Tingkah Laku dan Akibatnya
Oleh Bill Maier
Adakah anda boleh menilai keadaan yang sebenar? Berikut adalah suatu kuiz:
Bob memandu kereta lumbanya yang berwarna merah dengan kelajuan 145 kilometer sejam di lebuh raya. Dia ditahan oleh anggota polis trafik yang memberi Bob:
· Ucapan salam yang ramah
· Biskut
· Saman kerana memandu terlalu cepat
Susan lebih suka tidur lewat daripada menepati waktu apabila pergi bekerja. Selepas tiba di pejabat dua hingga tiga jam lewat selama dua minggu berturut-turut, bos mengarahkan Susan:
· Tidur lebih awal
· Bercuti supaya dia dapat berehat
· Cari pekerjaan lain
Kedua-dua Bob dan Susan akan mengalami akibat yang pedih kerana kelakuan mereka. Kita hanya berharap bahawa mereka akan belajar dari pengalaman pahit dan menyebabkan Bob menjadi pemandu yang lebih berhemah dan Susan menjadi pekerja yang lebih bertanggungjawab.
Latihan untuk Keadaan Dunia yang Sebenar
Akibat buruk dari tingkah laku boleh digunakan sebagai alat berkesan apabila membesarkan anak-anak. Bila anak-anak kita melanggar peraturan atau bersikap tidak bertanggungjawab, kita boleh menggunakan alat tersebut atau membenarkan berlakunya kejadian buruk yang menyusul dari salah laku. Lambat laun, kesudahan dari tingkah laku adalah umpama guru yang mengajar anak kita tentang bagaimana dunia sebenarnya beroperasi.
Malangnya, terlalu ramai ibu bapa mengambil jalan mudah, iaitu tidak mengambil tindakan sewajarnya atau mereka menyelamatkan anak dari akibat yang kurang menyenangkan. Ibu bapa sedemikian percaya bahawa mereka menunjukkan kasih sayang dengan melindungi anak-anak dari akibat buruk. Pada hakikatnya, mereka akan menyebabkan kekecewaan dan kegagalan dalam hidup anak di kemudian hari.
Kesemua tindakan kita ada kesudahannya dan selalunya kita ‘menuai apa yang kita semai’. Anak-anak akan mendapat manfaat bila mereka belajar bahawa dalam hidup mereka, tindakan berkait rapat dengan akibat yang menyusul – akibat yang dialami oleh mereka adalah pedih.
Kalau anak kecil menyentuh cerek yang panas, dia mengalami lecuran – itu akibat semulajadi. Bila tindakan anak-anak tidak mempunyai akibat yang jelas, ibu bapa masih boleh menggunakan kesudahan yang secara logiknya berkait rapat dengan salah laku. Misalnya bila anak tidak mematuhi arahan menyimpan kereta mainan dengan kemas, akibat yang sepatutnya terjadi ialah dia dilarang bermain dengan alat mainan tersebut pada keesokan hari.
Macam mana rupanya Kaedah ‘Tingkah Laku dan Akibatnya’
Akibat tingkah laku mungkin positif atau negatif. Ibu bapa boleh menggunakan kesudahan positif bila mereka mahu menggalakkan kelakuan baik dan kesudahan negatif bila mahu menghindari salah laku. Kaedah disiplin ini hanya berkesan jika ia dilaksanakan dengan serta merta. Kanak-kanak mempunyai rentang perhatian yang sangat singkat. Anda boleh mempercepatkan masa berlakunya akibat sesuatu perbuatan dengan menggunakan sistem ‘token’ atau sistem ‘mata’. Berikan anakmu mata atau token dengan segera untuk kelakuan baik. Sebaliknya, potongkan token atau mata untuk kelakuan negatif. Mata atau token yang diperolehi boleh ditukar menjadi hak istimewa atau ganjaran yang tidak mahal. Anda harus konsisten. Jika tidak, anak anda akan menyedari dengan cepat bahawa anda bukan serius tentang apa yang anda katakan. Oleh itu, anda mesti menepati janji (atau amaran yang diberi) walaupun berasa letih.
Akhirnya, akibat yang dijanjikan mestilah memberi kesan yang besar kepada kanak-kanak. Jika kesudahan positif dan negatif tidak diambil berat oleh anakmu, ia tidak akan mengubah kelakuannya. Misalnya, memperolehi bilangan mata yang cukup untuk baju baru untuk anak patungnya mungkin merupakan dorongan kuat untuk gadis berusia 7 tahun. Namun demikian, ia mungkin tidak berkesan setahun kemudian. Apabila kamu belajar bagaimana menggunakan teknik ‘tingkah laku dan akibat’ dengan berkesan – dan bukan meleter, menjerit atau mengugut – interaksi dengan anak akan bertambah baik. Anak-anak akan faham dengan jelas apa yang diharapkan dari mereka, dan anda akan jadi lebih yakin tentang peranan anda sebagai ibu bapa. Sudah tentu, anda harus melaksanakan kaedah disiplin ini dalam persekitaran hubungan yang mesra dan menyokong anak anda.
Buku Dr. Dobson berjudul Dare to Discipline memberi arahan terperinci tentang cara melaksanakan kaedah ‘tingkah laku dan akibat’ dalam peranan anda sebagai ibu bapa dan bagaimana memulakan sistem ‘mata’ atau ‘token’.
Jika anda memilih pilihan ketiga untuk dua soalan yang diajukan di atas, tahniah – anda betul-betul faham kebenaran prinsip ‘tingkah laku dan akibat’. Kini anda boleh menggunakan hikmah ini untuk membantu anak-anak anda menjadi orang dewasa yang matang dan bertanggungjawab yang membuat pilihan yang bijak – dan juga mempunyai pekerjaan mantap dan yang mengelakkan saman dari polis trafik.
Soalan dan Jawaban: Membiarkan anak saya menanggung akibat perbuatannya
Soalan: Anak saya yang berusia 13 tahun mempunyai kecenderungan terhadap tingkah laku yang tidak bertanggungjawab dan yang mementingkan diri. Pada suatu hari, saya bertolak awal dari tempat kerja supaya dia boleh pergi ke sesi uji bakat bagi tujuan mengambil bahagian dalam drama pentas muzikal. Namun demikian, dia tidak datang dan kawannya memberitahu bahawa dia sedang melepak dengan kawan-kawan kelasnya di bilik pancaragam.
Saya cuba menhubunginya melalui telefon dan menunggu selama 15 minit dan lepas itu, saya balik kerja. Dia terlepas sesi uji bakat dan terpaksa menunggu di sekolah hingga pengakhiran hari bekerja. Saya berpendapat bahawa keputusan saya adalah betul tetapi ibu bapa yang lain berpendapat bahawa saya terlalu tegas. Sekarang saya berasa ragu-ragu. Apa pendapat anda?
Jawaban: Tindakan anda memang berani dan dapat memberi galakan yang besar kepada ibu bapa yang memerlukan inspirasi. Malangnya, kita sedang menyaksikan kecenderungan beberapa tahun belakangan ini di mana ibu bapa ‘berfungsi berlebihan’ bagi pihak anak-anak. Contoh biasa ialah ibu bapa menjalankan tugasan yang sepatutnya dilakukan oleh anak. Contoh yang lain ialah tidak membenarkan anak mereka melalui pengalaman tidak selesa atau yang tidak menyenangkan yang dapat membina akhlak anak-anak. Apa yang disangka sebagai ‘membantu’ sebenarnya ‘membantut’ pembesaran anak-anak dari segi menyediakan mereka menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab dan boleh berdikari. Malangnya, bila ibu bapa ‘berfungsi berlebihan’, mereka akan mendapat anak-anak yang menjadi orang dewasa yang ‘kurang berfungsi’.
Oleh itu, kuatkan pendirianmu! Tindakan anda membiarkan anak anda mengalami akibat yang menyusul dari kelakuan yang buruk dan mementingkan diri adalah tindakan yang bersifat penyayang. Terus berusaha sebegini dan besar kemungkinannya, dia akan berterima kasih kepada anda pada suatu hari kelak.
Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan kebenaran.