Berpengasihan (Bahagian 1: Kemurahan Hati)
7Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga. (Matius 5:7)
Orang yang berpengasihan menunjukkan belas kasihan terhadap orang miskin dan musuhnya. Belas kasihan boleh membawa dua maksud - memberi apa yang kita tidak perlu memberi (seperti memberi bantuan secara sukarela kepada orang miskin) atau tidak memberi apa yang orang lain layak terima (iaitu balasan terhadap perbuatan salah mereka pada kita).
Mari kita mempertimbangkan dahulu orang berpengasihan yang murah hati, terutamanya terhadap orang miskin dan orang berkeperluan.
Suatu fakta yang ketara sekali di dalam Alkitab ialah Allah adalah pembela orang yang miskin. Sila baca ayat-ayat berikut yang jelas menggambarkan hakikat ini:
5"Kerana orang miskin ditindas
dan kerana orang sesak merintih,
Aku akan bangkit sekarang," firman Tuhan.
"Aku akan memberi mereka kesejahteraan yang diingini." (Mazmur 12:5, AVB)
5Siapa mengolok-olokkan orang miskin, mencela Penciptanya,
dan sesiapa yang gembira kerana sesuatu bencana, tidak terlepas daripada hukuman. (Amsal 17:5, AVB)
17Sesiapa mengasihani orang miskin memberikan pinjaman kepada Tuhan,
dan Dia akan membalas jasa baiknya itu. (Amsal 19:17, AVB)
22Jangan rompak orang miskin kerana dia tidak berdaya,
dan jangan hancurkan orang yang tertindas di sidang pengadilan,
23kerana Tuhan akan membela perkara mereka,
lalu merampas orang yang merampasi mereka. (Amsal 22:22-23, AVB)
Maka, tidak hairanlah apabila Allah memberkati mereka yang memiliki sifat yang indah kelima, iaitu berpengasihan, khususnya terhadap orang miskin.
Tuhan Yesus sendiri telah mengatakan bahawa apabila kita melakukan baik terhadap orang yang miskin dan berkeperluan, tindakan itu seakan-akan kita melakukan kerja baik itu terhadap-Nya:
35Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu; 36Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.'
37Orang yang benar itu pun bertanya, 'Tuhan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman? 38Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian? 39Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?'
40Raja akan menjawab, 'Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.'
45Dia akan menjawab, 'Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu tidak melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu tidak melakukannya kepada-Ku.' (Matius 25:35-40,45, AVB)
Maka, firman Tuhan memang menggalakkan orang saleh Allah untuk menunjukkan belas kasihan terhadap mereka yang memerlukannya:
8Wahai manusia, engkau telah diberitahu apa yang baik.
Dan apakah yang dituntut Tuhan daripadamu
selain menegakkan keadilan, mencintai kesetiaan,
dan hidup dengan rendah hati di hadapan Allahmu? (Mikha 6:8, AVB)
9"Beginilah firman Tuhan alam semesta, 'Jalankanlah hukum dengan benar. Tunjukkanlah kasih dan sayang antara satu sama lain. 10Janganlah menindas balu, anak yatim, pendatang, dan orang miskin. Janganlah merancang kejahatan dalam hatimu terhadap satu sama lain.' "(Zakharia 7:9-10, AVB)
Di dalam Perjanjian Baru, Paulus juga telah mengajar dan melakukannya:
10Mereka hanya meminta agar kami ingat akan orang miskin, sesuatu yang sememangnya hendak kulakukan. (Galatia 2:10, AVB)
9Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa. 10Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman. (Galatia 6:6-10, AVB)
Maka, gereja di Yersalem telah mengambil langkah untuk membantu mereka yang miskin dan memerlukan bantuan.
34Tiada seorang pun di antara mereka yang kekurangan; kerana semua yang memiliki harta atau rumah telah menjualnya, membawa wang jualan itu 35dan meletakkannya di kaki para rasul; lalu dibahagikanlah antara mereka menurut keperluan masing-masing. (Kisah Para Rasul 4:34-35, AVB)
Begitulah komuniti orang percaya yang saling membantu supaya kasih Allah ketara ditunjukkan secara praktikal. Iman yang sejati akan ditunjukkan dengan sifat berpengasihan yang membantu mereka yang mempunyai keperluan yang tulen. Yakobus menerangkan hal ini sedemikian:
14Saudara-saudaraku, apa gunanya seorang berkata, "Aku beriman," jika dia tidak membuktikan imannya melalui perbuatannya? Iman sedemikian tidak dapat menyelamatkannya. 15Katakanlah seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan kekurangan makanan. 16Apakah gunanya kamu berkata kepadanya, "Selamat jalan, pakailah baju panas dan makanlah secukupnya," jika kamu tidak menghulurkan apa yang diperlukan tubuhnya? 17Demikian juga dengan iman, jika tidak dinyatakan melalui perbuatan, maka sia-sialah iman itu. (Yakobus 2:14-17, AVB)
Terdapat suatu amalan yang diajar di dalam Hukum Taurat yang boleh membantu kita memberi kepada orang miskin dan berkeperluan dengan konsisten:
9Apabila kamu menuai hasil tanahmu, hendaklah kamu menuai ladangmu tidak habis sampai ke pinggir-pinggirnya, dan jangan kamu pungut saki-baki tuaianmu. 10Demikian jugalah, jangan kamu petik kebun anggurmu sampai habis licin dan janganlah kamu pungut buah-buah yang berguguran di kebun anggurmu. Hendaklah kamu tinggalkan semua itu untuk para fakir miskin serta pendatang. Akulah Tuhan, Allahmu. (Imamat 19:9-10, AVB)
Syor yang diberikan kepada mereka yang sedang menuai ladangnya atau memetik hasil kebun mereka ialah supaya tidak mengutip hasil mereka dengan bersih, tetapi tinggalkan saki-baki untuk para fakir miskin atau pendatang untuk mengutip hasil anda untuk kegunaan mereka. Maka, amalan ini ialah sesuatu perbuatan yang sengaja meninggalkan hasil tuaian untuk orang lain yang memerlukannya masuk ladang atau kebun untuk berusaha mengutip hasil untuk diri mereka.
Amalan ini sangat baik kerana dengan cara ini kita menjaga martabat orang miskin atau pendatang. Kita tidak memberi sedekah dengan percuma-cuma, tetapi membenarkan mereka mengutip hasil dengan usaha mereka sendiri. Dalam kata lain, kita bantu mereka bantu sendiri!
Kita mungkin tidak ada ladang atau kebun untuk mengikuti amalan ini, tetapi kita boleh guna pakai prinsipnya. Apa yang kita boleh lakukan ialah mengasingkan duit setiap bulan untuk membantu mereka yang miskin dan berkeperluan. Simpan duit ini secara dana berasingan dan apabila situasi muncul untuk membantu orang yang miskin dan berkeperluan, kita dapat terus memberi dengan segera.
Di dalam khutbah ini, Tuhan Yesus bukan sahaja mendorong kita menghulurkan bantuan sebagai orang yang berpengasihan, tetapi juga mengajar bagaimana memberi dengan hati yang murni:
1"Ingatlah: Jangan buat amal ibadati di muka umum supaya dilihat orang; kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Bapamu yang di syurga.
2Oleh itu, ketika kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan seperti orang munafik meniup sangkakala di saumaah dan di jalan raya, supaya dipuji orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang begitu sudah pun mendapat ganjaran mereka. 3Apabila kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu. 4Jangan siapa pun mengetahuinya. Bapamu yang melihat amalmu yang tersembunyi itu akan memberikan ganjaran kepadamu." (Matius 6:1-4, AVB)
Suatu perkara yang Tuhan Yesus sangat menentang ialah amalan ibadat orang munafik yang ingin menunjuk-nunjuk perbuatan baik mereka supaya mereka mendapat pujian orang. Perkataan “munafik” yang digunakan oleh Tuhan Yesus merujuk kepada para pelakon yang memakai topeng dan memainkan suatu peranan. Maka, mereka tidak menunjukkan diri mereka yang sebenar.
Oleh sebab itu, Tuhan Yesus mengecam sikap kemunafikan orang Farisi secara langsung:
5Mereka melakukan sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Kitab Suci yang diikatkan pada dahi dan lengan mereka, serta betapa panjangnya rumbai jubah mereka. 6Mereka suka duduk di tempat terhormat di majlis jamuan dan kerusi khas di saumaah. 7Mereka suka diberi salam hormat di pasar dan suka dipanggil 'rabbi.' (Matius 23:5-7, AVB)
Perbuatan baik mereka terus terbatal kerana niat dan motivasi hati yang salah. Mereka hanya ingin meninggikan diri di hadapan manusia melalui semua perbuatan baik mereka. Oleh sebab itu, perbuatan baik mereka selalu dibuat supaya dapat dilihat oleh orang ramai. Apatah lagi, apabila Tuhan Yesus memberi amaran ini: Jangan buat amal ibadat di muka umum supaya dilihat orang; kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Bapamu yang di syurga.
Apabila kerja amal dibuat untuk mendapat pujian orang, Tuhan Yesus mengatakan bahawa ganjaran daripada Tuhan tidak akan diberikan. Hal ini kerana, apabila orang lain memuji kerja amal yang dilakukan, orang yang melakukannya sudah terima ganjarannya - iaitu pujian manusia. Maka, ganjaran daripada Tuhan terus ditarik balik!
Kita tidak boleh terima kedua-dua ganjaran daripada manusia dan ganjaran daripada Allah:
44Bagaimana kamu mungkin percaya kepada-Ku, sedangkan kamu mencari pujian sesama sendiri? Kamu tidak berusaha mendapatkan pujian daripada Allah yang esa. (Yohanes 5:44, AVB)
Dalam pada itu, suatu perkara yang kita perlu belajar dengan tekun dan jujur ialah disiplin kerahsiaan, iaitu amalan yang dilakukan secara tersembunyi. Amalan ini amat susah kerana daging atau sifat tabii kita ingin ditonjolkan dan diperakui oleh orang lain. Maka, untuk melakukan kerja amal kita secara rahsia, kita terpaksa mati seribu kali!
Namun begitu, Tuhan Yesus mengajar bahawa sifat tabii kita perlu dimatikan bukan sahaja berkaitan dengan orang lain, malah dengan diri sendiri.
Apabila kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu. (Matius 6:3, AVB)
Maksudnya, apabila kita memberi kepada orang miskin dan membantu orang lain, jangan puji diri kita sendiri di dalam hati pun! Wah, betapa susahnya untuk melakukan ini! Jika kita mendapati diri sendiri melakukan ini, kita mesti terus bertaubat dan menghentikan perbuatan memuji diri sendiri di dalam hati kita. Sebenarnya, tidak ada orang lain yang ketahui bahawa kita memuji diri sendiri jika kita tidak membuka mulut kita dan mengatakannya. Tetapi Tuhan tahu apa yang berlaku di dalam hati kita.
Walaupun disiplin kerahsiaan ini sangat mencabar, namun begitu jika kita terus mengamalkannya, maka membuat kerja amal akan menjadi begitu semula jadi sehingga ianya menjadi amalan yang automatik. Dalam kata lain, kita tidak lagi anggap perbuatan membantu orang lain sesuatu yang luar biasa atau menakjubkan. Membantu orang lain yang memerlukan adalah normal dan kita tidak lagi akan memuji diri sendiri kerana melakukannya. Kita tidak terfikir pun tentang hal itu kerana memang kebiasaan untuk melakukannya.
Begitulah, sifat indah berpengasihan akan menjadi sebahagian daripada amalan kita dalam perhubungan dengan orang lain. Kemurahan hati akan menjadi sebahagian daripada watak rohani kita.