Berpengasihan (Bahagian 2: Hati yang Bebas daripada Kemarahan)
7Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga. (Matius 5:7)
Selain itu, seorang yang berpengasihan juga menunjukkan sifat indah ini dalam perhubungannya dengan mereka yang boleh dikira sebagai “musuh” mereka. Dalam konteks ini, “musuh” boleh merangkumi mereka yang menyalahi kita dan mereka yang ingin menganiaya kita. Reaksi dan respon kita terhadap mereka akan menentukan sama ada kita memiliki sifat indah seorang yang berpengasihan.
Dalam pada itu, kita akan mempertimbangkan ilustrasi yang digunakan oleh Tuhan Yesus semasa dia mengajar di dalam Khutbah-Nya di atas Bukit:
21"Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: 'Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh akan dihakimi.' 22Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya 'bodoh' akan dihumbankan ke dalam api neraka. (Matius 5:21-22, AVB)
Tuhan Yesus merujuk kepada hukum Taurat yang berkaitan dengan larangan untuk membunuh secara sengaja. Hukum ini terkandung di dalam Sepuluh Perintah Allah (Keluaran 20:13). Seperti yang kita telah pertimbangkan dalam bahagian yang lalu, perintah ini tidak berapa susah untuk dipatuhi. Kebanyakan orang dapat mengelak daripada melakukan pembunuhan fizikal yang sengaja.
Namun begitu, Tuhan Yesus telah meningkatkan tahap hukum ini dengan menggunakan kaedah yang biasanya digunakan oleh orang Yahudi, iaitu kaedah yang dikenali sebagai “memagari Taurat” (building a hedge around the Law/Torah).
Kaedah ini mengambil pendekatan memperincikan hal-hal yang membentuk “pagar” untuk Hukum Taurat supaya seseorang tidak akan mendekati tindakan yang menungkinkan pelanggaran sesuatu hukum. Secara praktikal, seseorang yang mengelak tidak melangkaui “pagar”/“sempadan”/”batasan” ini dianggap tidak akan melanggar peraturan itu. Maka, pagar itu melindungi orang itu daripada melakukan dosa terhadap Allah.
Dalam hal ini, Tuhan Yesus telah memberi tiga contoh perintah yang lebih ringan daripada perintah asal Taurat yang melarang tindakan membunuh secara fizikal.
Perintah pertama yang lebih ringan ialah melarang kita daripada memarahi atau membenci orang lain. “Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi.”
Semasa Tuhan Yesus mengajar ini, dia mungkin merujuk kepada ayat ini di dalam Perjanjian Lama:
11Akan tetapi, jika seseorang membenci sesamanya lalu mengadangnya lalu menyerangnya, dan memukul orang itu hingga mati, kemudian melarikan diri ke salah sebuah kota itu... (Ulangan 19:11, AVB)
Ayat ini memberi kita suatu proses yang bermula dengan kemarahan/membenci dan menjadi lebih kuat apabila seseorang itu mengadang orang yang dianggap melakukan kesalahan terhadapnya. Ini bermakna orang yang hatinya disakiti menyimpan kemarahan dan kebenciannya terhadap orang lain, seakan-akan seorang yang bersembunyi di tempat yang sunyi dan tidak kelihatan untuk merancang bagaimana membalas dendam. Apabila peluang untuk berbuat demikian muncul, maka dia keluar dari tempat sembunyinya dan menyerang atau memukul orang itu sehingga dia mati.
Dalam konteks ini Tuhan Yesus mengatakan orang yang menyimpan kemarahan dan kebencian di dalam hatinya, akan tiba-tiba menyerang dengan kata-kata atau tindakan yang “mencederakan” orang yang dia benci atau marah. Maka, Tuhan Yesus mengajar bahawa orang yang “membunuh orang dalam hatinya” telah melanggar perintah Allah.
Yesus mengisytiharkan ini atas kuasa dan wibawa-Nya sebagai Tuhan. Ajaran daripada nenek moyang sekadar menyentuh pembunuhan secara fizikal (iaitu sesuatu perbuatan luaran), tetapi Tuhan Yesus meningkatkan tarafnya untuk merangkumi niat hati (perasaan dalaman). Maka, dalam kata lain, jika seseorang dapat mematuhi perintah Yesus yang jauh lebih tinggi ini, maka dia akan melebihi kesalihan ahli Taurat dan orang Farisi.
Dalam kata lain, jika seorang dapat mematuhi pagar niat hati supaya dia tidak memarahi atau membenci orang lain, maka sudah tentu dia dapat mengelak daripada membunuh dengan sengaja orang lain.
Perintah kedua yang lebih ringan ialah melarang kita daripada mencaci atau menghina orang lain. “Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama.”
Mencaci atau menghina orang lain adalah sepupu kepada memarahi dan membenci. Jika seseorang mencaci orang lain, dia sebenarnya tidak kisah sama ada dia melukai orang yang dicacinya. Orang yang dicaci sudah tentu akan tertusuk dalam hatinya dan emosinya diganggu secara negatif.
Tindakan mencaci ini biasanya dilakukan secara umum di hadapan orang lain. Maka, reputasi orang yang dicaci akan dirosakkan pada pandangan orang lain. Oleh sebab itu, Tuhan Yesus mengatakan bahawa seorang yang mencaci orang lain patut di bawa ke hadapan Majlis Agama untuk diadili, dihukum atau didenda setimpal dengan betapa teruknya dia menjejaskan reputasi orang lain.
Perintah ketiga yang lebih ringan adalah menghakimi dan melabel orang lain bodoh (tidak berakal). “Dan sesiapa yang memanggil saudaranya 'bodoh' akan dihumbankan ke dalam api neraka.”
Tindakan memanggil dan melabelkan seseorang sebagai “bodoh” adalah sangat serius sebab apa yang dilakukan ialah kita menghakimi hati seseorang sebagai layak mengalami jahanam api neraka! Hal ini selaras dengan apa yang dikatakan di dalam mazmur berikut:
1Orang bodoh berkata dalam hatinya,
"Tidak ada Allah."
Mereka rosak akhlak, mereka melakukan perbuatan keji;
tiada yang berbuat baik. (Mazmur 14:1, AVB)
Orang yang menghakimi orang lain sedemikian memainkan peranan sebagai Allah yang menghakimi manusia. Tetapi sebenarnya, kita sebagai manusia tidak dapat membaca atau mengenal pasti isi hati orang lain. Maka, kita memang tidak layak untuk menghakimi mereka!
Jika kita menghakimi atau melabel orang lain sebagai orang bodoh, Tuhan Yesus mengatakan bahawa akibatnya ialah kita akan dihumbankan ke dalam api neraka! Apakah maksud pernyataan Tuhan Yesus ini?
Maksud yang paling serius ialah orang yang cuba mengambil alih peranan Allah untuk menghakimi “penyelamatan” orang lain, akan dihakimi dengan dahsyatnya oleh Tuhan sehingga dia sendiri akan dihumbankan ke dalam neraka! Apakah ini mungkin terjadi? Jika, tidak, mengapa Tuhan Yesus mengatakannya?
Apa jua pendapat anda, kita dapat sekurang-kurangnya memahami amaran Tuhan Yesus bahawa orang yang memanggil orang lain bodoh, akan melalui pengalaman yang seakan-akan “api neraka”:
5Demikianlah dengan lidah kita, walaupun kecil, namun dapat bermegah tentang hal-hal yang besar. Betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang amat kecil. 6Lidah laksana api. Lidah kita ibarat dunia yang dikuasai kejahatan dan memenuhi seluruh diri kita dengan kejahatan. Lidah menghanguskan hidup kita dengan api dari neraka. (Yakobus 3:5-6, AVB)
Apabila kata-kata kita begitu bisa sekali sehingga boleh merosakkan iman orang lain, kita sendiri akan dihakimi dan dibakar oleh “api dari neraka”. Padahnya ialah pengalaman yang sangat menyakiti dan memeritkan hati kita akan terjadi. Api yang kita sendiri nyalakan akan membakar diri kita!
Tuhan Yesus menekankan betapa pentingnya mematuhi perintah untuk tidak membunuh orang di dalam hati kita, dengan meletakkannya sebagai prioriti yang tinggi.
23Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu, 24tinggalkanlah persembahanmu di depan mazbah, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu.
25Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai dan kamu akan dimasukkan ke dalam penjara. 26Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran." (Matius 5:23-26, AVB)
Scenario yang pertama ialah apabila kita sedang menyembah Allah dan tiba-tiba sedar bahawa terdapat perhubungan yang terjejas dengan saudara kita kerana kita telah membenci/memarahi, mencaci/menghina atau menghakimi/melabel orang lain, maka kita patut menghentikan persembahan kita (di hadapan mazbah), dan pergi berdamai dahulu dengan orang itu! Ini bermaksud, jika kita mempunyai akar kepahitan di dalam hati kita, dosa itu akan menjadi penghalang kepada kita untuk menyembah Allah dalam roh dan kebenaran (Yohanes 4:24).
Ayat-ayat ini meneguhkan hakikat ini:
14Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang, serta kesucian; tanpanya tiada sesiapa pun dapat melihat Tuhan. 15Awaslah, jangan sampai ada sesiapa pun yang tidak mendapat kasih kurnia Allah. Jangan biarkan akar kepahitan menimbulkan kekacauan, sehingga ramai yang tercemar. (Ibrani 12:14-15, AVB)
Scenario yang kedua ialah kita ketahui bahawa terdapat seorang yang ingin mendakwa kita di mahkamah kerana sesuatu kesalahan yang kita telah lakukan. Dalam situasi ini, kita didorong untuk berdamai dengan orang itu di luar mahkamah. Rendahkan diri dan pergi berjumpa dengan orang itu untuk meminta ampun. Jika tidak, kes itu akan dihakimi di mahkamah dan kita akan “dipenjarakan” sehingga kita langsaikan semua bayaran yang dituntut orang itu.
Bagaimanakah kita dapat mengeluarkan semua akar kepahitan di dalam hati kita? Berdoa kepada Allah untuk memberi kita sikap hati yang indah, iaitu berpengasihan. Hal ini bukan sesuatu kebolehan atau kekuatan manusiawi. Secara semula jadi, kita akan membenci/memarahi, mencaci/menghina atau menghakimi/melabel musuh-musuh kita. Tindakan itu memang akan terjadi tanpa kita berusaha pun.
Untuk hati yang berpengasihan, kita perlu Roh Kudus menanam benihnya supaya buahnya akan terhasil di dalam hati kita:
22Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, 23lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini. (Galatia 5:22-23, AVB)
Asas buah roh ialah kasih Allah yang tercurah di dalam hati kita. Kasih Allahlah yang membantu kita memenuhi hukum ini melalui sikap dan perbuatan kita dengan orang lain, termasuk mereka yang paling susah untuk kita terima. Dalam konteks ini, kita perlu memohon dan bersandar kepada Roh Kudus untuk mengasihi dengan kasih yang dicurahkan dalam hati kita oleh Tuhan.
5Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita. (Roma 5:5, AVB)
8Jangan berasa terhutang apa-apa kepada sesiapa pun kecuali kasih-mengasihi, kerana seseorang yang mengasihi sesama manusia telah memenuhi hukum; (Roma 13:8, AVB)
Oleh sebab itu, kasih Allah ialah elemen wajib yang membolehkan kita memenuhi Hukum Emas dan Hukum Platinum yang kita telah pertimbangkan dahulu:
Hukum Emas: Segala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka [Apa yang baik yang anda ingin orang lain berbuat terhadap anda, buatlah sedemikian dengan mereka dahulu. Sebaliknya, kejahatan yang anda tidak mahu orang lain berbuat terhadap anda, jangan pula buat terhadap mereka.]
Hukum Platinum: Segala sesuatu yang Allah lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada orang lain.
Orang yang mengasihi dengan kasih Allah tidak akan mencederakan orang lain. Mereka akan memiliki sikap hati yang berpengasihan.
17Sebaliknya, apabila seseorang memiliki kebijaksanaan yang berasal dari syurga, maka dia bersifat murni, mencintai kedamaian, lemah lembut dan ramah-tamah. Dia juga bersikap belas kasihan serta mengamalkan segala jenis perbuatan baik. Dia tidak bersikap berat sebelah dan tidak munafik atau bertalam dua muka. (Yakobus 3:17, AVB)
Selain itu, apabila “musuh” kita melakukan sesuatu yang menyakiti hati kita dan berniat jahat, dengan sikap berpengasihan, kita akan dapat melepaskan semua perasaan marah dan ingin membalas dendam.
31Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat. 32Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus. (Efesus 4:31-32, AVB)
Memaafkan bermaksud kita melepaskan orang yang bersalah terhadap kita daripada “hutangnya” dan tidak menuntut ganti rugi daripadanya. Malahan, kita tidak memerlukan mereka untuk minta maaf pun. Itulah sifat mengampuni seorang yang berpengasihan.
Tindakan ini adalah sesuatu yang dilakukan oleh satu pihak sahaja, iaitu orang yang memaafkan, dan tidak bergantung kepada orang yang melakukan kesalahan itu. Apabila kita mengampuni, kita sendiri dibebaskan daripada semua perasaan negatif yang menyeksa kita. Itulah ganjarannya apabila kita memilih untuk mengampuni orang lain. Maka, tidak hairahlah bahawa orang yang diberkati ialah orang yang memilih untuk mengampuni orang lain. Sebaliknya, orang yang tidak mengampuni akan terseksa.
13Orang yang tidak mengamalkan belas kasihan akan dihukum tanpa diberi belas kasihan, tetapi mereka yang mengamalkan belas kasihan tidak akan takut diadili. (Yakobus 2:13, AVB)
Maka, semaklah hati anda sama ada terdapat akar kepahitan terhadap sesiapa pun. Pohon bantuan Roh Kudus untuk memberi anda buah kasih yang membantu anda untuk memiliki hati yang berpengasihan untuk mengampuni dan melepaskan mereka yang telah bersalah terhadap anda. Lakukannya dengan segera sekarang juga!