Mempunyai kawan yang berlainan jantina
Soalan: Bolehkah orang yang sudah berkahwin mempunyai kawan yang berlainan jantina? Semasa suami saya tiada di rumah selama seminggu, seorang rakan sekerja lelaki datang ke rumah saya untuk membantu menjaga anak perempuan kami yang berusia lapan belas bulan. Selepas dia tertidur kami melepak menonton wayang bersama. Saya memberitahu suami saya mengenainya, dan sekarang dia kecewa dan merasakan saya telah mengkhianatinya. Adakah anda fikir dia bertindak balas secara berlebihan?
Jawapan: Walaupun motif anda mungkin tidak bersalah, menjemput rakan sekerja lelaki semasa suami anda berada di luar bandar sudah “merentasi sempadan yang sesuai”. Jelas sekali, ramai orang yang sudah berkahwin menikmati persahabatan yang sihat dan tidak romantik dengan individu yang berlainan jantina. Namun demikian, adalah penting untuk mengendalikan hubungan ini dengan bijak dan berwaspada terhadap perangkap tersembunyi. Jika anda ingin menjaga kesihatan perkahwinan anda, adalah penting untuk meletakkan “sempadan” yang sesuai untuk melindungi hubungan ini.
Pada hakikatnya, adalah jauh lebih mudah daripada yang anda bayangkan untuk melintasi batas dari persahabatan platonik kepada percintaan yang nampaknya “tidak berbahaya”. Tahap bahaya sangat tinggi apabila anda dan orang itu mempunyai banyak persamaan. Jika minat dan keserasian perangai yang dikongsi ini membawa anda kepada pemikiran yang “tidak berbahaya” seperti, “Orang ini lebih memahami saya daripada pasangan saya,” anda memang sudah berada di tempat yang berbahaya.
Kami berpendapat bahawa perkahwinan anda sangat penting untuk anda. Kalau demikian, kami menggalakkan anda berbincang dengan suami anda. Akuilah kesilapanmu dan yakinkan dia tentang cintamu. Jika dia sukar “melupakannya”, mungkin terdapat beberapa isu berkait dengan kepercayaan yang lebih mendalam yang perlu anda berdua selesaikan. Sila hubungi Perkhidmatan Sokongan Keluarga kami di 03-3310 0792 atau tulis ke support@family.org.my .
Menerima permintaan “friend” daripada bekas teman lelaki
Soalan: Patutkah saya menerima permintaan “friend” di media sosial daripada teman lelaki lama? Saya mencintai dan komited kepada suami saya, jadi saya yakin ini tidak akan mengancam perkahwinan kami. Apakah pendapat kamu?
Jawapan: Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah bertanya suami tentang pendapatnya. Adalah penting untuk bersikap terbuka dan jujur, dan menyimpan rahsia hanya menjejaskan kepercayaan. Jika perkahwinan anda kuat dan sihat, maka ia patut dilindungi. Anda perlu berhati-hati terhadap pendedahan hubungan anda kepada sebarang jenis ancaman, walaupun kemungkinan akan berlakunya kemudaratan amat kecil.
Oleh kerana bekas teman lelaki anda yang mula menghubungimu, anda harus bertanya diri sendiri beberapa soalan tentang motifnya. Jika anda mempunyai apa-apa sebab untuk mengesyaki bahawa niatnya tidak baik atau tidak begitu mulia, abaikan permintaan itu dan teruskan dengan hidup anda.
Jika anda masih berasa cenderung berhubung semula dengan lelaki ini, anda mungkin perlu mempertimbangkan motif anda. Adakah anda berasa terdorong untuk mengingati masa lampau kerana rasa tidak puas hati dengan keadaan sekarang? Pernahkah anda berfikir tentang apa yang “mungkin terjadi” sekiranya hubungan dengan bekas teman lelaki berjaya? Mungkin hakikatnya bukan begitu, tetapi ia harus dipertimbangkan.
Akhirnya, ini adalah keputusan yang mesti dibuat bersama suami anda. Jika anda memilih untuk menerima jemputan “kekasih lama” untuk berhubung semula, buatlah demikian melalui akaun Facebook yang sengaja mencerminkan sifat perkahwinan anda yang sihat. Antara lain, laman Facebook anda harus diisi dengan gambar-gambar yang mengingati pengunjung laman tentang hubungan anda dengan suami. Seboleh-bolehnya, foto hendaklah kerap menunjukkan anda berdua bersama. Tujuannya ialah menunjukkan anda berdua sebagai satu unit. Ini akan menghalang teman lelaki lama anda daripada membuat sebarang andaian yang tidak wajar.
Perkahwinan saya rasanya seperti suatu kesilapan
Soalan: Apakah yang perlu saya lakukan jika saya takut perkahwinan saya mungkin suatu kesilapan? Hanya sebentar sahaja selepas majlis perkahwinan, dan saya sudah mula berfikir bahawa saya telah berkahwin dengan orang yang salah.
Jawapan: Ringkasnya, perkahwinan bukan tentang “mencari orang yang betul.” Ia adalah tentang menjadi orang yang betul.
Anda boleh mulakan dengan menumpukan perhatian pada diri sendiri. Jika anda berkahwin dengan jangkaan bahawa anda akan menemui kebahagiaan dalam pasangan anda, anda mungkin akan kecewa. Kepelbagaian emosi yang biasa dialami sebagai individu yang belum berkahwin berpotensi untuk menjadi lebih luas dalam suatu perkahwinan. Jika anda dan pasangan tidak bahagia dan tidak berpuas hati semasa bujang, perasaan tidak puas hati itu boleh bertambah buruk selepas perkahwinan. Tetapi jika anda masing-masing mempunyai matlamat dan tujuan hidup yang mendalam, dan keinginan untuk berkongsi matlamat dengan komitmen bersama seumur hidup, tahap kepuasan boleh meningkat bersama hubungan yang semakin maju. Kesimpulannya adalah jelas: jika anda ingin berpuas hati dengan orang lain, anda perlu belajar untuk berpuas hati dengan siapa diri anda.
Kedua, lupakan pengaruh suasana romantik sebelum berkahwin dan belajarlah menghargai pasangan anda untuk peribadi mereka yang sebenar. Semasa berpacaran, kedua-dua bakal pasangan cenderung teruja dengan hubungan baru yang indah ini. Akibatnya, mereka tidak melihat sebarang kekurangan dalam keperibadian orang yang mereka sayangi. Terimalah bahawa anda kini berkahwin dengan seseorang yang mempunyai kelemahan – sama seperti anda juga mempunyai kelemahan.
Ketiga, ingatkan diri anda tentang erti cinta yang sebenar. Erich Fromm menulis: “Mencintai seseorang bukanlah sekadar perasaan yang kuat – ia adalah keputusan yang diambil, ia adalah suatu penilaian, ia adalah janji. Jika cinta hanya perasaan, tidak ada asas untuk berjanji untuk mencintai satu sama lain selama-lamanya."
Jika anda mendapati sukarnya untuk mengamalkan cinta seperti ini dalam perkahwinan anda, sila hubungi Perkhidmatan Sokongan Keluarga kami di 03-3310 0792 atau tulis ke support@family.org.my .
Kepuasan seksual pada usia tua
Soalan: Adakah kepuasan seksual berkurangan apabila kita semakin tua? Saya dan pasangan saya berumur enam puluhan, dan saya bimbang isu penuaan mungkin mempunyai implikasi negatif terhadap hubungan kami di bilik tidur.
Jawapan: Ramai orang seolah-olah percaya bahawa dorongan seks pasti akan berkurangan apabila usia meningkat, dan pasangan tua yang masih berminat dengan seks adalah tidak normal. Idea ini sebahagian besarnya adalah mitos. Sebenarnya, keinginan seksual lebih bergantung pada keadaan minda dan sikap emosi berbanding umur kronologi seseorang.
Secara amnya, adalah perkara biasa untuk mempunyai minat berterusan terhadap seks sepanjang hayat dewasa. Seperti orang muda, orang yang lebih tua juga mengalami pelbagai perasaan dan emosi manusia. Mereka juga memerlukan kasih sayang – kadangkala dalam jumlah yang banyak. Penyelidik telah menunjukkan bahawa minat dan keupayaan seks yang normal berkekalan hingga umur lapan puluhan. Kekuatannya mungkin berkurangan dalam setengah kes sebab masalah yang berkait dengan imej diri, seperti perasaan bahawa seseorang itu tidak lagi menarik, tetapi ini tidak selalunya benar. Sudah tentu, ia juga boleh terjejas oleh penyakit, perasaan sakit, komplikasi prosedur pembedahan atau masalah fizikal lain akibat proses penuaan.
Adalah penting untuk mengingati bahawa keintiman seksual dalam perkahwinan adalah proses sepanjang hayat. Cara meluahkan perasaan yang berbeza mungkin sesuai untuk fasa perhubungan yang berbeza. Jika perasaan sakit atau ketidakupayaan fizikal telah menghadkan beberapa jenis aktiviti seksual, harus diingati bahawa hubungan seks bukan semestinya satu-satunya pilihan untuk keintiman fizikal. Sentuhan, kedekatan fizikal, sentuhan kulit ke kulit, malah perbualan intim boleh menjadi sangat memuaskan jika tiada bentuk keseronokan seksual yang lain. Pada setiap peringkat hidup, sikap yang sihat terhadap seks dalam perkahwinan harus mempunyai ciri-ciri kejujuran, keterbukaan kepada satu sama lain, fleksibiliti dan kesediaan untuk berkomunikasi.
Sila hubungi Perkhidmatan Sokongan Keluarga kami di 03-3310 0792 atau tulis ke support@family.org.my sekiranya anda ingin memohon bantuan.
Menyelesaikan perbezaan pendapat mengenai kekerapan seks dalam perkahwinan
Soalan: Bagaimanakah pasangan boleh menyelesaikan perselisihan mengenai kekerapan hubungan seks? Isteri saya akan berpuas hati dengan melakukan hubungan seks sebulan sekali, tetapi ini memang tidak dapat memuaskan saya. Siapa antara kita yang “tidak normal”?
Jawapan: Perkara pertama yang perlu difahami ialah tiada situasi yang boleh disifatkan sebagai “normal”. Kajian menunjukkan bahawa terdapat kepelbagaian di kalangan pasangan dari segi kekerapan seks, dan individu berlainan mungkin berbeza secara radikal dari segi keinginan dan minat seksual mereka. Itulah sebabnya ramai pasangan bertelagah mengenai persoalan berapa kerap mereka “harus” melakukan hubungan seks.
Berikut adalah empat perkara yang digalakkan oleh kaunselor untuk diingati dalam isu ini.
1. Setiap pasangan adalah berbeza. Jantina, jangkaan individu, peringkat kematangan sesuatu pasangan, dan perbezaan budaya semuanya mempunyai kesan.
2. Kualiti mendahului kuantiti. Ini tidak bermakna bahawa seseorang mempunyai alasan untuk mengelakkan dari hubungan seks. Sebaliknya, ia adalah seruan ke arah kecemerlangan. Sebaik sahaja komunikasi intim mula berkembang dan keperluan dipenuhi, peningkatan kekerapan seks biasanya akan menyusul.
3. Ada masa yang sesuai untuk berkhidmat. Malangnya, realiti dunia kita yang tidak sempurna boleh menyebabkan satu atau kedua-dua pasangan memerlukan pertimbangan khusus. Trauma seksual, penderaan, ketagihan, pengguguran dan penyakit boleh menjejaskan seksualiti kita dengan cara yang mendalam. Pemulihan selalunya lambat dan memerlukan kesabaran dan pemahaman daripada kedua-dua pasangan. Ia juga penting bagi seorang suami untuk memahami dan menunjukkan kepekaan terhadap kitaran pembiakan isterinya dan keperluan fisiologi unik yang lain.
4. Kesengajaan. Seks yang mengikut gerak hati dan spontan mungkin hebat, tetapi ia cenderung tidak akan berkekalan apabila pekerjaan, pinjaman yang harus dibayar balik dan anak-anak memainkan peranan yang semakin penting dalam hidup kita. Jika anda beri pasangan anda hanya sisa masa dan tenaga anda, anda berdua tidak akan berpuas hati secara seksual. Merancangkan masa dan tempat untuk keintiman nampaknya tidak begitu intim, tetapi kekurangan rundingan boleh membawa kepada kekecewaan.
Berkawan dengan orang yang berlainan jantina
Soalan: Saya seorang wanita yang telah berkahwin dengan bahagia selama enam tahun. Saya mempunyai beberapa “kawan lelaki” rapat di tempat kerja, dan saya tahu suami saya juga berkawan rapat dengan beberapa wanita di tempat kerjanya. Rakan-rakan lelaki saya kadang-kadang “bermain-main cinta” sedikit dengan saya, dan saya pasti suami saya juga menghadapi keadaan yang sama. Selagi tiada apa-apa yang berlaku, semuanya tidak berbahaya, bukan?
Jawapan: Mungkin anda tidak menganggap “kegilaan cinta” sebagai ubat yang mengubah minda. Namun demikian, kaunselor Dave Carder telah menghabiskan 30 tahun yang lalu untuk mengkaji punca terjadinya hubungan sulit. Dia percaya kegilaan ini adalah sekuat mana-mana bahan ubat yang wujud.
Carder berkata bahawa kebanyakan orang tidak bangun dan memutuskan, “Saya rasa saya akan merosakkan perkahwinan saya pada hari ini.” Hubungan sulit biasanya terjadi dengan perlahan-lahan, tanpa seseorang menyedari bahawa dia sedang hanyut ke arah bidang emosi yang berbahaya. Kegilaan cinta amat berbahaya kerana ia timbul dari hubungan harian. Pergaulan biasa dengan rakan sekerja, jiran dan rakan keluarga memang adalah tingkah laku yang tidak bersalah. Tetapi apabila dua orang bersama setiap hari, ia mungkin terjadi. Ia boleh berkembang sebelum sesiapa menyedarinya.
Orang yang hilang kawalan terhadap nafsunya akan melakukan perkara gila. Mereka berkelakuan seolah-olah mereka benar-benar dipengaruhi oleh bahan yang mengubah minda. Dan pada pandangan Dave Carder, itulah hakikatnya. Orang-orang ini mabuk dengan emosi. Mereka tidak membuat keputusan yang rasional atau tidak peduli bagaimana pilihan mereka akan memberi kesan kepada orang lain.
Untuk melindungi perkahwinan anda, perhatikan tanda-tanda bahaya sama ada emosi anda sedang “hanyut”. Ia mungkin bermula dengan berkongsi topik perbualan dengan seseorang kerana, dalam fikiran anda, mereka lebih memahamimu daripada pasangan anda. Atau anda mungkin berkongsi butiran intim tentang perkahwinan anda dengan orang itu. Perasaan anda pasti sudah melampaui batas apabila anda tidak sabar untuk berjumpa dengan orang tersebut, lebih daripada pasangan anda.
Tanda-tanda ini selalunya tidak ketara, tetapi ia penting. Apabila perkahwinan anda melalui musim kemarau – dan ini pasti terjadi kepada semua hubungan – anda boleh mudah jatuh hati pada orang lain. Anda mungkin hilang akal; maka hampir tiada apa-apa yang dapat menghalang anda daripada menjalinkan hubungan sulit. Oleh itu, elakkan daripada membuat salah satu kesilapan terbesar dalam hidup anda dan jagalah hubungan dan emosi anda.
Mengekalkan ‘percikan api’ selepas perkahwinan
Soalan: Saya dan tuning saya tidak sabar untuk memulakan kehidupan baru bersama. Bagaimanapun, saya khuatir bahawa keterujaan ini akan berkurangan dan menjadi rutin dan perkara yang biasa sahaja – terutamanya dalam kehidupan seks kita. Adakah anda mempunyai sebarang nasihat tentang bagaimana kita boleh mengekalkan ‘percikan api’ ini?
Jawapan: Tahniah! Anda mungkin pernah melihat contoh-contoh sebaliknya tetapi izinkan kami menggalakkan anda dengan mengatakan bahawa dengan kerja dan komitmen, perkahwinan dan seks boleh kekal menarik dan memuaskan sehingga “maut memisahkan anda berdua.” Anda dinasihati untuk menumpukan perhatian kepada lima bidang ini:
1. Komunikasi terbuka: Amalkan tabiat “bertanya khabar” dengan satu sama lain. Anda akan menghadapi isu yang mencabar dalam perkahwinan, dan berbincang dengan penuh hormat dan menyelesaikan masalah bersama-sama adalah penyumbang penting ke arah hubungan seksual yang sihat.
2. Kekerapan hubungan seks: Ini berbeza antara pasangan. Isu yang lebih penting ialah keintiman yang kerap dan kerjasama untuk mengutamakan kehidupan seks anda berdua.
3. Memahami peringkat kehidupan anda: Musim kehidupan yang berbeza – seperti keibubapaan, penyakit atau penuaan – boleh mempengaruhi keintiman dalam perkahwinan. Pasangan yang berpandangan jauh tentang perkahwinan akan mencapai perspektif yang diperlukan untuk mengharungi masa yang sukar.
4. Di luar bilik tidur: Seks adalah salah satu bahagian yang penting dalam perkahwinan, tetapi aspek lain dalam hubungan anda juga mesti dipupuk untuk mengalami kehidupan seks yang memuaskan. “Berpacaran” dan “belajar-lah” tentang pasangan anda. Amalkan sikap hormat, saling menyokong, penyayang, murah hati, dan pemaaf antara satu sama lain.
5. Keselamatan emosi: Seksualiti dan keintiman adalah berkait dengan keterbukaan kepada satu sama lain, dan anda tidak akan bersikap begitu melainkan anda berasa selamat untuk berbuat demikian. Keselamatan emosi bermakna pasangan anda boleh mempercayai anda dengan perasaan dan kegagalan mereka, dan anda komited kepada mereka, walaupun mungkin tidak selalu bersetuju atau memahaminya. Yang paling penting, jagalah rahsia masing-masing – dan jangan ada rahsia antara satu sama lain.
© 2018 Focus on the Family. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.