MENDAMAIKAN MANUSIA: Dalam Konteks Perkahwinan (Bahagian 2)
Dengan meletakkan standard kesucian yang begitu tinggi sekali sehingga ia melibatkan apa yang berlaku di dalam hati kita, Tuhan Yesus memberi kita kaedah untuk mendamaikan diri dengan pergelutan seksual. Kita mengikat perjanjian dengan bahagian-bahagian badan atau pintu-pintu deria kita seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan, hidu dan rasa untuk tidak membenarkan rangsangan yang negatif masuk ke dalam hati kita. Contohnya, Ayub mengatakan:
1"Aku telah mengikat perjanjian dengan mataku,
bagaimana mungkin kupandang anak dara dengan berahi?
7Jika langkahku menyimpang dari jalan
dan hatiku menuruti pandangan mataku,
atau jika noda melekat pada tanganku,
9Jika hatiku terpikat kepada perempuan,
dan aku menunggu di pintu jiranku, (Ayub 31:1,7,9,AVB)
Damai sejahtera dengan isteri kita akan tercapai sekiranya kita mengambil langkah-langkah untuk tidak mengkhianati isteri yang kita kahwin pada masa muda kita:
13Inilah lagi satu hal yang kamu lakukan: Kamu meliputi mazbah Tuhan dengan air mata, tangisan, dan rintihan, kerana Dia tidak lagi mengendahkan persembahanmu dan tidak berkenan menerimanya daripada tanganmu. 14Kamu bertanya, "Mengapakah demikian?" Kerana Tuhan telah menjadi saksi antara engkau dengan isteri yang kaukahwin pada masa mudamu. Engkau telah mengkhianatinya, padahal dialah teman hidupmu dan isterimu berasaskan ikrar. 15Bukankah Allah menjadikan mereka satu? Jiwa dan roh mereka milik-Nya. Apakah yang dicari-Nya? Dia mencari keturunan yang salih. Oleh sebab itu jagalah dirimu, dan janganlah ada antara kamu yang mengkhianati isteri dari masa mudamu. 16"Aku membenci perceraian," demikianlah firman Tuhan, Allah Israel, "juga orang yang menjadikan tindakan ganas sebagai pakaiannya," demikianlah firman Tuhan alam semesta. "Oleh sebab itu jagalah hatimu dan jangan berkhianat." (Maleakhi 2:13-16, AVB)
Mengelak jauh lebih baik daripada mengubati. Jadi, kita sebenarnya bertindak sebagai pendamai di dalam perkahwinan kita apabila kita meletakkan kesucian yang tinggi di dalam hati dan perbuatan kita, terutamanya dalam hal seksual. Kita melindungi kemurnian perkahwinan dan ikrar yang telah dilafazkan apabila kita berkahwin dengan isteri atau suami kita.
Allah benci perceraian kerana apa yang telah dipersatukan oleh-Nya jangan manusia pisahkan. Tuhan Yesus telah mengajar tentang hal ini di dalam interaksinya dengan beberapa orang Farisi:
3Beberapa orang Farisi datang untuk menduga Yesus. Mereka bertanya, "Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya dengan apa sebab jua?"
4Yesus menjawab, "Tidakkah kamu baca ayat Kitab Suci yang menyatakan betapa pada mulanya Allah menjadikan lelaki dan perempuan? 5Setelah itu, Allah berfirman, 'Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya lalu mereka berdua menjadi satu.' 6Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah janganlah manusia pisahkan."
7Kata orang Farisi itu, "Kalau begitu, mengapakah Musa memberikan hukum membenarkan seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan menulis surat cerai?"
8Yesus menjawab mereka, "Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana hati kamu begitu tegar. Tetapi pada mulanya bukanlah begitu. 9Sesungguhnya, jika seseorang lelaki menceraikan isterinya, kecuali kerana zina, lalu berkahwin pula dengan perempuan lain, dia berzina."
10Para murid Yesus berkata, "Kalau begitulah hidup suami isteri, lebih baiklah tidak berkahwin langsung."
11Yesus menjawab, "Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang dikurniai keupayaan untuk menerimanya. 12Ada beberapa sebabnya seseorang itu tidak berkahwin. Ada yang dilahirkan begitu, ada yang dibuat orang begitu, dan ada pula yang membuat dirinya begitu untuk mengabdikan diri kepada kerajaan syurga. Biarlah ajaran ini diterima oleh yang mampu menerimanya." (Matius 19:3-12, AVB)
Jelas sekali, Tuhan Yesus menentang perceraian atas dasar bahawa suami-isteri telah menjadi satu secara rohani dan jasmani oleh Allah. Maka, perceraian adalah tindakan yang meniadakan kerja Allah di dalam kehidupan pasangan suami dan isteri.
Orang Farisi telah membalas dengan merujuk kepada surat cerai yang dibenarkan oleh Musa sekiranya seorang suami ingin menceraikan isterinya. Hal ini dinyatakan di dalam petikan berikut:
1Seandainya seorang lelaki meminang seorang perempuan dan memperisterinya, tetapi kemudian dia tidak menyukai perempuan itu lagi setelah mendapati ada sesuatu aib padanya, maka dia boleh menulis serta menyerahkan surat cerai kepada perempuan itu dan menyuruh dia pergi dari rumahnya. 2Setelah perempuan itu keluar dari rumahnya dan pergi dari sana, dia boleh menjadi isteri orang lain. 3Tetapi jika suaminya yang kedua itu juga tidak menyukainya lalu menulis dan menyerahkan surat talak kepada perempuan itu serta menyuruh dia pergi dari rumahnya; atau sekiranya suaminya yang terakhir itu meninggal, 4maka suaminya yang pertama, yang dahulu telah menyuruhnya pergi, tidak boleh mengambilnya kembali menjadi isteri setelah perempuan itu ternajis, kerana hal itu keji di hadapan Tuhan. Janganlah kamu datangkan dosa atas negeri yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu sebagai harta pusaka. (Ulangan 24:1-4, AVB)
Kita perlu berhati-hati apabila menggunakan petikan ini untuk menjustifikasikan perceraian, kerana itu bukan tujuan petikan ini. Tujuan peraturan ini adalah untuk melindungi hak para wanita. Peraturan ini melindungi reputasinya daripada dicemari oleh fitnah yang macam-macam, dan surat cerai itu memberi dia bukti serta pengesahan secara undang-undang bahawa dia bebas daripada suaminya dan boleh kahwin semula tanpa didakwa berzinah.
Tetapi apa yang menjadi pertikaian ialah apakah dasarnya untuk seseorang suami menulis dan menyerahkan surat cerai kepada isterinya? Apa yang dikatakan di dalam petikan itu ialah suami mendapati ada sesuatu aib pada isterinya yang menyebabkannya tidak menyukainya.
Apakah perbuatan aib yang dimaksudkan ini? Hal itu tidak dinyatakan tetapi kita boleh menganggapnya sebagai sesuatu perbuatan curang yang tidak melibatkan perzinahan secara fizikal. Ini ialah kerana perzinahan akan mengakibatkan kedua-dua orang yang berzinah dihukum mati:
10Seseorang lelaki yang berzina dengan isteri orang lain, iaitu isteri sesama jirannya, pastilah dia dihukum mati, dan begitu jugalah perempuan yang berzina itu dihukum mati. (Imamat 20:10, AVB)
Jelas sekali bahawa terdapat konflik yang serius di dalam perkahwinan sebegini. Dalam situasi begini, pandangan Tuhan Yesus jelas - jangan pisahkan apa yang Allah telah satukan. Dalam kata lain, selesaikan masalah itu dan berdamai. Pandangan Tuhan Yesus yang tinggi tentang kesucian perkahwinan jelas dengan pendirian ini. Dia menyeru kedua-kedua pihak untuk berusaha berdamai satu dengan yang lain dan jangan bercerai.
Apabila dia dipersoalkan tentang surat cerai yang dinyatakan oleh Musa dalam Ulangan 24, Tuhan Yesus mengatakan dengan jelas bahawa itu BUKAN kehendak Allah yang asal, tetapi adalah kompromi Musa untuk mereka yang tidak mahu berdamai. Hati mereka begitu tegar sehingga mereka tidak mahu mendengar nasihat, tidak mahu berubah dan saling mangampuni dan tidak mahu berusaha untuk berdamai. Maka, dalam kes yang ekstrem ini, Musa membenarkan surat cerai dikeluarkan untuk mengesahkan perpisahan itu.
Tetapi, peraturan ini bukan justifikasi untuk bercerai atas sembarangan sebab. Apa yang dikatakan oleh Musa adalah dalam bentuk amaran, bukan syor. Amaran yang diberikan oleh Musa ialah jangan gunakan surat cerai secara sembarangan. Jangan ceraikan isteri, kemudian setelah isterinya telah kahwin semula, dan suami barunya meninggal pula, isteri itu diambil semula sebagai isteri. Perbuatan yang memandang perkahwinan dengan begitu rendah dan ringan sehingga diguna pakai sesuka hati adalah perbuatan yang menajiskan dan keji di mata Tuhan.
Rancangan Allah yang terbaik dan asal ialah perkahwinan adalah untuk seumur hidup. Surat cerai adalah kompromi Musa untuk orang yang tegar dan keras hati sehingga tidak mahu berdamai, dan diberikan untuk melindungi para isteri daripada dipinggir seumur hidupnya daripada komuniti. Maka kita ketahui bahawa perceraian bukanlah kehendak sebenar Allah.
Di dalam Perjanjian Baru, hanya diberikan dua kes sahaja yang mana perceraian dibenarkan, dan itu pun setelah semua percubaan untuk berdamai telah diusahakan tetapi akhirnya gagal juga (kes hati yang tegar dan keras).
Dua kes itu ialah:
Apabila terdapat perzinahan.
9Sesungguhnya, jika seseorang lelaki menceraikan isterinya, kecuali kerana zina, lalu berkahwin pula dengan perempuan lain, dia berzina." (Matius 19:9, AVB)
Apabila pasangan yang tidak beriman berkeras ingin menceraikan dan meninggalkannya.
12Kepada yang lain aku memberikan nasihat ini, iaitu nasihatku sendiri, bukan perintah Tuhan: Jika seorang lelaki beriman mempunyai isteri yang tidak beriman dan isteri itu bersetuju terus hidup bersamanya, maka lelaki itu tidak boleh menceraikan isterinya. 13Jika seorang wanita beriman mempunyai suami yang tidak beriman dan suami itu bersetuju untuk terus hidup bersamanya, maka wanita itu tidak boleh menceraikan suaminya. 14Seorang suami yang tidak beriman menjadi suci kerana isterinya. Demikian juga, seorang isteri yang tidak beriman menjadi suci kerana suami. Jika tidak, anak-anakmu akan menjadi anak-anak yang tercela. Tetapi dengan demikian mereka ialah anak-anak yang suci. 15Namun demikian, jika seseorang yang tidak beriman hendak meninggalkan isteri atau suaminya yang beriman, biarkanlah dia berbuat demikian. Jika ini terjadi, saudara atau saudari itu tidak terikat lagi. Allah mahu kamu semua hidup aman damai. 16Wahai isteri yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan suamimu? Demikian juga, wahai suami yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan isterimu? (1 Korintus 7:12-16, AVB)
Namun begitu, kita perlu sedar bahawa apabila Tuhan Yesus meneruskan pengajaran-Nya di Matius Bab 5, dia bukan menumpu perhatian kepada hal perceraian, tetapi hal perzinahan, seperti yang dia telah mulakan di petikan sebelum ini.
31"Ada ajaran demikian: 'Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.' 32Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang menceraikan isterinya kecuali kerana zina, menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu, dia berzina." (Matius 5:31-32, AVB)
Tuhan Yesus sebenarnya mengkritik amalan memberi surat cerai untuk sembarangan alasan. Seperti yang kita telah pertimbangkan, amalan ini sebenarnya tidak selaras dengan kehendak Allah yang asal. Sebaliknya, Tuhan Yesus mengatakan bahawa seorang yang menceraikan isterinya akan menyebabkan rantaian perzinahan berlaku jika wanita yang diceraikan itu berkahwin semula. Wanita itu akan berzina dan sesiapa yang berkahwin dengan wanita yang diceraikan juga berzina. Hal ini terjadi kerana surat cerai seperti yang diamalkan oleh orang Farisi untuk sebarang sebab adalah sebenarnya tidak sah di mata Tuhan, kecuali dalam kes berlakunya perzinahan.
Jadi, kita boleh membuat kesimpulan bahawa Tuhan Yesus mendorong kita untuk berfungsi mengikut sikap indah seorang yang mendamaikan manusia. Cari jalan perdamaian, bukan perceraian.
Saya sedar bahawa pada hari ini, terdapat orang Kristian yang telah melalui proses perceraian dan kahwin semula. Mereka tidak boleh patah balik kepada keadaan perkahwinan mereka yang asal, walaupun mereka kini sedar kehendak Allah yang sebenar. Apatah lagi, kalau mereka telah kahwin semula selepas perceraian.
Apa yang saya telah menulis, sesuai dengan maksud firman Tuhan dan interpretasi yang telah diterangkan, bukan ditujukan kepada mereka. Saya harap kesedaran bahawa Allah begitu menghargai dan mementingkan kesucian perkahwinan yang baru ini akan mendorong mereka yang sudah berkahwin dan akan berkahwin untuk betul-betul menghargai perkahwinan dan pasangan mereka.
Kepada anda yang telah berkahwin dan akan berkahwin, saya menyeru sesuai dengan firman Allah supaya memiliki pandangan yang tinggi untuk perkahwinan. Prinsip yang dipegang oleh anda sepatutnya sama dengan apa yang diajar oleh Tuhan Yesus, “Apa yang telah disatukan oleh Allah janganlah manusia pisahkan.” (Matius 19:6)
Itulah janji yang anda telah atau akan buat semasa perkahwinan anda. Selepas Tuhan Yesus menyentuh tentang hal perzinahan (sekiranya bercerai untuk sembarangan kecuali dalam kes perbuatan zinah), dia terus menggesa kita untuk menunaikan janji yang telah dibuat, tanpa keperluan untuk bersumpah demi apa sahaja.
33"Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: 'Jangan bersumpah palsu. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.' 34Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah. 35Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Yerusalem, kerana itu kota Raja Agung, iaitu Allah. 36Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai. 37Katakan sahaja 'Ya' atau 'Tidak' dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana." (Matius 5:33-37, AVB)
Orang yang hatinya suci akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk menunaikan apa yang dia telah berjanji (Kita telah pertimbangkan sikap hati ini dalam bahagian sebelum ini). Maka, dalam konteks perkahwinan dia akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk berdamai dengan pasangannya jika berlaku sebarang konflik. Perceraian tidak akan dipertimbangkan dan kedua-dua pihak mesti bersedia untuk bersikap pendamai untuk menyelesaikan apa jua masalah dalam perkahwinan mereka.
Mereka perlu bertaubat daripada dosa mereka dan bersedia untuk membenarkan Roh Kudus mentahirkannya. Mereka mesti bersedia berubah demi kebaikan perkahwinan mereka. Malahan, Tuhan Yesus mengesyorkan supaya seseorang yang ingin membaik pulih perkahwinannya jangan degil dan tegar hatinya untuk membalas dendam dan menuntut keadilan
38"Kamu telah mendengar ajaran begini: 'Mata diganti mata, gigi diganti gigi.' 39Tetapi Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Malah jika seseorang menampar pipi kananmu, palinglah pipi kirimu juga terhadapnya. 40Jika seseorang hendak mendakwamu untuk mendapatkan bajumu, berikanlah jubahmu juga. 41Jika sesiapa memaksamu berjalan sebatu dengannya, pergilah dua batu bersamanya. 42Jika seseorang meminta sesuatu daripadamu, berikanlah. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripadamu, usahlah berpaling daripadanya." (Matius 5:38-42, AVB)
Berbuat baik dengan mengasihi pasangan anda, walaupun pada ketika itu dia seolah-olah seperti musuh anda
43"Kamu telah mendengar ajaran yang berikut: 'Kasihilah sesama manusia dan bencilah musuhmu.' 44Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu. 45Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari untuk orang yang jahat dan orang yang baik. Dia menurunkan hujan untuk orang yang benar dan orang yang tidak benar. 46Jika kamu mengasihi orang yang mengasihimu, apakah ganjaranmu? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian? 47Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudara selingkungan, apakah kelebihanmu daripada orang lain? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian. (Matius 5:43-47, AVB)
Berdoalah dengan ikhlas supaya Tuhan akan memberkati “musuh” anda dan jika dilakukan ini, sedikit demi sedikit hati anda akan menjadi lembut terhadap dia.
Begitulah ajaran Tuhan Yesus di dalam Matius 5 yang boleh diaplikasikan di dalam konteks perkahwinan. Dorongan kepada kita ialah untuk memupuk sikap mendamaikan manusia dan akhirnya kita akan dikenali sebagai anak Allah yang mirip dengan sifat Allah yang mendamaikan manusia juga. Hal ini sangat sesuai diaplikasikan di dalam perkahwinan yang dipandang sesuatu perhubungan yang cukup penting untuk dijaga dan dipelihara dengan teliti. Jangan biarkan apa jua pun untuk menghancurkan kesatuan di dalam perkahwinan anda!