Berikut adalah sepuluh prinsip yang akan membantu anda mewujudkan dan mengekalkan perkahwinan yang berjaya.
Pasangan yang berjaya adalah bijak. Mereka membaca buku, menghadiri seminar, membaca-baca artikel dan memerhatikan pasangan lain yang berjaya. Walau bagaimanapun, pasangan yang berjaya akan memberitahu anda bahawa mereka juga belajar berdasarkan pengalaman - percubaan dan kesilapan.
Berikut adalah sepuluh prinsip kejayaan yang telah saya pelajari daripada bekerja dan memerhatikan ratusan pasangan:
1. Kebahagiaan bukanlah perkara yang paling penting. Semua orang mahu bahagia, tetapi kebahagiaan akan datang dan pergi. Pasangan yang berjaya belajar tabiat sengaja melakukan perkara-perkara yang akan mengembalikan kebahagiaan ketika hidup mula melenyapkannya.
2. Pasangan menyedari betapa pentingnya “kehadiran”. Apabila keadaan menjadi sukar dan suami isteri tidak tahu apa yang harus dilakukan, mereka perlu bertahan dan berada di pihak pasangan mereka. Masa dapat membantu pasangan suami isteri menyelesaikan masalah dengan memberi peluang untuk mengurangkan tekanan dan mengatasi cabaran.
3. Sekiranya anda melakukan apa yang selalu dilakukan pada masa lepas, hasilnya sama sahaja. Pasangan yang bijak sedar bahawa anda harus mendekati masalah secara berbeza untuk mendapatkan hasil yang berbeza. Selalunya, perubahan kecil dalam pendekatan, sikap dan tindakan membawa kepada perbezaan terbesar dalam perkahwinan.
4. Sikap anda penting. Mengubah tingkah laku itu penting, tetapi begitu juga pengubahan sikap. Sikap buruk sering menimbulkan perasaan dan tindakan buruk.
5. Ubah fikiran, ubah perkahwinan anda. Bagaimana suami isteri berfikir dan apa yang mereka percayai mengenai pasangan mereka mempengaruhi tanggapan mereka terhadap satu sama lain. Apa yang mereka harapkan dan bagaimana mereka melayan pasangan mereka sangat penting.
6. Rumput paling hijau di mana anda menyiramnya. Pasangan-pasangan yang berjaya telah belajar menolak mitos tentang rumput yang lebih hijau di tempat lain, iaitu orang lain akan membuat saya bahagia. Mereka telah belajar menumpukan tenaga untuk menjadikan diri dan perkahwinan mereka lebih baik.
7. Anda boleh mengubah perkahwinan anda dengan mengubah diri anda. Suami isteri yang berpengalaman telah belajar bahawa cubaan menukar pasangan mereka adalah seperti cubaan menolak seutas tali - hampir mustahil. Selalunya, satu-satunya orang yang boleh kita ubah dalam perkahwinan kita adalah diri kita sendiri.
8. Cinta adalah kata kerja, bukan sekadar perasaan. Kehidupan harian melenyapkan "perasaan baik dalam perkahwinan." Perasaan, seperti kebahagiaan, akan berubah-ubah. Tetapi, cinta sejati adalah berlandaskan ikrar komitmen pasangan: "Untuk lebih baik atau lebih buruk" – ketika anda berasa baik dan sebaliknya.
9. Perkahwinan sering berkaitan pergelutan dalam minda. Pasangan-pasangan yang berjaya telah belajar untuk menolak perasaan dendam, membangkitkan perkara masa lalu yang kurang menyenangkan dan menyedari bahawa mereka berkahwin dengan orang yang tidak sempurna – dan pasangan mereka juga mengahwini orang yang tidak sempurna.
10. Krisis tidak bermaksud perkahwinan sudah berakhir. Krisis seperti ribut: kuat, menakutkan dan berbahaya. Tetapi untuk melalui ribut, anda harus terus mara ke depan. Krisis boleh menjadi permulaan baru. Akibat kesakitan, manusia dan perkahwinan hebat dapat dihasilkan.
Hak Cipta © 2009, Mitch Temple. Hak cipta terpelihara. Hak cipta antarabangsa diperolehi. Digunakan dengan izin.