Menunaikan, Bukan Menghapuskan Taurat (Bahagian 2)
17"Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. 18Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku. (Matius 5:17-18, AVB)
Yesus telah mengisytiharkan bahawa dia datang, bukan untuk menghapuskan Taurat tetapi menunaikannya. Dengan pengisytiharaan tersebut, kedudukan Hukum Taurat di dalam Firman Tuhan dan di dalam dunia ini masih dikekalkan.
Tuhan Yesus meneguhkan pengisytiharaan tersebut dengan memberi satu bukti dan satu amaran atau janji.
Bukti tentang kedudukan Hukum Taurat yang tidak berubah, selagi langit dan bumi lama ini wujud, ialah ciri Firman Tuhan yang pasti terkabul. Apa yang diwahyukan dan dinubuatkan oleh Allah di dalam Firman-Nya pasti akan menjadi nyata.
19Allah bukanlah manusia sehingga Dia berbohong,
bukan anak manusia sehingga Dia menyesal dan berubah fikiran.
Jika Dia berfirman, tidak akankah Dia lakukannya?
Jika Dia berbicara, tidak akankah Dia laksanakannya? (Bilangan 23:19, AVB)
Oleh sebab Allah tidak mungkin berbohong dan tidak mungkin menyesal serta mengubahkan fikiran-Nya, maka apa yang telah difirmankan-Nya tetap kekal dan tidak akan dihapuskan. Maka, Tuhan Yesus mengatakan dengan begitu tegas bahawa, “selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku.”
Titik (jot) atau huruf (tittle) yang paling kecil yang dimaksudkan oleh Yesus ialah huruf yod dalam bahasa Yahudi. Huruf ini adalah seperti tanda koma (tengok gambar di bawah).
Maka, dengan pernyataan Yesus ini, dia telah menekankan dengan tegas sekali bahawa apa yang dinyatakan di dalam seluruh Firman Tuhan (termasuk Hukum Taurat), tidak mungkin akan dibatalkan atau dihapuskan.
Tambahan pula, apa yang Tuhan Yesus telah lakukan ialah dia telah menunaikan keperluan Hukum Taurat (seperti yang telah diterangkan dalam Bahagian 1, “Menunaikan, dan bukan menghapuskan”).
Lantaran ini, Tuhan Yesus memberi amaran bahawa orang yang melanggar hukum yang terkecil dan mengajar orang lain untuk berbuat demikian, kerana mereka fikir bahawa Hukum Taurat telah dihapuskan dan tidak diguna pakai lagi, akan dianggap sebagai golongan yang paling rendah dalam kerajaan Allah.
19Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga. (Matius 5:19, AVB)
Sebaliknya, orang yang mematuhi Hukum Taurat dan mengajar orang lain untuk berbuat demikian, dijanjikan akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga. Adakah ini bermaksud bahawa kita, sebagai orang salih dalam era baru Perjanjian Baru, mesti mengikuti semua 2000 lebih hukum Taurat dalam Perjanjian Lama? Soalan ini adalah amat penting dijawab dengan betul supaya kita tidak akan “dibelenggu oleh kuk perhambaan semula.”
1Demi kemerdekaan Kristus telah memerdekakan kita. Oleh itu, berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh Kristus kepada kita, dan jangan biarkan diri dibelenggu oleh kuk perhambaan semula. (Galatia 5:1, AVB)
Dalam pada itu, kita mesti membezakan tiga jenis hukum Taurat:
Hukum Taurat jenis istiadat - Contoh-contoh Hukum Taurat jenis istiadat ialah cara mengorbankan binatang untuk dosa manusia, istiadat untuk imam-imam mendekati hadirat Allah di dalam Khemah Suci atau Bait Allah dan lain-lain seperti yang terkandung di dalam buku buku-buku Keluaran dan Imamat.
Hukum Taurat jenis sivil - Undang-undang yang diguna pakai untuk mentadbirkan negara atau bangsa Israel.
Hukum Taurat jenis moral - Peraturan-peraturan berkaitan dengan apa yang betul dan salah mengikut pandangan Allah, bukan mengikut pandangan manusia.
Hukum Taurat Jenis Istiadat
Tuhan Yesus telah menunaikan keperluan Hukum Taurat jenis istiadat apabila dia mengorbankan diri-Nya sebagai korban yang suci dan sempurna. Maka, suatu era baru telah lancarkan oleh Tuhan Yesus yang dipanggil sebagai Perjanjian Baru. Tuhan Yesus melakukan ini pada malam sebelum dia dihukum mati, semasa dia memperkenalkan sakramen jamuan suci:
19Kemudian Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan roti itu dan memberikannya kepada murid-murid-Nya, sambil berkata, "Inilah tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku." 20Demikian juga, sesudah makan, Dia mengambil cawan sambil berkata, "Cawan ini perjanjian baru dengan darah-Ku yang ditumpahkan bagimu. (Lukas 22:19-20, AVB)
Maka, hari ini, kita sebagai orang salih tidak perlu mengamalkan istiadat-istiadat yang terkandung di dalam Perjanjian Lama, bukan kerana hukum-hukum itu telah dihapuskan, tetapi kerana Tuhan Yesus telah menunaikannya.
Hukum Taurat Jenis Sivil
Bagaimana pula dengan Hukum Taurat jenis sivil? Hukum Taurat jenis sivil boleh diamalkan dalam keadaan yang tertentu, iaitu jika hukum-hukum itu sesuai dengan undang-undang negara kita. Contohnya, undang-undang sivil yang berkaitan dengan hukuman mati bagi mereka yang didapati dan dihakimi bersalah kerana membunuh orang lain, boleh diikuti jika ianya selaras dengan undang-undang negara kita.
Namun begitu, jika Hukum Taurat jenis sivil tidak selaras dengan undang-undang negara kita, maka kita boleh memilih sama ada kita ingin patuhi atau tidak. Contohnya, setiap lima puluh tahun, semua hutang dan perhambaan dalam komuniti Israel dihapuskan dengan amalan yang dikenali sebagai Tahun Pembebasan (Imamat 25:8-22).
Dalam hal ini, undang-undang negara kita memang tidak selaras dengan Hukum Taurat sivil ini. Maka, amalan ini tidak boleh diguna pakai sama ada jika kita penghutang atau pemiutang. Tetapi, jika kita mahu menggunakannya dalam kes tertentu dan menggunakan prinsip hukum sivil ini, anda bebas untuk berbuat demikian, tetapi anda tidak boleh memaksa orang lain untuk ikut anda. Maka, jika ada orang yang berhutang dengan anda, dananda membatalkan hutang itu kerana belas kasihan, itu merupakan pilihan bebas anda.
Hukum Taurat Jenis Moral
Dalam kes Hukum Taurat jenis moral pula (seperti yang dirumuskan dalam Sepuluh Perintah Allah dalam Keluaran 20:1-17), sempadan yang digariskan oleh Allah untuk menjelaskan apa yang betul dan apa yang salah, masih diguna pakai. Walau pun Tuhan Yesus telah menunaikan semua keperluan hukum moral ini bagi pihak kita, namun begitu secara praktikal, kita masih perlu mematuhinya.
Hal ini sedemikian kerana sebagai umat Allah dan orang salih, kita perlu menunjukkan perubahan dalam kehidupan kita, supaya gaya hidup dan perbuatan kita selaras dengan kehendak moral Allah. Jika kita melanggar hukum moral Allah, bagaimanakah kita boleh menjadi saksi Allah yang baik? Oleh sebab itu, di antara sembilan sikap hati yang indah dan pengisytiharaan Yesus bahawa dia telah menunaikan, bukan menghapuskan Taurat, dia telah menyeru kita menjadi garam bumi dan cahaya dunia:
13"Kamu ialah garam bumi. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang.
14Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi. 15Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah. 16Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga." (Matius 5:13-16, AVB)
Tuhan Yesus menyeru kita untuk memuliakan Allah dengan kehidupan dan perbuatan yang baik dalam kalangan orang ramai.
Rumusan dan perintah Tuhan Yesus yang diberikan di dalam bahagian ini, berbunyi demikian:
20Maka Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya, kamu tidak akan memasuki kerajaan syurga jika kesalihanmu tidak lebih daripada kesalihan ahli Taurat dan orang Farisi." (Matius 5:20, AVB)
Pernyataan ini sangat mengejutkan kerana kesalihan ahli Taurat dan orang Farisi memang terkenal sebagai amalan yang sangat ketat dan sukar untuk diikuti. Mereka telah membentuk sistem sendiri untuk mematuhi semua 613 peraturan yang telah dikenal pasti oleh mereka daripada Hukum Taurat. Setiap peraturan pula diperincikan lagi dengan bahagian-bahagian yang sangat spesifik untuk diamalkan dalam hampir semua situasi yang mungkin dihadapi oleh seseorang pengamal Hukum Taurat.
Maka, seseorang yang ingin mematuhi semua 613 peraturan yang ditetapkan oleh ahli Taurat dan orang Farisi ini, akan dibebankan dengan 613 peraturan dan ribuan lagi peraturan yang dibentuk oleh manusia. Sudah tentu, keadaan ini menjadikan seseorang berada dalam keadaan yang dibelenggu oleh kuk perhambaan, seperti yang dinyatakan oleh Paulus dalam Galatia 5:1 di atas.
Namun begitu, Tuhan Yesus mengatakan bahawa, kesalihan kita mesti melebihi kesalihan ahli Taurat dan orang Farisi jika kita ingin memasuki kerajaan syurga (Allah)! Bagaimanakah kesalihan kita boleh melebihi kesalihan mereka yang sudah mengamalkan gaya hidup Hukum Taurat yang begitu tinggi sehingga ianya mustahil untuk diikuti dan dipenuhi?
Tuhan Yesus akan menjelaskan hal ini dalam isi kandungan khutbah-Nya dengan contoh-contoh yang diambil daripada kehidupan kita. Kita akan memahami bagaimana Tuhan Yesus menerangkan kesalihan kita yang akan melebihi kesalihan ahli Taurat dan orang Farisi dalam pertimbangan kita yang seterusnya.
Namun begitu, saya ingin memberi prinsip penting yang diguna pakai oleh Tuhan Yesus dan berbeza dengan amalan ahli Taurat dan orang Farisi:
Hukum Taurat moral mesti dipatuhi dengan ikhlas dari hati kita, iaitu dari niat di dalam ke perbuatan di luar, dengan bantuan Roh Kudus.
Dalam pada itu, kita bukan hanya ingin mematuhi Hukum Taurat moral dengan perbuatan dan tingkah laku luaran sahaja. Apa yang berlaku di dalam hati kita juga diambil kira. Jadi, kita bukan hanya menguruskan tingkah laku sahaja, tetapi motivasi dan niat hati kita juga mesti murni.
Contohnya, Hukum Taurat yang melarang kita membunuh, sebenarnya tidaklah begitu susah untuk dipatuhi. Kebanyakan orang di dunia ini tidak akan membunuh orang lain secara fizikal. Tetapi, Tuhan Yesus menaikkan taraf peraturan ini dengan mengatakan bahawa, Hukum Taurat moral ini dilanggar apabila kita marah dan “membunuh” orang di dalam hati kita (sila baca Matius 5:21-26).
Sudah tentu, kita tidak mampu dan tidak sanggup untuk memenuhi segala-gala Hukum Taurat moral, jika dilihat dalam konteks hati kita yang sangat licik.
9Hati itu licik melebihi segala sesuatu,
bahkan sangat parah – siapa dapat mengetahuinya? (Yeremia 17:9, AVB).
Oleh sebab itu, Tuhan Yesus telah membekalkan kita dengan penyelesaian-Nya untuk semua orang salih-Nya.
Pertama, Dia telah menunaikan semua keperluan Hukum Taurat moral dari dalam ke luar, bagi pihak kita.
Kedua, Dia telah memberi kita perbenaran-Nya untuk menjadi orang yang salih:
21Tetapi sekarang, tanpa hukum Taurat, perbenaran Allah telah dinyatakan. Hukum Taurat dan para nabi telah memberikan kesaksian tentang hal itu. 22Perbenaran Allah hanya melalui iman kepada Yesus Kristus bagi semua yang percaya. Hal ini berlaku kepada semua orang tanpa membezakan sesiapa pun. (Roma 3:21-22, AVB)
1Oleh yang demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. 2Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang. Dan kita bersukacita dengan harapan akan kemuliaan Allah. (Roma 5:1-2, AVB)
1Dengan demikian, sekarang tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam Kristus Yesus. 2Kerana melalui Kristus Yesus hukum Roh kehidupan telah membebaskanku daripada hukum dosa dan kematian. 3Apa yang tidak dapat dilakukan oleh Taurat kerana lemahnya tabii manusia, telah dilakukan oleh Allah dengan menghantar Anak-Nya dalam bentuk manusia berdosa untuk menjadi persembahan menebus dosa. Dengan demikian Dia menghukum dosa dalam diri manusia berdosa. 4Allah berbuat demikian supaya kita dapat menunaikan kehendak-kehendak hukum dalam diri kita dengan sepenuhnya, mengikut kehendak Roh dan bukan mengikut kehendak sifat tabii. (Roma 8:1-4, AVB)
Ketiga, Tuhan Yesus memberi kita Penolong, iaitu Roh Kudus, yang hidup di dalam kita, untuk membantu kita menjadi orang yang salih:
16Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya. (Yohanes 14:16, AVB)
26Namun demikian, Penolong, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu. (Yohanes 14:26)
26Apabila Penolong, Roh Kebenaran daripada Bapa, yang Kuutus kepadamu datang, Dia akan bersaksi tentang-Ku. (Yohanes 15:26, AVB)
7Apa yang Kukatakan kepadamu ini benar; untuk kepentinganmu, baiklah Aku pergi. Selagi Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepadamu. Jika Aku pergi, Aku akan mengutus-Nya kepadamu. (Yohanes 16:7, AVB)
Pembantu ini akan mengajar, menasihati, membetulkan, melatih, mendorong, membimbing, mengarahkan dan menguatkan kita dalam semua cabaran dan godaan hidup ini.
Beginilah Tuhan Yesus menunaikan Taurat, dan bukan menghapuskannya, bagi pihak kita. Kita akan meneliti dengan lebih lanjut bagaimana prinsip ini digunakan dalam bentuk sikap hati yang indah, khususnya dalam konteks perhubungan kita dengan orang lain.
Wow ! Sangat diberkati !