TIGA SOALAN BESAR HIDUP - Di mana kita berada dalam Khutbah Yesus sekarang?
Setakat ini, kita telah mempertimbangkan sikap indah yang perlu dipupuk oleh warga kerajaan Allah. Sikap indah terhadap Allah yang sesuai ialah miskin rohani, bersedih, lemah lembut serta lapar dan dahaga perbenaran.
Sikap indah terhadap manusia setakat ini ialah berpengasihan, suci hati dan mendamaikan manusia. Kesemua ini memerlukan usaha yang gigih untuk dipupuk di dalam hati kita supaya apa yang disimpan di dalam hati akan meluap keluar dalam bentuk perbuatan dan pertuturan kita.
Kini, kita telah sampai kepada dua sikap indah terakhir yang paling mencabar seperti yang diajar oleh Tuhan Yesus di dalam Khutbah di Atas Bukit-Nya. Sekiranya kita menetapkan kedua-dua sikap indah sebagai pegangan hidup kita yang tetap di dalam, kemungkinan besar kita akan dapat mengakhiri perlumbaan hidup kita dengan berjaya sebagai lebih daripada para penakluk (Roma 8:37). Kedua-dua sikap ini diperlukan untuk memiliki ketabahan dan kecekalan sebagai murid-murid Kristus yang setia di dalam kerajaan Allah semasa perjalanannya di dalam dunia ini.
Sikap indah yang dimaksudkan ialah tabah dianiayai kerana perbenaran dan taat kepada Yesus dalam penganiayaan. Di dalam hal-hal inilah berlakunya pertempuran rohani yang paling sengit. Berjaya atau gagal, menang atau tewas, menerima ganjaran atau kerugian, selamat atau dihukum - semua ini ditentukan oleh kewujudan atau tidak kedua-dua sikap indah ini, yang memang terkait dengan semua sikap indah yang telah dipertimbangkan.
Perkara yang paling menonjol dan ketara dalam hal ini ialah ketuanan Allah di dalam hati kita. Apakah Allah menjadi satu-satunya tuan di dalam hidup kita? Sekiranya Allah ialah Tuan yang ulung dan unggul untuk kita, maka itu akan mempengaruhi tujuan hidup kita yang diamalkan di dalam hidup kita. Tujuan hidup kita akan bertumpu kepada keinginan untuk memuliakan Allah, melakukan kehendak-Nya dan meluaskan kerajaan Allah di dalam segala hal.
Seterusnya, kita akan berganding bahu dengan teman-teman yang sehati dan sejiwa di dalam usaha dan misi Allah untuk meluaskan pemerintahan-Nya di dalam dunia ini dengan kerinduan untuk melihat datang-Nya kerajaan Allah yang kekal untuk selama-lamanya.
Kita telah memperkenalkan hal-hal ini pada awal pertimbangan kita tentang Khutbah Yesus di Atas Bukit ini, seperti yang dipaparkan di dalam gambar rajah di bawah:
Yesus telah memberi jawapan-Nya untuk tiga soalan besar hidup kita dan kita hanya perlu menerimanya dan menjadikannya petunjuk utama kita untuk keutamaan hidup kita.
Soalan besar hidup yang pertama ialah, “Siapakah TUAN hidup saya?” Jawapan Tuhan Yesus sangat jelas:
29Yesus menjawab, "Yang terutama antara semua perintah ialah: 'Dengarlah, wahai umat Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa. 30Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh fikiranmu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.' Inilah perintah yang terutama. 31Perintah yang kedua ialah: 'Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.' Tiada perintah lain yang lebih utama daripada dua perintah ini." (Markus 12:19-21, AVB)
Perintah terutama ini menentukan tunggak kerpercayaan kita, iaitu ketuanan Allah di dalam hidup kita untuk segala-gala hal. Tuhan yang esa bermaksud tiada tuhan-tuhan yang lain di dalam hati kita untuk menandingi-Nya. Kita diasingkan khas untuk Allah sahaja, dan tidak ada apa-apa di dalam dunia ini atau di dalam alam rohani yang boleh menandingi Allah di dalam hati kita. Kesetiaan kita kepada Allah adalah jelas, tetap dan eksklusif. Kita memiliki satu Tuhan atau Tuan sahaja.
Kepercayaan yang asas ini dipraktikkan di dalam hidup kita dengan mengasihi Allah lebih daripada segala-gala yang lain. Kita mengasihi Allah dengan segala-gala yang kita miliki di dalam dan di luar kita, iaitu kita mengasihi Allah dengan segenap hati, jiwa, fikiran dan kekuatan kita.
Kasih yang menyeluruh ini terhadap Allah akan mempengaruhi bagaimana kita berinteraksi dengan orang lain. Kita akan mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri, iaitu sesuatu yang datang secara semula jadi. Namun begitu, mengasihi orang lain di dalam dunia yang dikuasai oleh dosa adalah cabaran yang besar sekali. Oleh itu, kita perlu ditonton oleh kasih abadi kita kepada Tuhan yang memberi kita motivasi dan kuasa untuk mengasihi orang lain dalam cara yang berlainan dengan kasih yang di dunia ini. Kasih kita adalah kasih Allah yang dicurahkan ke dalam hati kita melalui Roh Kudus yang diam di dalam kita:
5Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita. (Roma 5:5, AVB)
Oleh sebab itu, Tuhan Yesus telah memberi kita sikap-sikap indah mengikut susunan yang sedia ada menurut perintah utama ini. Sikap indah terhadap Allah akan membentuk dan menjadi asas untuk sikap indah kita terhadap manusia.
Inilah asas kita yang terkandung di dalam manifesto Kerajaan Allah untuk pemuridan yang sejati. Kesetiaan kita hanya tertuju kepada Raja dan Tuan kita yang digelar sebagai Raja segala raja, Tuan segala tuan sebagai satu-satunya Pemerintah Yang Terpuji:
13Di hadirat Allah yang memberi nyawa kepada segala sesuatu, dan di hadapan Kristus Yesus yang memberikan kesaksian akan pengakuan yang benar kepada Pontius Pilatus, aku berpesan kepadamu, 14taatilah perintah ini dengan sempurna tanpa cela hingga hari Yesus Kristus, Tuhan kita, datang kembali, 15yang akan ditunjukkan Tuhan pada masa yang ditentukan oleh-Nya sendiri. Dia Pemerintah Yang Terpuji dan satu-satunya Raja segala raja dan Tuan segala tuan. 16Hanya Dia yang hidup selama-lamanya, wujud dalam cahaya yang tidak dapat didekati, tidak pernah dan tidak dapat dilihat manusia. Bagi-Nya penghormatan dan kuasa selama-lamanya. Amin. (1 Timothy 6:13-16, AVB)
14Mereka akan memerangi Anak Domba, dan Anak Domba akan menumpaskan mereka, kerana Dialah Tuan segala tuan dan Raja segala raja. Orang yang dipanggil, dipilih serta setia ada bersama Dia." (Wahyu 17:14, AVB)
16Pada jubah dan paha-Nya tertulis nama:
"Raja Segala Raja, Tuan Segala Tuan" (Wahyu 19:16, AVB)
Soalan besar hidup yang kedua ialah, “Apakah TUJUAN hidup saya?” Jawapan Yesus sangat ketara apabila dia memberikan Amanat Agung pada saat-saat terakhir-Nya di bumi sebelum dia pulang ke pangkuan Allah di syurga:
18Yesus datang dan berkata kepada mereka, "Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi. 19Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. 20Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman." (Matius 28:18-20, AVB)
Hal ini berkaitan dengan urusan kerajaan Allah yang utama, iaitu penyelamatan dan pemuridan manusia yang setia kepada Raja dan Tuan. Dalam pada itu, seseorang masuk ke dalam kerajaan Allah melalui baptisan dan kemudian diajar dan dilatih oleh murid-murid Kristus yang setia mengikut perintah-Nya untuk menjadi murid yang sejati.
Dalam pada itu, kuasa dan hadirat Tuhan Yesus amat perlu untuk proses penyelamatan dan pemuridan. Kita dijemput untuk menyertai urusan utama kerajaan Allah sebagai suatu keistimewaan yang tidak terhingga. Maka, di mana-mana sahaja bidang hidup kita, itulah hasrat dan niat kita untuk memenuhi amanat yang telah disampaikan kepada kita oleh Raja Yesus, Tuan terutama kita. Di dalam perkahwinan, keluarga, pekerjaan, persahabatan dan pelayanan, Amanat Agung menjadi pendorong dan penggerak untuk kita memuliakan Allah.
Soalan besar hidup yang ketiga ialah, “Siapakah TEMAN-TEMAN hidup kita?” Tuhan Yesus juga memberi jawapan yang jelas di dalam Perintah Baru-Nya:
34Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri. 35Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku." (Yohanes 13:34-35, AVB)
Teman-teman hidup kita ialah mereka yang sehala dan sejiwa di dalam kerajaan Allah. Kita perlu mengasihi satu sama lain secara praktikal dan radikal, seperti mana Tuhan Yesus mengasihi kita dengan berkorban untuk kebaikan kita. Dengan kasih yang begini, orang lain dapat melihat bukti kuasa transformasi yang datang daripada Roh Kudus. Kasih Allah yang dicurahkan ke dalam hati kita oleh Roh Kudus juga akan meluap keluar kepada teman-teman kita yang berada di luar kerajaan Allah. Mereka akan mengenal pasti kita sebagai murid Kristus yang setia dan tertarik serta ditujukan kepada Tuhan Yesus.
Dalam kata lain, Tuan, tujuan dan teman-teman hidup kita adalah tiga soalan utama yang saling terkait dengan kerajaan Allah. Khutbah Tuhan Yesus di Atas Bukit menyentuh tentang tiga soalan besar hidup kita. Soal siapa Tuan kita akan menentukan pilihan kita yang akan menentukan ke mana kita akan tuju untuk kekekalan, iaitu keabadian penyelamatan kita (Matius 7:13-27). Soal apa tujuan hidup kita menentukan peranan kita di dalam dunia ini sebagai garam bumi dan cahaya dunia ini dengan mengamalkan sikap hati yang indah untuk menjadi saksi yang menarik (Matius 5:3-16). Seterusnya, soal teman-teman kita ialah medan yang mana kita mengamalkan perbuatan yang baik dengan penggerak hati yang luhur (Matius 5:21-7:12).
Maka, ajaran Tuhan Yesus ini membentuk manifesto kerajaan Allah yang eksplisit dan jelas. Sikap-sikap yang indah menjadi pelantar untuk kita melonjak menjadi murid-murid Kristus yang berfungsi sebagai garam bumi dan cahaya dunia ini (Matius 5:13-16) supaya Allah Bapa akan dimuliakan dan dipuji. Kita mempraktikkan sikap-sikap indah ini di dalam situasi harian hidup kita, terutamanya di dalam interaksi kita dengan Allah dan sesama manusia.
Soalan yang kita patut tanya diri kita ialah adakah hidup kita sejajar dengan jawapan dan arahan yang diberikan oleh Tuhan Yesus kepada tiga soalan besar hidup ini? Kalau ya, bagaimana? Kalau tidak, apakah yang perlu diubahsuaikan supaya kehidupan kita disasarkan untuk mematuhinya?
Namun begitu, manifesto kerajaan Allah untuk pemuridan yang sejati di dalam dunia ini perlu menjadi nyata dalam pertempuran di antara kuasa cahaya Allah dan kuasa gelap Iblis di dunia ini. Maka, dua sikap indah yang terakhir ini menunjukkan betapa perlunya kita memupuk ketabahan untuk menentang nilai-nilai duniawi dengan perbenaran Allah serta mengatasi semua serangan kuasa gelap dalam bentuk penganiayaan dengan ketaatan kepada Yesus yang tidak berbelah bahagi.
Kedua-dua hal ini kita akan kita pelajari di dalam bahagian-bahagian berikut.