Ramai pemimpin Kristian berprofail tinggi telah jatuh ke dalam skandal seks dan mengalah kepada godaan. Setiap kali saya membaca mengenai skandal-skandal ini, saya menjadi marah dan sedih.
Saya merasa sedih untuk isteri, anak-anak dan mangsa-mangsa mereka, yang akan menanggung rasa malu dan rasa bersalah untuk waktu yang lama.
Saya selalu menanya diri: Apakah yang akan menghalang saya dari berakhir dengan baik?
1. Semakin saya berkuasa, semakin kurang pertanggungjawaban saya.
"Hampir semua orang dapat bertahan dalam keadaan susah, tetapi jika anda ingin menguji karakter seseorang, berilah kuasa kepadanya." - Abraham Lincoln
Kuasa memiliki keupayaan untuk menipu daya saya. Ianya secara halus mempengaruhi saya untuk menyangka bahawa saya boleh lakukan apa saja yang saya suka dan tidak akan kedapatan.
Di mana ada kuasa, di situ ada pengaruh.
Dengan pengaruh, ianya lebih mudah untuk menyakinkan orang lain bahawa saya tidak dapat melakukan kesalahan. Dan jikalau saya melakukan kesalahan, saya dapat dan akan memberi alasan untuk menghalalkan perbuatan dan tingkah laku saya. Pengikut-pengikut saya akan bersetuju dengan saya kerana mereka mempercayai saya sesungguhnya. Jikalau mereka mempersoalkan integriti saya, saya pula akan mempersoalkan kesetiaan dan niat mereka. Itu akan membuat mereka senyap dengan cepat.
Jika dibiarkan, kuasa mempunyai keupayaan membuat saya semakin kurang pertanggungjawaban.
2. Semakin saya berkuasa, semakin sukar untuk mendapat maklum balas yang jujur.
"Jangan izinkan kejayaan membuat anda besar kepala; jangan izinkan kegagalan membuat anda berkecil hati." - Sumber tidak diketahui.
Orang-orang yang berjaya ada kecenderungan menilai diri mereka lebih baik dan penting daripada sepatutnya.
Saya terlalu suka pujian dan gembira apabila mendapat publisiti. Saya menganggap kesilapan-silapan diri kurang penting. Semakin ini terjadi, semakin jarang orang-orang bawahan saya sudi memberikan maklum balas yang jujur kepada saya mengenai kegagalan saya, kecuali saya memberikan keizinan kepada mereka untuk memperbetulkan saya.
Kejayaan memiliki keupayaan membutakan saya dari melihat kekurangan-kekurangan saya.
3. Semakin besar bidang tanggungjawab saya, semakin saya mengabaikan amalan baik untuk berehat, merenung dan berfikir.
"Berwaspadalah terhadap kekosongan dalam hidup yang sibuk." - Socrates
Semakin besar bidang tanggungjawab saya, semakinlah saya sibuk. Tuntutan-tuntutan tugas yang tidak pernah berhenti telah menjauhkan saya daripada amalan-amalan baik, yang telah saya amalkan secara cermat ketika saya belum banyak tanggungjawab.
Kesibukan telah menjadi seperti ganja yang nenarik dan menguasai saya.
Aktiviti-aktiviti telah menyebabkan saya bertindak mengikut hal-hal yang mendesak, dan bukan pada hal-hal yang penting. Saya perlu sentiasa mengingatkan diri mengenai hal-hal yang tidak boleh dirunding dalam hidup saya.
Pertamanya, sekurang-kurangnya tidur selama tujuh jam. Saya bersalah menyakinkan diri bahawa saya tidak perlu tidur begitu lama.
Keduanya, saya perlu lebih banyak merenung dan berfikir. Semakin saya sibuk, semakin kurang masa untuk berhenti sejenak untuk merenung dan berfikir. Seperti Socrates mengatakan, "Hidup yang tidak diselidiki adalah hidup yang tidak bererti."
Ketiganya, saya perlu meluangkan lebih masa dengan Tuhan.
Secara perlahan-lahan tetapi secara pasti saya mengabaikan "batu-batu besar yang penting" dan mengizinkan "batu-batu kecil yang mendesak" untuk menguasai hidup saya. Saya perlu mengingatkan diri bahawa bagaimana saya berakhir tidak bergantung pada cita-cita atau kesungguhan saya tetapi pada amalan-amalan yang saya pegang.
4. Semakin ramai orang yang saya pimpin, semakin cenderung saya mengabaikan persahabatan.
"Jika anda menghabiskan waktu bersama ayam, anda akan berketak-ketak. Tetapi jika anda menghabiskan waktu bersama Helang, anda akan terbang." - Dr Steve Maraboli
Melalui waktu, saya telah belajar menghargai persahabatan-persahabatan saya, terutama kawan-kawan karib yang telah melayani bersama saya selama lima dekad. Tetapi semakin banyak pasukan dan orang yang saya pimpin, semakin berkurangan masa saya untuk mereka.
Meluangkan waktu bersama sahabat-sahabat di mana saya memberi pertanggungjawaban telah mengukuhkan dan menyegarkan saya. Tetapi mengabaikan perhubungan akan menghalang saya daripada berakhir dengan baik.
5. Semakin saya berkecekapan, semakin saya mengabaikan sisi gelap saya.
"Setiap orang memiliki sisi gelap. Bagaimana ianya mendedahkan kita membezakan kita." - Preeth Pattabiraman
Setiap orang memiliki sisi gelap. Saya memanggilnya KKK - Kecenderungan Kegagalan Kepimpinan. Ianya kemungkinan kesombongan, kemarahan, kelukaan waktu silam, ketidakmaafan atau dosa seksual.
Sesetengah pemimpin beranggapan bahawa seseorang tidak harus memperkatakan mengenai sisi gelap. Sebaliknya kita harus mengfokus kepada kekuatan dan kebolehan kita.
Pengalaman peribadi telah mengajar saya bahawa mengabaikan KKK saya dan keengganan untuk berhadapan dengannya akan membawa kepada kejatuhan saya.
KKK saya adalah terbenam di bawah akal sedar saya dan hanya perlukan suatu pencetus untuk mengaktifkannya. Hakikatnya, KKK saya akan meresapi pekerjaan dan perhubungan saya.
Kejayaan dan kecekapan yang seberapa banyakpun tidak akan mengurangi sisi gelap saya. Ianya bukan sahaja akan sentiasa menghantui saya tetapi pada akhirnya akan menggagalkan saya dan merosakkan semua yang telah saya bina.
Apakah pelajaran yang paling penting untuk saya?
Daripada menuding jari kepada pemimpin-pemimpin yang telah jatuh ini, seperti dalam kisah Yesus mengenai wanita yang ditangkap basah semasa berzinah. Saya lebih baik menyelidiki hati saya yang teruk dan yang berdosa ini dan memerhati dengan lebih mendalam jiwa saya sendiri, untuk melihat sekiranya ada kejahatan di dalam diri saya.
Saya berharap dan berdoa saya akan berakhir dengan baik. Saya benar-benar perlukan rahmat Tuhan untuk membawa diri dengan selamat.
Meskipun kepenatan - Berakhirlah dengan Baik
Meskipun ditentang - Berakhirlah dengan Baik
Meskipun ingin berputus asa - Berakhirlah dengan Baik
Selesaikan apa yang anda mulakan - Berakhirlah dengan Baik
Anda di selekoh terakhir perlumbaan - Berakhirlah dengan Baik
Lakukan apa yang anda kata akan lakukan - Berakhirlah dengan Baik
Jadilah teladan yang amat diperlukan oleh yang lain - Berakhirlah dengan Baik
Ingati semua sebab anda mengapa anda telah bermula - Berakhirlah dengan Baik
Satu lagi tahap pencapaian dan tugasan yang seterusnya menanti anda - Berakhirlah dengan Baik
Tuhan mengharapkan anda - Berakhirlah dengan Baik
(Diterjemahkan daripada artikel Salt & Light bertajuk, "What Will Prevent Leaders From Finishing Well?" yang ditulis oleh Dr John Ng bertarikh 19 Februari 2021)
petikan : domba2domba.blogspot.com