SELAMAT HARI NATAL SAUDARA-SAUDARI YANG DIKASIHI!
TABAH DIANIAYA KERANA PERBENARAN - BAHAGIAN 2 (Menentang Budaya Duniawi)
Kebelakangan ini, kesihatan mental menjadi suatu isu yang hangat apabila ramai orang dipaksa berkurung di rumah masing-masing kerana pandemik Covid-19. Namun begitu, hal ini bukanlah sesuatu yang unik. Tuhan Yesus telah membangkitkan hal kesihatan mental yang terkait dengan budaya duniawi, iaitu kekhuatiran dan ketakutan yang kronik.
25Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih penting daripada pakaian? 26Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, atau menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung? 27Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir? (Matius 6:25-27, AVB)
Budaya dunia hari ini mempraktikkan berita palsu yang menular yang menyebabkan manusia khuatir dan takut tentang keperluan asas mereka: apa yang mereka makan, minum dan pakai. Kita telah mempertimbangkan bagaimana Tuhan Yesus merujuk kepada burung di udara sebagai bukti bahawa Allah akan memenuhi tanggungjawab-Nya kepada kita yang percaya untuk memenuhi keperluan asas kita.
Dalam pada itu, Tuhan Yesus mengatakan bahawa dasar Allah untuk memenuhi keperluan asas kita sebagai orang yang percaya ialah kerana kita bernilai kepada-Nya jauh lebih banyak daripada burung-burung di udara. Burung di udara tidak khuatir tentang makanan mereka dan hidup hari demi hari dengan bergantung kepada Allah untuk membekalkan makanan yang mencukupi untuknya. Setiap hari, semua burung hanya perlu keluar dan mencari makanan hariannya dan sumber-sumber makanan yang disediakan oleh Allah memang mencukupi. Begitulah juga, kita boleh mempercayai bahawa Allah telah membekalkan keperluan asas yang mencukupi untuk kita - kita hanya keluar mencarinya sahaja dengan bekerja dengan gigih.
Namun begitu, ramai orang mengalami kekhuatiran yang kronik tentang keperluan asas mereka. Kekhuatiran dan kerisauan itu menyebabkan mereka mengejar kekayaan tanpa batas dan had, dengan anggapan bahawa jika mereka berjaya menimbun dan menyimpan harta dan kekayaan yang berlebihan, mereka akan selamat. Kekhuatiran ini menguasai seluruh hidup mereka sehingga ia menjejaskan kesihatan, perhubungan dengan orang lain dan kebahagiaan hidup mereka.
Ramai orang juga khuatir tentang berapa lama mereka akan hidup. Tuhan Yesus mengatakan kita tidak dapat melanjutkan usia kita sedikit pun dengan “menaruh khuatir”. Dalam kata lain, soal hidup dan mati bukanlah di bawah kawalan kita. Jadi, bodoh sekali untuk risau berlebihan tentang hal ini.
Namun begitu, krisis pandemik telah mendedahkan betapa takutnya manusia akan kematian sehingga langkah-langkah yang ekstrem telah diambil untuk menangani pandemik ini. Hampir seluruh dunia tertutup dan dikurung secara paksaan. Apabila keadaan menjadi lebih baik dan selamat, ramai orang masih takut dan mengasingkan diri secara ekstrem. Sememangnya kita perlu bijak mengamalkan langkah berjaga-jaga yang telah disyorkan tetapi jika kita dikawal oleh ketakutan, terutamanya perasaan takut mati, itu membongkarkan bahawa kita tidak tahu dengan pasti penghujung kita.
Mengapakah manusia begitu khuatir tentang soal hidup dan mati? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan ialah mereka tidak tahu ke mana mereka akan pergi apabila mereka mati. Oleh sebab itu, kita sebagai orang yang percaya di dalam Yesus Kristus, tidak patut hidup dalam ketakutan terhadap kematian. Hal ini ialah kerana kita pasti akan penghujung kita dan ke mana kita pergi apabila kita mati jika kita “bertahan di dalam iman kita terhadap Yesus sehingga akhirnya.
13Namun demikian, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan. (Matius 24:13, AVB)
Paulus mengatakan dengan yakin sekali:
36Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci:
"Kerana-Mu kami menghadapi maut sepanjang hari;
Kami dianggap sebagai domba untuk disembelih."
37Tidak! Dalam semua hal ini kita lebih daripada para penakluk melalui Dia yang mengasihi kita. 38Kerana aku yakin bahawa kematian mahupun kehidupan, para malaikat mahupun para pemerintah, masa kini mahupun masa depan, baik kuasa apa pun, 39ketinggian mahupun kedalaman, baik apa pun yang lain dalam seluruh ciptaan, tidak akan dapat memisahkan kita daripada kasih Allah yang di dalam Kristus Yesus, Tuhan kita. (Roma 8:36-39, AVB)
54Setelah ini berlaku, terbuktilah firman: "Maut telah ditelan dalam kemenangan."
55"Wahai Maut, di manakah kemenanganmu?
Wahai Maut, di manakah sengatmu?"
56Sengat maut ialah dosa, manakala kuasa dosa ialah Taurat. 57Tetapi syukurlah kepada Allah yang telah memberi kita kemenangan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. (1 Korintus 15:54-57, AVB)
Maka, kita patut hidup dengan penuh keyakinan kerana di dalam Yesus kita telah dan akan mengatasi sengat Maut.
Seekor lebah-lebah mempunyai satu sengat sahaja. Jadi, apabila ia telah menyengat seseorang, lebah itu tidak berdaya lagi untuk menyengat orang lain. Namun begitu, lebah-lebah itu masih boleh mengancam dan menipu orang lain dengan bunyi penerbangannya.
Begitulah juga dengan Maut. Tuhan Yesus telah mengalami sengatan maut bagi pihak kita apabila dia mati di kayu salib bagi orang yang berdosa. Maka, Maut tidak mempunyai sengat lagi, iaitu untuk kita yang menaruh harapan dan iman di dalam Yesus Kristus. Kita boleh mencabar Maut dengan penuh keyakinan, “Wahai Maut, di manakah sengatmu?”
Lebih-lebih lagi, Tuhan Yesus telah menewaskan Maut dengan muktamad melalui kebangkitan-Nya. Maka, kita yang disatukan dengan Kristus, akan menyertai Tuhan Yesus di dalam kemenangan ini ke atas Maut - walau pun kita mati, kita akan bangkit semula di dalam Yesus dan memperolehi hidup yang kekal!
5Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya. (Roma 6:5, AVB)
Oleh sebab itu, pendekatan yang kita patut guna pakai di dalam hidup ini ialah apa yang diseru oleh rasul Paulus:
21Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan. 22Tetapi jika aku terus hidup dari segi jasmani, ini akan bermakna usahaku membuahkan hasil. Namun yang mana akan kupilih? Aku tidak tahu! 23Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan Kristus, itu jauh lebih baik, 24tetapi kerana kamu, aku berasa perlu terus hidup dari segi jasmani. 25Dengan keyakinan ini, aku tahu bahawa aku akan terus bersama kamu semua untuk kemajuan dan kebahagiaanmu dalam iman, 26supaya rasa sukacitamu dalam Kristus Yesus akan melimpah-limpah kerana aku, apabila aku menemuimu sekali lagi. (Filipi 1:21-26, AVB)
Saya memanggil ini “Pemikiran Tetap Orang Yang Selamat” (Saved Mind-set). Pendek kata, jika kita mati, itu dikira sebagai keuntungan, sebab kita meninggalkan semua yang fana dan sementara untuk memiliki apa yang kekal bersama-sama dengan Kristus, yang jauh lebih baik! Jadi, kita tidak takut mati dan dapat menghadapi kematian dengan penuh keyakinan bahawa apa yang terbaik menunggu kita selepas itu. Itulah pemikiran tetap dan pendekatan kita yang pertama dan utama sekali berkaitan dengan soal hidup dan mati.
Selain itu, jika kita masih hidup, pendekatan kita ialah kita hidup bagi Kristus, iaitu melakukan kerja-Nya yang diamanahkan kepada kita untuk membantu dari segi kemajuan dan kebahagiaan iman orang lain. Sudah tentu ini merangkumi dua perkara yang utama sesuai dengan Amanat Agung, iaitu penginjilan dan pemuridan.
Maka, secara praktikalnya, kita perlu membezakan apakah peranan serta tanggungjawab Allah dan apakah peranan dan tanggungjawab kita. Jangan campur aduk kedua-dua ini kerana kalau kita berbuat demikian, kehidupan kita akan menjadi kocar-kacir. Kita akan ikut budaya dunia yang terbeban dengan kekhuatiran dan ketakutan kronik serta kebimbangan yang melumpuhkan.
Kita telah pertimbangkan bagaimana seluruh dunia dibelenggu oleh kekhuatiran tentang pandemik dan ketakutan tentang kematian. Itulah budaya dunia ini yang diancam dan diperdaya oleh iblis. Sekiranya orang percaya tidak beriman pada Yesus, mereka juga akan hidup dalam budaya dunia yang khuatir dan takut mati. Tetapi hal ini tidak patut berlaku. Firman Tuhan mendorong kita berulang-ulang kali supaya jangan khuatir dan jangan takut, tetapi beriman kepada Tuhan.
Contohnya, berkaitan dengan kekhuatiran, ayat-ayat ini mendorong kita untuk menyingkirkannya dan mengamalkan keimanan untuk menggantikannya.
3Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh
dengan damai yang sempurna
kerana dia percaya kepada-Mu. (Yesaya 26:3, AVB)
6Tetapi tanpa iman, mustahil didapati keredaan-Nya. Sesiapa yang datang kepada Allah mestilah beriman bahawa Allah wujud dan Dia memberikan ganjaran kepada mereka yang berusaha untuk mencari-Nya. (Ibrani 11:6, AVB)
33Segala ini Kukatakan kepadamu supaya kamu beroleh sejahtera di dalam Aku. Di dalam dunia kamu akan menghadapi penderitaan; tetapi tegapkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia." (Yohanes 16:33, AVB)
6Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah. 7Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus. (Filipi 4:6-7, AVB)
7Serahkan segala kerunsinganmu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentangmu. (1 Petrus 5:7, AVB)
Mengapakah orang percaya tidak patut khuatir? Daripada ayat-ayat di atas kita pelajari bahawa sekiranya kita khuatir, itu bermaksud kita tidak beriman kepada Allah. Allah ialah Allah yang Maha Kuasa, Maha Tahu dan Maha Hadir. Jadi, tidak mungkin sesuatu berlaku kepada kita yang dia tidak ketahui dan tidak benarkan di dalam kehidupan kita. Selain itu, kita juga percaya bahawa Allah kita baik. Jika kita menetapkan iman kita kepada Allah yang baik dan jangan risau, maka kita mendapat keredaan-Nya.
Berkaitan dengan ketakutan, di antara ayat-ayat yang relevan ialah:
5Tidak ada seorang pun akan dapat bertahan menghadapi engkau seumur hidupmu. Sebagaimana dahulu Aku menyertai Musa, demikianlah Aku akan menyertai engkau. Aku tidak akan menterlantarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau. 6BKuatkanlah dan mantapkanlah hatimu kerana engkau akan memimpin bangsa ini mewarisi negeri seperti yang Kujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka untuk dikurniakan kepada mereka. 7Hanya, kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu sungguh-sungguh. Berhati-hatilah supaya melakukan seluruh hukum Taurat yang diperintahkan oleh hamba-Ku Musa kepadamu. Janganlah menyimpang ke kanan atau ke kiri, supaya engkau berhasil ke mana-mana pun engkau pergi. 8Kitab Suci Taurat ini tidak akan lekang daripada mulutmu, tetapi hendaklah engkau merenungkannya siang dan malam, supaya engkau berhati-hati melakukan segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian perjalananmu akan beruntung dan engkau akan berjaya. 9Bukankah telah Kuperintahkan kepadamu, 'Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu'? Jangan gentar dan jangan kecut hati, kerana TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana-mana jua pun engkau pergi." (Yosua 1:5-6, AVB)
4Ya, meski aku melangkah di lembah bayangan maut,
aku tidak akan takut kepada kejahatan,
kerana Engkau ada bersamaku;
gada dan tongkat-Mu menetapkan hatiku. (Mazmur 23:4, AVB)
1Tuhan cahayaku dan penyelamatanku –
siapa perlu kutakuti?
Tuhan kekuatan hidupku –
siapa harus aku gentar? (Mazmur 27:1, AVB)
4Aku telah berseru kepada Tuhan, dan Dia mendengar seruanku;
lalu Dia menyelamatkanku daripada semua yang kutakuti. (Mazmur 34:4, AVB)
1Sesiapa yang tinggal di tempat rahsia Yang Maha Tinggi
akan menetap di bawah bayang-bayang Yang Maha Kuasa.
2Aku akan berkata tentang Tuhan, "Dialah penaungku dan bentengku,
Allahku, akan kupercaya kepada-Nya."
3Sesungguhnya, Dia akan melepaskan kamu daripada jerat pemikat dan wabak yang berbahaya.
4Dia akan melitupimu dengan bulu-Nya,
dan di bawah sayap-Nya kamu akan bernaung; kesetiaan-Nya akan menjadi perisai dan peneguhmu.
5Engkau tidak akan takut kepada sesuatu yang ngeri sewaktu malam,
atau anak panah yang meluru sewaktu siang,
6atau wabak yang merayap dalam kegelapan,
atau kemusnahan yang melanda pada waktu tengah hari. (Mazmur 91:1-6, AVB)
4Kepada mereka yang resah hatinya, katakanlah
"Kuatkanlah hati, jangan takut!
Ketahuilah, Allahmu akan datang dengan pembalasan,
dengan ganjaran!
Dia akan datang menyelamatkan kamu!" (Yesaya 35:4, AVB)
10Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu.
Jangan cemas, kerana Akulah Allahmu.
Aku akan menguatkan, bahkan akan menolong engkau.
Ya, Aku akan menopang engkau dengan tangan kanan-Ku yang penuh kebenaran.' (Yesaya 41:10, AVB)
27Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Janganlah resah hatimu dan janganlah takut. (Yohanes 14:27, AVB)
7Allah tidak memberi kita roh ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib. (2 Timotius 1:7, AVB)
Mengapakan orang percaya tidak patut takut? Jawapan yang ketara sekali daripada ayat-ayat di atas ialah kerana Allah menyertai kita! Dialah yang membantu kita mengatasi semua yang kita takuti dan hadapi. Dialah yang melindungi kita dan berlawan bagi pihak kita. Jika tidak menetapkan pandangan iman kita kepada Allah dan bukan ancaman yang datang daripada dunia, kita akan mengecapi damai sejahtera yang terdapat di dalam Tuhan. Tuhan akan memberi kita kuasa, kasih dan tatatertib untuk menangani segala-gala cabaran hidup. Hidup atau mati tidak menjadi persoalan besar kerana di dalam kedua-dua keadaan Allah tetap bersama kita.
Tuhan Yesus terus membincangkan hal tentang penampilan kita di dalam Khutbah di Atas Bukit-Nya:
28Jadi, mengapakah kamu risau tentang pakaian? Lihatlah bunga bakung di padang, yang tidak bekerja atau bertenun. 29Namun demikian, Aku berkata kepadamu: Raja Salomo dengan segala kemegahannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu. 30Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberimu pakaian? Begitu tipis kepercayaanmu! 31Jangan runsing tentang makanan, minuman atau pakaianmu. 32Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Allah mencari hal-hal ini. Akan tetapi, bapamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. 33Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu. 34Oleh itu, jangan khuatir tentang hari esok, kerana hari esok akan khuatir tentang hal-halnya sendiri. Setiap hari sudah cukup dengan kesusahan sehari." (Matius 6:28-34, AVB)
Apa yang kita pakai adalah berkaitan dengan penampilan kita di hadapan orang lain. Apakah penampilan kita sesuatu perkara yang penting? Ya, sebab penampilan kita mencerminkan sikap hati kita.
Contohnya, jika kita menghadap Yang Dipertuan Agung negara kita Malaysia dengan memakai seluar pendek dan selipar, itu menunjukkan kita tidak menghormati baginda. Maka, penampilan kita dari segi pakaian menghantar mesej yang tertentu kepada orang lain yang memerhatikan kita.
Dalam pada itu, Tuhan Yesus menggunakan dua contoh di dalam ilustrasinya: bunga bakung di padang dan Raja Salomo. Bunga bakung bukanlah bunga yang paling cantik untuk menarik perhatian ramai orang. Bunga ini mempunyai keharuman yang sederhana. Namun begitu, Tuhan Yesus mengatakan kecantikannya melebihi Raja Salomo yang berpakaian dengan segala kemewahannya. Hakikat ini ialah kerana Allah Penciptalah yang menghiasi bunga bakung di padang, walhal Raja Salomo “dihiasi” dengan pakaian buatan manusia.
Tuhan Yesus menggunakan perbandingan ini untuk mengajar bahawa jika Allah mengambil berat tentang bunga bakung yang wujud hari ini dan besok akan lenyap, jadi sudah tentu dia lebih mengambil berat tentang kita, anak-anak-Nya yang dikasihi.
Allah akan jaga keperluan asas kita untuk makanan dan minuman, dan juga keperluan penampilan kita dari segi pakaian yang diperlukan. Allah tahu keperluan kita dan dia akan menunaikan tanggungjawab-Nya dengan membekalkan segala yang kita perlukan. Kita tidak perlu mengikut budaya dunia yang khuatir, risau dan gelisah akan hal-hal demikian kerana itu menunjukkan kita tidak beriman kepada Tuhan. Jika kita bersikap keduniawian begini, maka, itu bermaksud Allah tidak bertakhta di dalam hati kita. Ketuanan Allah tidak dipraktikkan sebagai gaya hidup beriman.
Jadi, janganlah khuatir! Tentanglah budaya duniawi!