Komitmen dan kesetiaan adalah asas perkahwinan yang berkembang maju dan bertahan lama; hormatilah perkahwinan anda dan anda akan menerima pahala dalam bentuk keselamatan, kestabilan dan kepuasan hidup.
Apabila dua orang menyatakan bahawa mereka bersikap komited terhadap perkahwinan seumur hidup, mereka berikrar bahawa perkahwinan mereka adalah keutamaan dalam hidup dan mereka akan berbuat apa sahaja untuk menjayakannya. Pasangan yang sihat percaya bahawa perkahwinan adalah kekal dan perceraian bukan pilihan yang betul. Mereka mengharapkan masa depan yang cerah, saling mencintai dan melaburkan masa dan usaha dalam hubungan mereka. Dalam perkahwinan yang sihat, para pasangan menjangka bahawa mereka akan menghadapi cabaran bersama-sama dan rela melepaskan hak peribadi untuk menjayakan perkahwinan mereka. Bagaimana ini dapat dilaksanakan dalam kehidupan seharian? Marilah kita perhatikannya dengan lebih teliti.
Perkahwinan adalah anugerah yang tidak ternilai
Komitmen seumur hidup mencerminkan dan berkembang dari kesedaran bahawa perkahwinan adalah hadiah yang tidak ternilai yang harus dinikmati dalam kekekalan yang selamat. Pasangan yang kekal bersama untuk jangka masa panjang faham bahawa perkahwinan bukan sekadar perkongsian kontrak atau hubungan seksual antara dua orang; ia adalah penyatuan yang suci dan penuh takzim antara dua jiwa yang mencapai kesempurnaan dalam hubungan satu sama lain.
Cinta adalah suatu keputusan
Komitmen seumur hidup bermakna bahawa anda mencintai pasanganmu sehingga sanggup membuat keputusan untuk kekal berkahwin sehingga ‘maut memisahkan kita’. Dalam kata lain, perceraian bukanlah suatu pilihan. Kadangkala, suami isteri perlu membuat keputusan untuk mencintai – walaupun mereka berasa kurang rela. Perkataan ‘keputusan’ datang dari kata dasar ‘putus’. Anda tidak dapat membuat komitmen tanpa memutuskan segala pilihan lain yang bersaing dengan apa yang paling penting.
Bakarlah kapal-kapal (yakni hapuskan pilihan lain)! Ungkapan ini merujuk kepada salah satu peristiwa yang paling dramatik dalam sejarah penaklukan benua Amerika oleh pihak Sepanyol. Pada tahun 1519, si penakluk Hernando Cortés mendarat di pantai Yucatan di Mexico, dan berazam untuk merampas harta khazanah orang Aztec. Dia sedar bahawa dia dan tenteranya menghadapi rintangan yang amat besar dan oleh itu, dia telah menukar sifat kempen penaklukan dengan memberi arahan untuk ‘membakar kapal-kapal’. Dengan ketiadaan jalan keluar atau pilihan lain, tenteranya terpaksa terus mara ke depan.
Para pasangan yang mempunyai perkahwinan yang berjaya telah ‘membakar kapal-kapal mereka’ dengan menghapuskan perkataan ‘perceraian’ dari perbendaharaan kata mereka. Secara ringkasnya, ia berkait dengan komitmen (walaupun komitmen bukanlah tugasan yang mudah). Oleh itu, hapuskanlah pilihan untuk bercerai kerana melarikan diri dari masalah adalah mudah sekiranya anda masih mempunyai pilihan tersebut.
Anda suka hubungan perkahwinan-mu
Satu lagi aspek komitmen seumur hidup ialah anda mampu berkata, “Saya memang suka hubungan ini dan mahunya kekal berpanjangan. Dan untuk memastikan perkahwinan anda berpanjangan, anda mesti memberikannya kemuliaan dan penghormatan yang tertinggi.
Membuat keputusan untuk kekal tinggal bersama adalah salah satu cara untuk memuliakan perkahwinan anda. Namun demikian, penghormatan dan komitmen juga melibatkan emosi dan perasaan. Sekiranya anda dapat berkata, “Saya menghargai dan suka perkahwinan ini” dan benar-benar serius, anda sedang menuju ke arah membina hubungan yang akan berkekalan. Berikut adalah beberapa jawaban yang diberi oleh peserta seminar perkahwinan tentang persoalan “Apakah yang anda suka tentang perkahwinan anda?”
· Bersantai dan ketawa bersama-sama.
· Sinergi – 1 + 1 =3
· Nilai-nilai yang dikongsi bersama
· Membesarkan anak-anak kita (sebagai sebuah pasukan)
· ‘Mencipta’ kenangan
· Saya mempunyai orang untuk meraikan bersama
· Berkongsi keintiman yang paling mendalam
· Seks
· Bersama-sama berkhidmat kepada masyarakat
· Mencintai dan dicintai
· Berkahwin dengan sahabat saya yang paling akrab
· Bersama-sama mengalami pasang surut kehidupan (suatu pengembaraan yang mengujakan)
Kamu mengambil tindakan
Akhir sekali tetapi tidak kurang pentingnya, komitmen bukan sekadar ‘membuat keputusan’ (kehendak) atau ‘menyukai’ hubungan perkahwinan (perasaan). Sebaliknya, komitmen adalah terutamanya berkait dengan mengambil tindakan aktif untuk memupuk perkahwinan anda. Anda tidak hanya bercakap (cakap sahaja tetapi tiada tindakan); anda menunjukkan betapa pentingnya perkahwinan anda dengan melaburkan masa dan wang ringgit secara proaktif untuk memajukannya. Semasa musim yang mencabar, anda berjuang untuk perkahwinan anda. Pada setiap musim, anda menunjukkan bahawa anda rela untuk membuat apa sahaja untuk mengekalkan keutuhan hubungan tersebut.
Mempraktikkannya
Kajian telah menunjukkan bahawa komitmen terhadap perkahwinan menghasilkan hubungan yang memuaskan dalam kesemua segi. Kaum wanita memberi sambutan yang baik bila mereka tahu bahawa suami sanggup mengenepikan ego kerana isteri. Kaum lelaki teragak-agak untuk melaburkan masa dan tenaga melainkan mereka tahu bahawa akan terdapat ganjaran. Salah seorang penyelidik membuat kesimpulan bahawa “seorang lelaki akan berusaha bersungguh-sungguh untuk seorang wanita bila dia telah memutuskan bahawa, Dia masa depanku.”
Bagaimanakah anda boleh membuat konsep ini jadi realiti dan praktikal untuk kehidupan harian? Anda boleh bermula dengan aktiviti Malam Berpacaran yang menimbulkan keterujaan dan rangsangan dari komitmen bersama. Fikirkan beberapa aktiviti yang tidak akan berjaya melainkan anda berdua memutuskan terlebih dahulu untuk melakukannya sampai tahap terakhir. Misalnya aktiviti menari – memang perlu ‘dua orang untuk menari’ – tetapi terdapat permainan dan aktiviti sukan yang lain – contohnya tenis, badminton dan aktiviti pendakian – yang mungkin sesuai. Projek seni juga boleh memenuhi keperluan ini.
Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin.