TABAH DIANIAYA KERANA PERBENARAN - BAHAGIAN 3 (Ketuanan Allah)
Kini kita sampai kepada kemuncak penerangan Yesus tentang ketuanan Allah.
33Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu. 34Oleh itu, jangan khuatir tentang hari esok, kerana hari esok akan khuatir tentang hal-halnya sendiri. Setiap hari sudah cukup dengan kesusahan sehari." (Matius 6:33-34, AVB)
Matius 6:33 merupakan pernyataan Yesus tentang kerajaan Allah yang sangat terkenal dan perlu difahami dengan jelas di dalam konteksnya. Setakat ini, kita telah mempertimbangkan bagaimana Tuhan Yesus membincangkan tentang perbenaran yang menentang nilai-nilai dan budaya duniawi. Di dalam konteks yang lebih besar, Tuhan Yesus telah membincangkan di dalam seluruh Khutbah di Atas Bukit berkaitan dengan gaya hidup perbenaran yang berdasarkan apa yang berlaku di dalam hati kita, bukan sekadar perbuatan di luar sahaja (seperti orang Farisi).
Hal ini jelas apabila Tuhan Yesus mencabar murid-murid-Nya dengan pernyataan ini:
20Maka Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya, kamu tidak akan memasuki kerajaan syurga jika kesalihanmu tidak lebih daripada kesalihan ahli Taurat dan orang Farisi." (Matius 5:20, AVB)
Maka, di dalam seluruh khutbah Yesus ini, dia telah memberi contoh-contoh bagaimana kesalihan yang berdasarkan isi kandungan dan niat hati kita dipraktikkan sekiranya kita memang telah memasuki kerajaan syurga. Sikap hati yang indah mesti dapat dipupuk dan diamalkan di dalam kehidupan harian kita dalam pelbagai situasi yang mencabar.
Kebergantungan kepada Roh Kudus mesti menjadi amalan lumrah sekiranya kita mahu memenuhi keperluan Hukum Taurat moral seperti yang telah diberikan di dalam Perjanjian Lama kerana standard yang diguna pakai oleh Yesus di dalam hal ini memang mustahil bagi kita mencapai dengan kekuatan dan kebolehan sendiri.
Oleh sebab itu, Tuhan Yesus telah memberi arahan yang jelas kepada murid-murid-Nya sebelum dia kembali ke syurga:
44Kemudian, Dia berkata kepada mereka, "Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersamamu dahulu: Segala perkara yang tersurat tentang Aku dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan kitab Mazmur pasti akan berlaku." 45Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci. 46Dia berkata lagi, "Demikianlah yang tersurat: Bahawa Kristus harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga, 47dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Yerusalem. 48Kamulah saksi segala perkara ini. 49Dan Aku akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan Bapa-Ku kepadamu. Tetapi, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkap dengan kuasa dari tempat tinggi." (Lukas 24:44-49, AVB)
4Pada suatu hari ketika Yesus bersama mereka, Dia berpesan supaya mereka jangan meninggalkan Yerusalem. Kata-Nya, "Haruslah kamu menantikan apa yang dijanjikan Bapa, dan yang telah kamu dengar daripada-Ku; 5kerana Yohanes telah membaptis orang dengan air, tetapi kamu akan dibaptiskan dengan Roh Kudus tidak berapa lama lagi." (Kisah Para Rasul 1:4-5, AVB)
Semua pengikut dan murid Kristus perlu diperlengkapi dengan kuasa dari tempat tinggi, iaitu dibaptis oleh Roh Kudus. Kalau tidak, kehidupan sebagai seorang Kristian memang mustahil untuk dicapai. Standard itu terlalu tinggi dan mendalam kerana ia melibatkan hal-hal hati kita. Kita ketahui bahawa hati kita sangat licik:
9Hati itu licik melebihi segala sesuatu,
bahkan sangat parah – siapa dapat mengetahuinya? (Yeremia 17:9, AVB)
Jadi, sekiranya kita hanya bergantung kepada diri sendiri, kita pasti akan gagal hidup mengikut standard kerajaan Allah seperti yang diterangkan dan diperintahkan oleh Tuhan Yesus di dalam khutbah-Nya.
Inilah perintah Yesus berkaitan dengan ketuanan Allah, “Utamakanlah kerajaan Allah dan perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.”
Perkataan “utamakan” (zeteo, bahasa Yunani) bermaksud berusaha mencari dengan aktif untuk diperolehi. Maka, hal ini memerlukan sesuatu usaha yang aktif dan berterusan daripada kita. Proses ini akan mengambil masa seluruh hidup kita dan patut dijadikan suatu gaya hidup yang berterusan. Kita tidak akan mencapai tahap kesempurnaan selagi kita masih hidup di dunia fana ini tetapi kemajuan masa demi masa patut berlaku dan dapat dikesan di dalam hidup kita.
Kita patut menggunakan segala usaha dan kekuatan kita untuk mengutamakan ketuanan Allah di dalam hidup kita, dengan kebergantungan kepada Roh Kudus, Penolong kita yang setia dan sentiasa bersama-sama kita.
16Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya. (Yohanes 14:16. AVB)
Seterusnya, hal ini patut diberi keutamaan pertama. Ada penterjemahan ayat ini yang mengatakan “carilah dahulu kerajaan Allah dan perbenaran-Nya”. Maka, prioriti yang pertama mesti diberikan kepada usaha mencari atau menegakkan ketuanan Allah di dalam hidup kita.
Dalam pada itu, usaha mencari dahulu ketuanan Allah ini mesti berlaku setiap masa dan di dalam setiap bidang hidup kita. Kita tidak patut membezakan di antara bidang rohani dan bidang sekular kerana Allah adalah Tuhan ke atas segala-galanya.
Maka, kita mencari Allah bukan hanya apabila kita pergi gereja, beribadah, membaca firman Tuhan, berdoa dan lain-lain aktiviti yang biasanya dikira sebagai rohani. Kita patut mencari dahulu bagaimana menegakkan ketuanan Allah di dalam alam pekerjaan, perkahwinan, persahabatan, rekreasi, dan lain-lain. Dalam kata lain, Allah patut bertakhta dalam seluruh hidup kita. Masa, sumber dan kekuatan kita patut didedikasikan kepada Allah dengan sepenuhnya.
Jika kita faham hal ini, maka kita tidak akan melakukan apa-apa pekerjaan yang sia-sia. Apa yang kita usahakan di dalam pekerjaan harian kita memang mempunyai ciri-ciri perkara yang fana di dunia ini, jika kita mencarinya dengan niat yang salah, iaitu untuk diri sendiri sahaja. Kalau begitu, segala-gala yang kita lakukan sebegini dibina dengan “kayu, rumput kering atau jerami,” yang akan lenyap apabila diuji dengan api penghakiman Allah.
12Ada orang yang menggunakan emas, perak atau permata untuk membina bangunan di atas asas itu. Ada pula yang menggunakan kayu, rumput kering atau jerami. 13Mutu kerja setiap orang akan terserlah pada hari Tuhan datang kembali, kerana ia akan diuji dengan api. 14Sekiranya bangunan yang didirikan di atas asas itu tahan api, pembinanya akan mendapat ganjaran. 15Sebaliknya, jika bangunan yang dibina oleh seseorang itu dimakan api, dia akan kerugian, walaupun dirinya terselamat seperti orang yang terlepas daripada kebakaran. (1 Korintus 3:12-15, AVB)
Sebaliknya, jika kita melakukan pekerjaan itu sebagai persembahan kepada Allah yang suci dan berkenan kepada-Nya, maka apa yang dilakukan untuk kemuliaan-Nya, maka hal itu dibina dengan menggunakan “emas, perak dan permata,” dan akan menjadi harta di syurga yang kekal. Oleh sebab itu, Rasul Paulus menyeru kita untuk melakukan segala-gala dengan sebulat hati untuk Tuhan, bukan untuk diri sendiri atau orang lain:
23Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan untuk manusia, 24kerana kamu tahu bahawa daripada Tuhan kamu akan menerima warisan sebagai ganjaranmu. Kristus ialah Tuanmu dan kamu hamba-Nya. (Kolose 3:23-24, AVB)
Ini ialah kerana sikap ini menegakkan ketuanan Allah di dalam segala pekerjaan di dalam hidup kita. Maka, sama ada pekerjaan atau pelayanan, lakukannya dengan niat hati untuk memuliakan Allah.
Dua perkara yang kita perlu berusaha untuk mencari di dalam ketuanan Allah ialah kerajaan Allah dan perbenaran-Nya. Apakah maksud ini secara praktikal?
Mencari Kerajaan Allah
Kerajaan Allah ialah keadaan yang mana pemerintahan Allah kekal dan muktamad. Orang yang mencari kerajaan Allah ingin pemerintahan Allah yang mutlak wujud di dalam hati dan kehidupannya. Maka, tidak hairanlah bahawa ini akan menjadi sesuatu yang kita akan bergelut setiap hari. Sifat tabii dan hawa nafsu kita akan menentang keinginan ini. Oleh sebab itu, Tuhan Yesus mengatakan bahawa sesiapa yang ingin mengikuti-Nya perlu menyangkal dirinya, iaitu mati kepada keinginannya sendiri setiap hari, dan setiap masa.
23Yesus berkata kepada semua, "Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib setiap hari, dan mengikut-Ku. (Lukas 9:23, AVB)
Proses ini tidak akan lengkap sehingga kita kembali untuk bersama-sama dengan Kristus di syurga. Oleh sebab itu, proses ini patut diusahakan secara berterusan dengan ikhlas.
Dalam pada itu, dua perkara yang kita perlu berjaga-jaga ialah:
Jangan menyedihkan Roh Kudus, iaitu jangan melakukan sesuatu yang Roh Kudus tidak ingini.
30Dan janganlah kamu menyedihkan Roh Kudus Allah yang telah mematerai kamu bagi hari penebusan. (Efesus 4:30, AVB)
Jangan memadamkan kemarakan api Roh Kudus, iaitu tidak melakukan atau mentaati perintah/keinginan Roh Kudus.
19Janganlah padamkan kemarakan api Roh Kudus. (1 Tesalonika 5:19, AVB)
Kedua-dua hal ini dikira sebagai pemberontakan terhadap Allah. Maka, kita boleh mencari dahulu kerajaan Allah dengan membaca firman Tuhan, mendengar suara Tuhan melalui doa yang aktif serta berjalan di dalam cahaya yang telah diberikan oleh-Nya supaya kita mengamalkan gaya hidup yang taat dan tunduk kepada Allah.
Mencari Perbenaran Allah
Mencari perbenaran Allah tidak bermaksud perbenaran yang diberikan kepada kita apabila kita diperbenarkan pada saat kita dilahir semula dengan sempurna. Pada ketika itu, kita menerima perbenaran yang datang melalui Yesus Kristus dan diperdamaikan dengan Allah:
1Oleh yang demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. (Roma 5:1, AVB)
Perbenaran Allah yang Tuhan Yesus menyeru kita mencari dengan gigih ialah perbenaran yang kita usahakan dengan kuasa Roh Kudus. Apabila kita melakukan apa yang Roh Kudus membimbing kita untuk lakukan, kita akan lihat buah-Nya muncul di dalam hidup kita dan diintegrasikan dengan watak peribadi kita:
22Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, 23lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini. 24Mereka yang menjadi milik Kristus Yesus telah menyalib tabii manusia berserta hawa nafsu dan keinginannya. 25Jika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga. (Galatia 5:22-25, AVB)
Kita akan bertukar sedikit demi sedikit dari segi watak kita. Jika dahulu kita tidak sabar, dengan dorongan Roh kita akan belajar untuk bertaubat daripada sikap tidak sabar dan tunduk kepada kerja yang mengubah sikap kita dari dalam ke luar. Jika dahulu kita orang yang tidak dapat menguasai diri dari segi pemakanan, sekiranya kita tunduk kepada Roh yang memberi kita kuasa untuk menolak godaan untuk makan tanpa had, maka buah Roh iaitu penguasaan diri akan menjadi lebih ketara. Begitulah juga dengan semua buah Roh yang lain.
Jadi, perbenaran Allah ini dibentuk, bukan diberikan, oleh Roh Kudus di dalam setiap orang percaya yang tunduk kepada kehendak Allah dengan mencari perbenaran-Nya.
Inilah yang rasul Paulus menyeru kita lakukan untuk “mengerjakan penyelamatan” sendiri dengan takut dan gentar:
12Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, sebagaimana kamu sentiasa taat, hendaklah kamu mengerjakan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar, bukan sahaja ketika aku ada bersamamu malah lebih-lebih lagi sekarang sewaktu aku jauh daripadamu. 13Kerana Allah yang bekerja dalam dirimu, menyebabkan kamu berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya. (Filipi 2:12-13, AVB)
Sekiranya kita tunduk kepada kerja Roh Kudus di dalam hati kita, Allah akan mengubah hati kita supaya kita berkehendak untuk mencari perbenaran Allah dan seterusnya mendapat kuasa dan kebolehan untuk menjalankan kerja untuk keredaan-Nya. Sikap hati yang takut dan gementar kepada Allah yang Maha Suci dan Maha Agung patut menjadi motivasi yang kuat untuk mencari dahulu perbenaran Allah supaya kita menegakkan perbenaran di dalam hidup kita dan membentuk watak yang sesuai sebagai anak-anak Allah,:
15Pastikanlah segala perbuatanmu suci, sebagaimana Tuhan yang memanggilmu itu suci. 16Ada tersurat dalam Kitab Suci, "Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci." 17Jika kamu berdoa kepada Allah Bapa, yang menghakimi manusia dengan adil menurut perbuatan masing-masing, maka sepanjang hayatmu di dunia ini takuti dan patuhilah Dia. (1 Petrus 1:16-17, AVB)
Kita rindu dan ingin menjadi suci di dalam segala perbuatan kita kerana kita memiliki suatu pandangan terhadap Allah yang begitu tinggi sekali. Takkanlah kita tergamak untuk masuk hadirat Allah dengan hati yang kotor, perbuatan yang jahat dan sikap hati yang buruk! Pendekatan ini menghina Allah yang Maha Suci dan Maha Agung, dan pasti akan dihukum kerana sikap hati yang begitu angkuh dan bongkak.
Jadi, saudara saudari, marilah kita menjadikan perintah Yesus ini untuk mencari dahulu kerajaan Allah dan perbenaran-Nya sebagai hasrat hati kita yang utama sekali di dalam segala bidang hidup kita.
Jika kita berbuat demikian, janji Yesus kepada kita ialah kita tidak akan berkompromi dengan nilai-nilai dan budaya duniawi. Kita tidak akan mengejar kemewahan dan kekayaan secara tamak. Kita tidak akan dibelenggu oleh kekhuatiran yang melumpuhkan kehidupan rohani yang dinamis.
34Oleh itu, jangan khuatir tentang hari esok, kerana hari esok akan khuatir tentang hal-halnya sendiri. Setiap hari sudah cukup dengan kesusahan sehari." (Matius 6:34, AVB)
Sememangnya, kita akan terus menghadapi cabaran-cabaran hidup, tetapi perbezaannya ialah kita akan menghadapinya dengan penuh keyakinan dan iman bahawa Allah kita menyertai dan akan membantu untuk mengatasi setiap kesusahan mengikut kehendak dan masa-Nya yang sempurna.
Jika kita mengekalkan ketuanan Allah di dalam kehidupan kita, Allah akan menjaga kita di dalam segala hal. Itulah janji Yesus. Kita lakukan apa yang kita boleh lakukan, iaitu selalu mencari dahulu kerajaan Allah dan perbenaran-Nya, dan ketika kita berbuat demikian Allah akan mengerjakan mukjizat-Nya. Jadi, kita main peranan kita dan biarlah Allah memenuhi tanggungjawab-Nya.
Kepatuhan dan ketaatan kita di dalam hal ketuanan Allah adalah syarat yang wajib sekiranya kita hendak Allah menunaikan janji-Nya bahawa Dia akan menjaga dan melindungi kita. Itulah manifesto kerajaan Allah yang jelas dan ketara.