SUCI HATI (Bahagian 2): Mulut Yang Murni dan Membina
26Jika seseorang menganggap dirinya taat beribadat tetapi tidak mengekang lidahnya, maka ibadatnya sia-sia dan dia menipu diri sendiri. (Yakobus 1:26, AVB)
Orang yang suci hatinya mesti dan patut mengekang lidahnya. Kalau tidak, Firman Tuhan mengatakan ibadatnya dianggap sia-sia dan dia hanya menipu diri sendiri! Wah, betapa seriusnya hal ini!
Sebaliknya, jika seseorang dapat mengawal lidahnya daripada melakukan kesalahan, dia dianggap sebagai orang yang sempurna!
2Kita semua selalu melakukan kesalahan. Sekiranya seseorang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan melalui tutur katanya, maka dia itu seorang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya. (Yakobus 3:2, AVB)
Siapa dalam kalangan kita yang tidak mahu menjadi orang yang sempurna? Namun begitu, secara hakikatnya, kita tidak sempurna dan kita memang banyak berdosa dengan lidah kita. Oleh sebab itu, jika kita berhasrat menjadi orang yang suci hatinya, kita perlu belajar bagaimana mengekang lidah kita dan kurangkan dosa lidah kita.
Pertama sekali kita perlu memahami kuasa lidah kita.
3Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menurut kemahuan kita. Dengan kekang, kita dapat mengendalikan seluruh tubuh kuda. 4Begitu juga dengan kapal, walaupun besar dan digerakkan oleh angin kencang, tetapi kapal hanya dikendalikan oleh kemudi yang amat kecil. Kapal bergerak ke arah yang ditentukan oleh pengemudi. 5Demikianlah dengan lidah kita, walaupun kecil, namun dapat bermegah tentang hal-hal yang besar. Betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang amat kecil. 6Lidah laksana api. Lidah kita ibarat dunia yang dikuasai kejahatan dan memenuhi seluruh diri kita dengan kejahatan. Lidah menghanguskan hidup kita dengan api dari neraka. 7Manusia dapat dan sudah pun menjinakkan makhluk lain – binatang buas, burung, haiwan menjalar, dan binatang-binatang di laut. 8Akan tetapi, tiada sesiapa pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat, tidak dapat dikuasai, dan penuh dengan racun yang membunuh. 9AKita menggunakan lidah untuk memuji Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia yang telah dicipta menurut gambaran Allah. 10Kata-kata berkat dan kata-kata kutukan lahir daripada mulut yang sama. Ini tidak sepatutnya berlaku, saudara-saudaraku. 11Dapatkah air tawar dan air masin dikeluarkan daripada mata air yang sama? 12Saudara-saudaraku, pokok ara tidak mungkin menghasilkan buah zaitun, manakala pokok anggur tidak mungkin mengeluarkan buah ara. Mata air yang masin tidak mungkin memancarkan air tawar. (Yakobus 3:3-12, AVB)
Yakobus menggunakan empat metafora untuk membantu kita memahami bahawa walaupun lidah kita sangat kecil, namun begitu kuasanya sungguh dahsyat sekali!
Lidah kita mempunyai kuasa untuk mengarahkan. Suatu kekang yang kecil di mulut seekor kuda boleh mengarahkan kekuatan kuda itu mengikut suka hati penunggangnya.
Suatu kemudi yang kecil mengarahkan sebuah kapal yang besar mengikut kehendak kapten kapal itu atau pengemudi. Dia boleh menggunakan kemudi kecil itu membawa kapal itu ke destinasinya dengan selamat atau menyebabkan kapal itu karam dengan melanggar batu karang. Begitulah juga, lidah yang kecil boleh mengarahkan kehidupan kita dan kehidupan orang lain untuk kebaikan atau keburukan.
Lidah kita mempunyai kuasa untuk menghancurkan. Api yang amat kecil boleh menyebabkan kebakaran hutan yang menghancurkan beribu-ribu hektar pokok. Begitulah juga, lidah yang kecil boleh menghancurkan kehidupan seseorang dan perhubungannya dengan orang yang disayanginya.
Lidah kita mempunyai kuasa untuk membunuh. Sedikit racun boleh membunuh seseorang jika ditelan atau disuntik ke dalamnya. Begitu juga, lidah yang kecil boleh membunuh semangat kita atau orang lain.
Yakobus menerangkan kuasa lidah atau kata-kata yang keluar daripada mulut kita sangat berbisa dan berkuasa. Bahkan firman Tuhan mengatakan bahawa, “Hidup dan mati ada dalam kuasa lidah.”
21Hidup dan mati ada dalam kuasa lidah,
orang yang menyukainya akan memakan buahnya. (Amsal 18:21, AVB)
Itulah akibatnya jika kita menggunakan lidah kita terhadap orang lain. Kita boleh memberi hidup atau mati kepada orang lain dengan kata-kata yang kita tujukan kepada mereka. Selain itu, kata-kata kita ada impak terhadap perhubungan kami dengan orang lain.
3Orang yang menjaga mulutnya memelihara nyawanya,
tetapi orang yang banyak mulut akan mengalami kehancuran. (Amsal 13:3, AVB)
Tambahan lagi, Yakobus menerangkan bahawa air yang tawar dan air yang masin tidak mungkin boleh dikeluarkan daripada mata air yang sama. Seperti yang kita telah pertimbangkan di dalam bahagian pertama, apa yang keluar daripada mulut kita mencerminkan apa yang disimpan di dalam hati kita.
45Orang yang baik membuahkan hal-hal yang baik daripada khazanah simpanannya kerana hatinya penuh kebaikan; orang yang jahat membuahkan hal-hal yang jahat kerana hatinya penuh kejahatan. Yang diluahkan mulutnya, meluap daripada hatinya." (Lukas 6:45, AVB)
Dalam pada itu, jika kita banyak mengeluarkan kata-kata kutukan tentang dan terhadap orang lain, maka kita ketahui bahawa hati kita penuh dengan kejahatan. Tetapi jika mulut kita keluarkan kata-kata berkat terhadap orang lain, maka hati kita penuh dengan kebaikan. Inilah petanda atau petunjuk isi hati kita. Sudah pasti, hati yang suci akan mengeluarkan kata-kata berkat dan banyak pujian kepada Tuhan dan Bapa kita. Kita tidak akan mengutuk sesama manusia yang telah dicipta menurut gambaran Allah.
Jika kita ikhlas dengan diri kita, kita sedar bahawa kita memang tidak sempurna dalam hal ini. Oleh sebab itu, kita perlu sedar dan waspada tentang kata-kata kutukan yang diguna pakai dan memohon kuasa Roh Kudus yang hidup di dalam kita untuk mengikisnya daripada kehidupan kita.
Mari kita mempertimbangkan beberapa kata-kata kutukan yang biasanya mencemari pertuturan kita:
1. Gosip, Mengumpat dan Memfitnah
Ini merupakan kata-kata kutukan yang paling kerap melanda gereja dan orang Kristian.
Gosip adalah perbualan atau laporan yang santai atau tanpa kekangan tentang orang lain yang kerap kali belum disahkan benar. Maka, kata-kata ini kurang berintegriti.
Mengumpat dan memfitnah adalah pernyataan palsu yang dikeluarkan tentang orang lain yang merosakkan reputasi mereka.
Berikut ialah apa yang dinyatakan oleh firman Tuhan tentang kata-kata kutukan ini:
16Jangan ke sana ke mari menyebar fitnah dalam kalangan umat sebangsamu, namun begitu jangan berdiam diri sahaja tatkala nyawa jiranmu terancam. Akulah Tuhan. (Imamat 19:16, AVB)
8Kata-kata pemfitnah seperti makanan lazat,
semuanya turun jauh ke dalam lubuk hati orang. (Amsal 18:8, AVB)
19Seseorang yang ke sana ke mari sebagai pemfitnah membuka rahsia,
maka janganlah bersekongkol dengan orang yang bocor mulut. (Amsal 20:19, AVB)
1Ya Tuhan, siapakah yang boleh tinggal di khemah suci-Mu?
Siapakah yang boleh duduk di bukit suci-Mu?
2Orang yang hidup tulus dan mengamalkan kebenaran serta berkata benar dalam hatinya,
3orang yang lidahnya tidak memfitnah,
dan tidak berbuat jahat kepada orang lain juga tidak mencela temannya, (Mazmur 15:1-3, AVB)
Apa yang kita pelajari daripada firman-firman ini ialah kata-kata negatif yang menjatuhkan orang lain memang “seronok” bagi sifat tabii atau daging kita, bahkan dikatakan adalah seperti makanan lazat sekali! Apabila kita bergosip tentang keburukan orang lain, kita rasa kita lebih baik daripada mereka, dan itu ialah makanan bagi sifat tabii yang suka berdosa dan meninggikan diri.
Apa yang jelas juga daripada firman Tuhan ialah kita tidak patut melakukan hal-hal sedemikian. Orang yang suci hati tidak akan “menghancurkan atau membunuh” orang lain kerana itu ialah dosa terhadap Allah.
Secara praktikal, apabila kita tergoda untuk gosip, mengumpat atau memfitnah orang lain, kita patut tanya diri sendiri tiga perkara dahulu:
Adakah perkara itu benar?
Kalau benar, apakah perkara itu perlu disebarkan?
Kalau perlu, bagaimana menghadkannya untuk kebaikan sahaja?
Apabila kita mendengar berita yang negatif tentang orang lain, kita patut tanya orang yang memberitahu kita, “Apakah berita ini telah disahkan oleh anda? Bagaimana anda berbuat demikian? Adakah sumber itu boleh dipercayai?”
Jika, dia tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan, maka berhenti sahaja di situ. Jangan sebarkan berita itu dan beritahu orang yang menceritakan berita itu untuk mengesahkan beritanya dahulu.
Jika berita itu disahkan benar, soalan kedua yang kita patut tanya ialah apakah berita itu perlu disebarkan kepada orang lain? Apakah tujuannya untuk berbuat demikian? Apakah niat kita ialah untuk memperbaiki atau menambah baik keadaan?
Jika kita tidak dapat memikirkan kebaikan yang boleh diperolehi jika kita berbuat demikian, maka lebih baik jangan lakukan apa-apa sehingga terdapat petunjuk yang lain.
Jika perkara itu perlu disebarkan untuk mengelak hal itu menjadi lebih buruk dan keruh, maka soalan seterusnya ialah siapakah yang kita perlu beritahu yang boleh dilindungi daripada bahaya itu atau orang yang boleh melakukan sesuatu yang positif untuk menangani keadaan yang dihadapi.
Jika kita tidak dapat menjawab dengan positif soalan ketiga ini, maka lebih baik tunggu sehingga kita dapat petunjuk dan hikmat.
Biarlah ayat ini selalu menjadi bimbingan kita dalam hal ini:
29Janganlah biarkan kata-kata yang kesat keluar dari mulutmu, tetapi lafazkanlah teguran baik yang membina, mengikut keperluannya, supaya membawa berkat kepada yang mendengar. (Efesus 4:29, AVB)
Biarlah kata-kata kita menjadi teguran baik yang membina, bukan yang meruntuhkan orang lain. Juga, biarlah apa yang kita katakan membawa berkat kepada mereka yang mendengar kita, bukan mencemari mereka dengan kata-kata kutukan. Kata-kata kutukan tentang orang lain akan mencemari fikiran orang yang dengar kata-kata itu kerana ia akan memesongkan dan menjejaskan pandangan pendengar kita tentang orang yang kita bergosip, mengumpat atau memfitnah. Sebaik-baiknya, biarlah apa yang kita katakan memenuhi keperluannya, supaya dia dibina imannya.
Dalam konteks hari ini, fikir dengan baik-baik sebelum anda poskan sesuatu di akaun media sosial anda atau memanjangkan posting orang lain. Ingat, anda masih adalah cahaya dan garam dunia di dunia maya internet. Jika anda menggunakan WhatsApp atau Telegram, berhati-hati sebelum anda memanjangkan berita kerana banyak berita palsu yang direka cipta untuk mengelirukan orang. Janganlah menjadi wahana kepada berita palsu, terutama tentang orang lain yang kamu kenali atau tidak kenali secara peribadi. Tindakan menyebarkan berita palsu ini merupakan gossip, mengumpat dan memfitnah, iaitu dosa yang perlu kita bertaubat, berhenti dan jangan digalakkan.
2. Bercakap Bohong dan Berdusta
Bercakap bohong untuk melindungi diri atau berpura-pura, terutama apabila kita membuat sesuatu kesalahan, merupakan suatu amalan kata-kata kutukan yang mempunyai akibat yang dahsyat sekali.
8Tetapi mereka yang pengecut, tidak beriman, durjana, pembunuh, melakukan yang cabul, ahli sihir, penyembah berhala dan semua pendusta akan dimasukkan ke dalam lautan yang menyala dengan api dan belerang. Inilah kematian kedua." (Wahyu 21:8, AVB)
15Di luar terdapat anjing, ahli sihir, orang yang cabul, pembunuh, penyembah berhala, dan semua yang menyukai dusta serta menuturkannya. (Wahyu 22L15, AVB)
Ambil perhatian bahawa di dalam dua ayat ini yang menyatakan siapa yang akan masuk ke ke dalam lautan api dan mengalami kematian kedua (hukuman yang kekal), hanya pendusta yang diberi tekanan bahawa “semua” orang yang berbuat demikian dan menyukainya akan menghadapi hukuman yang dahsyat ini.
Maka, jangan kita memandang rendah perbuatan ini yang dikecam dengan hebat sekali di dalam firman Tuhan. Tuhan benci perbuatan berdusta ini dan menganggapnya sebagai sesuatu yang keji:
16Ada enam hal yang dibenci Tuhan,
bahkan tujuh perkara yang menjadi kekejian bagi-Nya:
17Mata sombong, lidah dusta,
tangan yang menumpahkan darah orang tidak bersalah,
18hati yang merancang hal-hal durjana,
kaki yang cepat berlari menuju kejahatan,
19saksi dusta yang bertutur bohong,
dan orang yang menimbulkan perbalahan antara saudara. (Amsal 6:16-19, AVB)
22Bibir dusta adalah kekejian bagi Tuhan,
tetapi orang yang melakukan apa yang benar adalah kesukaan-Nya. (Amsal 12:22, AVB)
Bercakap bohong untuk melindungi diri adalah perbuatan seorang pengecut. Sebaliknya, kita perlu menghadapi kesalahan kita dengan berani walaupun kita hilang air muka kita. Kalau tidak, kita akan tambah dosa kepada dosa yang sedia ada kerana kita terpaksa mereka cipta lebih banyak lagi dosa untuk menutupi penipuan yang telah dibuat. Maka, dosa akan melambak dengan banyak dan akhirnya kehidupan kita penuh dengan kejahatan.
Jadi, selalu amalkan percakapan yang benar untuk mengelak keadaan menjadi lebih teruk lagi. Kekalkan hati yang suci dengan bercakap benar.
3. Mengangkat-angkat dengan Pujian yang Tidak Jujur
Mengangkat-angkat orang lain dengan pujian yang tidak jujur biasanya dilakukan untuk kepentingan sendiri dan untuk mendapat sesuatu daripada orang lain. Perbuatan ini adalah amalan yang tidak berintegriti kerana pujian yang diberikan tidak ikhlas. Dalam kata lain, mengangkat-angkat orang lain dengan pujian yang tidak jujur adalah sejenis dusta yang terselindung.
Apakah yang firman Tuhan katakan tentang kata-kata kutukan ini?
1Tolonglah, ya Tuhan, kerana tiada lagi orang yang warak;
orang setia telah lenyap daripada kalangan anak manusia.
2Mereka berkata sama sendiri tanpa keikhlasan,
dengan pujian manis di bibir sedangkan hati bercabang.
3Semoga Tuhan memotong bibir yang memuji palsu
dan lidah yang bertutur angkuh. (Mazmur 12:1-3, AVB)
28Lidah dusta membenci orang yang disakitinya,
dan mulut yang penuh pujuk rayu membawa kehancuran. (Amsal 26:28, AVB)
5Orang yang mengampu jirannya
membentangkan jaring bagi kakinya. (Amsal 29:5, AVB)
Mereka yang mengampu orang lain digambarkan sebagai orang yang mempunyai bibir yang manis (kata-kata pujian) tetapi hatinya bercabang. Ini bermaksud, dia mempunyai udang di sebalik batu. Pujian diberikan untuk menipu orang lain supaya mereka memberi apa yang didambakan.
Firman Tuhan memberi amaran bahawa amalan begini akan membawa kehancuran serta menjeratkan kedua-dua pihak. Apabila orang lain sedar bahawa mereka telah diperalatkan oleh orang yang mengampu, sudah tentu perhubungan mereka akan hancur dan kepercayaan akan terus lenyap. Nama baik kita dan persahabatan yang wujud akan terjejas dan sukar untuk dipulihkan.
Ada kalanya kita percaya psikologi dunia yang mengatakan kita mesti selalu memberi pujian dan bercakap positif. Contohnya, ibu bapa yang memuji anak mereka walaupun mereka tidak melakukan yang terbaik kerana mereka ingin mendorong anak-anak. Tetapi memuji secara kosong begini, langsung tidak membantu anak-anak mereka tetapi sebaliknya hanya mengukuhkan perbuatan yang salah atau yang kurang memuaskan. Bukankah lebih baik mereka menilai bersama-sama dengan ikhlas untuk mencari jalan untuk menambah baik prestasi anak-anak mereka?
Bagaimanakah kita boleh mengendalikan perbincangan dengan sesiapa sahaja supaya mereka akan terdorong untuk maju dalam perbuatan atau amalan mereka?
Dalam pada itu, jangan terlalu asyik menganalisa kesalahan atau kekurangan yang sedia ada. Kalau kita berbuat demikian, mereka lama-kelamaan akan berputus asa menghadapi masalah dan kekurangan itu. Sebaliknya, lebih baik menggunakan masa perbincangan kita untuk mencari penyelesaian yang mungkin untuk mengatasi masalah atau kekurangan itu.
Contohnya, kita boleh tanya mereka soalan-soalan yang berfokus kepada penyelesaian berikut:
Apakah keadaan yang anda inginkan dan idamkan? Apakah yang anda ingin tambah baik?
Dalam skala 1 ke 10, di manakah anda berada sekarang? Apakah yang anda boleh lakukan untuk maju satu skala ke hadapan?
Apakah yang berjaya sekarang?
Apakah yang anda telah gunakan dahulu dengan berjaya dan kini boleh diadaptasi untuk membantu anda tambah baik kemahiran atau keadaan anda?
Apakah sumber-sumber sedia ada dan berpotensi (termasuk orang dan peralatan) yang anda boleh gunakan untuk membantu anda maju ke hadapan?
Bagaimanakah anda boleh mengesan bahawa anda telah maju ke hadapan, walaupun sedikit sahaja?
Apakah kebaikan yang boleh didapati sekiranya saya mengambil langkah-langkah ini? Apakah yang boleh berubah? Bagaimanakah orang lain juga akan mendapat manfaat daripada tindakan saya?
Sekiranya kita berbincang dengan pendekatan berfokus kepada penyelesaian ini, kita sebenarnya membantu orang itu untuk mencari langkah seterusnya dan bukan terikat kepada masalah atau kekurangan yang dihadapi sahaja. Dalam kata lain, perbincangan itu bukan sahaja ikhlas dan jujur, tetapi ia juga membantu dan membina.
4. Percakapan yang Tidak Wajar dan Berlebih-lebihan
36Aku berkata kepadamu: Pada hari penghakiman, setiap orang harus mempertanggungjawabkan setiap katanya yang tidak sewajarnya dituturkan. 37Kata-katamu sendiri akan dijadikan ukuran sama ada kamu bersalah atau tidak, dan dengan kata-katamu sendiri pula kamu dihukum." (Matius 12:36-37, AVB)
19Apabila banyak bercakap, dosa pasti ada,
tetapi orang bijaksana mengawal mulutnya. (Amsal 10:19, AVB)
Sekiranya kita bercakap tanpa berfikir, banyak yang kita katakan adalah dalam lingkungan kata-kata kutukan yang tidak wajar dan berlebih-lebihan. Oleh sebab itu, kita perlu mengikuti nasihat Yakobus:
19Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah. (Yakobus 1:19, AVB)
Cepat mendengar bermaksud kita selalu tanya soalan dan dengar apa yang dalam hati atau fikiran orang lain dahulu. Dalam pada itu, kita berhasrat untuk memahami orang lain dahulu serta isu-isu yang mereka hadapi. Jangan cakap dengan terburu-buru untuk memberi nasihat atau pendapat tanpa memahami apa yang sedang dibincangkan. Kalau kita terlalu cepat bercakap, kita akan menyampaikan apa yang tidak relevan dan tidak membina, dan menunjukkan kebodohan kita.
18Ada orang yang kata-katanya terburu-buru laksana tikaman pedang,
tetapi lidah orang bijaksana membawa penyembuhan. (Amsal 12:18, AVB)
20Adakah engkau memperhatikan orang yang bercakap dengan terburu-buru? Orang yang bodoh ada lebih banyak harapan daripada dia. (Amsal 29:20, AVB)
Mendengar dengan baik dan aktif merupakan suatu kemahiran yang kita semua perlu mengasah. Kalau kita mendekati setiap perbincangan dengan orang lain untuk belajar, kita akan mendapat manfaat daripada interaksi kita dengan mereka.
Rumusan:
Orang yang suci hati mereka akan menjaga hati mereka supaya apa yang meluap daripada hati mereka adalah pertuturan yang suci dan membina serta perbuatan yang mengasihi dan bermanfaat kepada orang lain. Sikap indah dalam bentuk hati suci menunjukkan keikhlasan kita sebagai orang yang rindu mencari wajah Allah; jadi, kita tidak mahu sebarang dosa untuk menghalang persekutuan kita dengan Allah. Dosa dalam bentuk pertuturan dan perbuatan adalah yang paling kerap berlaku; jadi, wajarlah untuk kita memberi perhatian kepada aspek-aspek ini.
Pertimbangkan soalan-soalan refleksi berikut:
1. Apakah insiden kebisaan lidah yang saya pernah alami atau saya melakukan? Apakah akibat daripada penggunaan lidah dalam bentuk kata-kata kutukan ini? Apakah yang saya patut pelajari daripada pengalaman ini?
2. Di antara amalan kata-kata kutukan berikut, yang manakah saya perlu kikiskan:
Gosip, mengumpat dan berfitnah.
Bercakap bohong dan berdusta.
Mengangkat-angkat dengan pujian yang tidak jujur.
Percakapan yang tidak wajar dan berlebih-lebihan.
Apakah yang saya patut lakukan untuk mengikis amalan-amalan ini?