Tommy Chen telah tamat pengajian di Malaysian Institute of Art pada 1990, dan dia telah mengfokus kepada menghasilkan lukisan ikan koi dan biasanya akan menyelitkan unsur-unsur Feng Shui dalam lukisan-lukisannya. Walau bagaimanapun, selepas dia menerima dan menyerahkan hidup kepada Yesus, dia mula melukis bagi Tuhan. Ini adalah petikan daripada kesaksian yang ditulis oleh Tommy Chen.
Sebelum mengenal Kristus, hidup saya tidak bertujuan. Karir saya sebagai artis yang melukis "Koi Fish" telah membawa saya ke tahap yang lebih tinggi, di mana saya bersikap mementingkan diri dan menjadi sangat angkuh. Bagaimanaoun, keadaan hanya bertahan selama satu dekad. Pada tahun 2000, perniagaan saya gagal. Saya mengalami depresi dan langsung hilang hala tuju dalam hidup.
Kakak saya berkongsi dengan saya mengenai Yesus Kristus. Dia memberitahu saya bahawa Tuhan mengasihi saya, dan bahawa Dia akan menyelamatkan saya, memberi saya harapan dan tujuan dalam hidup (Yeremia 29:11). Dengan itu, saya membuat keputusan untuk menerima, mengikut dan menyerahkan hidup kepada Yesus Kristus sebagai Tuhan saya pada 2001. Dalam perjalanan saya bersama Kristus dalam tiga tahun pertama, saya benar-benar telah mengalami kasihnya dan melihat banyak mukjizat dalam hidup saya sendiri yang membuat saya ingin mengongsikan kasih-Nya dengan kawan-kawan dan pelanggan-pelanggan saya.
Yeremia 29:11 Sebab Aku ini mengetahui rancangan-rancangan apa yang ada pada-Ku mengenai kamu, demikianlah firman TUHAN, yaitu rancangan damai sejahtera dan bukan rancangan kecelakaan, untuk memberikan kepadamu hari depan yang penuh harapan.
Tuhan telah memberi saya penglihatan sebatang lilin yang sudah ditinggalkan dalam laci, yang tidak pernah dinyalakan. Dia berkata kepada saya, "Sekarang, kamu dinyalakan untuk menyinar. Aku akan menyalakan hidupmu supaya orang akan dapat melihat Yesus Kristus melalui kamu." Kemudiannya saya menjumpai ayat dalam Alkitab bahawa kita harus menjadi cahaya dunia, dan garam bagi dunia.
Saya juga sangat tersentuh oleh kata-kata Ibu Theresa yang mengatakan, "Saya sebatang pensil yang kecil dalam tangan Tuhan yang menulis, yang sedang mengutus surat cinta kepada dunia." Pada suatu hari semasa saya sedang memandu dalam kesesakan jalan raya yang sangat teruk untuk pergi kebaktian doa di DUMC, Roh Kudus berbicara kepada saya, "Anakku, kamu adalah berus, Aku akan mencelupkan kamu dalam Warna Hidup-Ku dan memakai kamu untuk mewarnai kehidupan orang-orang lain." Lalu saya berdoa, "Tuhan, bagiku hikmat. Aku akan gunakan Firman Tuhan untuk berkongsi dengan lukisan-lukisanku."
Sebelum saya menjadi Kristian, Tuhan telah mengutus seorang Saudara Jason Tan (ketua dan hos FGB untuk cabang Jaya One) untuk meminta saya melukiskan baginya sebuah lukisan ikan koi, dengan menyertakan satu ayat Alkitab di dalamnya (Markus 10:8). Itu adalah benih yang telah ditanam ke dalam hidup saya, sebab itu adalah kali pertama saya memasukkan Firman dalam lukisan saya.
Di bawah cara lama saya menjual, saya telah menamakan lukisan-lukisan saya "Prelude - The Fresh Water Series," Motivasi utama saya melukis pada waktu itu adalah hanya untuk wang dan kemuliaan diri. Dulunya saya sering menekankan mengenai unsur-unsur Feng Shui untuk mempelawa pelanggan-pelanggan saya membeli lukisan saya. Saya telah mendengar ajaran Pastor Senior saya bahawa Feng Shui itu ada kaitan dengan ilmu ghaib. Jadi saya menanyakannya apakah yang saya harus lakukan. Dia berkata, "Kita semua orang berdosa, carilah kehendak Tuhan. Berdoa dan biarlah Tuhan tunjukkan pada kamu jalannya."
Pada tahun 2003, apabila saya berdoa ketika melukis, saya mendengar Tuhan menanya saya, "Anakku, kamu rasa sukacitakah untuk melukis? Ketepikan unsur-unsur Feng Shui, carilah wajah Bapa-Ku," Saya merenungkan perkataan 'air' yang saya sentiasa gunakan. Satu perkataan datang kepada saya, "Jangan panggilnya fresh water (air tawar), panggillah ianya sebagai Living Water (Air Kehidupan." Pada masa itu saya baru setahun jadi orang Kristian. Saya berkongsi ini dengan Pastor Senior saya, Dr Daniel Ho, dan memberitahunya bahawa Tuhan telah memberi saya satu ayat dari Nehemia 8:10 - sebab sukacita daripada Tuhan ialah kekuatan kamu - dan bahawa Dia ingin saya menggunakan ayat ini untuk siri baru lukisan ikan koi saya.
Sejak dari masa itu, saya mula meletakkan ayat Firman Tuhan dalam lukisan-lukisan saya yang dipamerkan di pasaran. Pada satu kali, saya telah membuat temujanji untuk menunjukkan seorang pengumpul seni yang adalah orang kaya tetapi tidak memiliki tujuan yang sebenar dalam hidup. Lukisan itu bernilai RM4,000 tetapi saya telah memberitahu Tuhan bahawa oleh kerana tujuan saya sekarang ialah untuk menyebarkan Injil, saya akan menerima apa pun harga yang ditawarkan oleh orang itu dengan kesyukuran. Orang itu kemudiannya menawarkan harga RM2,500 untuk lukisan ikan koi saya. Walaupun kebanyakan artis biasanya tidak akan membenarkan diskaun yang begitu besar, saya menerimanya sebagai satu komitmen kepada Tuhan. Jika anda sungguh-sungguh ingin mendengar suara Tuhan, Dia akan memimpin anda.
Saya memasangkan lukisan itu untuk orang itu dan menanya samada saya boleh mengucapkan doa berkat untuk lukisan itu dan untuknya. Saya berdoa, "Aku menyembah Engkau, Tuhan dengan lukisan ini. Ini adalah untuk kemuliaan-Mu. Saya berdiri dan berdoa untuk orang ini. Roh Kudus datanglah dan penuhi tempat ini." Menakjubkan sekali, orang itu mulai menangis dan saya memberitahunya, "Air matamu adalah air mata sukacita bukan kesedihan." Sebagai orang Kristian yang muda, saya sudah cukup gembira dan fikir bahawa saya telah melakukan tugas saya tetapi mengimbas kembali, saya sedar bahawa saya terlepas satu kesempatan besar untuk membawa orang itu kepada Kristus.
Pada tahun 2007, Tuhan berkata dengan saya lagi, "Anakku, Aku telah memberikan kamu berkat dan hidup berkelimpahan. Letakkan tajuk siri lukisan kamu yang akan datang "Abundant Life" (Hidup yang Berkelimpahan). Dan dengan itu, saya mentaati dan terus menggunakan "The Abundant Life Series" untuk semua lukisan saya sejak tahun 2007 hinggalah sekarang.
Pada Oktober 2011, saya dan seorang kawan telah membuat permohonan untuk mengadakan pameran dua pelukis di salah satu galeri seni yang paling terkemuka di Mont Kiara. Kebiasaannya taraf para undangan sangat tinggi, dengan lukisan dijual dengan harga setinggi RM100,000 sekeping. Dari perspektif dunia, ianya tidak mungkin, tetapi dengan Tuhan, segalanya mungkin. Saya meminta Tuhan untuk satu tanda, dan Dia menunjukkan saya banner untuk satu pertandingan golf dengan kata-kata "For the glory" (Demi kemuliaan). Saya memohonnya untuk diri saya, sambil mengucapkan, "Demi kemuliaan Tuhan" dan kami secara ajaib mendapat tempat itu!
Sekarang ada masalah baru bagi kami berdua. Walaupun kami sudah mendapat tempat itu, kami tidak cukup lukisan untuk dipamerkan. Bagaimanapun, kami membuat keputusan bahawa pertamanya, kami akan menyerahkan 10 peratus daripada keuntungan kepada Tuhan. Membahagikan kerjanya di antara kami, kami menyedari bahawa kami setiap orang perlu menyediakan 22 lukisan, dan saya hanya punya 4 lukisan yang siap. Biasanya saya hanya dapat menyiapkan paling banyak satu lukisan dalam satu bulan. Jadi 18 lukisan biasanya akan mengambil masa setahun setengah. Tapi kami cuma ada masa dua bulan setengah.
Pada waktu itu saya juga terlibat dalam design pentas untuk penerbitan drama Krismas DUMC dan menghabiskan banyak masa di situ. Saya membuat keputusan mengutamakan Tuhan terlebih dahulu walaupun dalam keadaan masa yang sangat mendesak. Tambah teruk lagi, saya jatuh sakit, tetapi pada hari saya sakit, Tuhan telah memberi saya kekuatan untuk pergi ke gereja dan mengerjakan design pentas itu.
Kerja-kerja di gereja telah selesai pada 16 Disember 2011 tetapi pameran itu sudah dijadualkan akan bermula pada 3 Januari 2012, dan saya perlu menyiapkan 18 lukisan saya. Sebagai amalan biasa saya, saya menutup pintu bilik saya dan berdoa, berseru kepada Tuhan dan mencari-Nya. Tuhan berkata kepada saya, "Aku akan memberi kuasa kepadamu" dan tangan saya merasa panas. Menakjubkan sekali, saya mendapati diri saya secara luar biasa dapat menyiapkan semua lukisan itu, dan sehingga lebih awal dari masanya.
Seperti kebiasaan saya, saya memasukkan ayat Firman Tuhan dalam lukisan-lukisan saya dan seorang kawan mengucapkan rasa bimbangnya bahawa saya menghadkan pasaran saya kepada hanya orang-orang Kristian. Di tempat pameran itu, saya menumpang tangan ke atas setiap lukisan dan memohon Roh Kudus memenuhi tempat itu dan melepaskan kuasa dan pengurapan-Nya ke atas setiap lukisan di dinding. Pameran itu sangat berjaya dan hampir 50 peratus lukisan-lukisan itu telah dijual.
Lebih menakjubkan lagi, sebilangan orang membeli lukisan saya sambil menangis. Seorang wanita dari Brazil, seorang penulis puisi yang Katolik telah datang melihat pameran seni saya. Dia menangis di galeri seni itu dan memberitahu saya bahawa dia mengalami pertemuan dengan Yesus Kristus di ruang galeri itu, di mana Tuhan telah berbicara kepadanya secara peribadi.
Pada mulanya saya fikir bahawa memilih Tuhan itu adalah menjawab satu soalan pelbagai pilihan jawapan, dan saya telah membuat keputusan memilih Yesus Kristus. Walau bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Tuhan berbicara kepada saya melalui satu ayat Alkitab (Yohanes 15:16) bahwa Dialah yang telah memilih saya. Dengan berlinangan air mata, saya mengucap terima kasih kepada Tuhan kerana Dialah yang telah memilih saya.
Yohanes 15:16 Bukan kamu yang memilih Aku, tetapi Akulah yang memilih kamu. Dan Aku telah menetapkan kamu, supaya kamu pergi dan menghasilkan buah dan buahmu itu tetap, supaya apa yang kamu minta kepada Bapa dalam nama-Ku, diberikan-Nya kepadamu.
(Dipetik dan diterjemah oleh SDP daripada artikel Christianity Malaysia bertajuk, "Painting Unto The Lord - Tommy Chen" yang ditulis oleh Tommy Chen bertarikh 31 Disember 2013)
dipetik dari domba2domba.blogspot.com