Oleh Michelle Habel
Pornografi boleh menjadi pengganti yang tidak sihat untuk hubungan seks dengan pasangan, tetapi selalunya ia merupakan gejala isu yang lebih mendalam dan cara untuk mengatasi kepedihan yang belum diselesaikan. Penonton pornografi mungkin sedang cuba mengelakkan keintiman sebenar.
Apabila Bill pulang dari kerja, dia hairan kerana dia tidak mendengar anak-anaknya atau televisyen. Dia membelok di tepi tembok lalu masuk ke dalam rumahnya dan mendapati isterinya, Karen, sedang duduk di kerusi pejabatnya dan merenung ke arahnya dengan marah. Kulitnya rasa seperti tercucuk-cucuk.
“Mana anak-anak?” dia bertanya.
“Saya bawa mereka ke rumah ibu bapa saya. Saya perlu bercakap dengan awak dan saya tidak mahu mereka di sini untuk mendengar perbualan ini.”
Mulut Bill menjadi kering dan dia mendapati sukar untuk menelan. Matanya bertemu dengan mata Karen sambil dia menyambung, “Saya menjumpai pornografi anda dalam komputer anda dan saya mahu anda keluar rumah dengan segera.”
Kerongkong Bill terasa ketat, dan dia tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas. Dia memejamkan matanya dan cuba mengingati laman web lucah terbaru yang dilihatnya. Dia berasa mual apabila dia membayangkan Karen melihat imej-imej itu di komputernya.
Air mata panas kerana malu mengalir di pipinya ketika dia jatuh melutut. “Tolong,” dia berbisik, “Saya akan lakukan apa sahaja. Tolong jangan paksa saya pergi.”
Dia merenung wajah isterinya untuk tanda harapan, tetapi Karen mengalihkan pandangan kerana marah. Keadaan hidupnya jika berpisah dengan Karen dan anak-anak terlintas di fikirannya dan menyebabkan hatinya berdegup-degup di dada.
“Saya berasa sangat malu,” kata Bill dan dia mula tersedu-sedan dan menutup mukanya dengan tangannya.
Akhirnya, dia mendengar soalan Karen, "Sudi-kah kau pergi ke kaunseling dengan saya?"
Bill mendongak. “Ya!” katanya, terdesak untuk harapan. “Saya akan lakukan apa sahaja.”
Bill faham dan tahu bahawa dia telah berlaku curang secara emosi kepada Karen. Rasa tidak selamatnya yang mendalam telah menyebabkan dia mencipta dinding dalam perkahwinannya dengan Karen yang menghalang mereka daripada menjadi terlalu rapat. Dia telah mengelakkan hubungan intim dengan Karen selama bertahun-tahun. Pornografi telah menjadi pengganti seks. Bill tahu bahawa ia adalah masalah, tetapi ia bukan satu-satunya masalah yang dihadapinya. Pornografi adalah gejala isu yang lebih mendalam, dan menggunakannya adalah cara yang dipilihnya untuk mengubati kesakitan emosi yang belum diselesaikan.
Mengelakkan keintiman
Pornografi hanyalah satu cara Bill menyekat hubungan yang mendalam dengan Karen. Tingkah lakunya secara tidak sedar adalah berdasarkan ketakutan dan keperluan untuk keselesaan. Sebahagian daripadanya mendambakan keakraban, tetapi dia takut memerlukan seseorang. Bill telah menutup bahagian dirinya yang lemah, menguburkan keinginannya untuk keintiman emosi dan mengasingkan dirinya kerana cuba melindungi dirinya.
Jika Karen cuba bercakap dengannya, dia akan menolak dengan menyalahkan, memanipulasi, mengkritik atau menarik diri daripadanya. Dia tidak mempercayai Karen dan, oleh itu, dia tidak sanggup mengambil risiko mendedahkan hati kepadanya. Dia beralih kepada pornografi sebagai pengganti mengambil risiko penolakan atau kritikan dari Karen. Pornografi lebih mudah. Bill tidak perlu mempertaruhkan ego atau hatinya untuk memenuhi keperluan asas fizikalnya. Dan melancap tidak memerlukan hubungan emosi.
Bill mengakui bahawa pornografi telah banyak menjejaskan hubungan seksualnya dengan Karen. Mereka jarang melakukan hubungan seks sepanjang 10 tahun sebelumnya. Jika Karen cuba memulakan hubungan seks, dia akan membuat alasan mengapa masa itu tidak sesuai atau dia akan bersetuju untuk meletakkannya dalam kalendar tetapi tidak meneruskan dengannya.
Walaupun kadangkala dia berasa bersalah kerana menyakiti Karen, dia berasa seolah-olah dia tidak mempunyai pilihan. Bill perlu mempunyai kelebihan dalam suatu hubungan untuk berasa selesa. Dengan pornografi, dia berasa terkawal dan ini memberikannya rasa berkuasa. Wanita-wanita dalam imej dan video itu sentiasa bersedia dan sudi – dan dia tidak perlu mengorbankan apa-apa untuk penerimaan dari mereka.
Tetapi menggunakan pornografi untuk mencapai orgasma juga membuatkan Bill berasa kekalahan dan keseorangan.
Ketika Bill dan Karen memulakan proses yang menyakitkan untuk menyelesaikan masalah mereka dengan kaunseling, Bill mula memahami isu yang lebih mendalam yang mendorong tingkah lakunya untuk mengelakkan hubungan. Dia menyedari bahawa dia berasa tidak layak untuk dicintai dalam suatu hubungan kerana penolakan awal dan kesakitan pada zaman kanak-kanaknya.
Bill juga mempunyai ketakutan yang kuat bahawa di akan ditinggalkan. Oleh itu, dia menjauhkan orang lain dari hatinya supaya dia tidak menghadapi risiko dilukai oleh kehilangan orang itu sekiranya dia pergi. Menjadi rapat secara emosi dengan Karen adalah sangat berisiko kerana perkahwinan sepatutnya menjadi hubungan yang paling intim sekali.
Menangani isu
Kaunselor Bill menyarankan dia menghadiri kumpulan untuk lelaki yang bergelut dengan pornografi dan mengelakkan keintiman. Walaupun ini adalah perkara terakhir yang Bill mahu, dia komited untuk mengubah cara hidupnya. Dia bersetuju untuk hadir. Dia berasa tegang semasa dia masuk ke dalam bilik dan memandang orang-orang yang tidak dikenali di mana dia akan mendedahkan jiwanya kepada mereka. Tetapi dia mendengar cerita mereka dan kagum dengan keberanian dan kejujuran mereka.
Seorang lelaki menggambarkan perjuangannya dengan cara ini: “Ia seolah-olah saya sentiasa berperang dalam diri saya. Saya mahu menjauhi pornografi. Saya memberitahu diri saya setiap kali saya mengalah bahawa ini adalah kali terakhir ... tetapi ia bukan kali terakhir. Saya boleh bertahan untuk seketika, tetapi akhirnya, saya menontonnya semula. Selepas itu, saya berasa malu dan lemah. Sudah tentu, apabila saya berasa buruk tentang diri saya, maka saya mahu berasa lebih baik. Pornografi buat sementara waktu membuatkan saya berasa lebih baik, tetapi saya tidak dapat keluar dari roda ini yang merosakkan dan tak berhenti.”
Bill menghembus nafas dan berasa lebih lega. Mendengar orang lain menyuarakan pergumulan yang serupa dengan apa yang dihadapinya memberinya harapan bahawa dia berada di tempat yang betul. Perubahan sebenar berlaku dalam kumpulan Bill. Kumpulan lelaki itu memberikan akauntabiliti, pemahaman, pengesahan dan teguran apabila diperlukan. Mereka menelefon atau menghantar pesanan teks antara satu sama lain bila mereka bergelut dengan keinginan untuk menahan keintiman emosi atau menonton pornografi.
Bill juga melakukan proses pemulihan 12 langkah dan mula menyembuhkan beberapa luka yang lebih mendalam yang mencetuskan keperluannya untuk menenangkan diri dengan pornografi. Dia belajar bahawa pornografi adalah saluran untuk mengatasi perasaan tidak berdaya dan kekurangan upaya. Dia dapat membina hubungan yang bermakna dan sihat dengan lelaki dalam kumpulannya. Dia juga berlatih berkongsi fikiran dan emosi dengan Karen. Akhirnya dia dapat mempercayai Karen sehingga dia dapat mendedahkan kepadanya semua perasaan yang sekian lama dipendamkannnya.
Bill tahu bahawa dia perlu memberi menumpukan perhatian untuk memulihkan dirinya, tidak kira sama ada Karen memutuskan untuk meneruskan dengan perkahwinan mereka. Dia terpaksa berusaha untuk sampai ke tahap di mana dia boleh menerima dirinya sendiri – tidak kira apa yang akan berlaku. Dia tahu bahawa inilah satu-satunya cara untuk mewujudkan hubungan yang sihat dengan Karen.
Hasil daripada kaunseling, kumpulan lelaki dan kerja keras, Bill berjaya menghentikan tabiat pornografinya dan mengeratkan hubungan kekeluargaannya. Bill menemui semula bahagian dalam hidupnya yang dipendamnya, dan dia mula menikmati dan mengalami kebebasan dalam hidupnya.
Pelbagai isu boleh mencetuskan tabiat penggunaan pornografi. Memahami keperluan yang lebih mendalam bagi individu yang terjejas oleh masalah ini yang berleluasa adalah penting. Hubungilah pembantu yang terlatih, dan jika anda pasangan suami isteri, lakukannya bersama-sama. Perubahan boleh dilakukan!
© 2018 Michelle Hable. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.