Rangka Khutbah Di Atas Bukit
pasti kebanyakan daripada anda pernah memiliki dan menggunakan penahan buku seperti dalam gambar di bawah. Jika tidak ada penahan buku, sukar sekali untuk mengekalkan buku-buku secara menegak di atas meja kita. Biasanya kita akan menggunakan dua penahan buku pada kedua-dua hujung susunan buku kita untuk menahan buku-buku daripada jatuh dan berselerak.
Saya akan menggunakan prinsip yang sama untuk membentuk rangka bagi khutbah Tuhan Yesus yang terkenal dan sangat penting, yang biasa digelar sebagai “Khutbah di atas Bukit.”
Isi kandungan utama khutbah Tuhan Yesus ini disepit dan “ditahan” oleh dua “penahan buku,” iaitu permulaan dan penutup khutbah-Nya. Jika kita tidak memahami kedua-dua “penahan buku” khutbah-Nya, kita akan salah tafsir isi kandungan utama dan arahan-arahan yang Yesus berikan.
Kita boleh menggambarkan hal ini seperti dalam gambar rajah di bawah:
Khutbah di atas bukit direkodkan di dalam Injil Matius 5:3-7:27. Intipati khutbah ini ialah Tuhan Yesus memberi “manifesto kerajaan Allah untuk pemuridan yang sejati.” Manifesto ditakrifkan oleh Kamus Dewan sebagai “pengisytiharaan kepada orang ramai tentang dasar (tujuan dan lain-lain) sesuatu parti politik sebelum pilihan raya.”
Maka, manifesto Kerajaan Allah seperti yang terkandung di dalam Khutbah Tuhan Yesus mengisytiharkan kepada sesiapa yang ingin menyertai Kerajaan Allah mengenai asas dan tujuan Allah menubuhkan serta mengembangkan Kerajaan-Nya. Manifesto ini memberi kita petunjuk yang jelas ciri-ciri seorang murid Kristus, tujuan dan misinya, serta perlakuannya yang sejati dan selari dengan Firman Allah.
Dua petunjuk yang memberi kita bimbingan untuk mentafsir ajaran Yesus di dalam khutbah ini ialah:
Perubahan dan perlakuan yang sejati mestilah dari dalam (dari hati manusia) ke luar.
Seorang murid Yesus yang sejati mesti hidup menurut Roh.
Oleh sebab itu, keadaan dan isi hati seorang murid Kristus adalah hal yang mana penting dalam pemuridannya. Kehidupan seorang murid Kristus bukan sekadar apa yang dilakukan dan dilihat dari luar sahaja. Hati individu itu mesti disentuh, diubahkan dan digerakkan oleh Roh Kudus yang mendiami di dalamnya. Oleh kerana dari hati akan terpancar kehidupan luar seseorang, maka kita diseru untuk menjaga apa yang kita benarkan masuk ke dalam hati kita dan mempengaruhinya:
23Jagalah hatimu lebih daripada segalanya,
kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan. (Amsal 4:23, AVB)
Pendahuluan khutbah itu yang membentuk “penahan buku” yang pertama dipetik dari Matius 5:3-16. Saya menggambarkan bahagian ini sebagai “atap” sebuah rumah yang memberi penutup untuk kehidupan seorang murid Kristus yang sejati. Dalam pada itu, Tuhan Yesus memberi sembilan sikap hati yang indah untuk dipupuk, iaitu:
Miskin kerohanian.
Bersedih.
Lemah lembut.
Lapar dan dahaga akan perbenaran.
Berpengasihan.
Suci hati.
Mendamaikan manusia.
Dianiaya demi kebenaran.
Dihina, dianiaya dan difitnah dengan segala yang jahat kerana Yesus.
Seterusnya, Tuhan Yesus mengajar prinsip pertama, iaitu sikap hati yang indah inilah yang akan membentuk saksi hidup yang menarik sebagai garam bumi dan cahaya dunia (Matius 5:13-16, AVB).
Maka, tujuan hidup kita akan jelas dan sejajar dengan Amanah Agung yang diberikan kepada kita oleh Tuhan Yesus:
18Yesus datang dan berkata kepada mereka, "Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi. 19Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. 20Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman." (Matius 28:18-20, AVB)
“Penahan buku” yang kedua terletak di bawah sekali, iaitu merupakan penutup khutbah Tuhan Yesus seperti yang terkandung di dalam Matius 7:13-27. Kalau kita menggunakan gambaran rumah tadi, maka apa yang dikatakan oleh Yesus dalam penutupnya merupakan asas rumah itu.
Asas sebuah rumah amat penting sekali. Jika asas rumah itu kuat, maka rumah itu sudah tentu kukuh sekali. Tetapi jika asas rumah itu lemah, maka tidak lama selepas siap, keretakan akan muncul dan jika betul-betul cacat, maka akhirnya rumah itu akan roboh.
Maka, prinsip kedua yang diajar oleh Tuhan Yesus ialah asas yang betul menyebabkan abadinya penyelamatan kita. Hal tentang penyelamatan pada akhir hidup kita adalah maha penting kerana ia menentukan apa terjadi kepada kita untuk selama-lamanya, sama ada memperoleh hidup yang kekal bersama-sama dengan Allah di syurga, atau mengalami hukuman yang kekal di neraka, terpisah daripada Allah. Perkara ini tidak boleh dianggap remeh kerana akibatnya adalah berkekalan.
Dalam pada itu, persoalan besar yang mesti dijawab dan ditetapkan sepanjang hidup kita di dunia ini ialah siapa Tuan atau Tuhan kita yang memerintah di dalam hati. Hal ini mesti selari dengan Perintah Terutama yang dinyatakan oleh Tuhan Yesus sendiri:
29Yesus menjawab, "Yang terutama antara semua perintah ialah: 'Dengarlah, wahai umat Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa. 30Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh fikiranmu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.' Inilah perintah yang terutama. 31Perintah yang kedua ialah: 'Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.' Tiada perintah lain yang lebih utama daripada dua perintah ini." (Markus 12:29-31, AVB)
Di antara kedua-dua “penahan buku” ini, maka terdapat isi kandungan praktikal yang berkaitan dengan cara kita hidup bersama dengan orang lain. Jika kita telah memahami pengenalan khutbah bahawa sikap hati yang indah membentuk saksi yang menarik dan juga mengetahui bahawa asas yang betul menyebabkan abadinya penyelamatan kita, maka sudah tentu cara kita hidup sebagai saksi Allah di dalam dunia ini perlulah sangat berlainan dengan perlakuan orang lain di dunia ini.
Dalam pada itu, Injil penyelamatan Yesus bertentangan dengan semua ajaran agama yang lain tentang cara manusia diselamatkan daripada dosa. Kaedah agama ialah manusia berusaha melayakkan diri untuk masuk syurga. Tetapi penyelamatan melalui Tuhan Yesus jelas sekali berbeza dengan cara dunia ini, iaitu hanya Dia yang menunaikan segala perbenaran yang diperlukan bagi pihak kita. Maka, murid Kristus yang sejati tidak ada apa-apa dasar untuk menjadi angkuh dan sombong, tetapi dengan hati yang remuk dan rendah, mereka akan mengikuti kata-kata Tuhan Yesus dalam khutbah ini:
12Segala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi." (Matius 7:12, AVB)
Oleh sebab itu, prinsip ketiga yang diajar oleh Tuhan Yesus dalam khutbah-Nya ialah penggerak hati yang luhur demikian menghasilkan perbuatan yang jujur dalam kalangan teman hidupnya yang merangkumi orang yang percaya dan orang yang tidak percaya. Mereka akan menyingkirkan perbuatan yang tidak sesuai sebagai orang suci dan salih. Tuhan Yesus menyentuh sembilan perlakuan berikut:
Kemarahan (5:21-26)
Nafsu dan perzinahan (5:27-32)
Berbohong (5:33-37)
Membalas dendam (5:38-42)
Membenci (5:43-47)
Mengingini pujian dan kemuliaan daripada manusia (6:1-18)
Mengasihi wang dan kekayaan (6:19-24)
Kegelisahan dan kekhuatiran (6:25-34)
Menghakimi orang lain (7:1-5)
Kita hanya dapat mengatasi sembilan perlakuan buruk tersebut jika kita memahami Perintah Baru yang diberikan dan sejajar dengan bahagian kedua Perintah Terutama:
34Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri. 35Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku." (Yohanes 13:34-35, AVB)
31Perintah yang kedua ialah: 'Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.' Tiada perintah lain yang lebih utama daripada dua perintah ini." (Markus 12:31, AVB)
Orang yang mengasihi seperti Tuhan Yesus tidak akan melakukan sembilan perlakuan yang buruk terhadap orang lain tetapi akan mematuhi Hukum Taurat Allah, bukan untuk menyelamatkan diri tetapi untuk memuliakan Allah dalam kehidupannya. Selain itu, mereka juga ingin semua orang tahu mereka adalah murid Kristus yang telah dan sedang diubahkan oleh Roh Kudus yang bekerja di dalam hati mereka.
Tindakan Peribadi dan Sebagai Komuniti
Cabarannya bagi kita adalah sama ada kita dapat hidup mengikut standard kemuliaan Allah yang begitu tinggi seperti yang diterangkan dalam khutbah Yesus di atas bukit ini. Kalau anda mengambil sedikit masa untuk membaca seluruh khutbah ini sambil membayangkan Tuhan Yesus berbicara kepada anda, apakah reaksi anda kepada ajaran-Nya?
Akan disambung...
terima kasih Tuhan di atas peringatan yang telah diberikan. ajarilah kami supaya kami terus memberi perhatian kepada bahagian dalaman hati kami: senantiasa kami berwaspada menjaga hati kerana dari situlah terpancar kehidupan. kami mahu mengakui bahawa, bukan apa yang dilihat manusia yang dilihat Engkau. manusia melihat apa yang di hadapan mata, tetapi Engkau melihat hati. terima kasih Bapa, berkati platform ini, komuniti digital, berkati bangsa kami, berkati juga negara kami yang tercinta ini, amin.
Mari sama-sama kita minta pertolongan Tuhan supaya kita mampu hidup dengan standard kemulian Allah, di dalam Yesus Kristus.
Wow. Thank you. Tuhan, Jadilkanlah kami pelaku firman. Amen. “Namun demikian, jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman; lakukanlah firman itu.” (Yakobus 1:22 AVB)