SUCI HATI (Bahagian 1): Mulut Yang Boleh Dipercayai
Sikap hati kedua yang indah untuk perhubungan kita dengan orang lain ialah suci hati.
8Diberkatilah mereka yang suci hati,
kerana mereka akan melihat Allah. (Matius 5:8, AVB)
Seorang Kristian yang mempunyai hati yang suci merupakan seorang yang bermoral tinggi mengikut standard firman Tuhan. Maka, tidak hairanlah apabila firman berikut menyatakan hal ini dengan jelas:
3Siapa yang boleh naik ke bukit Tuhan?
Siapa yang boleh berdiri di tempat suci-Nya?
4Manusia yang bersih tangannya dan murni hatinya,
yang tidak mempersembahkan jiwanya kepada berhala atau sumpah palsu.
5Dia akan diberkati Tuhan
dan menerima kebenaran daripada Allah Penyelamatnya.
6Inilah keturunan yang mencari Dia,
yang mencari wajah-Mu, ya Allah Yakub. (Mazmur 24:3-6, AVB)
Maka, orang yang suci hatinya adalah orang yang mempunyai kerinduan yang mendalam untuk mencari wajah Allah. Oleh sebab itu, Yesus berjanji bahawa orang yang suci hatinya “akan melihat Allah!”
Tetapi, apakah yang dimaksudkan dengan orang yang bermoral tinggi mengikut standard firman Tuhan? Petunjuknya diberikan dalam mazmur itu juga apabila seorang yang murni hatinya dikaitkan dengan “manusia yang bersih tangannya” dan “tidak mempersembahkan jiwanya kepada berhala atau sumpah palsu.” Perbuatan (tangan) dan pertuturan (mulut) orang sebegini tidak ada sebarang kesalahan tetapi menunjukkan standard kebenaran yang tinggi.
Secara praktikal, orang yang suci hatinya boleh dipercayai tentang kesaksiannya (kata-katanya) atau untuk melakukan apa yang dia janjikan. Segala janji dan kata-katanya akan dikotakan. Hal ini dibincangkan oleh Tuhan Yesus di dalam Khutbah di Atas Bukit-Nya:
33"Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: 'Jangan bersumpah palsu. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.' 34Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah. 35Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Yerusalem, kerana itu kota Raja Agung, iaitu Allah. 36Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai. 37Katakan sahaja 'Ya' atau 'Tidak' dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana." (Matius 5:33-37, AVB)
Ajaran yang digunakan kepada nenek moyang pada masa itu ialah, “Jangan bersumpah palsu. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.” Dalam kata lain, apa yang telah dijanjikan kepada Tuhan dan manusia mesti ditunaikan. Ajaran ini berdasarkan Hukum Taurat berikut:
Daripada Hukum Sepuluh:
16Jangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu. (Keluaran 20:16, AVB)
Hukum ini diperkembangkan lagi di buku lain dalam koleksi Taurat, seperti berikut:
12Jangan bersumpah palsu atas nama-Ku agar jangan sampai kamu mencemarkan nama Allahmu. Akulah Tuhan. (Imamat 19:12; AVB)
2Jika seorang lelaki bernazar kepada Tuhan atau mengikat dirinya dengan mengangkat sumpah, dia tidak boleh melanggar sumpahnya, tetapi hendaklah dia berbuat sebagaimana yang telah dia sendiri ucapkan itu. (Bilangan 30:2, AVB).
13Takutlah kepada Tuhan, Allahmu, beribadatlah kepada-Nya, dan bersumpahlah demi nama-Nya. (Ulangan 6:13, AVB)
20Takutlah kepada Tuhan, Allahmu, dan beribadatlah kepada-Nya. Berpautlah kepada-Nya dan bersumpahlah demi nama-Nya. (Ulangan 10:20, AVB)
Maka, mengikut apa yang dinyatakan dalam Hukum Taurat, seseorang yang berjanji, terutama sekali apabila dia bersumpah demi nama Allah, mesti menunaikan apa yang telah dijanjikan.
Orang bersumpah demi nama Tuhan untuk meningkatkan kredibiliti atau kebolehpercayaan janjinya, supaya orang lain akan lebih mempercayai apa yang dijanjikan atau dikatakannya. Amalan ini diguna pakai untuk menyakinkan orang lain dan memang digalakkan di dalam Hukum Taurat. Prinsip ini dijelaskan dalam ayat ini daripada Perjanjian Baru:
16Orang memang bersumpah dengan nama yang lebih besar daripada dirinya, dan suatu sumpah sebagai pengesahan mengakhiri segala pertikaian. (Ibrani 6:16, AVB)
Namun demikian, Tuhan Yesus telah mengejutkan pendengar-Nya dengan mengatakan, “Jangan bersumpah!” Mengapa Tuhan Yesus mengatakan ini? Adakah dia menentang atau meniadakan Hukum Taurat? Mengapakah dia memberi perintah ini?
Tuhan Yesus tidak meniadakan Hukum Taurat. Kita mesti ingat bahawa tujuan Yesus memberi ajaran-Nya ialah untuk mengajar kita bahawa kita mesti mengatasi kesalihan ahli Taurat dan orang Farisi yang memberi penekanan kepada mematuhi amalan luaran. Jadi, melalui apa yang dia mengajarkan, Tuhan Yesus membawa amalan-amalan ke suatu peringkat yang lebih mendalam lagi, iaitu ke peringkat dalaman, iaitu di hati kita.
Amalan menyumpah demi nama Tuhan ialah sesuatu amalan yang menggunakan sesuatu di luar orang yang sedang berjanji atau bersaksi untuk menyakinkan orang lain. Tuhan Yesus mengarahkan kita untuk tidak menyumpah demi apa jua pun, sama ada langit, bumi, kota Yerusalem atau rambut kita, iaitu semua perkara yang di luar kita.
Sebaliknya, Tuhan Yesus mengarahkan seorang yang suci hatinya kata “ya” atau “tidak” sahaja. Kalau dia mengatakan “ya,” maka orang lain sepatutnya yakin bahawa dia akan melakukannya. Kalau dia mengatakan “tidak,” maka orang lain akan ketahui bahawa dia tidak akan melakukannya.
Dalam kata lain, kata-katanya sudah cukup menyakinkan kerana reputasinya sebagai seorang yang bermoral tinggi. Kata-katanya boleh dipercayai dan tidak perlu diragui oleh sesiapa, malahan tidak perlu menggunakan sesuatu yang di luar dirinya untuk menyakinkan orang lain.
Rekod peribadi daripada gaya hidupnya memang cukup membuktikan bahawa dia bukan seorang yang bercakap bohong atau berdusta. Jadi, apa yang dia katakan atau janjikan boleh dipercayai dengan sepenuhnya. Kredibiliti atau kebolehpercayaan kata-katanya datang daripada dalam dirinya, iaitu peribadinya! Nama baiknya sudah memadai untuk menyakinkan orang lain. Oleh sebab itu, nama baik kita adalah sesuatu yang amat berharga.
1Nama baik patut lebih didambakan daripada banyak harta,
dihargai orang lebih baik daripada perak dan emas. (Amsal 22:1, AVB)
Dalam kata lain, nama baik adalah jauh lebih bernilai daripada harta benda duniawi. Jangan biarkan nama kita dicemari dengan pelbagai kata-kata atau perbuatan yang keji dan salah. Setiap kali, nama kita dikaitkan dengan dosa atau perkara-perkara yang bertentangan dengan moral mengikut firman Tuhan, kredibiliti nama kita terjejas. Kebolehpercayaan kita sebagai seorang manusia akan menurun dan orang akan was-was tentang kita.
Contohnya dari dunia ini boleh membantu kita untuk memahami betapa pentingnya kita perlu menjaga nama baik kita. Sekiranya seseorang ingin mendapat pinjaman bank, perkara pertama yang pihak bank itu akan buat ialah membuat suatu semakan nama orang itu yang menyeluruh, iaitu tentang rekod urusan kewangannya. Jika mereka dapati orang itu selalu tidak membayar hutang kad kreditnya atau banyak berhutang dengan bank-bank lain, besar kemungkinan permohonan untuk meminjam duit daripada bank itu akan ditolak. Dalam kata lain, nama baik orang telah terjejas kerana rekodnya dan kredibiliti mereka dipersoalkan.
Begitulah juga, nama baik kita akan mempengaruhi kebolehpercayaan orang lain terhadap kata-kata dan janji-janji kita. Maka, berusahalah untuk menjaga nama kita dalam kalangan semua orang supaya integriti dan moral atau akhlak kita tidak tercemar.
Satu lagi perkara yang kita mesti sedar ialah kita boleh mengambil masa yang lama, mungkin bertahun-tahun untuk membina reputasi atau nama yang baik, tetapi hanya satu kesalahan boleh meruntuhkan segala-galanya dengan sekelip mata. Jadi, letakkan standard yang tinggi dan jangan berkompromi sedikit pun sejauh mana yang boleh. Kita perlu selalu menyemak dan menguji diri kita dan amalan kita supaya kita tidak berdosa atau melanggar firman Tuhan. Selain itu, bergantung kepada Roh Kudus untuk membantu kita hidup dengan hati yang suci.
Begitulah seorang yang suci hatinya. Dia takut kepada Tuhan dan tidak tergamak untuk melakukan sebarang dosa dengan mulutnya, mahupun tangannya. Seperti yang dikatakan oleh Yesus, jika apa yang disimpan di dalam hati adalah suci dan baik, maka sudah pasti apa yang meluap keluar daripada hati yang sebegitu, memang mesti kata-kata yang suci dan baik juga.
45Orang yang baik membuahkan hal-hal yang baik daripada khazanah simpanannya kerana hatinya penuh kebaikan; orang yang jahat membuahkan hal-hal yang jahat kerana hatinya penuh kejahatan. Yang diluahkan mulutnya, meluap daripada hatinya." (Lukas 6:45, AVB)
Dalam kata lain, apa yang di dalam dan apa yang ditunjukkan di luar mestilah sama, iaitu baik, murni dan suci. Oleh sebab itu, jagalah hati kita dengan baik, supaya apa yang masuk ke dalam hati kita adalah perkara-perkara yang baik dan suci:
23Jagalah hatimu lebih daripada segalanya,
kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan. (Amsal 4:23, AVB)
Hati yang suci akan memancar “mata air kehidupan”, iaitu kata-kata yang memberi hidup kepada jiwa orang lain dan membina mereka. Secara praktikalnya, apa yang dilakukan di luar, adalah berpunca daripada apa yang terkandung di dalam hati kita:
24Buanglah penipuan daripada mulutmu,
dan jauhkanlah bibir mungkar daripadamu.
25Hendaklah matamu memandang ke hadapan,
dan tatapanmu lurus ke arah di depanmu.
26Ratakanlah jalan bagi kakimu,
pastikan segala jalanmu akan teguh.
27Janganlah menyimpang ke kanan atau ke kiri;
jauhkanlah kakimu daripada kejahatan. (Amsal 4:24-27, AVB)
Jagalah dengan rapi “pintu-pintu deria” kita, terutamanya apa yang dilihat dan apa yang didengar oleh kita. Tuhan Yesus mengajar tentang hal ini:
22"Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. 23Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, maka gelap-gelitalah keadaannya!" (Matius 6:22-23, AVB)
Jika kita membiarkan perkara-perkara yang jahat, mungkar dan kotor masuk melalui pintu-pintu deria kita, maka hati kita akan dipenuhi dengan kejahatan itu. Hati yang jahat akan akhirnya melakukan kejahatan juga.
Jadi, jangan berkompromi dari segi apa yang anda tonton, dengar atau baca. Di dalam dunia ini, memang terdapat pelbagai rangsangan yang bertentangan dengan prinsip dan etika yang dipelopori oleh firman Tuhan. Kita mesti berusaha untuk menapis semua rangsangan yang sebegitu, dan dengan sengaja menyingkirkannya supaya perkara-perkara tersebut tidak masuk ke dalam hati kita.
Jika kita tonton televisyen, wayang gambar atau dengar rancangan radio, kita perlu berbuat demikian dengan aktif, iaitu membezakan apa yang benar dengan yang palsu, apa yang perbenar dan apa yang jijik. Apabila kita berinteraksi dengan orang lain, termasuk kawan-kawan di gereja dan persekutuan Kristian, kita juga mesti selalu berwaspada menerima mesej yang salah dan bertentangan dengan firman Tuhan. Jika kita membaca apa yang dimuat naik dalam media sosial, kita mesti selalu membezakan nilai-nilai yang alkitabiah, betul dan baik dengan apa yang duniawi.
Kita hanya boleh berbuat demikian jika kita selalu membaca firman Tuhan dan menyimpannya di dalam hati kita:
9Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya?
Dengan berhati-hati menurut firman-Mu.
10Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu;
janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.
11Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku
supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu. (Mazmur 119:9-11, AVB)
Kita bukan sahaja menyimpan firman Tuhan di dalam hati kita, tetapi kita juga menggunakannya sebagai latihan yang berterusan untuk menilai rangsangan yang diterima dari luar dengan firman Tuhan tersebut:
14Makanan pepejal adalah untuk orang yang sudah dewasa, iaitu mereka yang telah membiasakan akal mereka membezakan baik dengan buruk. (Ibrani 5:14, AVB)
Kalau kita berbuat demikian, kita akan bertumbuh menuju ke kematangan rohani.
Jadi, tanya diri sendiri:
Adakah saya mengamalkan latihan rohani yang berterusan ini?
Apakah saya membaca, merenung, menyimpan dan menggunakan firman Tuhan setiap hari?
Apakah firman Tuhan digunakan untuk menilai dengan aktif dan berterusan semua input yang saya terima daripada dunia?
Adakah saya dapat membezakan apa yang baik dengan yang buruk, yang betul dengan yang salah, yang perbenar dengan yang jijik?
Adakah saya selalu berusaha menjaga nama baik dan reputasi saya? Apakah amalan yang saya perlu kikis daripada kehidupan saya untuk mengelak nama baik saya terjejas?
Apakah hati saya suci?