TABAH DIANIAYA KERANA BERIMAN (BAHAGIAN 2): Mengasihi dan berbuat baik terhadap musuh
Namun begitu, bukanlah senang untuk menjadi garam bumi dan cahaya dunia apabila musuh-musuh kita asyik ingin menganiaya kita. Maka, Tuhan Yesus telah menggunakan situasi ini di dalam ilustrasi-Nya untuk mengajar kita keperluan untuk tabah apabila dianiaya kerana beriman di dalam-Nya:
43"Kamu telah mendengar ajaran yang berikut: 'Kasihilah sesama manusia dan bencilah musuhmu.' 44Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu. 45Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari untuk orang yang jahat dan orang yang baik. Dia menurunkan hujan untuk orang yang benar dan orang yang tidak benar. 46Jika kamu mengasihi orang yang mengasihimu, apakah ganjaranmu? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian? 47Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudara selingkungan, apakah kelebihanmu daripada orang lain? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian. 48Hendaklah engkau sempurna seperti Bapamu di syurga." (Matius 5:43-48, AVB)
Ajaran para Farisi ialah kita mengasihi mereka yang menerima kita, tetapi membenci mereka yang bermusuh dengan kita. Perbuatan luaran ini memang tidak sukar untuk dilaksanakan. Tuhan Yesus menggunakan contoh pemungut cukai, iaitu orang yang dianggap jahat kerana mereka memeras ugut orang lain semasa mereka mengutip cukai untuk kerajaan Romawi, semasa dia menerangkan bahawa orang yang jahat di dalam dunia ini pun mampu dan sanggup untuk mengasihi orang yang mengasihi mereka juga. Mereka akan beramah mesra dengan orang yang mereka kasihi dan menerima mereka.
Tetapi apabila orang jahat ini menghadapi musuh-musuh mereka, mereka akan bertindak dengan kejam dan keras seperti yang dijangka. Mengasihi orang yang mengasihi kita dan membenci musuh-musuh kita tidak susah dan memang merupakan perbuatan lumrah manusia di dunia ini. Sesiapa pun boleh dan sanggup bertindak sedemikian.
Tuhan Yesus mencabar kita untuk melakukan apa yang luar biasa, iaitu mengasihi musuh-musuh kita dan berdoa supaya orang yang menganiaya kita diberkati! Sememangnya arahan ini mustahil untuk dilakukan tanpa bantuan dan kuasa Roh Kudus.
Paulus juga mendorong kita supaya tidak membalas dendam terhadap musuh-musuh dan orang yang menganiaya kita:
19Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah berusaha membalas dendam, serahkanlah kepada kemurkaan Allah, kerana telah tersurat: "Pembalasan adalah hak-Ku. Akulah yang akan membalas," demikian firman Tuhan. 20Oleh itu, "Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, beri dia minum; Kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya." (Roma 12:19-20, AVB)
Malahan, dia menyeru kita untuk berbuat baik terhadap mereka. Jika mereka lapar, berilah mereka makan. Jika mereka dahaga, berilah mereka minuman. Dalam kata lain, layanilah musuh-musuh dan penganiaya-penganiaya kita. Tindakan yang diarahkan Tuhan Yesus apabila kita dianiaya, ialah ketabahan yang aktif, iaitu:
Mengampuni mereka dan jangan membalas dendam.
Mengasihi mereka dengan melayani mereka mengikut keperluan semasa mereka dan berbuat baik terhadap mereka.
Berdoa untuk mereka semoga Allah akan menunjukkan kasih kurnia terhadap mereka.
Sikap hati yang indah begini berkecenderungan untuk menginginkan apa yang baik bagi mereka, bukan apa yang buruk. Sikap ini dicerminkan di dalam arahan Paulus ini:
23Jauhi perbahasan yang sia-sia dan jahil, kerana kamu tahu semua ini mencetuskan perkelahian. 24Hamba Tuhan tidak harus berkelahi. Sebaliknya, mereka mestilah lemah lembut kepada semua orang, pandai mengajar, sabar, dan 25dengan rendah hati menegur orang yang menentang, semoga Allah membukakan hati mereka untuk bertaubat supaya mereka mengenal kebenaran, 26lalu mereka menjadi waras semula dan terlepas daripada cengkaman Iblis yang telah memerangkap mereka untuk melakukan kehendaknya. (2 Timotius 2:23-26, AVB)
Harapan utama kita adalah Allah akan mencelikkan mata rohani mereka yang menentang dan menganiaya kita supaya mereka akan mengenal kebenaran dan menjadi waras semula, lalu bertaubat daripada melakukan dosa-dosa mereka. Jika mereka berbuat demikian, kita boleh bersukacita bahawa mereka telah terlepas daripada cengkaman Iblis yang telah memerangkap mereka untuk melakukan segala kejahatan dan perbuatan dosa, termasuk menganiaya umat Allah.
Jika kita dapat melakukan ini mengikut kekuatan yang diberikan oleh Allah, maka Tuhan Yesus mengatakan kita telah menjadi sempurna (matang) seperti Bapa kita di syurga. Kematangan sebegini adalah paling sukar dicapai kerana penganiayaan yang dialami sangat pedih dirasai.
Tabah dianiaya kerana beriman di dalam Yesus merupakan sikap hati yang indah sehingga kita dapat dan mampu mengasihi musuh dan memberkati mereka yang menganiaya kita. Tindakan yang sedemikian merupakan suatu mukjizat yang luar biasa ditunjukkan di dalam kehidupan mereka yang sudah matang dengan sempurna sehingga mereka dapat mengikut jejak kaki Tuhan Yesus.
Semasa Tuhan Yesus disalib oleh musuh-musuh-Nya walaupun dia tidak bersalah, dia telah berdoa untuk mereka:
34Yesus berkata, "Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka." (Lukas 23:34, AVB)
Yesus berdoa semoga Allah akan mengampuni musuh-musuh-Nya yang telah menganiaya-Nya dan melakukan kejahatan yang besar, iaitu membunuhnya.
Hal yang sama telah dilakukan oleh para martir pertama gereja, iaitu Stephen:
57Mereka pun bertempik sambil menutup telinga lalu menyerang Stefanus serentak. 58Mereka menyeret dia ke luar kota lalu merejamnya. Orang yang menyaksikan segalanya itu meletakkan jubah mereka di kaki seorang muda bernama Saul. 59Ketika mereka merejam Stefanus, dia berseru, "Tuhan Yesus, terimalah rohku." 60Kemudian dia berlutut dan berteriak dengan suara yang kuat, "Tuhan, jangan tanggungkan dosa ini atas mereka." Setelah berkata demikian, dia pun meninggal dunia. (Kisah Para Rasul 7:57-60, AVB)
Bagaimanakah kita boleh membentuk jati diri supaya kita boleh menjadi sempurna dan matang seperti yang diajar dan ditunjukkan oleh Tuhan Yesus? Bentuklah hati kita supaya jujur dan ikhlas di hadapan Allah, bukan mengikut perasaan tetapi pilihan kehendak yang ingin mematuhi firman Tuhan. Pada masa kita dianiaya, sudah tentu perasaan yang semula jadi adalah marah dan ingin membalas dendam. Tetapi, jika kita memilih untuk bertindak dengan melakukan yang baik kepada mereka yang berbuat salah terhadap kita, perasaan yang negatif itu akan menjadi reda.
Begitulah kita bergantung kepada Roh Kudus untuk melatih hati kita supaya mengawal diri dan bertindak dengan kasih. Sikap hati ini merupakan sesuatu yang peribadi dan rahsia kerana merupakan suatu yang berlaku di dalam diri kita.
Oleh sebab itu, Yesus telah mengajar supaya amalan ibadat dan kerja amal seperti bersedekah kepada orang miskin, berdoa dan berpuasa perlu dilakukan secara rahsia, iaitu di hadapan Allah sahaja.
1"Ingatlah: Jangan buat amal ibadat di muka umum supaya dilihat orang; kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Bapamu yang di syurga. 2Oleh itu, ketika kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan seperti orang munafik meniup sangkakala di saumaah dan di jalan raya, supaya dipuji orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang begitu sudah pun mendapat ganjaran mereka. 3Apabila kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu. 4Jangan siapa pun mengetahuinya. Bapamu yang melihat amalmu yang tersembunyi itu akan memberikan ganjaran kepadamu." (Matius 6:1-4, AVB)
5"Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapatkan ganjaran mereka. 6Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu. (Matius 6:5-6, AVB)
16"Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapat ganjaran mereka. 17Ketika berpuasa, minyakilah kepalamu dan basuhlah muka 18supaya orang tidak tahu kamu berpuasa. Biarlah puasamu hanya diketahui oleh Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan memberikan ganjaran kepadamu." (Matius 6:16-18, AVB)
Mengapakah melakukan amalan ibadat secara rahsia begitu penting sekali? Sebabnya ialah kerana hawa nafsu dan sifat tabii (daging) ingin sekali dipuji dan ditinggikan! Kecenderungan ini menjadikan kita angkuh dan berpusat kendiri. Sikap yang begini akan menghakis iman dan kebergantungan kita kepada Allah. Sedikit demi sedikit kita akan mementingkan penerimaan dan pujian manusia lebih daripada penerimaan dan pujian Allah. Sekiranya ini bertumbuh, apabila tiba masanya kita membuat pilihan antara diterima atau dianiaya oleh manusia, sudah tentu sifat tabii kita akan “meneriak” untuk memilih jalan yang mementingkan diri dan lebih senang.
Maka, untuk mengikis keinginan hawa nafsu dan sifat tabii kita, kita perlu melakukan semua amalan ibadat dan kerja amal secara rahsia supaya sifat tabii kita akan dilemahkan. Jangan menarik perhatian kepada diri sendiri apabila kita membuat kerja baik. Apabila kita melakukan amalan ibadat dan kerja amal secara rahsia, kita juga melatih diri untuk melakukannya hanya untuk perhatian Allah yang melihat segala-galanya. Roh Kudus mendidik hati kita untuk melakukan dengan niat untuk memuliakan Allah dan berkenan kepada-Nya.
Hati yang dibentuk sebegini akan dipenuhi oleh kasih Allah yang akan mendorong perbuatan kasih terhadap semua manusia, termasuk musuh-musuh kita yang menganiaya kita. Disiplin kerahsiaan adalah seperti latihan rohani berterusan untuk membentuk hati yang tertumpu kepada Allah kita sahaja supaya kita hidup secara jujur dan ikhlas di hadapan Allah.
Sebaliknya, jangan melakukan apa-apa untuk mendapat pujian dan kemuliaan daripada manusia. Hal ini akan membawa kerugian yang besar di dalam hidup kita kerana itu merupakan perangkap untuk kehidupan yang dibelenggu oleh ekspektasi orang. Orang yang hidup begini tidak akan gembira, puas hati atau bebas. Mereka seumpama orang yang mengejar pelangi - sesuatu yang mereka pasti tidak akan mencapai.
Manusia memang tidak menentu dan berubah-ubah. Maka, jika kita pasak damai sejahtera dan keselamatan kita kepada penerimaan dan pujian manusia, kita pasti akan menjadi kecewa dan akhirnya hati kita akan hancur. Semua manusia dipengaruhi oleh sifat tabii dan dosa yang menyebabkan mereka tidak selalu dapat diharapkan. Sebaliknya, Allah kita suci dan penuh kasih dan belas kasihan. Jadi, dirikan hidup anda di atas asas penerimaan oleh Allah yang teguh dan pasti.
7Terimalah satu sama lain, sebagaimana Kristus telah menerima kita, demi kemuliaan Allah. (Roma 15:7, AVB)
43Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah. (Yohanes 12:43, AVB)
10Adakah aku hendak membuktikan diri kepada manusia atau kepada Allah? Adakah aku berusaha mendapatkan keredaan manusia atau keredaan Allah? Jika aku masih cuba mendapatkan keredaan manusia, aku bukanlah hamba Kristus. (Galatia 1:10, AVB)
Jadilah hamba kepada Kristus, bukan kepada manusia!