TABAH DIANIAYA KERANA PERBENARAN - BAHAGIAN 1 (Menentang Nilai-Nilai Duniawi)
Tidak boleh dinafikan bahawa pertempuran kita yang paling ketara di bumi ini ialah dengan nilai-nilai duniawi yang dipelopori oleh dunia setiap hari tanpa henti. Hal ini dapat dikesan dan dikenal pasti di semua bidang, termasuk juga di dalam gereja! Sekiranya kita tidak berhati-hati dengan gejala duniawi ini, asas kerohanian kita akan dihakis dan tanpa disedari iman yang murni kepada ajaran-ajaran Alkitab akan digantikan oleh nilai-nilai duniawi.
Maka, seruan Yesus tentang sikap indah ini sangat sesuai sekali untuk masa kini:
10Diberkatilah mereka yang dianiaya demi perbenaran,
kerana kerajaan syurga untuk mereka. (Matius 5:10, AVB)
Dunia akan menganiaya orang percaya apabila mereka mengamalkan nilai-nilai perbenaran seperti yang diajar di dalam Alkitab terutama sekali apabila nilai-nilai Alkitabiah bertentangan dengan amalan dunia yang telah diterima dan dipraktikkan.
Contohnya, orang yang mengamalkan perniagaan dan tindakan yang jujur serta bebas rasuah akan diejek sebagai orang yang tidak praktikal serta bodoh. Orang yang tidak melibatkan diri dalam percabulan digelar sebagai orang yang berfikiran kolot. Orang yang tidak mahu menipu atau berbohong dipanggil orang yang “terlalu lurus” dan tidak setia kepada tuan mereka.
Namun begitu, Tuhan Yesus mendorong kita dengan janji bahawa mereka yang dianiaya demi perbenaran akan mewarisi kerajaan syurga! Dalam kata lain, kita patut tetap memilih untuk berdiri bersama-sama dengan Allah sebagai warga kerajaan Allah dan jangan tukar kesetiaan kita kepada Allah dengan kesetiaan kepada dunia dan kuasa-kuasa gelap. Jika kita memilih untuk mengikuti nilai-nilai duniawi yang bercanggah dengan ajaran firman Tuhan, itu merupakan tindakan menukar daripada kerajaan cahaya kepada kerajaan kegelapan. Allah memandang tindakan itu sebagai suatu penderhakaan terhadap-Nya.
Salah satu perkara yang sangat penting dalam konteks ini ialah apa yang kita kumpulkan sebagai harta kita. Tuhan Yesus mengajar hal in di dalam Khutbah-Nya di Atas Bukit:
19"Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya. 20Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya. 21Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu." 22"Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. 23Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, maka gelap-gelitalah keadaannya!" 24"Seseorang tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan. (Matius 6:19-24, AVB)
Tuhan Yesus mengajar bahawa terdapat hanya dua jenis harta yang boleh dikumpulkan oleh kita:
Harta fana di dunia.
Harta kekal di syurga.
Di antara harta fana di dunia ini ialah:
Kekayaan dan kebendaan
Kuasa dan kawalan
Kenikmatan duniawi dan sifat tabii
Kepujian dan penerimaan manusia
Kekayaan dan Kebendaan
Yesus memanggil kekayaan dan kebendaan sebagai “Mamon.” Maka, kekayaan dan kebendaan merupakan suatu jenis roh yang menguasai manusia. Tuhan Yesus mengatakan dengan jelas bahawa ini merupakan suatu hal ketuanan:
24"Seseorang tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan [Mamon]. (Matius 5:24, AVB)
Pergelutan ini berlaku di dalam hati kita. Takhta hati kita hanya boleh menampung satu tuan sahaja: Allah atau Mamon. Tidak mungkin dua tuan duduk di takhta hati kita pada masa yang sama.
Kita mesti jelas bahawa wang adalah benda yang neutral - tidak baik dan tidak buruk. Apa yang dipertikaikan ialah sama ada Roh Kekayaan (Mamon) atau Allah yang menguasai hati kita. Roh Kekayaan ini boleh menyebabkan orang percaya tersesat daripada iman yang murni di dalam Yesus:
6Kesalihan yang disertai dengan rasa puas membawa keuntungan besar. 7Kita tidak membawa apa-apa ke dalam dunia ini, dan pasti sekali kita tidak dapat membawa apa-apa apabila kita meninggalkannya. 8Oleh itu, jika kita ada pakaian dan makanan, kita harus berasa puas. 9Orang yang mahu kaya tergoda dan terperangkap oleh pelbagai keinginan yang sia-sia dan berbahaya, yang menjerumuskannya ke dalam kerosakan dan kemusnahan. 10Cinta akan wang punca segala kejahatan. Sesetengah orang memburu wang dengan begitu tamaknya sampaikan tersesat daripada iman dan akhirnya menanggung berbagai-bagai kesengsaraan jiwa. (1 Timotius 6:6-10, AVB)
Kita perlu berwaspada tentang amaran yang dinyatakan di dalam petikan di atas. Cinta akan wang adalah punca segala kejahatan! Orang yang mahu kaya akan tergoda dan terperangkap di dalam pelbagai usaha yang berkompromi nilai yang murni dan pegangan hidup yang berasaskan perbenaran. Ketamakan menyebabkan orang membuat keputusan dan pilihan yang akhirnya menyebabkan pelbagai kesengsaraan jiwa.
Contohnya, apabila pihak tertentu mengambil rasuah atau mencuri wang kerana peluang muncul dalam urusan yang di bawah jagaan mereka, satu hari apabila kesalahan mereka terdedah dan terbongkar, mereka akan didakwa dan dihukum di mahkamah. Mereka akan hilang kebebasan dan seterusnya nama baik mereka akan terjejas dengan teruknya. Kemaluan yang mereka tanggung akan menyeksa jiwa mereka dan kecacatan ini tidak akan reda di dalam fikiran dan hati mereka. Itulah kesengsaraan dan kepiluan yang memang tidak berbaloi.
Dalam petikan yang sama, kita pelajari apa yang boleh meniadakan ketamakan dan cinta akan wang. Paulus menyeru kita untuk memupuk kesalihan yang disertai dengan rasa puas. Jika kita mempunyai keperluan asas (pakaian dan makanan), kita patut sudah puas hati. Hal ini juga dinyatakan di dalam Amsal:
7Dua hal kupinta daripada-Mu,
janganlah Kautolak sebelum aku mati:
8Jauhkanlah daripadaku kesia-siaan dan perkara dusta,
janganlah beri aku kemiskinan atau kekayaan,
berilah aku makanan secukupnya.
9Jangan sampai aku kenyang lalu menyangkal Engkau
dan berkata, "Siapakah Tuhan itu?"
Jangan sampai aku miskin lalu mencuri
dan memfitnah nama Allahku. (Amsal 30:7-9, AVB)
Kita patut sedar bahawa Allah menjanjikan bahawa keperluan asas akan dibekalkan-Nya.
25Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih penting daripada pakaian? 26Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, atau menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung? 27Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir? (Matius 6:25-27, AVB)
Sekiranya kita menunaikan bahagian dan peranan kita untuk bekerja dengan gigih, Tuhan mengatakan pembekalan untuk keperluan asas adalah tanggungjawab-Nya. Apa yang kita perlu untuk makan, minum dan pakaian, itulah peranan Allah. Sebagaimana Allah menjaga burung di udara dengan membekalkan makanan yang mencukupi, walhal burung tidak menyemai, menuai atau menyimpan hasil di jelapang, begitulah Allah boleh dipercayai untuk memberi kita keperluan asas.
19Allahku akan membekalkan segala keperluanmu daripada kekayaan-Nya yang termulia dalam Kristus Yesus. (Filipi 4:19. AVB)
Namun begitu, Allah masih memerlukan kita untuk bekerja dan jangan menjadi malas. Burung pun perlu mencari makanannya setiap hari dan bukan duduk di sarangnya dan menunggu Allah membawa makanan kepadanya. Paulus mengatakan dengan tegas:
10Sewaktu kami bersamamu, kami telah memberikan perintah ini: "Sesiapa yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan." (2 Tesalonika 3:10, AVB)
Hal ini sudah ditetapkan dari permulaan lagi oleh Allah apabila dia meletakkan manusia di dalam taman di sebelah timur Eden untuk mengerjakannya:
15Tuhan Allah mengambil manusia itu dan menempatkannya di dalam Taman Eden untuk mengerjakan serta memelihara taman itu. (Kejadian 2:15, AVB)
Jadi, bekerja memang salah suatu tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita oleh Allah.
Namun begitu, janji bahawa Allah akan menunaikan keperluan asas kita tidak merangkumi semua keinginan kita. Sekiranya Allah memberi kita kemewahan dan kebendaan, janganlah angkuh tetapi sedar bahawa itu merupakan kasih kurnia daripada Allah dan kita perlu menguruskan apa yang telah diamanahkan itu dengan bertanggungjawab dan berintegriti bagi pihak Allah.
18Sebaliknya, ingatlah Tuhan, Allahmu, kerana Dialah yang memberikan kepadamu kekuatan untuk memperoleh kekayaan itu, demi meneguhkan perjanjian yang telah Dia sumpah kepada nenek moyangmu, seperti pada hari ini. (Ulangan 8:18, AVB)
Sekiranya Allah memberi kita kekayaan atau wang yang lebih daripada mencukupi, kita sepatutnya pandang itu sebagai sesuatu keistimewaan untuk menjadi murah hati dan berbuat baik melalui amal kebajikan:
17Perintahkan orang yang kaya pada masa ini supaya jangan angkuh, jangan berharapkan kekayaan yang sebenarnya tidak kekal, tetapi bergantunglah kepada Allah yang hidup, yang melimpahkan segala sesuatu kepada kita untuk dinikmati. 18Hendaklah mereka berbuat baik, supaya mereka kaya dengan amal kebajikan, sedia memberi, rela berkongsi. (1 Timotius 6:17-18, AVB)
Oleh sebab itu, Tuhan Yesus telah mengatakan:
22"Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. 23Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, maka gelap-gelitalah keadaannya!" (Matius 6:22-23, AVB)
Apa yang dilafazkan oleh Tuhan Yesus merupakan suatu kiasan. Mata yang terang merupakan suatu kiasan yang bermaksud seorang yang murah hati, manakala mata yang kabur bermaksud seorang yang kedekut. Orang yang mata duitan memang mempunyai mata yang kabur, dan mereka menimbun banyak kekayaan hanya untuk diri sendiri sahaja. Mereka tidak faham bahawa mereka diberkati Allah untuk berbuat baik, menjadi orang yang sedia memberi dan rela berkongsi dengan penuh hikmat.
Orang kaya yang matanya kabur adalah orang yang hanya ambil berat tentang dirinya sendiri. Tuhan Yesus menceritan suatu ibarat:
16Lalu Dia pun menceritakan kepada mereka satu ibarat: "Seorang kaya mempunyai tanah yang mengeluarkan hasil yang banyak. 17Dia berfikir dalam hatinya, 'Apakah yang harus aku buat? Tiada lagi tempat untuk menyimpan hasil tanahku.' 18Dia berkata, 'Baiklah aku berbuat begini. Aku akan meruntuhkan gudang-gudangku dan membina yang lebih besar. Di situlah aku akan menyimpan segala gandum dan harta bendaku. 19Aku akan berkata kepada diriku, engkau mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersuka rialah.' 20Tetapi Allah berfirman kepadanya, 'Engkau bodoh! Pada malam ini juga, jiwamu akan dituntut kembali daripadamu. Lalu harta benda yang telah kaukumpulkan itu akan menjadi hak siapa?' "21"Demikianlah halnya orang yang menyimpan harta benda untuk dirinya tetapi tidak kaya pada pandangan Allah." (Lukas 12:16-21, AVB)
Orang kaya ini menjadi semakin kaya dan berjaya di dalam perniagaannya. Dia mempunyai jauh lebih banyak daripada yang diperlukannya. Namun begitu, dia hanya memikirkan bagaimana dia boleh menyimpan serta menimbun kekayaan untuk kesejahteraan diri sendiri sahaja. Dengan rancangannya untuk membina gudang yang lebih besar dan memegang harta benda yang banyak untuk keperluan sendiri untuk bertahun-tahun, dia fikir bahawa dia selamat dan tidak perlu apa-apa lagi - hanya menikmati hidup yang mewah.
Namun begitu, Allah memanggil orang itu seorang yang bodoh. Ini tidak bermaksud dia tidak berakal, tetapi sebenarnya dia tidak mempunyai hikmat untuk melihat apa yang penting sekali. Dia tidak sedar bahawa semua kekayaan dan kebendaannya adalah sementara sahaja. Harta di dunia ini adalah fana dan akan lenyap sebaik sahaja dia mati. Seperti yang dikatakan oleh Ayub:
21katanya,
"Dengan telanjang aku keluar daripada kandungan ibuku,
dan dengan telanjang juga aku akan pergi.
Tuhan yang memberikan; Tuhan yang mengambil,
segala puji bagi nama Tuhan!" (Ayub 1:21, AVB)
Kita tidak membawa apa-apa ke dalam dunia ini kerana kita muncul secara telanjang. Begitulah juga, apabila kita mati, kita akan pergi tanpa membawa apa-apa daripada dunia ini. Semua harta dunia kita yang fana akan terus lenyap dan kita pasti mengalami kerugian yang besar sekiranya itu sahaja harta yang kita miliki.
Sebaliknya, jika kita telah berusaha untuk menyimpan harta di syurga, maka kita akan melintas masuk ke kekekalan dengan kekayaan yang kekal. Ramai orang Kristian kabur tentang warisan dan ganjaran yang digolongkan sebagai harta di syurga. Warisan kita termasuk:
Hidup Yang Kekal (Matius 19:29),
Kerajaan Allah (1 Korintus 15:50)
Penyelamatan (Ibrani 1:14)
(Rujuk silang: Yohanes 10:28-29; Matius 19:29; Markus 10:17; 1 Korintus 6:9; 15:50; Galatia 5:19-21; Efesus 1:11-14; 5:5; Kolose 1:12; 3:23-24; Ibrani 1:14; 6:9-12; 9:15-17; 12:16-17; 1 Petrus 1:3-5; Wahyu 21:7)
Kesemua ini merupakan khazanah kita yang paling berharga dan perlu dihargai serta disimpan sehingga kita mati dan mewarisinya untuk selama-lamanya.
Selain itu, ganjaran diberikan oleh Allah untuk kerja baik yang kita lakukan demi kemuliaan nama Tuhan. Paul menerangkan tentang hal ini:
9Kami sama-sama pekerja Allah, dan kamu ibarat ladang Allah. Kamu juga boleh diumpamakan sebagai bangunan Allah. 10Dengan kasih kurnia Allah, aku sebagai pembina yang mahir telah meletakkan asas bangunan itu, lalu orang lain membina bangunan di atas asas itu. Setiap orang yang membina perlu berhati-hati. 11Kerana tiada siapa yang dapat meletakkan asas selain asas yang telah tersedia, iaitu Yesus Kristus. 12Ada orang yang menggunakan emas, perak atau permata untuk membina bangunan di atas asas itu. Ada pula yang menggunakan kayu, rumput kering atau jerami. 13Mutu kerja setiap orang akan terserlah pada hari Tuhan datang kembali, kerana ia akan diuji dengan api. 14Sekiranya bangunan yang didirikan di atas asas itu tahan api, pembinanya akan mendapat ganjaran. 15Sebaliknya, jika bangunan yang dibina oleh seseorang itu dimakan api, dia akan kerugian, walaupun dirinya terselamat seperti orang yang terlepas daripada kebakaran. (1 Korintus 3:9-15, AVB)
Di dalam petikan di atas, Paulus menerangkan bagaimana semua kerja kita akan diuji dengan api. Hal ini bukan berkaitan dengan penyelamatan kerana penyelamatan adalah hal warisan yang datang dengan kasih kurnia Allah melalui iman:
8Kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman – ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah – 9bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah. (Efesus 2:8-9, AVB)
Apa yang dimaksudkan oleh Paulus ialah “perbuatan baik” yang telah disediakan oleh Allah untuk kita lakukan selepas kita telah mula diselamatkan:
10Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Kristus Yesus untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan. (Efesus 2:10, AVB)
Perbuatan baik ini dibuat kerana kita telah mula diselamatkan dan kita melakukan ini kerana kita ingin memuliakan Allah dan melakukan yang terbaik bagi Tuan kita. Jika kita membina dengan bahan yang senang terbakar (kayu, rumput kering atau jerami), pada hari kita dihakimi untuk ganjaran, kita mengalami kerugian. Kita masih selamat tetapi tidak kaya dan akan rasa malu di hadapan Allah kerana tidak menggunakan peluang di dalam kehidupan kita untuk memuliakan-Nya. Dalam kata lain, kita tidak kaya pada pandangan Tuhan.
Tetapi sekiranya kita membina dengan menggunakan bahan yang tahan api (emas, perak atau permata [seperti batu marmar dan batu granit]) maka kerja kita akan membawa ganjaran yang besar pada hari penghakiman kita. Hal ini bukan berkaitan dengan penyelamatan tetapi dengan ganjaran yang diberikan di pengadilan Kristus:
10Kita semua akan dihadapkan ke pengadilan Kristus, dan setiap orang akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan dalam hidupnya, baik ataupun jahat. (2 Korintus 5:10. AVB)
Apakah ganjaran yang dijanjikan? Hal ini tidak begitu jelas dan tidak dinyatakan secara eksplisit, Tetapi, oleh kerana Allah kita baik dan setia, kita boleh jangka bahawa ganjaran tersebut memang menyeronokkan dan membawa sukacita yang melimpah-limpah.
Maka, kita perlu mengambil hal kekayaan dan kebendaan ini dengan serius. Jangan terbelenggu dan terjerat oleh Roh Kekayaan sebagai tuan yang kejam, tetapi biarlah kita tunduk kepada Tuan kita yang satu-satunya, iaitu Raja segala raja dan Tuan segala tuan. Kumpul dan simpan harta di syurga dan menjadi kaya pada pandangan Tuhan. Biarlah ayat-ayat ini menjadi panduan dan pedoman hidup kita:
1Dengan demikian, jika kamu telah dibangkitkan bersama Kristus, carilah perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga, tempat Kristus duduk di sebelah kanan Allah. 2Tumpukan pemikiranmu kepada hal-hal di syurga, bukan hal-hal di bumi. 3Kerana kamu telah mati, dan hidupmu tersembunyi bersama Kristus dalam Allah. 4Apabila Kristus yang merupakan kehidupan kamu itu muncul, kamu akan muncul bersama-Nya dalam kemuliaan (Kolose 3:1-4, AVB)
Keutamaan di dalam hidup kita mesti diberikan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga!
Kuasa dan Kawalan
Satu lagi nilai duniawi yang boleh dikira sebagai harta fana di dunia ini ialah kuasa dan kawalan. Di dalam dunia ini, kebanyakan orang mengejar kejayaan dan biasanya kejayaan diukur dengan berapa banyak kuasa dan kawalan dimiliki di bidang yang berkaitan.
Contohnya, ibu bapa mahu kuasa dan kawalan ke atas anak-anak mereka supaya mereka mencapai kejayaan mengikut persepsi mereka. Pekerja-pekerja ingin maju dan menaiki tangga kedudukan di dalam syarikat atau organisasi di mana dia bekerja supaya mereka mempunyai kuasa dan kawalan ke atas mereka yang di bawahnya.
Nilai duniawi ini akan menjadi nyata dalam bentuk pertandingan dengan orang lain, sikap ingin menjatuhkan orang lain dan tindakan yang agresif. Selain itu, perbandingan dengan orang lain akan menyebabkan seseorang tidak tenteram dan biasanya memiliki perasaan tidak selamat. Mereka mendapati sukar untuk mempercayai orang lain dan selalu mengesyaki terdapat orang yang ingin menjatuhkan atau mengatasinya. Sudah tentu sikap yang begitu menyebabkan orang lain tidak ingin bekerjasama atau berada dekat dengan dia.
Oleh sebab itu, pendekatan pertandingan sebegini tidak diguna pakai oleh Tuhan Yesus di dalam kerajaan Allah. Tuhan Yesus mengatakan kepada murid-murid-Nya:
25Oleh itu, Yesus memanggil mereka kepada-Nya lalu berkata, "Kamu tahu bahawa pemerintah bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan orang besar melaksanakan kekuasaan ke atas mereka. 26Ini tidak harus berlaku dalam kalanganmu. Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu. 27Sesiapa yang ingin menjadi orang yang pertama dalam kalanganmu, haruslah menjadi hambamu. 28Demikianlah Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang." (Matius 20:25-28, AVB)
Di dunia ini, seorang naik pangkat dan memanjat tangga korporat supaya orang lain akan melayaninya dan ikut perintahnya kerana kuasa dan kawalan yang diperolehinya. Sebaliknya, Yesus menegaskan bahawa di dalam kerajaan Allah seorang ketua atau pemimpin akan menjadi hamba dan melayani orang lain. Untuk menekankan hal ini, Tuhan Yesus merujuk kepada kepada teladan-Nya yang mana dia “datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.”
Di dalam kerajaan Allah, harta yang di syurga adalah dalam bentuk melayani untuk kebaikan dan keuntungan orang lain supaya Bapa menerima kemuliaan yang sewajarnya.
16Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga." (Matius 5:16, AVB)
Di dalam kerajaan Allah, kegemilangan kehidupan kita diukur bukan berdasarkan betapa tingginya kedudukan kita berbanding dengan orang lain, tetapi betapa rendahnya kita melayani orang lain. Maka, sebagai hamba Allah, kita tidak berhasrat untuk menguasai atau mengawal kekayaan, pendapat dan pemikiran orang lain, kemajuan orang lain, perbuatan orang lain, atau menentukan masa depan orang lain. Kita hanya melayani Allah dan bekerjasama dengan-Nya di dalam kehidupan orang lain demi kemuliaan Tuhan dan kebaikan mereka. Pemikiran dan pegangan hidup kita ialah biarlah Tuhan yang berkuasa dan mengawal orang lain sebab dialah satu-satunya Raja di dalam kerajaan-Nya.
Kenikmatan Duniawi dan Sifat Tabii
Harta fana di dunia ini juga merangkumi berhala:
21Anak-anakku, jauhkanlah dirimu daripada berhala. (1 Yohanes 5:21, AVB)
Berhala boleh mengambil pelbagai bentuk yang melibatkan perbuatan dosa:
3Tetapi perbuatan cabul dan segala kecemaran atau tamak haloba, jangan disebut pun dalam kalanganmu, kerana demikianlah sepatutnya bagi orang salih. 4Jauhi kekotoran, percakapan tidak berakal dan lawak jenaka lucah, kerana segala ini tidak wajar, sebaliknya eloklah kamu mengucapkan kata-kata kesyukuran. 5Kerana kamu tahu bahawa orang yang berzina, melakukan kecemaran, atau tamak haloba – yang sama dengan penyembah berhala tidak akan mewarisi kerajaan Kristus dan Allah. (Efesus 5:3-5, AVB)
Perbuatan cabul, segala kecemaran, kekotoran, percakapan tidak berakal, lawak jenaka lucah, berzina dan tamak haloba - semua perbuatan ini sama dengan dosa penyembahan berhala, yang menyebabkan seseorang tidak akan mewarisi kerajaan Kristus dan Allah! Maka, semua kenikmatan duniawi yang mengukuhkan sifat tabii yang cenderung kepada dosa patut diperangi habis-habisan. Terlalu besar kerugian yang dialami sekiranya kita membiarkan hal-hal berikut menjadi berhala di dalam hati kita yang menentang dan menandingi ketuanan Allah di sana.
Oleh sebab itu, kita perlu menyemak hati kita dan perbuatan yang dilakukan dari masa ke semasa untuk memastikan kita tidak melayani sifat tabii (daging) kita.
11Saudara-saudara yang kukasihi, aku merayu kepadamu sebagai orang asing dan pendatang di dunia, jauhilah hawa nafsu yang sentiasa menyerang jiwa. 12Amalkan kelakuan yang mulia, maka apabila orang di kelilingmu yang tidak mengenal Allah mengata kamu berbuat jahat, mereka tetap melihat perbuatanmu yang baik lalu memuliakan Allah pada waktu Tuhan datang kembali. (1 Petrus 2:11-12, AVB)
Jahuilah hawa nafsu yang sentiasa menyerang jiwa kita kerana jika kita tunduk kepada desakannya, jiwa kita akan sengsara diseksa oleh dosa yang mencemari hidup kita. Orang percaya tidak akan selesa dengan gaya hidup begini yang mengamalkan nilai duniawi yang selaras dengan kenikmatan duniawi dan sifat tabii. Jangan hidup di dalam lumpur nilai-nilai duniawi ini - kehidupan sebegini memang dalam masa jangka panjang tidak berbaloi sekali.
Kepujian dan Penerimaan Manusia
Salah satu jerat yang mengongkong manusia kepada harta fana dunia ini ialah keinginan diterima dan dipuji oleh orang lain.
25Rasa takut terhadap manusia mendatangkan jerat,
tetapi sesiapa percaya kepada Tuhan akan terselamat. (Amsal 29:25, AVB)
43Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah. (Yohanes 12:43, AVB)
10Adakah aku hendak membuktikan diri kepada manusia atau kepada Allah? Adakah aku berusaha mendapatkan keredaan manusia atau keredaan Allah? Jika aku masih cuba mendapatkan keredaan manusia, aku bukanlah hamba Kristus. (Galatia 1:10, AVB)
4Sebaliknya, kami sentiasa berkata-kata sebagai orang yang dipandang layak oleh-Nya untuk memegang amanah menyampaikan Injil itu. Kami tidaklah berusaha hanya sekadar menyukakan hati manusia tetapi semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah yang menguji hati kami. (1 Tesalonika 2:4, AVB)
Orang yang mengejar kepujian dan penerimaan manusia adalah orang yang dibelenggu dan tidak akan menikmati damai sejahtera Allah. Manusia mempunyai ciri-ciri orang yang berdosa dan oleh sebab itu pujian dan penerimaan mereka biasanya mempunyai banyak kekurangan. Setiap orang di dalam hidup anda, walaupun dia seorang yang baik dan salih, pasti akan mengecewakan anda kerana setiap orang adalah tidak sempurna.
Keinginan untuk diterima adalah sesuatu yang telah diletakkan di dalam diri setiap orang oleh Allah, tetapi kita tidak patut menaruh harapan kepada manusia untuk memenuhinya. Sabaliknya, kita patut mengalihkan pandangan kita hanya kepada Allah untuk diterima. Berusahalah untuk mendapat pujian Allah, bukan untuk bermegah di dalam diri sendiri tetapi kerana kita takut pada Tuhan dan ingin bermegah di dalam keagungan-Nya. Untuk kita, orang yang percaya, kebenaran dan hakikatnya ialah Yesus kita telah pun menerima kita:
7Terimalah satu sama lain, sebagaimana Kristus telah menerima kita, demi kemuliaan Allah. (Roma 15:7, AVB)
Oleh sebab itu, kita dapat hidup melalui penerimaan Kristus yang sedia ada dengan penuh keyakinan. Kita tidak perlu hidup dalam kebimbangan bahawa usaha kita tidak memadai atau mencukupi untuk memperolehi penerimaan Allah Bapa kita. Kita tidak akan rasa cemas dengan penolakan atau hukuman Allah tetapi kita dapat hidup dalam kebebasan:
1Demi kemerdekaan Kristus telah memerdekakan kita. Oleh itu, berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh Kristus kepada kita, dan jangan biarkan diri dibelenggu oleh kuk perhambaan semula. (Galatia 5:1, AVB)
Maka, kita dimerdekakan untuk terus hidup dalam kesucian - bebas daripada ancaman dosa dan belenggu. Kita bebas untuk hidup di dalam Roh Kudus untuk mencapai gaya hidup yang murni dan berintegriti. Hidup menjadi jauh lebih memuaskan dan kita bersukacita di dalam damai sejahtera Allah. Bukankah itu harapan dan idaman kita?
Rumusan:
Amaran Alkitab yang paling ketara tentang dunia ini ialah:
4Kamu tidak setia. Tidakkah kamu tahu bahawa sesiapa yang bersahabat dengan dunia menjadi musuh Allah? Oleh itu, sesiapa yang mahu bersahabat dengan dunia menjadikan dirinya musuh Allah. (Yakobus 4:4, AVB)
Sekiranya kita bersahabat dengan dunia, kita terus menjadi musuh Allah. Hal ini terjadi kerana segala nilai-nilai duniawi memang bertentangan dengan nilai-nilai Alkitabiah yang terkandung dengan jelas di dalam firman-Nya. Kita tidak boleh berjinak-jinak dengan dunia kalau kita mahu mengamalkan ketuanan Allah di dalam hidup kita. Hal ini tidak mungkin terjadi. Kita tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba dunia ini pada masa yang sama.
Allah tidak akan berkongsi kemuliaan-Nya dengan sesiapa atau apa sahaja pun.
Jadi, tanya dan menguji diri sendiri sama ada anda adalah sahabat Allah atau sahabat dunia?
Adakah nilai-nilai hidup anda sesuai dengan nilai-nilai Alkitabiah atau nilai-nilai duniawi? Dalam hal ini, apakah yang anda lebih menghargai - harta fana di dunia atau harta kekal di syurga? Bagaimana anda ketahui ini?
Apakah sikap anda terhadap:
Kekayaan dan kebendaan?
Kuasa dan kawalan?
Kenikmatan duniawi dan sifat tabii?
Kepujian dan penerimaan manusia?
Apakah yang perlu ditangani dan disingkirkan daripada amalan hidup anda sekarang?
Ambil masa yang secukup-cukupnya untuk membuat penilaian yang ikhlas ini kerana hal ini adalah soal hidup atau mati!