Berpengasihan (Bahagian 3: Apabila Lebih Baik Tinggalkan Atau Mengelak)
Kita perlu mengimbangkan pengajaran tentang sifat indah berpengasihan ini kerana jika kita terlalu ekstrem, kita akan mengalami kecederaan yang tidak berbaloi atau yang tidak membawa apa-apa manfaat. Pengajaran sikap berpengasihan ini tidak bermakna kita perlu menerima semua ancaman, penderaan dan penganiayaan tanpa tentangan dan tanpa had.
Kalau kita mempertimbangkan contoh Tuhan Yesus, dia tidak selalu berdiri diam-diam dan menerima cemuhan, serangan dan cabaran. Banyak kali Tuhan Yesus tinggalkan situasi itu atau mengelak sahaja.
Tuhan Yesus berbuat demikian terhadap tiga jenis orang yang toksik.
Orang yang berjiwa pembunuh.
Orang yang angkuh dan menentang secara terang-terangan.
Orang yang hanya menggunakan orang lain.
Mari kita mempertimbangkan tindakan Yesus terhadap orang-orang yang toksik begini.
1. Orang yang berjiwa pembunuh
Orang yang berjiwa pembunuh adalah orang yang ingin mencederakan anda dengan sengaja. Dalam kes Tuhan Yesus, musuh-musuhnya yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin agama Yahudilah yang menunjukkan ciri-ciri ini dengan ketara. Baca ayat-ayat ini dan belajar tindakan yang wajar untuk diambil terhadap orang-orang yang berjiwa pembunuh ini:
14Ketika itu orang Farisi beredar dari situ lalu berpakat hendak membunuh Yesus. 15Apabila Yesus mengetahui pakatan itu, Dia pun meninggalkan tempat itu. Ramai orang mengikut-Nya dan ramai yang disembuhkan-Nya daripada pelbagai penyakit. (Matius 12:14-15, AVB)
28Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang. 29Mereka bangun lalu mengusir Yesus dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah. 30Tetapi Yesus berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ. (Lukas 4:28-30, AVB)
59Setelah itu, mereka memungut batu untuk merejam Yesus, tetapi Yesus menyembunyikan diri-Nya lalu meninggalkan Bait Suci. (Yohanes 8:59, AVB)
39Mereka mencuba lagi menangkap Yesus, tetapi Yesus dapat melepaskan diri daripada tangan mereka. 40Yesus kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di tempat Yohanes membaptis orang dahulu. (Yohanes 10:39-40, AVB)
53Sejak hari itu, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Yesus. 54Yesus tidak lagi pergi ke sana ke mari secara terbuka di antara orang Yahudi. Dia beredar ke daerah bernama Efraim dekat gurun, dan menetap di sana bersama murid-murid-Nya. (Yohanes 10:53-54, AVB)
Di dalam setiap kes di atas Tuhan Yesus tidak berdiri dan membiarkan diri-Nya dicederakan atau dibunuh secara membabi buta. Sebaliknya, Tuhan Yesus meninggalkan, beredar dari tempat itu, menyembunyikan diri, melepaskan diri atau mengelakkan musuh-musuh-Nya. Kalau Tuhan Yesus tidak berbuat demikian, sudah tentu dia telah dibunuh sebelum masa-Nya. Jadi, orang yang berjiwa pembunuh terhadap kita patut juga ditinggalkan dan dielakkan sejauh mana yang boleh. Itulah tindakan yang paling sesuai jika kita bersikap berpengasihan.
2. Orang yang angkuh dan menentang secara terang-terangan
Ada sebilangan orang yang angkuh dan hanya ingin menjatuhkan kita dengan mencabar iman kita. Orang yang bersifat begini biasanya ingin mencari gaduh sahaja. Kalau kita cuba berkongsi dengan lemah lembut dan rasional, kita akan sedar bahawa usaha kita adalah sia-sia sahaja. Tujuan mereka hanya untuk berdebat dan menentang kita. Mereka tidak berminat mengetahui kebenaran.
Mari kita membaca satu episod Yesus dengan orang yang sebegini:
1Pada suatu hari ketika Yesus mengajar orang ramai di dalam Bait Suci dan menyampaikan Injil, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan para tua-tua datang kepada Yesus. 2Mereka berkata kepada-Nya, "Katakanlah kepada kami dengan kuasa siapakah Kamu melakukan perkara-perkara ini. Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa itu?" 3Yesus menjawab, "Aku juga hendak bertanya kepadamu suatu perkara. Katakanlah kepada-Ku, 4baptisan Yohanes daripada syurga atau daripada manusia?" 5Mereka pun berbincang sesama sendiri, "Kalau kita berkata, 'Daripada syurga,' Dia akan berkata, 'Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?' 6Sebaliknya, kalau kita berkata, 'Daripada manusia,' orang ramai sudah tentu akan merejam kita kerana mereka yakin bahawa Yohanes itu seorang nabi." 7Mereka pun menjawab kepada Yesus bahawa mereka tidak mengetahui dari mana asalnya baptisan Yohanes itu. 8Oleh itu, Yesus pun berkata kepada mereka, "Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini." (Lukas 20:1-8, AVB)
Pada ketika Yesus dicabar oleh musuh-musuh-Nya tentang punca kuasa-Nya, dia hanya menanya satu soalan kepada mereka, “Kuasa pembaptisan Yohanes berpunca daripada syurga atau manusia?”
Musuh-musuh Yesus terus mengasingkan diri untuk membincangkan jawapan untuk soalan ini. Mereka mendapati bahawa mereka betul-betul terperangkap oleh Tuhan Yesus dengan soalan tersebut. Jika mereka menjawab, punca kuasa datang daripada syurga, mereka jangka bahawa Yesus akan tanya mengapa mereka sendiri tidak percaya dan memberi diri untuk dibaptis oleh Yohanes Pembaptis. Jawapan ini menggambarkan mereka sebagai orang yang munafik dan keras hati kerana tidak mematuhi apa yang yang datang daripada syurga!
Tetapi jika mereka menjawab bahawa punca kuasa pembaptisan Yohanes adalah hanya daripada manusia, mereka tahu bahawa ramai orang yang percaya pembaptisan Yohanes adalah di bawah naungan syurga akan tersinggung dengan pernyataan itu, malahan mungkin akan merejam mereka kerana menghujat Allah.
Jadi mereka memilih jalan yang selamat dengan menjawab, “Kami tidak tahu!” Tindakan mereka menunjukkan bahawa mereka tidak berminat mencari kebenaran. Sebaliknya, mereka hanya ingin memerangkap dan mencari gaduh dengan Tuhan Yesus.
Tindak balas Yesus yang sangat jelas ialah untuk mengelak mereka apabila dia membalas, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.”
Dalam situasi yang tertentu dengan orang yang angkuh dan menentang kita dengan tujuan untuk memerangkap atau menjatuhkan kita, cara yang paling sesuai ialah tanya soalan untuk mendedahkan dakwaan mereka yang tidak berasas, sebagaimana yang dilakukan oleh Tuhan Yesus. Kita berbuat demikian dengan meminta bukti dan sebab mereka membuat tuduhan tersebut.
Contohnya, jika seseorang menuduh bahawa Alkitab kita telah diubah, tercemar dan tidak boleh dipercayai, kita boleh tanya balik soalan-soalan ini:
Apakah yang telah diubahkan? Bolehkah saudara(i) tolong tunjukkan dengan spesifik?
Bilakah perubahan itu berlaku?
Siapakah yang membuat perubahan itu?
Mengapakah AlKitab diubahkan oleh mereka?
Apa terjadi kepada salinan yang asal?
Apakah bukti bahawa perubahan yang didakwa anda betul-betul berlaku?
Saya memanggil ini kaedah Judo. Kaedah ini sangat berkesan dengan mereka yang angkuh dan menentang secara terang-terangan.
Akhirnya, tindakan Yesus terhadap orang begini ialah jalan dan tinggalkan mereka sahaja:
34Seluruh penduduk bandar itu pun datang berjumpa dengan Yesus dan memohon-Nya pergi dari daerah itu. 1Yesus menaiki sebuah perahu lalu ke seberang, dan sampai di bandar tempat Dia tinggal. (Matius 8:34-9:1, AVB)
11Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan-Nya. Untuk menduga-Nya, mereka meminta-Nya menunjukkan suatu tanda dari syurga. 12Yesus mengeluh lalu menjawab, "Mengapakah orang zaman ini mencari suatu tanda ajaib? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepada orang zaman ini." 13Yesus meninggalkan mereka dan kembali ke perahu lalu ke seberang. (Markus 8:11-13, AVB)
15Tetapi apabila ketua imam dan ahli Taurat melihat segala mukjizat yang dilakukan-Nya, dan kanak-kanak berseru di dalam Bait Suci, "Hosana bagi Anak Daud!" mereka berasa marah. 16Mereka berkata kepada Yesus, "Kamu dengarkah apa yang dikatakan mereka?" Yesus menjawab, "Ya, belum pernahkah kamu baca,'Daripada mulut kanak-kanak dan bayi yang masih menyusu, Engkau telah menyediakan puji-pujian.' "17Kemudian Dia meninggalkan mereka dan keluar dari kota itu lalu pergi ke Betania. Dia menginap di situ. (Matius 21:15-17, AVB)
Paulus telah memberi dorongan dan nasihat ini yang sangat sesuai apabila kita menghadapi orang yang angkuh dan menentang dengan terang-terangan:
23Jauhi perbahasan yang sia-sia dan jahil, kerana kamu tahu semua ini mencetuskan perkelahian. 24Hamba Tuhan tidak harus berkelahi. Sebaliknya, mereka mestilah lemah lembut kepada semua orang, pandai mengajar, sabar, dan 25dengan rendah hati menegur orang yang menentang, semoga Allah membukakan hati mereka untuk bertaubat supaya mereka mengenal kebenaran, 26lalu mereka menjadi waras semula dan terlepas daripada cengkaman Iblis yang telah memerangkap mereka untuk melakukan kehendaknya. (2 Timotius 2:23-26, AVB)
Paul mengesyorkan kita menjauhi daripada terjerumus dalam perbahasan yang sia-sia dan jahil. Pada hakikatnya, apabila kita berhadapan dengan mereka yang bersikap ingin berdebat sahaja dan tidak mahu mempertimbangkan sesuatu topik dengan waras, tidak ada kebaikan yang boleh diperolehi pada akhirnya. Malahan, kedua-dua pihak akan menjadi marah dan besar kemungkinan akan tercetus perkelahian.
Jika perbualan semakin “panas” dan orang itu menjadi agresif serta marah, tindakan yang paling baik sebagai seorang yang bersikap berpengasihan ialah menghentikan perbualan itu. Jika orang tidak mahu dengar walau pun kita bercakap dengan lemah lembut, rasional, waras dan rendah hati, lebih baik tangguhkan perbincangan itu untuk masa yang lebih sesuai, jika kita fikir kita masih ada peluang untuk didengari oleh orang itu. Jika, tidak, jalan sahaja dan tinggalkannya. Tindakan sebegini dalam keadaan demikian tidaklah salah, walhal adalah bijak.
3. Orang yang hanya menggunakan orang lain.
Orang toksik ketiga ialah mereka yang hanya menggunakan dan memperalatkan orang lain untuk kepentingan dirinya sahaja. Untuk orang yang sebegini, Tuhan Yesus menunjukkan bahawa terdapat had melayani mereka.
Pada suatu ketika Yesus telah mengerjakan suatu mukjizat dengan memberi makan kepada lima ribu orang (Yohanes 6:1-15). Setelah berbuat demikian, Dia beredar daripada mereka ke sebuah bukit untuk berseorangan diri. Pada keesokan hari, dia dan murid-murid-Nya meninggalkan tempat itu (Yohanes 6:16-20). Apabila orang ramai sedar bahawa Yesus telah beredar, mereka menaiki perahu untuk mencari Yesus di Kapernaum (Yohanes 6:22-24).
Apabila mereka menjumpai Tuhan Yesus, mereka menanya Dia bila Dia sampai di situ. Yesus menjawab mereka dengan mengatakan, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kamu telah dapat makan sehingga kenyang.” (Yohanes 6:26)
Tuhan Yesus ketahui bahawa orang-orang begini tidak serius mengikuti-Nya tetapi hanya ingin memperalatkan-Nya sahaja. Anda boleh membaca bagaimana Yesus menangani mereka dengan mencabar mereka dengan ajaran yang cukup keras (Yohanes 6:27-65). Akibatnya ialah:
66Selepas itu, ramai murid Yesus menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya. (Yohanes 6:66, AVB).
Yesus tidak membiarkan diri-Nya diperalatkan oleh orang-orang yang sebegini.
Maka, kita pelajari daripada Tuhan Yesus bagaimana mengimbangkan sikap berpengasihan dengan fikiran yang waras untuk tidak menerima tindakan orang yang terus mencederakan atau mempergunakan kita. Kita mesti mempunyai batas atau had untuk orang-orang yang toksik. Caranya ialah untuk meninggalkan mereka atau mengelak mereka. Jadi, minta hikmat daripada Tuhan bila masa yang sesuai untuk bertindak sedemikian.
Apakah anda berada dalam situasi yang berhadapan dengan orang-orang yang toksik? Patutkah mengambil iktibar daripada teladan Tuhan Yesus dan membuat keputusan yang tegas untuk meninggalkan atau mengelak situasi yang tidak bermanfaat itu? Keputusan adalah di tangan anda!