MENDAMAIKAN MANUSIA: Dalam Konteks Perkahwinan (Bahagian 1)
9Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia,
kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah. (Matius 5:9, AVB)
Dunia sekarang penuh dengan konflik. Peperangan, rusuhan, pembunuhan, penyeksaan, penganiayaan dan pencerobohan berlaku setiap hari di merata-rata tempat. Segala ini bukan kehendak Allah tetapi merupakan akibat dosa manusia.
Maka, sikap hati ketiga yang indah untuk perhubungan kita dengan orang lain, iaitu mendamaikan manusia, adalah suatu yang amat perlu untuk dipraktikkan. Dunia tidak memerlukan satu lagi penggerak untuk konflik, tetapi kita amat memerlukan orang yang boleh menjadi pelopor perdamaian dalam kalangan manusia. Yesus mengatakan bahawa orang Kristian yang mendamaikan manusia akan dipanggil anak-anak Allah. Mengapa?
Sebabnya ialah salah satu ciri Allah yang indah dan menarik ialah dia pendamai dengan manusia.
20Semoga Allah kesejahteraan yang telah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian, Gembala domba yang mulia itu, melalui darah perjanjian kekal, 21melengkapkan kamu dengan segala yang baik untuk melakukan kehendak-Nya, mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Yesus Kristus, bagi-Nya kemuliaan selama-lamanya. Amin. (Ibrani 13:20-21, AVB)
Maksud kesejahteraan merangkumi idea perdamaian. Selain itu, salah satu gelaran Yesus adalah Raja Damai.
6Sesungguhnya, seorang anak telah lahir bagi kita,
seorang putera telah dikurniakan bagi kita.
Di atas bahunya tampuk pemerintahan,
dan namanya akan disebut:
Penasihat Ajaib, Allah Perkasa,
Bapa Kekal, Raja Damai. (Yesaya 9:6, AVB)
Allah menunjukkan sifat pendamai ini dengan mengutus Anak-Nya yang tunggal, Yesus Kristus, untuk menjadi korban pendamaian bagi kita, orang yang berdosa, supaya jalan pendamaian boleh dibuka bagi semua yang rela bertaubat dan kembali ke pangkuan Allah dengan rendah hati.
23Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah. 24Namun demikian, dengan kasih kurnia Allah yang dikurniakan-Nya dengan rela, manusia dapat diperbenar melalui penebusan yang terdapat dalam Kristus Yesus. 25Allah menjadikan Yesus korban pendamaian supaya dengan kematian-Nya, dosa orang yang beriman kepada-Nya diampunkan. Allah berbuat demikian untuk memperlihatkan keadilan-Nya kerana pada masa silam, Allah bersabar terhadap dosa manusia dan tidak menghukum mereka. (Roma 3:23-25, AVB)
1Oleh yang demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. (Roma 5:1, AVB)
Maka, sekarang Allah telah memberi kepada kita tugas mulia untuk menyertai-Nya dalam pelayanan pendamaian sebagai para duta-Nya yang diamanahkan dengan berita pendamaian melalui Yesus kepada dunia yang sangat memerlukan damai sejahtera dengan Allah dan juga menikmati damai sejahtera-Nya.
17Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru. 18Semuanya datang daripada Allah, yang telah mendamaikan kita dengan diri-Nya melalui Kristus, dan mengamanahkan kepada kami tugas mulia untuk mengusahakan pelayanan pendamaian itu. 19Dalam Kristus, Allah telah mendamaikan isi dunia ini dengan diri-Nya dan tidak lagi memperhitungkan kesalahan-kesalahan mereka. Berita pendamaian itu telah diamanahkan-Nya kepada kami. 20Kami ialah para duta Kristus. Melalui kami, Allah menyampaikan apa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, demi Kristus, kami meminta kepadamu: Berdamailah semula dengan Allah! 21Allah menjadikan Dia yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam Dia kita diperbenar oleh Allah. (2 Korintus 5:17-21, AVB)
Pelayanan pendamaian ini merupakan suatu keistimewaan yang dianugerahkan kepada kita. Oleh sebab itu, kita perlu memupuk sifat indah sebagai pendamai manusia sesuai dengan panggilan dan peranan ini.
Sifat pendamai ini tidak boleh diasingkan daripada kesucian atau perbenaran:
14Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang, serta kesucian; tanpanya tiada sesiapa pun dapat melihat Tuhan. (Ibrani 12:14, AVB)
10Kasih sayang dan kesetiaan telah bertemu;
Perbenaran dan sejahtera telah berdakapan. (Mazmur 85:10, AVB)
Perdamaian dan kesucian, perbenaran dan sejahtera - itulah seakan-akan dua muka duit syiling yang sama dan yang tidak boleh diasingkan. “Perbenaran dan sejahtera telah berdakapan” ialah suatu cara yang indah untuk menggambarkan bagaimana kedua-dua perdamaian dan kesucian adalah saling terkait dengan rapat sekali.
Musuh utama kepada perdamaian ialah dosa. Dosa memisahkan manusia daripada Allah dan juga memisahkan sesama manusia. Oleh sebab itu, kesucian mesti wujud sekiranya kita mahu melihat perdamaian menjadi suatu kenyataan di dalam kehidupan kita dan dalam kalangan manusia.
Maka, seorang pendamai mesti diperdamaikan dengan Allah dahulu. Kalau tidak, nescaya dia sanggup dan mampu menjadi seorang pendamai. Apabila dia telah mengecapi perdamaian dengan Allah, maka dia dapat mendorong dan menyeru orang lain untuk mencari perdamaian dengan Allah.
Seterusnya, pendamai yang pasti akan damai sejahtera yang nyata dengan Allah, dapat memainkan peranan sebagai pendamai antara manusia. Dia sendiri mesti mengamalkan pendekatan perdamaian ini di dalam perhubungan peribadinya dengan orang lain. Kemudian, barulah dia boleh mendamaikan orang lain dalam konteks perhubungan sesama manusia.
Tetapi, kita mesti sedar bahawa mendamaikan manusia adalah peranan yang sangat susah dilaksanakan dan direalisasikan. Tambahan pula, memainkan peranan ini mungkin mencetuskan serangan terhadap diri kita pula kerana orang yang kita ingin mendamaikan mungkin menyerang kita pula.
Perhubungan antara manusia amat kompleks dan rumit. Pelbagai faktor boleh mempengaruhi dan menyukarkan sesuatu perhubungan. Tuhan Yesus telah menggunakan ilustrasi perkahwinan untuk membincangkan betapa rumitnya perhubungan antara manusia dan bagaimana peranan menjadi pendamai selalu diperlukan.
27"Kamu telah mendengar ajaran ini: 'Jangan berzina.' 28Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati. 29Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka. 30Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka." 31"Ada ajaran demikian: 'Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.' 32Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang menceraikan isterinya kecuali kerana zina, menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu, dia berzina." (Matius 5:27-32, AVB)
Untuk memahami petikan ini dengan lebih mantap, kita perlu mengambil kira konteks penggunaan Yesus. Sebelum Tuhan Yesus menerangkan tentang perzinahan dan perceraian, Dia telah mengajar tentang bagaimana kita patut mengelak membunuh di dalam hati (Matius 5:21-26). Caranya ialah untuk berdamai dengan sesiapa sahaja secepat mungkin.
Jadi, dalam konteks suatu perkahwinan, itulah pendekatan pertama yang perlu diamalkan. Sekiranya terdapat konflik di antara suami dan isteri, usaha yang pertama dan utama ialah mencari jalan untuk berdamai. Jangan biarkan konflik itu menyebabkan perhubungan antara suami dan isteri menjadi retak. Jangan simpan kemarahan, kebencian dan perasaan dendam di dalam hati. Paulus menasihati kita:
26"Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa." Jangan kekalkan kemarahanmu hingga matahari terbenam, 27dan jangan beri tempat kepada iblis. (Efesus 4:26-27, AVB)
Nasihat ini ialah untuk mencari jalan pendamaian secepat mungkin supaya iblis tidak diberi kesempatan untuk mengeruhkan dan merumitkan lagi pehubungan antara suami dan isteri.
Selepas mengajar tentang hal ini, maka Tuhan Yesus menyentuh perkara yang kedua tentang perhubungan antara suami dan isteri, iaitu kesucian hati, terutamanya dalam hal seksual. Kita telah pelajari betapa pentingnya kita memiliki hati yang suci sekiranya kita rindu melihat Allah (lihat bahagian lalu tentang “Suci Hati”). Hati yang suci diamalkan dengan praktikal melalui pertuturan kita, kerana kesucian yang disimpan di dalam hati kita akan meluap keluar melalui mulut kita (Lukas 6:45).
Di dalam konteks suatu perkahwinan, kita mesti mengelak daripada:
Bergosip, mengumpat dan berfitnah tentang atau dengan suami atau isteri kita.
Bercakap bohong dan berdusta kepada suami atau isteri kita.
Mengangkat-angkat dengan pujian yang tidak jujur terhadap suami atau isteri kita.
Percakapan yang tidak wajar dan berlebih-lebihan dengan suami atau isteri kita.
Sekiranya kita tidak berbuat demikian, kepercayaan akan terjejas, dan ini akan mencemari perhubungan pasangan suami dan isteri.
Tetapi, Tuhan Yesus juga telah membangkitkan kesucian hati dalam konteks hal-hal seksual. Dia merujuk kepada Sepuluh Perintah Allah tentang larangan untuk berzinah:
14Jangan berzina. (Keluaran 20:14, AVB)
Larangan ini merujuk kepada perzinahan secara fizikal, iaitu perhubungan seksual dengan orang lain yang bukan suami atau isteri kita. Jika seorang suami atau isteri berzinah, perbuatan itu akan menghancurkan kepercayaan pasangannya. Kepercayaan yang dirosakkan sebegini memang sangat menyayat hati dan amat sukar untuk diatasi. Rantaian kehancuran yang dimulakan dengan perbuatan berzinah menghasilkan padah yang teruk di dalam sebuah perkahwinan, malahan keluarga itu. Akibat dosa fizikal ini ialah kesakitan hati yang berpanjangan dan sangat mendalam.
Walau bagaimanapun, Tuhan Yesus telah mendalami lagi larangan untuk berzinah ini dengan merangkumi perzinahan dalam hati. Dia mengatakan bahawa sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzinah dengan perempuan tersebut di dalam hatinya. Dalam kata lain, niat dan kedambaan di dalam hati untuk seks dengan seseorang yang bukan suami atau isteri kita sudah mencukupi untuk dikira sebagai dosa berzinah.
Maka, dengan berbuat demikian, Tuhan Yesus telah menggabungkan perintah ketujuh dengan perintah kesepuluh:
17Jangan mendambakan rumah jiranmu. Jangan ingini isteri jiranmu, hambanya baik yang lelaki mahupun yang perempuan, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimiliki oleh sesamamu." (Keluaran 20:17, AVB)
Apabila Tuhan Yesus mengajar ini, dia sebenarnya memberi kita cara untuk tidak berkompromi di dalam hati dalam hal-hal godaan seksual. Sekiranya kita menegakkan batasan di dalam hati kita berkenaan dengan kesucian seksual pada peringkat “keinginan,” maka kemungkinan untuk melakukannya secara fizikal menjadi tipis. Hakikatnya, dosa seksual selalu didahului dengan fantasi seksual. Perbuatan berzinah selalu dikandung oleh pemikiran berzinah.
Oleh sebab itu, untuk meneguhkan lagi ajaran-Nya, Tuhan Yesus memberi kita cadangan yang praktikal untuk menangani godaan seksual pada peringkat awal, iaitu apabila godaan seksual pertama kali melanda kita:
29Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka. 30Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka." (Matius 5:29-30, AVB)
Apa yang dimaksudkan oleh Tuhan Yesus ialah apabila mata kita terlihat seorang wanita yang cantik dan seksi, kita mesti terus “mencungkil dan membuang” perbuatan melihat untuk mendambakannya. Jangan terus melihat! Terus berhenti tindakan itu! Jika tangan kita tergoda untuk menyentuh seorang wanita dengan niat seksual, terus “potong dan buangkan” tindakan itu. Jangan sentuh!
Dalam kata lain, terus kikis permulaan proses berzinah di dalam hati dengan menyekat semua rangsangan yang melemahkan pertahanan di dalam hati kita terhadap godaan seksual. Perasaan tergoda secara seksual bukan dosa, tetapi dosa perzinahan bermula sebaik sahaja kita memanjakan keinginan sifat tabii kita dengan mendorong keinginan untuk memenuhi keberahian kita melalui orang yang bukan suami atau isteri kita.
Maka, fantasi romantis yang kita fikirkan di dalam imaginasi kita, walau pun bukan bersifat seksual adalah dosa perzinahan di dalam hati. Orang yang suka membaca novel dan menonton wayang gambar percintaan yang memberi mereka “kepuasaan” percintaan untuk diri sendiri, perlu berhati-hati supaya tidak berkompromi di dalam hati mereka. Jagalah hati kita supaya fikiran dan keinginan yang tidak murni dihalang daripada memasukinya.
23Jagalah hatimu lebih daripada segalanya,
kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan. (Amsal 4:23, AVB)
Amaran yang diberikan oleh Tuhan Yesus semasa dia memberi ajaran ini juga tidak boleh diabaikan. Dia memberi amaran bahawa dosa perzinahan atau seksual ini boleh menyebabkan seluruh tubuh terhumban ke dalam neraka! Begitulah seriusnya dosa percabulan dan perzinahan. Hakikat ini adalah selaras dengan firman Allah yang menerangkan siapa yang akan dihumban ke dalam lautan api sebagai hukuman:
8Tetapi mereka yang pengecut, tidak beriman, durjana, pembunuh, melakukan yang cabul, ahli sihir, penyembah berhala dan semua pendusta akan dimasukkan ke dalam lautan yang menyala dengan api dan belerang. Inilah kematian kedua." (Wahyu 21:8, AVB)
15Di luar terdapat anjing, ahli sihir, orang yang cabul, pembunuh, penyembah berhala, dan semua yang menyukai dusta serta menuturkannya. (Wahyu 22:15, AVB)
Hai saudara, hai saudari, jangan memandang rendah tentang akibat dosa percabulan, walaupun dunia hari ini tidak memandang serius tentang perbuatan cabul, malahan mengagung-agungkannya. Tetapi sebagai orang Kristian yang percaya, kita patut mempunyai standard kesucian yang sangat tinggi dalam hal-hal seksual. Paulus mengatakan:
3Tetapi perbuatan cabul dan segala kecemaran atau tamak haloba, jangan disebut pun dalam kalanganmu, kerana demikianlah sepatutnya bagi orang salih. 4Jauhi kekotoran, percakapan tidak berakal dan lawak jenaka lucah, kerana segala ini tidak wajar, sebaliknya eloklah kamu mengucapkan kata-kata kesyukuran. 5Kerana kamu tahu bahawa orang yang berzina, melakukan kecemaran, atau tamak haloba – yang sama dengan penyembah berhala tidak akan mewarisi kerajaan Kristus dan Allah. (Efesus 5:3-5, AVB)
Baca sekali lagi ayat-ayat ini. Orang yang berzina dan melakukan perbuatan cabul tanpa bertaubat TIDAK AKAN MEWARISI KERAJAAN KRISTUS DAN ALLAH!
Jadi, firman Tuhan sangat jelas tentang percabulan dan perzinahan. Sesiapa yang melakukan dan terus terjerat dalam dosa ini, tiada bahagiannya dalam warisan kerajaan Allah. Jadi, saudara dan saudari yang dikasihi, jika anda masih melakukan percabulan dan perzinahan, bertaubatlah dengan segera dan ikhlas! Jangan main dengan api yang boleh menyebabkan anda dihumban ke dalam lautan api!