongan anda bagaimana anda akan menjaga dirimu semasa proses ini.
2. Bentukkan suatu rancangan bagaimana anda akan mendekati isu ini. (Ingat: Suatu rancangan yang dibentuk terlebih dahulu akan menghindari anda daripada bertindak balas berlandaskan emosi semata-mata.)
3. Tetapkan masa untuk memberitahu suami anda pendapat anda mengenai isu ini dan apa perubahan yang dikehendaki olehmu – perubahan yang anda harapkan – dan akibatnya jika dia memilih untuk tidak mematuhi keputusan anda. Misalnya:
· Penglibatanmu dalam pornografi menghindari keintiman sejati dalam perkahwinan kita, ia memalukan saya dan memberi teladan yang buruk kepada anak-anak.
· Saya mahu kamu berhenti menggunakan pornografi.
· Saya mahu melihat anda memadamkan segala yang tidak baik dari semua peranti.
· Mulai sekarang, saya akan diberi akses kepada semua peranti dan kata laluan mereka.
· Anda akan mendapat kaunseling.
· Sekiranya anda enggan mengambil langkah-langkah ini, anda perlu mencari tempat tinggal yang lain sehingga anda membuat keputusan tentang masa depan kita.
· Anda diberi tempoh satu hari untuk mengendalikan peranti-peranti anda. Dan satu minggu untuk mula mendapat kaunseling. Tiada kompromi. Tindakan anda akan menjadi jawabanmu.
4. Tunggu, perhatikan dan tuntut akauntabiliti dari pasangmu untuk tindakan yang telah dipersetujui. Teruskan dengan keputusanmu, minta kebijaksanaan dan kekuatan dari Tuhan dan terus berhubung dengan sistem sokongan anda.
Kasih tegas dalam bimbingan anak yang telah dewasa
Apabila anak anda semakin membesar, corak hubungan anda berdua harus bertukar dari ibu bapa-anak kepada orang dewasa dengan orang dewasa. Mereka bukan sekadar anak kecil yang telah dewasa tetapi merupakan anak lelaki atau perempuan dewasa. Mereka seolah-olah telah menjadi rakan sebaya anda. Namun demikian, memang sukar menghapuskan sentimen saya akan selalu merupakan ibu / bapa anda. Itulah sebabnya melihat anak lelaki atau perempuan anda bergelut – dan memilih supaya tidak menyelamatkan mereka – adalah keputusan yang menyakitkan.
Mungkin mereka mempunyai masalah dengan dadah atau alkohol. Mungkin mereka meminta duit atau bantuan untuk masalah dengan pihak berkuasa. Mungkin mereka enggan menerima nasihat anda tetapi selalu meminta anda menyelesaikan masalah untuk mereka. Mungkin mereka telah memilih gaya hidup yang akan memusnahkan mereka. Mungkin mereka menggunakan cucu anda sebagai ‘perisai’ atau ‘alat rundingan’, melumpuhkan dan menghindari-mu dari mengambil tindakan yang betul kerana bimbang memudaratkan cucu.
Ini memang menyakitkan. Dan ia pedih kerana anda sayang anak-anak anda. Namun demikian, kasihmu untuk mereka – dan hati anda yang baik yang mahukan yang terbaik untuk mereka – boleh diperalatkan. Memilih kasih tegas akan melindungi hati anda supaya tidak tertipu. Memilih kasih tegas tidak bermakna anda tidak mengasihi mereka; ia bermakna kasihmu tidak dapat digunakan sebagai senjata terhadap anda.
Dengan mengikuti langkah-langkah asas yang telah digambarkan di atas, mari kita lihat bagaimana melaksanakan kasih tegas terhadap anak lelaki dewasa yang enggan mencari kerja.
· Kami sayang padamu dan anda akan sentiasa menjadi anak kami. Tetapi anda sekarang sudah dewasa dan mesti mendapat pekerjaan supaya anda dapat mencapai potensi anda dengan sepenuhnya.
· Seorang lelaki sejati boleh berdikari. Dia tahu bagaimana bekerja dengan orang lain dan dia tidak bergantung kepada orang lain untuk kebajikannnya.
· Kami tidak akan membayar bil anda lagi.
· Kamu akan mula membayar sewa kepada kami.
· Jika anda enggan mencari kerja, anda mesti mencari tempat tinggal yang lain, dan anda akan bertanggungjawab untuk sebarang bayaran lewat dan pemungut bil.
Bagaimana dengan anak yang menyalahgunakan dadah atau alkohol?
· Pilihanmu untuk menyalahgunakan dadah dan alkohol memudaratkan anda dan keluarga.
· Kami mahu melihat anda membuang kesemua botol dan pil.
· Kami akan mendapatkan rakan untuk anda bagi tujuan akauntabiliti dan kami akan memintanya pada bila-bila masa untuk meneliti keadaanmu dan membuat carian di tempat tinggal anda.
· Anda diberi tempoh satu minggu untuk pergi ke program pemulihan atau kami akan mencari program untukmu.
· Sekiranya anda enggan mengambil langkah-langkah ini, anda akan bertanggungjawab terhadap apa-apa akibat buruk dari segi undang-undang, kesihatan atau kewangan. Anda tidak akan dibenarkan kembali bersama kami.
Tiada ibu bapa yang mahu menghalau anak-anak mereka dari rumah, tetapi ini mungkin merupakan tindakan yang paling penyayang.
Bagaimana kalau kasih tegas tidak berkesan?
Kasih tegas bukanlah suatu formula. Walaupun terdapat keadaan yang paling baik, doa bersungguh-sungguh dari keluarga dan para sahabat, atau nasihat yang paling bijak dari pakar terapi yang terlatih, pesalah laku adalah satu-satunya orang yang boleh memilih untuk berubah.
Ya, kita akan sentiasa mengasihi mereka dan berdoa untuk pemulihan. Dan ya, kita berharap mereka akan sedar bahawa gaya hidup mereka berbahaya dan akan memilih untuk berubah. Tetapi apa yang boleh dibuat jika mereka enggan berbuat demikian? Adakah ini bermakna bahawa kasih tegas telah gagal – atau kita telah gagal? Tidak sama sekali.
Kasih tegas selalunya berkesan dalam erti kata bahawa ia memberikan kita sesuatu cara bertindak balas yang jelas dari orang lain, dan ini bermakna bahawa kita tidak lagi berada dalam keadaan kebuntuan. Dalam kata lain, kita menjadi lebih yakin tentang diri kita dan kita tidak ragu-ragu tentang pendirian orang lain. Malangnya ini tidak menjaminkan kesudahan yang bahagia.
Salah satu keadaan yang paling memedihkan ialah apabila orang yang dikasihi memilih gaya hidup yang memudaratkan walaupun kita sudah cuba sedaya upaya untuk membantunya. Ia menyakitkan hati. Ia sukar diterima, dan itulah sebabnya kita mahu memberi peluang kedua (ketiga, keempat – kesepuluh) – walaupun kita tahu dengan mendalam bahawa memberi peluang berulang kali tidak berkesan.
Itulah sebabnya keyakinan diri dan kesedaran tentang identiti kita sendiri amat penting. Sekiranya anda percaya bahawa nilai diri anda adalah berdasarkan penerimaan orang lain, anda akan mengambil tindakan yang tidak berkesan. Walaupun penolakan dari orang lain mungkin sangat memedihkan, satu-satunya pilihan anda untuk masa depan yang sihat ialah kesedaran bahawa anda bernilai tidak kira apa yang mereka kata atau buat.
Walau apa pun, tabahkan hati anda. Berpegang teguh kepada garis sempadan yang anda tetapkan, jaga dirimu, dan berhubung rapat dengan sistem sokongan anda.
Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan kebenaran.