Soalan: Bagaimanakah saya boleh mengetahui sama ada anak remaja saya sedang mengalami kecenderungan untuk membunuh diri atau fikiran yang membinasakan diri? Saya bertanya kerana bimbang bahawa anak says mungkin menuju ke arah ini. Adakah terdapat sebarang tanda-tanda amaran yang perlu diberi perhatian? Adakah kemurungan selalunya membawa risiko bunuh diri?
Jawaban: Walaupun kemurungan tidak selalunya mengakibatkan bunuh diri, ia adalah salah satu sebab utama yang membawa kepada perasaan ingin membunuh diri dan oleh itu, ia harus dipandang berat. Sekiranya anda mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa anak anda sedang mengalami kemurungan klinikal, anda harus prihatin dan memerhati sama ada terdapat apa-apa tanda dan penunjuk yang biasanya berlaku. Anda harus melihat sama ada terdapat penilaian diri yang menyakitkan, imej diri yang negatif, perubahan emosi yang dramatik, tingkah laku bermuram dan menangis, mengasingkan diri dan bersendirian, perasaan letih dan lain-lain penyakit fizikal yang tidak boleh dijelaskan, prestasi sekolah yang buruk, dan kejadian tiba-tiba naik berang dan tingkah laku buruk yang terang-terangan. Jika terdapat gejala tersebut yang berterusan selama lebih daripada dua minggu, anda harus segera mendapat bantuan yang sewajarnya. Anda mungkin mahu menghubungi doktor untuk nasihat dan rujukan kepada seorang pakar. Walaupun mungkin tiada bahaya bunuh diri pada masa tersebut, anda masih perlu menangani kemurungan tersebut.
Anda tidak menyatakan mengapa anda percaya bahawa anak remaja mungkin berasa ingin membunuh diri, tetapi tanpa maklumat spesifik tentang situasi anda, kami masih boleh membuat kenyataan ini: selalunya adalah lebih baik berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Terutamanya, sebarang percakapan tentang bunuh diri oleh anak anda – kenyataan-kenyataan seperti “Lebih baik saya mati,” atau “Mungkin hidupmu akan lebih senang jika saya tiada lagi” – harus dipandang berat dan diberi penuh perhatian.
Faktor risiko yang boleh dikenalpasti untuk bunuh diri di kalangan orang muda termasuk yang berikut: gangguan perasaan, penyalahgunaan dadah atau alcohol, beberapa jenis penyakit personaliti, taraf sosio-ekonomi yang rendah, penderaan kanak-kanak, perpisahan atau perceraian ibu bapa, konflik dengan orang lain atau kehilangan sesuatu yang berharga. Anda harus sangat berhati-hati sekiranya terdapat faktor-faktor peramal berikut untuk bunuh diri:
• Percubaan membunuh diri sebelum ini.
• Sejarah keluarga membunuh diri.
• Kehadiran sakit kronik, penyakit degeneratif, atau beberapa penyakit mental yang serius seperti gangguan bipolar.
• Luahan rasa bersalah atau putus asa.
• Mengugut, bercakap atau bergurau tentang bunuh diri.
• Seorang remaja yang telah bergelut dengan kemurungan, tekanan, kebimbangan atau kekecewaan yang mendalam tiba-tiba kelihatan lebih gembira dan tenang. Ini mungkin petanda bahawa dia telah membuat keputusan untuk menamatkan hidupnya.
• “Pembersihan rumah” – iaitu, dorongan tiba-tiba untuk memberikan harta benda peribadi kepada orang lain.
• Bunuh diri di kalangan remaja lain dalam komuniti anda.
• Kehilangan atau penghinaan yang mendadak dan besar. Ibu bapa harus berwaspada untuk memastikan anak mereka tidak menjadi mangsa buli fizikal atau sosial. Putus cinta dengan teman lelaki atau teman wanita yang dramatik adalah satu lagi situasi yang harus dipandang berat. Elakkanlah kecenderungan memandang remeh perasaan remaja. Tidaklah penting jika masalah itu kelihatan remeh atau mudah diselesaikan. Apa yang penting ialah bagaimana dia melihatnya.
Anda boleh menilai tahap risiko dan kemungkinan bahaya dengan mengingati akrostik berikut: S-L-A-P:
• S = Rancangan spesifik. Adakah anak remaja anda sedang mempertimbangkan tindakan tertentu untuk mengambil nyawanya sendiri (sama ada dimaklumkan kepada anda secara langsung atau dengan cara lain)? Jika jawabannya ya, teruskan ke soalan seterusnya.
• L = Pelan yang boleh membawa maut (lethal). Adakah rancangan khusus ini benar-benar boleh membawa maut? Jika ya, dia kini menghadapi risiko lima puluh peratus. Teruskan ke “A.”
• A = Adanya pelan. Bolehkah rancangan itu dilaksanakan? Adakah dia mempunyai akses kepada cara dan/atau bahan yang diperlukan untuk melaksanakan niatnya? Sebagai contoh, adakah mudah baginya untuk mendapat sejumlah besar ubat preskripsi? Jika ya, dia berada dalam bahaya yang besar, dan anda harus mengambil tindakan segera. Pastikan anda membaca soalan akhir yang berikutnya.
• P = Kedekatan (proximity) bantuan. Adakah terdapat orang yang cukup rapat untuk menghalangnya daripada melaksanakan rancangan spesifik, yang membawa maut dan tersedia ini? Dia mungkin tidak akan mencuba apa-apa semasa rakan, keluarga atau orang lain yang dia hormati berada di sekelilingnya. Kebanyakan kes bunuh diri berlaku apabila individu yang tertekan itu bersendirian atau bersama orang lain yang berasa hendak membunuh diri. Jika tiada bantuan berdekatan, bawa anak anda ke tempat di mana dia boleh dijaga dengan selamat. Jika anda tidak boleh menempatkannya di bawah pengawasan keluarga, hubungi 999 atau bawa dia terus ke Bilik Kecemasan tempatan.
Jika anda tidak pasti tentang jawaban kepada soalan ini, langkah seterusnya yang bijak ialah duduk dan berbicara hati ke hati dengan anak remaja anda. Jangan takut untuk mendesaknya. Desakkannya dengan beberapa soalan. Anda mungkin bermula dengan soalan seperti, “Dari manakah perasaan negatif ini datang?” atau “Apakah yang menyebabkan anda bercakap begitu banyak tentang menamatkan hidup anda?” Soalan “Apa yang perlu diubah untuk anda berasa lebih baik?" mungkin dapat membantu dan mendedahkan maklumat yang penting. Anda juga mungkin harus mendapatkan diagnosis psikiatri untuk menentukan perkara sebenarnya di sebalik kemurungan dan percakapan tentang bunuh diri. Anak anda mungkin bergelut dengan perasaan cemas, penyakit bipolar, atau penyalahgunaan dadah atau akohol.
Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin.