Soalan: Apakah penyelidikan memberitahu kita tentang keperibadian bayi baru lahir?
Jawapan: Salah satu kajian terbesar yang pernah dijalankan memakan masa tiga dekad. Kajian tersebut diberi nama New York Longitudinal Study dalam kertas kajian para sarjana dan diketuai oleh pakar psikologi Stella Chess dan Alexander Thomas.
Chess dan Thomas mencatatkan kesimpulan mereka dalam buku berjudul Know Your Child, yang ditujukan kepada para ibu bapa. Mereka mendapati bahawa bayi yang baru dilahirkan bukan sahaja berbeza secara ketara, tetapi perbezaan tersebut cenderung untuk kekal sepanjang zaman kanak-kanak.
Lebih menarik lagi, mereka memerhati bahawa ada tiga golongan besar atau corak perangai untuk mengklasifikasikan kebanyakan kanak-kanak. Golongan pertama ialah ‘kanak-kanak yang sukar ditangani’. Sifat semulajadi mereka ialah reaksi negatif terhadap orang lain, perubahan ‘angin’ yang sengit, corak tidur dan pemakanan yang tidak teratur, selalu menangis dan ‘buat perangai’ dengan ganas bila marah.
Bukankah ini keadaan yang biasa? Beberapa tahun dahulu, saya menggambarkan mereka sebagai kanak-kanak yang mempunyai ‘keazaman tegas’.
Golongan kedua dipanggil ‘kanak-kanak mesra’ yang menunjukkan pendekatan positif terhadap orang lain, mudah menyesuaikan diri kepada persekitaran baru, mempunyai masa tidur dan makan yang tetap dan rela mematuhi peraturan. Chess dan Thomas membuat kesimpulan bahawa anak-anak sedemikian selalu membahagiakan ibu bapa, doktor pediatrik dan guru-guru mereka.
Saya memberi istilah ‘pematuh’ kepada kanak-kanak sedemikian.
Golongan ketiga diberi gelaran ‘lambat panas’ atau ‘pemalu’. Kanak-kanak ini bertindak balas secara negatif terhadap situasi yang baru, dan menyesuaikan diri dengan perlahan. Namun demikian, mereka jarang bersikap keterlaluan seperti kanak-kanak yang sukar ditangani dan biasanya masa tidur dan makan adalah teratur. Bila mereka susah hati atau kecewa, mereka biasanya berundur dari situasi yang mengecewakan dan tindak balas mereka adalah sederhana (dan bukan menjadi marah atau memberontak).
Sudah tentu, bukan setiap kanak-kanak yang termasuk dalam salah satu kategori yang disebutkan di atas, tetapi klasifikasi tersebut boleh diguna pakai oleh lebih kurang 65% kanak-kanak. Chess dan Thomas juga menekankan bahawa bayi adalah manusia yang lengkap bila dilahirkan, boleh menjalinkan hubungan dengan ibu bapa dan belajar daripada persekitaran. Saya yakin bahawa ini bukan berita mengejutkan untuk kebanyakan ibu, yang memang tidak percaya kepada teori blank slate yakni manusia umpama batu tulis kosong tanpa kandungan mental dan oleh itu, kesemua pengetahuan datangnya dari pengalaman dan persepsi.
Bukan sukar memahami mengapa kesimpulan yang dibuat oleh penyelidikan itu (yang memakan masa yang sangat panjang) telah menaikkan semangat saya. Ia mengesahkan pemerhatian saya sebagai seorang doktor, bukan hanya tentang hakikat bahawa manusia adalah sangat kompleks dalam cara yang menakjubkan tetapi tentang kategori perangai yang dikenal pasti oleh Chess dan Thomas
Rencana ini dipetik dengan izin dari Complete Family and Marriage Home Reference Guide.
Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin.