TABAH DIANIAYA KERANA BERIMAN (BAHAGIAN 1): Garam Bumi dan Cahaya Dunia
Kita telah mempertimbangkan keperluan sikap indah tabah dianiaya kerana perbenaran. Kini kita sampai ke sikap indah yang terakhir dibentangkan oleh Yesus dan diilustrasikan di dalam Khutbah-Nya di Atas Bukit. Sikap ini mungkin merupakan sikap yang paling susah untuk diterima,dipupuk, dipupuk dan dipraktikkan, iaitu ketabahan dianiaya kerana beriman kepada Yesus Kristus.
11Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu dengan segala yang jahat kerana-Ku. 12Bersukacita dan bergembiralah, kerana besar ganjaranmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya." (Matius 5:11-12, AVB)
Dalam hal ini, penganiayaan yang dialami bukan hanya kerana perbenaran tetapi kerana kita menjungjung nama Yesus sebagai orang Kristian. Kuasa-kuasa gelap dan dunia ini benci Tuhan Yesus kerana cahaya Yesus mendedahkan kegelapan mereka:
19Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat. 20Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah. 21Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah." (Yohanes 3:19-21, AVB)
Mereka yang melibatkan diri di dalam perbuatan jahat tidak suka apabila hati mereka tertusuk dengan pendedahan lantaran cahaya Yesus yang menyinari perbuatan mereka dalam kegelapan. Oleh sebab itu, mereka yang lebih suka akan kegelapan akan menentang habis-habis umat Allah yang hidup dalam cahaya dan membawa cahaya Allah:
12Yesus berkata lagi kepada mereka, "Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup." (Yohanes 8:12, AVB)
8Kerana dahulu kamu gelap tetapi sekarang sudah menjadi cahaya dalam Tuhan. Hiduplah sebagai anak-anak cahaya 9(kerana yang dihasilkan oleh cahaya terdapat dalam segala yang baik, wajar dan benar), 10maka kajilah apa yang diredai oleh Tuhan. 11Jangan bersubahat dengan perbuatan gelap yang tidak berfaedah, sebaliknya dedahkan perbuatan itu. 12Sebabnya perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka secara rahsia itu, jika disebut pun adalah memalukan. 13Tetapi segala yang didedahkan itu dinyatakan oleh cahaya, kerana yang menyatakan adalah cahaya. 14Oleh itu, firman Tuhan:
"Bangunlah, hai kamu yang tidur,
bangkit daripada kematian,
dan Kristus akan memberimu cahaya." (Efesus 5:8-14, AVB)
5Kamu semua anak cahaya, anak siang. Kita bukanlah makhluk malam atau kegelapan. 6Oleh yang demikian, janganlah kita tidur seperti orang lain. Marilah kita berjaga dan berkeadaan siuman. 7Orang yang tidur, tidur pada waktu malam. Orang yang mabuk, mabuk pada waktu malam. 8Tetapi kita anak-anak siang, hendaklah sentiasa waras dan waspada. Jadikan iman dan kasih perisai dada kita, serta harapan diselamatkan sebagai ketopong pelindung kepala. 9Allah memilih kita bukannya untuk menanggung kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. 10Yesus telah mati untuk kita supaya kita dapat hidup bersama-Nya sewaktu Dia datang nanti, sama ada kita terjaga atau tertidur mati pada masa itu. 11Oleh yang demikian, hendaklah kamu saling menggalakkan dan meneguhkan, sebagaimana yang kamu lakukan sekarang. (1 Tesalonika 5:5-11, AVB)
Umat Allah dan orang percaya telah menjadi anak-anak cahaya dan anak-anak siang kerana Tuhan Yesus ialah cahaya dunia. Maka, sesiapa yang lahir semula dengan sempurna dan menjadi umat Allah akan melintasi daripada kegelapan kepada cahaya-Nya yang gemilang serta diberi cahaya hidup:
9Tetapi kamu umat terpilih, para imam raja, bangsa suci, umat-Nya sendiri, yang dipilih untuk mengisytiharkan puji-pujian bagi Dia yang telah memanggilmu daripada kegelapan kepada cahaya-Nya yang gemilang. 10Dahulu kamu bukan suatu umat tetapi sekarang kamu umat Allah. Dahulu kamu tidak mendapat belas kasihan Allah tetapi sekarang kamu telah mendapat belas kasihan-Nya. (1 Petrus 2:9-10, AVB)
Dalam kata lain, kita telah tukar kesetiaan daripada iblis, kuasa-kuasa gelap dan dunia kepada kerajaan cahaya Allah. Kita kini berada dalam tentera Allah yang memang bertempur dengan tentera kuasa-kuasa gelap. Maka, tidak hairanlah sekiranya kuasa-kuasa gelap dan dunia yang di bawah pengaruh mereka, benci dan ingin menganiaya, melumpuhkan serta menghapuskan kita.
Tuhan Yesus memberi amaran bahawa taktik yang digunakan oleh musuh-musuh kita adalah taktik kotor seperti menghina, menganiaya dan memfitnah dengan segala yang jahat. Sudah pasti, apabila Tuhan Yesus mengatakan hal ini, dia menganggap bahawa kehidupan kita sebagai orang yang terus percaya kepada-Nya adalah suci dan murni.
Maka, musuh-musuh kita akan menghina amalan suci kita dengan mengejek kita sebagai orang yang memiliki nilai-nilai yang kolot. Jika mereka tidak dapat menghindari kita dengan kaedah ini, mereka akan menganiaya kita dengan menggunakan pelbagai cara seperti menyisihkan kita, mendiskriminasi, mendera, menindas atau mengongkong kita. Tambahan lagi, mereka akan memfitnah kita dengan mengumpat, mengedarkan khabar angin yang palsu, dan gosip tentang pelbagai jenis kejahatan yang kita tidak lakukan untuk merosakkan reputasi kita.
Budaya Membatalkan (Cancel Culture), yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, boleh digunakan untuk membisukan orang yang percaya. Musuh-musuh kita akan melarang kita untuk berkongsi tentang Tuhan Yesus dan Injil Penyelamatan-Nya. Malahan, untuk menyebut apa sahaja tentang iman kita dikategorikan sebagai cubaan untuk menghasut orang lain dan bertindak tanpa toleransi atau sensitiviti terhadap orang yang berlainan agama.
Dalam pada itu, Tuhan Yesus menggalakkan kita dengan mengatakan:
13"Kamu ialah garam bumi. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang.
14Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi. 15Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah. 16Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga." (Matius 5:13-16, AVB)
Yesus telah menggunakan dua metafora untuk menyeru kita untuk terus menjadi saksi-Nya di dalam dunia ini, walaupun kita dianiaya kerana Nama-Nya.
Yang pertama ialah kita digelar garam bumi. Kita boleh membuat pelbagai kesimpulan tentang fungsi garam tetapi yang paling ketara ialah apa yang disebut oleh Yesus apabila dia menggunakan metafora ini. Tuhan Yesus merujuk kepada ciri garam yang memberi rasa pada makanan kita.
Dalam pada itu, sebagai garam bumi, saksi kita adalah suatu yang diam-diam dan konsisten. Garam tidak meneriak dan tidak menonjol apabila sesuatu hidangan di bawa ke meja makan. Tidak ada orang akan melihat hidangan itu dan mengatakan, “Wah, begitu cantik dan menyelerakan garam yang diletakkan dalam masakan ini!”
Namun begitu, jika tukang masak itu lupa letak garam semasa dia masak hidangan itu, hal itu akan menjadi sangat ketara apabila dirasa makanan itu kerana makanan yang nampaknya enak dan lazat, akan didapati tawar sekali. Maka, hadirat seorang Kristian sebagai saksi Allah yang suci, berintegriti dan lemah lembut secara diam-diam dan konsisten amat penting, terutama apabila terdapat musuh-musuh yang ingin menganiaya kita.
Selain itu, sebagai garam bumi apa yang kita katakan dan cara kita katakannya, amat penting. Walaupun gaya hidup kita yang suci penting untuk menyampaikan berita baik dalam bentuk saksi yang diam-diam, namun begitu orang yang melihat hidup kita yang baik tidak akan mengetahui bagaimana memperoleh penyelamatan di dalam Yesus Kristus jika kita tidak memberitahu mereka dengan jelas. Mereka perlu diberitahu tentang berita baik tentang apa yang dilakukan oleh Tuhan Yesus bagi semua orang berdosa yang rela untuk bertaubat.
Dalam pada itu, sebagai garam bumi, kita perlu menceritakan berita baik Injil penyelamatan Yesus. Masa, berapa banyak dan cara kita ceritakannya terkait dengan peranan kita sebagai garam bumi yang sesuai. Semasa kita masak makanan, bila kita masukkan garam adalah penting untuk menentukan kualiti rasa. Biasanya daging diperap dengan garam untuk suatu jangka masa yang mencukupi supaya apabila dimasak daging itu, perisanya sudah “diserap” dalam daging itu. Jadi, kesan garam sebagai perisa daging itu dimaksimakan. Selain itu, jika makanan yang sudah dimasak dibiar duduk untuk rasa garam dan rempah diserap ke dalam daging, kelazatan makanan itu juga akan bertambah.
Secara sama, kita perlu menyampaikan Injil dan memberi masa yang mencukupi untuk orang lain memprosesnya. Jangan terlalu cemas “masak” atau “makan” dari segi rohani dengan memaksa seseorang untuk percaya. Mereka perlu diberi masa untuk diperap dalam “garam Injil.”
Pertimbangkan prinsip masa dan perbuatan yang dicadangkan oleh John Maxwell berikut dalam konteks penginjilan:
Jika kita memaksa seseorang untuk menerima penyelamatan (perbuatan salah) apabila kita menemui mereka untuk kali pertama (masa salah), hasilnya mungkin adalah suatu malapetaka yang mengeraskan hati mereka kepada Injil.
Jika kita memaksa seorang kawan yang kita telah menginjili banyak kali untuk menerima penyelamatan (perbuatan salah) semasa dia menghadiri kebaktian dan penginjil membuat panggilan penyelamatan yang berkuasa (masa yang betul), hasilnya mungkin adalah suatu kesilapan kerana hatinya masih belum bersedia.
Jika kita memberi jemputan kepada kawan baik kita untuk menerima penyelamatan selepas kita telah berkongsi berita baik dengan dia beberapa kali (perbuatan betul) tetapi dia masih ada persoalan yang belum diatasi (masa salah), hasilnya mungkin adalah suatu rintangan yang menghalangnya daripada menerima anugerah penyelamatan.
Tetapi, jika kita mencabar kawan baik kita untuk menerima penyelamatan selepas kita telah lama dan berkali-kali kongsi dengannya berita baik (perbuatan yang betul) dan dia mengakui bahawa dia tidak ada persoalan atau alasan untuk menolak Yesus lagi (masa yang betul), hasilnya memang kejayaan untuk menjangkau kawan baik kita.
Maka, masa dan perbuatan yang betul adalah mustahak semasa kita menjadi garam bumi kepada kawan-kawan kita dan orang lain yang belum percaya.
Selain itu, berapa banyak garam diletakkan dalam makanan juga penting, Jika garam yang diletakkan tidak mencukupi, maka kelazatan makanan itu akan terjejas. Tetapi jika terlalu banyak garam diletakkan pula, makanan itu tidak dapat atau sukar dimakan kerana terlalu masin. Biasanya seorang tukang masak akan letak sedikit garam dan rasa dahulu untuk menentukan rasanya dan membuat keputusan berapa banyak garam yang perlu ditambah lagi.
Begitulah juga untuk kita yang menjadi garam bumi. Jangan memberi terlalu banyak Injil kepada orang dalam satu masa jika hati mereka belum bersedia untuk menerima. Sampaikan isi kandungan Injil yang mencukupi sesuai dengan keperluan dan kemampuan orang itu menerima kebenaran firman Tuhan.
Maka, ajaran Yesus mendorong kita untuk memberi “garam Injil” dengan kuantiti dan pada masa yang sesuai mengikut kesediaan hati orang itu. Oleh sebab itu, kita perlu berdoa untuk hikmat semasa kita berinjil, supaya usaha kita adalah sesuai dengan kerja Roh Kudus di dalam hati orang itu pada ketika itu. Kita berhasrat untuk bekerjasama dengan Roh Allah yang sudah dan sedang bekerja di dalam hati seseorang semoga masa, perbuatan dan kuantiti berkongsi Injil itu betul dan sesuai.
Metafora yang kedua ialah apabila Tuhan Yesus menggelar kita sebagai cahaya dunia. Peranan pelita tidak lain dan tidak bukan untuk menerangi tempat yang gelap. Maka, tidak masuk akal jika pelita dipasang dan disorokkan di bawah pasu yang legap. Tambahan lagi, pelita yang diletakkan di bawah pasu yang legap akhirnya akan terpadam kerana oksigen di dalam pasu itu habis digunakan dan api pelita itu akan terus padam.
Secara sama, orang Kristian tidak patut malu mengakui diri sebagai pengikut Yesus. Malahan, Tuhan Yesus mengatakan bahawa kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi, terutamanya pada waktu malam apabila rumah-rumah diterangi oleh cahaya pelita yang dipasang. Di dalam situasi malam yang gelap, cahaya daripada pelita yang kecil pun dapat dilihat dari jauh, apatah lagi jika gabungan cahaya daripada pelita semua rumah di dalam kota itu.
Maka, Tuhan Yesus menggalakkan pengikut-pengikut-Nya untuk bersinar di hadapan orang ramai melalui perbuatan baik mereka, bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada diri sendiri tetapi kepada Bapa kita di syurga, iaitu Allah Bapa. Sepatutnya, perbuatan baik kita membawa pujian kepada Allah, dan bukan kepada kita.
Perbuatan baik yang kita lakukan terhadap orang yang belum percaya mesti dilakukan dengan ikhlas, bukan untuk mendapat balasan atau untuk mencapai sasaran untuk kepentingan kita. Kawan-kawan kita dan orang lain perlu dihormati sebagai orang yang diberi kurnia membuat pilihan mereka sendiri. Mereka bukan “projek” kita untuk dilaksanakan dan menjadi bukti statistik untuk kejayaan kita, tetapi mereka adalah manusia yang dikasihi Allah - dan oleh kerana itu, dikasihi dengan ikhlas oleh kita juga.
Maka, sebagai garam bumi, kita menunjukkan siapa kita sebagai anak Allah yang suci. Kehidupan dan kata-kata kita mesti lemah lembut dan penuh hormat kepada orang lain. Sebagai cahaya dunia, kita menunjukkan perbuatan kita sebagai wahana Allah untuk memberkati orang lain. Kita menunjukkan orang kepada Allah yang mengasihi mereka dan telah mengurniakan Anak-Nya yang tunggal agar mereka boleh diselamatkan daripada hukuman dosa.
Jadi, saudara-saudari yang dikasihi di dalam Kristus, tanya diri sendiri:
Adakah saya menjadi garam bumi yang memberi perisa yang enak di dalam kehidupan orang lain di sekeliling kita - ahli keluarga, rakan sekerja, sahabat-handai kita dan orang umum?
Adakah reputasi dan perbuatan kita selaras dengan peranan kita sebagai cahaya dunia ini? Bagaimanakah saya boleh bersinar dengan lebih terang lagi dengan bantuan Roh Kudus?
Adakah kita tabah apabila dianiaya kerana iman kita di dalam Yesus Kristus? Bagaimanakan sikap hati kita perlu berubah?