Perhubungan Dengan Allah
3"Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga. 4Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur. 5Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini. 6Diberkatilah mereka yang lapar dan dahaga akan perbenaran, kerana mereka akan dipuaskan. (Matius 5:3-6, AVB)
Tidak ada perhubungan yang lebih penting dalam kehidupan kita selain daripada perhubungan kita dengan Allah. Maka, tidak hairanlah, Tuhan Yesus memulakan Khutbah di atas Bukit dengan memberi empat sikap hati yang indah untuk hidup dalam pertaubatan dan kesucian berdasarkan takut kepada Tuhan. Petrus telah menulis tentang hal ini:
13Oleh yang demikian, bersedialah dengan akal budimu, berjaga-jaga dan sandarkanlah harapan kepada kasih kurnia yang akan kamu terima apabila Yesus Kristus menyatakan diri-Nya kelak. 14Jadilah anak-anak yang taat akan Allah, dan janganlah hidup mengikut nafsumu seperti dahulu, sebelum kamu mengenal-Nya. 15Pastikanlah segala perbuatanmu suci, sebagaimana Tuhan yang memanggilmu itu suci. 16Ada tersurat dalam Kitab Suci, "Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci." 17Jika kamu berdoa kepada Allah Bapa, yang menghakimi manusia dengan adil menurut perbuatan masing-masing, maka sepanjang hayatmu di dunia ini takuti dan patuhilah Dia. 18Kamu mengetahui bahawa untuk membebaskanmu daripada hidup sia-sia warisan nenek moyangmu, tebusannya bukanlah sesuatu yang dapat dibinasakan seperti perak atau emas 19tetapi darah Kristus yang amat berharga, darah anak domba yang tiada cacat celanya. 20Dia telah ditetapkan sebelum dunia dicipta, tetapi dinyatakan pada akhir zaman ini untukmu. 21Melalui-Nya kamu percaya kepada Allah, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian dan memberi-Nya kemuliaan, supaya kamu beriman dan berharap kepada Allah. (1 Petrus 1:13-21, AVB)
Allah memang Maha Suci dan oleh sebab itu Dia tidak mungkin bersekutu dengan manusia yang berdosa seperti kita. Tetapi kematian Tuhan Yesus telah menebus kita daripada dosa kita dan menyucikan kita untuk menjadi orang salih yang suci. Proses ini merupakan proses pembenaran di dalam Yesus.
Namun begitu, kita masih berbuat dosa dan perlu terus disucikan daripada dosa-dosa kita. Kita mesti bertaubat daripada semua perbuatan yang berdosa ini supaya kita boleh terus bersekutu dengan Allah tanpa apa-apa halangan. Maka, hidup dalam pertaubatan adalah suatu proses yang paling asas dalam perhubungan kita dengan Allah yang menuju ke arah menyempurnakan kesucian kita dengan rasa takut kepada Allah.
1Oleh sebab kita telah mendapat janji-janji itu, saudara-saudara yang kukasihi, sucikanlah diri daripada segala yang menajiskan tubuh atau roh, dan sempurnakan kesucian kita dengan rasa takut kepada Allah. (2 Korintus 7:1, AVB)
Empat sikap hati ini yang disebut oleh Tuhan Yesus merupakan proses pertaubatan yang berterusan di dalam kehidupan setiap orang salih. Empat sikap yang indah untuk perhubungan kita dengan Allah ialah:
Miskin kerohanian
Bersedih
Lemah lembut
Lapar dan dahaga akan perbenaran
Kalau kita lihat gambar rajah di bawah, empat sikap itu memang terkait dan dibina secara berurutan daripada satu sikap ke sikap lain yang seterusnya.
Mari kita mempertimbangkan keempat-empat sikap hati ini, satu per satu, dan lihat perkaitannya secara berurutan.
(a) Miskin Kerohanian
3"Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga. (Matius 5:3, AVB)
Titik permulaan proses pertaubatan di dalam perhubungan kita dengan Allah adalah menerima dan mengakui bahawa kita adalah pengemis rohani. Hal ini memerlukan kita untuk mengubah fikiran kita tentang siapa kita, dosa yang telah dilakukan oleh kita dan dosa yang masih lagi dibuat oleh kita serta apa yang kita patut lakukan berkaitan dengan keadaan dosa itu.
Dalam kata lain, kita perlu mengakui bahawa kita adalah muflis dari segi rohani dan adalah miskin rohani di hadapan Allah kerana dosa-dosa kita. Di minda dan di dalam hati kita, kita mesti menerima hakikat keadaan dosa ini sebagai suatu realiti. Kita memanggil dosa itu sebagai dosa kerana itulah yang dinyatakan dalam Firman Tuhan. Kita yang berdosa telah memberontak terhadap Allah dan melanggar hukum-hukum Allah.
Dosa merangkumi apa yang dapat dilihat dan juga apa yang tidak kelihatan, apa yang di luar dan apa yang di dalam hati kita. Hakikat ini berdasarkan fakta bahawa Allah menguji niat hati kita:
7Tetapi firman Tuhan kepada Samuel, "Janganlah pandang rupanya atau perawakannya yang tinggi, kerana Aku telah menolak dia. Allah tidak melihat sebagaimana manusia melihat. Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi Tuhan melihat hati." (1 Samuel 16:7, AVB)
2Periksalah aku, ya Tuhan, dan dugalah aku, ujilah fikiran dan hatiku; (Mazmur 26:2, AVB)
2Segala jalan seseorang bersih menurut pandangannya sendiri, tetapi Tuhan sajalah yang menimbang niat hatinya. (Amsal 16:2, AVB)
3Seruan kami kepadamu tidak berasaskan kesilapan atau niat yang kotor mahupun usaha untuk memperdayamu. 4Sebaliknya, kami sentiasa berkata-kata sebagai orang yang dipandang layak oleh-Nya untuk memegang amanah menyampaikan Injil itu. Kami tidaklah berusaha hanya sekadar menyukakan hati manusia tetapi semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah yang menguji hati kami. (1 Tesalonika 2:3-4, AVB)
Kesimpulan Allah tentang kita jelas sekali:
23Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah. (Roma 3:23, AVB)
Tambahan lagi, kita tidak dapat tawar-menawar dengan Allah kerana kita tidak berkemampuan berbuat demikian dengan keadaan miskin rohani kita. Kita tiada pilihan lain kecuali minta ampun daripada Allah agar Dia menunjukkan belas kasihan dan kasih kurnia berdasarkan pengorbanan Anak-Nya yang tunggal, iaitu Yesus Kristus.
Oleh sebab itu, sikap hati pertama dalam proses pertaubatan ialah hati yang hancur dan remuk kerana dosa peribadi kita.
17Korban untuk Allah ialah hati yang hancur; hati yang hancur dan sesal, Ya Allah, tidak akan Kauremehkan. (Mazmur 51:17, AVB)
Hanya dengan hati yang hancur dan remuk berdepan dengan Tuhan seseorang dapat masuk dan kekal di dalam kerajaan syurga. Orang yang angkuh dan tidak mahu bertaubat tidak mungkin masuk kerajaan syurga.
23Keangkuhan seseorang akan merendahkannya, tetapi orang yang rendah diri akan memperoleh kehormatan. (Amsal 29:23, AVB)
6Walaupun demikian, kasih kurnia yang dianugerahkan oleh Allah lebih kuat, maka tersurat dalam Kitab Suci: “Allah menentang orang yang angkuh tetapi memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati.” (Yakobus 4:6, AVB)
Kita mesti mengekalkan sikap hati yang hancur dan remuk ini sepanjang hidup kita.
Tugasan:
Sila kaji Roma 3:9-20. Apakah pandangan firman Tuhan tentang “kebaikan” kita? Adakah anda mempunyai pandangan yang setara dengan pernyataan-pernyataan di dalam petikan ini? Mengapa? Bagaimanakah anda perlu sesuaikan pandangan anda supaya setara dengan apa yang dikatakan dalam firman Tuhan?