MENDAMAIKAN MANUSIA: Dalam Konteks Perhubungan Sesama Manusia
1"Jangan hakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi. 2Kerana sebagaimana kamu menghakimi orang, demikian jugalah kamu akan dihakimi. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu. 3Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari? 4Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, 'Biarlah aku keluarkan selumbar daripada mata saudara,' sedangkan kayu balak terpampang di matamu sendiri? 5Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak daripada matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar daripada mata saudaramu. 6Jangan berikan sesuatu yang suci kepada anjing, atau mutiara kepada babi, nanti dipijak-pijaknya lalu berpaling menyerangmu." (Matius 7:1-6, AVB)
Daripada petikan ini, kita dapat mengenal pasti dua pendekatan yang berbeza untuk berinteraksi dengan orang lain. Pendekatan yang pertama adalah bermusuhan dengan orang lain dan yang kedua ialah berdamai dengan orang lain, iaitu sikap indah seperti yang diajar oleh Tuhan Yesus di dalam Khutbah di Atas Bukit.
Gaya hidup orang yang bermusuhan bermaksud dia suka menghakimi orang lain. Dalam kata lain, dia suka menilai orang lain, memberi kritikan tanpa batas dan orang lain biasanya rasa orang itu sedang “menyerang dan meruntuhkannya.” Mereka biasanya menilai orang lain dengan keras menggunakan standard yang sangat tinggi (kesempurnaan) dengan begitu angkuh dan memandang rendah terhadap orang lain.
Namun begitu, dia tidak menggunakan ukuran yang sama pada dirinya sendiri! Dalam kata lain, mereka menyuruh orang lain melakukan apa yang dia cakap tetapi bukan apa yang mereka tunjukkan sendiri. Maka, mereka berlagak seperti munafik.
Itulah yang dimaksudkan oleh Tuhan Yesus apabila dia mengatakan, “Jangan menghakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi.” Dalam pada itu, Tuhan Yesus tidak bermaksud langsung jangan membuat penilaian dan memberi kritikan. Apa yang dimaksudkan ialah jangan membuat penilaian sebagai seorang munafik. Dalam kata lain, jangan menghakimi orang lain jika kita sendiri tidak bersedia untuk memakai standard yang sama kepada diri sendiri. Penghakiman orang munafik begini mempunyai niat yang jahat untuk menyerang dan meruntuhkan orang lain.
Jika seorang selalu menggunakan penghakiman orang munafik, dia hanya dapat melihat kesalahan atau kekurangan orang lain, walhal dia buta terhadap kesalahan dan kekurangan sendiri yang semakin menjadi besar dan ketara. Oleh sebab itu, Tuhan Yesus mengatakan bahawa situasi orang itu menjadi mengarut sekali, iaitu, seolah-olah dia mahu mengeluarkan selumbar (serpihan kayu yang halus dan tajam) daripada mata orang lain, walhal sebatang kayu balak jelas terpampang di matanya sendiri. Dalam kata lain, dia melihat kesalahan dan kekurangan orang lain tetapi dia buta kepada kesalahan atau kekurangan sendiri.
Penghakiman orang munafik tidak mempunyai kredibiliti dan orang lain sukar menerimanya sebab gaya hidup orang itu bertentangan dengan apa yang dikatakannya. Lebih-lebih lagi, sikapnya mirip kepada seorang “musuh” dan itu mengakibatkan orang lain bertahan atau tidak terbuka untuk dengar atau menerimanya.
Bagi orang munafik yang suka menghakimi orang lain, Tuhan Yesus mengatakan bahawa buang masa sahaja untuk memberi mereka tumpuan, apatah lagi untuk menggembirakan mereka. Ini ialah kerana usaha begini sama seperti memberi sesuatu yang suci (bersih) kepada anjing liar yang kotor, atau memberi mutiara kepada kawanan babi yang suka bermain dalam lumpur yang kotor.
Akibatnya ialah binatang yang liar dan kotor ini tidak menghargai apa yang suci (bersih) dan cantik. Sebaliknya binatang-binatang ini akan memijak-mijak apa yang diberikan dan mungkin menyerang anda pula.
Itulah realitinya apabila kita cuba membantu orang munafik yang suka menghakimi orang lain. Mereka tidak akan menerima nasihat kita yang baik dan betul, tetapi akan terus menolaknya dan membalas dengan serangan terhadap kita. Mereka memang memiliki sikap seorang yang bermusuhan dengan anda.
Jadi, apakah alternatifnya? Tuhan Yesus mengesyorkan anda menjadi seorang pendamai yang selalu rendah hati bersandar kepada Tuhan. Orang yang sedemikian selalu ingin Allah menyemaknya supaya ditunjukkan di mana dia mempunyai kesalahan atau kekurangan yang boleh diperbaiki.
2Periksalah aku, ya Tuhan, dan dugalah aku,
ujilah fikiran dan hatiku;
3kerana aku melihat belas kasih-Mu,
dan aku telah hidup dalam kebenaran-Mu. (Mazmur 26:2-3, AVB)
23Telitilah aku, ya Allah, dan kenallah hatiku;
dugalah aku dan ketahuilah kebimbanganku.
24Lihatlah jika ada kecenderungan durjana di dalamku,
dan pimpinlah aku ke jalan yang kekal selama-lamanya. (Mazmur 139:23-24, AVB)
Oleh itu, Tuhan Yesus telah melanjutkan pengajaran-Nya tentang seorang pendamai dengan penerangan berikut:
7"Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu. 8Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya. 9Bapa manakah akan memberikan batu kepada anaknya yang meminta roti? 10Bapa manakah akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan? 11Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya. 12Segala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi." (Matius 7:7-12, AVB)
Orang yang minta, cari dan ketuk pintu Allah begini secara konsisten untuk diuji dan dimurnikan akan mendapati doanya pasti akan dikabulkan dengan baik. Jika bapa di bumi yang berdosa boleh memberi yang baik apabila anak-anaknya meminta sesuatu daripada mereka, sudah tentu Allah Bapa kita di syurga akan memberi yang terbaik sekali sekiranya kita minta dan pohon untuk dibentuk sebegini.
Mereka akan semakin diubahkan oleh Roh Kudus dan hati mereka menjadi lebih lembut. Orang yang begini akan sedar dan insaf bahawa Allah begitu murah hati, belas kasihan dan menunjukkan kasih kurnia kepadanya. Oleh sebab itu, hatinya tidak angkuh dan menjadi rendah hati kerana kemurahan yang dicurahkan di dalam hidupnya oleh Allah.
Oleh sebab dia telah melalui proses diremukkan dan dibina semula oleh Allah, dia memahami kelemahan dan kekurangan orang lain yang sama. Maka, sikap hatinya adalah sebagai seorang pendamai yang ingin membina, menggalakkan dan mengasihi orang lain. Apabila dia kongsi bagaimana dia bergelut dan mengatasi kelemahan, kekurangan atau kesalahan yang dia hadapi dahulu, orang lain tidak rasa seperti mereka dihakimi. Sebaliknya mereka secara tidak langsung didorong untuk menangani kelemahan, kekurangan dan kesalahan mereka sendiri.
Orang lain rasa selamat untuk minta bantuan dan nasihat daripada orang yang rendah hati dan memiliki sikap hati seorang pendamai. Dia tahu bahawa mereka tidak akan diserang, dilukai atau dihakimi dengan hati yang kejam.
Inilah panduan yang diberikan oleh Tuhan Yesus kepada kita untuk berfungsi sebagai seorang pendamai:
12Segala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi." (Matius 7:12, AVB)
Dalam konteks ini, jika kita tidak suka dikritik dan dikecam dengan keras tanpa batas, maka jangan menjadi penghakim yang munafik yang bertindak sedemikian terhadap orang lain. Sebaliknya, lakukan sebagaimana kita ingin orang lain lakukan terhadap kita, iaitu menjadi pendorong dan pendamai yang lemah lembut, orang yang memahami pergelutan yang juga dihadapi kita serta saling membantu cari jalan untuk berubah melalui bantuan dan kuasa Roh Kudus.
Kita mendorong orang lain untuk berdoa kepada Bapa di syurga yang mengasihi dan sedia membantu. Kita saling menggalakkan untuk minta, cari dan ketuk sampai jawapan daripada Allah diperolehi, iaitu jawapan yang sesuai dengan kehendak Allah yang terbaik. Allah pasti akan menjawab mengikut masa dan kehendak-Nya yang sempurna.
Seorang yang mendamaikan orang lain akan mengamalkan pendekatan ini di dalam semua perhubungannya sesama manusia. Melalui teladannya dan usahanya, orang lain juga akan belajar supaya tidak menjadi orang yang menghakimi orang lain mengikut gaya seorang munafik. Damai sejahtera dan kasih akan menjadi budaya yang menular dalam kalangan mereka. Merekalah yang akan dikenali sebagai anak-anak Allah kerana mereka mirip dengan Allah Pendamai di syurga.
Walaupun hal ini nampaknya begitu mudah, namun begitu amalannya sangat mencabar. Kita lebih cenderung mengkritik dan menghakimi orang lain seperti orang munafik. Hal ini terjadi kerana jika kita dapat menghakimi orang lain, kita rasa diri lebih baik dan tinggi daripada mereka. Itu merupakan suatu pandangan yang palsu, salah dan angkuh. Setiap kali kita berbuat demikian, kayu balak di dalam mata kita menjadi semakin besar. Apabila kayu balak itu bertumbuh menjadi sangat besar, akhirnya ia akan membutakan pandangan kita.
Jadi, biarlah kita sedar dan insaf tentang kecenderungan sendiri untuk menghakimi orang seperti orang munafik dan mengambil tindakan untuk mengikisnya dengan kuasa Roh Kudus. Setiap kali, Roh Kudus menunjukkan sikap negatif ini, kita mesti terus bertaubat dan menghentikan amalan itu. Selain itu, kita mesti minta maaf kepada orang yang kita telah lukai dan cederakan. Maka, dengan cara ini, kita akan memupuk sikap seorang pendamai di dalam hati kita.
Jadi, saudara dan saudari yang dikasihi, fikirkan apakah anda memiliki kecenderungan untuk menghakimi sebagai orang munafik. Sekiranya anda dapati terdapat kecenderungan ini, berdoa (minta, cari dan ketuk) sehingga Allah membantu anda mengikis amalan ini. Setiap kali anda ingin menghakimi dengan keras, berhenti dan bertaubat. Memohon kepada Allah untuk mengubah hati anda menjadi seorang pendamai yang dapat mengasihi orang lain secara praktikal.