TABAH DIANIAYA KERANA BERIMAN (BAHAGIAN 3): Mengumpul Harta di Syurga
Setiap orang mesti ada tuan di hatinya. Siapa atau apa tuan itu terpulang kepada apa yang lebih dihargai oleh seseorang. Seorang yang tabah dianiaya kerana beriman sepatutnya telah menetapkan bahawa Allah ialah satu-satunya tuannya. Allahlah yang paling berharga di dalam hatinya dan tiada siapa atau apa benda di dalam dunia ini yang boleh menandingi Allah. Oleh sebab itu, Tuhan Yesus telah menyeru dengan jelas di dalam Khutbah di Atas Bukit tentang hal mengumpul harta di syurga:
19"Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya. 20Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya. 21Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu." (Matius 6:19-21, AVB)
Harta yang dimaksudkan oleh Yesus bukan sekadar benda-benda di dalam dunia ini. Harta ialah benda-benda yang dinilai oleh kita sebagai khazanah yang amat berharga. Maka, harta ialah perkara yang manusia fikirkan dan berusaha dengan gigih untuk memperolehnya. Dalam kata lain, harta menumpukan hati manusia! “Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.”
Dalam pada itu, Tuhan Yesus membezakan antara harta di dunia dan harta di syurga. Yesus menerangkan bahawa harta di dunia boleh rosak kerana faktor-faktor yang mengancamnya di dunia ini. Gegat dan karat merosakkan benda-benda fana di dunia ini mengikut perjalanan masa. Selain itu, jika harta di dunia tidak dijaga dengan ketat dan rapi, pencuri boleh merampasnya daripada pemiliknya. Pada asasnya, Tuhan Yesus memberi amaran bahawa harta di dunia hanya sementara sahaja dan tidak akan tahan sampai kekekalan.
Sebaliknya, Yesus menyeru kita untuk mengumpulkan harta di syurga yang tidak akan rosak atau dicuri orang lain. Harta di syurga akan tahan sampai ke kekekalan. Tetapi soalnya ialah, “Bagaimana kita dapat mengumpul harta di syurga walhal kita berada di dunia ini sekarang?” Tambahan lagi, “Apakah harta di syurga yang tidak mungkin rosak tetapi kekal selama-lamanya?”
Untuk menjawab soalan-soalan ini, kita perlu mengetahui apakah hal-hal di dunia fana ini yang akan dibawa ke syurga atau dilanjutkan ke hidup yang kekal.
Harta di syurga yang pertama sekali ialah perhubungan kita dengan Allah Tritunggal. Oleh sebab itu, Tuhan Yesus telah memberi definisi kepada hidup kekal begini:
3Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Kauutus. (Yohanes 17:3, AVB)
Cara kita mengenal Tuhan sebegini bukan dari jauh atau secara teori. Kita sepatutnya mengenal Allah dan Yesus Kristus secara peribadi dan intim. Walhal, kita ialah anak-anak Allah:
12Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya. (Yohanes 1:12, AVB)
16Roh itu sendiri memberikan kesaksian dengan roh kita bahawa kita anak Allah. 17Jika kita anak, maka kita waris-waris Allah, waris bersama dengan Kristus, jika kita benar-benar berkongsi penderitaan-Nya supaya dapat berkongsi kemuliaan-Nya kelak. (Roma 8:16-17, AVB)
1Ketahuilah betapa kasihnya Bapa kepada kita sehingga kita disebut anak-anak Allah! Dan sememanglah begitu! Sebabnya dunia ini tidak mengenal kita ialah kerana dunia ini tidak mengenal Allah. 2Sahabat-sahabat yang kukasihi, sekarang ini kita anak-anak Allah, tetapi belum nyata bagaimana keadaan kita kelak. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti-Nya, kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar. 3Sesiapa yang menaruh harapan ini kepada Kristus akan memelihara dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus itu suci. (1 Yohanes 3:1-3, AVB)
Perhubungan yang intim inilah yang patut dipupuk mulai sekarang dan terus dikejar sebagai keutamaan kita yang terutama di dalam hidup kita kerana perhubungan dengan Allah akan berterusan sehingga kekekalan.
Satu amalan yang sepatutnya menjadi gaya hidup kita adalah penyembahan. Di dalam buku Wahyu, kita dapati aktiviti pujian dan penyembahan yang berlaku di syurga:
6Di hadapan takhta itu juga kelihatan sesuatu yang seperti lautan kaca, jernih seperti hablur.
Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu di setiap sisi. Bahagian depan dan belakang makhluk itu penuh dengan mata. 7Makhluk yang pertama rupanya seperti singa; yang kedua seperti anak lembu; yang ketiga mukanya seperti muka manusia; dan yang keempat rupanya seperti burung helang sedang terbang. 8DSetiap makhluk itu bersayap enam. Di bawah sayapnya pun penuh dengan mata. Siang malam mereka tidak henti-henti menyanyi:
"Suci, suci, sucilah Tuhan Allah
Yang Maha Kuasa,
yang ada dahulu, yang ada sekarang dan yang akan datang."
9Keempat-empat makhluk itu menyanyikan pelbagai nyanyian yang memuliakan, menyanjung dan menyatakan syukur kepada Dia yang sedang bersemayam di atas takhta, Dia yang hidup selama-lamanya. 10Sambil itu, dua puluh empat tua-tua sujud kepada Dia yang bersemayam di atas takhta, menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka mencampakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu lalu berkata,
11"Ya Tuhan, ya Allah kami!
Hanya Engkau yang layak menerima kemuliaan, kehormatan dan kuasa,
kerana Engkaulah
yang mencipta segala-galanya,
dan dengan kehendak-Mu
segala-galanya wujud dan dicipta." (Wahyu 4:6-11, AVB)
11Aku melihat lagi. Aku mendengar suara ribuan dan jutaan malaikat. Mereka berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua. 12Mereka menyanyi dengan suara yang lantang:
"Anak Domba yang telah disembelih
layak menerima kekuasaan,
kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan,
kehormatan, kemuliaan
dan puji-pujian."
13Aku mendengar semua makhluk – di syurga, di bumi, di bawah bumi, di dalam laut, dan semua yang ada di dalamnya, menyanyi:
"Segala puji, kemuliaan dan kuasa kepada
Dia yang duduk di atas takhta
dan kepada Anak Domba untuk
selama-lamanya."
14Keempat-empat makhluk itu menyahut, "Amin!" Para tua-tua itu pun sujud menyembah Allah dan Anak Domba itu. (Wahyu 5:11-14, AVB)
Pujian dan penyembahan kepada Allah pada kekekalan akan menjadi sesuatu yang murni, tulen dan sejati kerana hadirat Allah begitu ketara dinikmati. Keagungan, kekudusan dan kemuliaan Allah mendorong semua makhluk di syurga dan bumi baru untuk bersekutu dengan Allah dengan bebas.
1Aku melihat langit baru dan bumi baru, kerana langit dan bumi yang lama telah lenyap, dan laut pun tiada lagi. 2Kemudian aku, Yohanes, melihat kota suci, Yerusalem Baru, diturunkan Allah dari syurga, seperti pengantin yang terhias untuk suaminya. 3Aku mendengar suara lantang dari takhta berkata, "Lihatlah, tempat kediaman Allah sekarang berserta manusia, dan Dia akan tinggal bersama mereka, dan mereka akan menjadi umat-Nya, dan Allah sendiri akan bersama mereka sebagai Allah mereka. (Wahyu 21:1-2, AVB)
10Dia membawaku dalam Roh ke sebuah gunung yang besar dan tinggi, lalu menunjukkan kepadaku kota yang agung, Yerusalem Yang Suci, diturunkan Allah dari syurga, 11dipenuhi kemuliaan Allah. Cahayanya seperti batu yang amat berharga, batu yaspis, jernih seperti hablur. (Wahyu 21:10-11, AVB)
22Aku tidak melihat Bait Suci di dalamnya, kerana Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa dan Anak Domba ialah Bait Sucinya. 23Kota itu tidak memerlukan sinaran matahari dan bulan, kerana kemuliaan Allah meneranginya dan Anak Domba itu pelitanya. 24Semua bangsa berjalan dalam cahayanya, dan raja-raja di bumi membawa kemuliaan mereka ke dalamnya. (Wahyu 21:22-24, AVB)
Oleh sebab itu, jika kita mengambil masa untuk bersekutu, beribadat, berdoa dan menyembah Allah semasa kita masih berada di dunia ini, kita sebenarnya mempersiapkan diri untuk syurga serta melabur di syurga, iaitu menyimpan harta di syurga.
Selain itu, amalan dan gaya hidup Sabat juga menyimpan harta di syurga. Malang sekali amalan Sabat ini tidak difahami dan dihargai dalam kalangan orang Kristian. Ramai orang salah faham bahawa amalan Sabat ini sebagai amalan Perjanjian Lama seperti yang dipelopori oleh Hukum Taurat. Mereka fikir bahawa Sabat adalah amalan kolot yang mengongkong kebebasan yang telah diperolehi oleh Tuhan Yesus untuk kita. Oleh sebab ini, kita perlu kembali kepada ajaran sebenar yang terkandung di dalam Alkitab berkaitan dengan gaya hidup Sabat ini.
Hal pertama yang kita patut sedar ialah amalan Sabat tidak bermula semasa pemberian Hukum Taurat. Sabat ialah kenikmatan yang Allah tetapkan semasa dia mencipta dunia ini, iaitu selepas dia melengkapkan kerja mencipta segala-galanya pada hari yang ketujuh:
1Demikianlah diselesaikan penciptaan langit dan bumi serta segala isinya. 2 Setelah Allah siap menyelesaikan kerja penciptaan-Nya pada hari ketujuh itu, Dia pun beristirahat daripada segala pekerjaan yang telah dibuat-Nya itu. 3Lalu Allah memberkati hari ketujuh itu dan menguduskannya, kerana pada hari itulah Dia beristirahat daripada segala kerja penciptaan yang telah dibuat-Nya itu. 4Demikianlah riwayat langit dan bumi ketika diciptakan. (Kejadian 1:1-4, AVB)
Allah beristirihat daripada kerja penciptaan-Nya bukan kerana Dia letih atau lesu, tetapi kerana Dia ingin menikmati hasil ciptaan-Nya. Maka, hari Sabat yang telah ditetapkan sebagai kitaran hidup di dunia adalah untuk keseronokan, bukan sekadar suatu kewajipan. Kita meniru teladan Allah yang mengambil masa untuk berhenti daripada kerja untuk menikmati hasil pekerjaan-Nya.
Maka, kita tidak sepatutnya mengaitkan hari Sabat dengan peraturan-peraturan buatan manusia yang bertujuan untuk mengelak daripada melanggar perintah Allah, seperti yang dibuat oleh orang Farisi. Sebaliknya, kita patut mendekati hari Sabat sebagai suatu amalan yang memberi kita peluang untuk berseronok dan menikmati segala-gala yang kita diberikan oleh Allah kepada kita. Itulah maksud sebenar menjaga kesucian hari Sabat, iaitu kita mengasingkan masa untuk berseronok dan menikmati kebaikan Allah:
8Ingatlah hari Sabat dan jagalah kesuciannya. 9Enam hari lamanya engkau harus bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu, 10tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi Tuhan, Allahmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun baik kamu, anak lelakimu, anak perempuanmu, hamba lelakimu, hamba perempuanmu, haiwanmu, mahupun pendatang yang ada di kotamu. 11Kerana enam hari lamanya Tuhan menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya, lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh. Itulah sebabnya Tuhan memberkati hari Sabat dan menjadikannya suci. (Keluaran 20:8-11, AVB)
Hari Sabat merupakan suatu hadiah dan kurnia Allah untuk kita setiap minggu. Pada hari itu, kita berhenti daripada pekerjaan biasa untuk berseronok! Oleh sebab itu, Tuhan Yesus telah menentang dengan keras pendekatan orang Farisi yang menganggap hari Sabat sebagai hari yang mengongkong manusia dan melarang mereka daripada menikmati hari itu.
27Yesus menambah, "Hari Sabat diwujudkan untuk manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk hari Sabat. 28Jadi Anak Manusia jugalah Tuhan atas hari Sabat." (Markus 2:27-28, AVB)
Hari Sabat diwujudkan untuk kenikmatan dan kebaikan manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk dikongkong oleh pelbagai jenis larangan. Perintah Allah untuk hari Sabat ialah untuk memastikan manusia tidak terlalu asyik bekerja sehingga mereka lupa menikmati semua yang baik di dalam hidupnya.
Sudah tentu, salah satu kenikmatan pada hari Sabat ialah mengambil masa untuk bersekutu dan menyembah Allah - suatu amalan yang menyimpan harta di syurga. Apabila kita berbuat demikian di dalam hidup ini, kita sebenarnya mempersiapkan diri untuk hari peristirahatan yang disediakan Allah, iaitu untuk memastikan kita siap sedia untuk masuk ke dalam era hidup yang kekal bersama-sama dengan Allah seperti yang dimaksudkan di dalam berita Injil penyelamatan:
1Dengan demikian, oleh sebab janji untuk masuk ke dalam peristirahatan-Nya tetap wujud, kita haruslah bimbang kalau-kalau ada di antaramu yang dikira tidak layak. 2Injil telah disampaikan kepada kita dan kepada mereka; tetapi firman yang didengar mereka tidak menguntungkan mereka kerana tidak berpadu dengan iman. 3Kita yang telah beriman memang masuk ke dalam peristirahatan itu, sebagaimana firman-Nya:
"Maka Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku,
'mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Ku,' "
walaupun pekerjaan-Nya telah selesai sejak dunia diasaskan. 4Allah telah berfirman demikian di suatu tempat tentang hari ketujuh: "Dan Allah beristirahat pada hari ketujuh daripada segala pekerjaan-Nya." 5Kemudian di sini pula: "Mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Ku." 6Memandangkan sebilangan manusia pasti masuk ke dalam peristirahatan itu, dan mereka yang terlebih dahulu mendengar perkhabaran Injil tidak masuk disebabkan mereka ingkar, 7maka Dia menetapkan satu hari lain, dalam firman-Nya kepada Daud, "Hari ini," setelah sekian lama, iaitu:
"Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya,
jangan keraskan hatimu." (Ibrani 4:1-7, AVB)
Apabila kita menikmati amalan Hari Sabat setiap minggu, itu merupakan latihan ibadat beriman yang melembutkan hati kita kepada suara Allah supaya tidak mengeraskan hati kepada Injil. Kita melatih diri untuk menikmati peristirahatan yang akan disediakan oleh Allah di bumi baru untuk selama-lamanya. Itulah harta di syurga yang kita melabur dan simpan setiap kali kita mencari dan menikmati hadirat Allah pada setiap hari Sabat. Hari Sabat adalah amalan syurgawi yang menghargai persekutuan dengan Allah lebih daripada segala-galanya, yang membawa bahagia yang sepenuhnya dan melimpah-limpah:
11Engkau akan menunjukkan aku jalan hidup;
di hadirat-Mu sepenuh bahagia dirasai,
di tangan kanan-Mu nikmat dikecapi selama-lamanya.
(Mazmur 16:11, AVB)
4Satu perkara yang kuingini daripada Tuhan,
akan kupohonkan:
semoga aku akan tinggal di dalam rumah Tuhan seumur hidupku,
melihat keindahan Tuhan
dan tinggal di dalam rumah suci-Nya. (Mazmur 27:4, AVB)
10Kerana satu hari di dalam rumah-Mu
lebih baik daripada seribu di tempat lain;
aku rela menjadi penjaga pintu di Rumah Allahku daripada tinggal di khemah orang zalim. (Mazmur 84:10, AVB)
Hari Sabat ialah menikmati realiti syurga di bumi sekarang, sebab di syurga kemuliaan dan keagungan Allah wujud dengan ketara.
Seterusnya, kita juga menyimpan harta di syurga apabila kita mengambil bahagian dalam kerja Allah. Kerja diberikan kepada manusia bukan sebagai suatu kutukan tetapi sebagai suatu kurnia. Kita mengetahui ini kerana Allah mengamanahkan tanggungjawab untuk menjaga bumi ciptaan-Nya kepada Adam dan Hawa sebelum mereka jatuh dalam dosa dan dikutuk.
26Berfirmanlah Allah, "Baiklah Kita menjadikan manusia menurut gambaran dan rupa Kita. Mereka akan berkuasa atas ikan-ikan di laut dan atas burung-burung di udara dan atas ternakan dan atas seluruh bumi dan atas segala jenis binatang melata yang merayap di muka bumi." 27Maka Allah menciptakan manusia menurut gambaran-Nya.ii Menurut gambaran Allah, Dia mencipta mereka, lelaki dan perempuan. 28Allah memberkati mereka, lalu Allah berfirman kepada mereka, "Beranakcuculah dan bertambah banyak serta penuhilah dan takluki bumi, berkewenangan atas ikan-ikan di laut dan burung-burung di udara dan atas segala makhluk hidup yang berkeliaran dan yang bergerak di muka bumi." (Kejadian 1:26-28, AVB)
Dengan pemberian ini oleh Allah, maka pekerjaan kita adalah cara kita menunaikan tanggungjawan dan amanah yang diberikan kepada kita. Pekerjaan kita juga menyumbang kepada erti dan maksud kewujudan kita sebagai manusia yang dicipta mengikut gambaran Allah. Oleh sebab Allah bekerja, kita juga mengikuti contohnya untuk bekerja. Tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada kita untuk menjaga ciptaan Allah memberi kita harga diri di dalam Allah.
15Tuhan Allah mengambil manusia itu dan menempatkannya di dalam Taman Eden untuk mengerjakan serta memelihara taman itu. (Kejadian 2:15, AVB)
Kita diberi keistimewaan untuk berkongsi dengan Allah, iaitu menjaga dan memerintah ciptaan-Nya. Itulah nilai kita sebagai anak Allah yang mewarisi pemerintahan atas dunia ini. Oleh sebab itu, arahan Allah yang diberikan di sini, yang biasanya dikenali sebagai Mandat Budaya (Cultural Mandate), kerana kita membawa budaya pemerintahan Allah ke seluruh dunia.
Namun begitu, bukan semua pekerjaan menyumbang kepada harta di syurga. Hanya pekerjaan yang dilakukan dengan sebulat hati untuk Tuhan:
23Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan untuk manusia, 24kerana kamu tahu bahawa daripada Tuhan kamu akan menerima warisan sebagai ganjaranmu. Kristus ialah Tuanmu dan kamu hamba-Nya. (Kolose 3:23-24, AVB)
Oleh sebab itu, apabila kita keluar setiap hari untuk bekerja, dedikasikan diri dan pekerjaan tangan kita kepada Tuhan, Di dalam hati, kuduskan atau asingkan hati kita kepada Allah, dan kemudian pergi lakukan kerja yang terbaik untuk Tuhan. Buat kerja anda dengan sikap yang positif dan terbaik, supaya nama Allah akan dipuji dalam kalangan orang di sekeliling kita. Bawa keharuman saksi kita sebagai duta Kristus ke mana sahaja kita pergi dan lakukan kerja-Nya:
14Tetapi syukur kepada Allah yang sentiasa memimpin kami ke arah kemenangan dalam Kristus, dan melalui kami menyebarkan keharuman pengenalan-Nya di merata-rata; (2 Korintus 2:14, AVB)
Maka, pekerjaan Allah yang paling penting selepas manusia jatuh ke dalam dosa ialah untuk memberitakan Injil Kerajaan di dalam Yesus Kristus, Mesias dunia. Pekerjaan penginjilan dan pemuridan yang diamanatkan kepada kita oleh Yesus sendiri merupakan cara untuk menyimpan harta di syurga:
18Yesus datang dan berkata kepada mereka, "Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi. 19Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. 20Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman." (Matius 28:18-20, AVB)
Jadi, kita akan beruntung jika kita menganggap segala-gala yang kita lakukan di dunia ini sebagai sebahagian daripada Amanat Agung Kristus. Walhal Amanat Agung adalah selaras dengan Mandat Budaya, iaitu mengembangkan pemerintahan Allah di semua pelusuk dunia, terutama di dalam hati setiap insan di dunia. Kita berfungsi sebagai duta Kristus yang menyampaikan berita baik Yesus semoga mereka diperdamaikan dengan Allah:
18Semuanya datang daripada Allah, yang telah mendamaikan kita dengan diri-Nya melalui Kristus, dan mengamanahkan kepada kami tugas mulia untuk mengusahakan pelayanan pendamaian itu. 19Dalam Kristus, Allah telah mendamaikan isi dunia ini dengan diri-Nya dan tidak lagi memperhitungkan kesalahan-kesalahan mereka. Berita pendamaian itu telah diamanahkan-Nya kepada kami.
20Kami ialah para duta Kristus. Melalui kami, Allah menyampaikan apa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, demi Kristus, kami meminta kepadamu: Berdamailah semula dengan Allah! 21Allah menjadikan Dia yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam Dia kita diperbenar oleh Allah. (2 Korintus 5:18-21, AVB)
Selain itu, kita juga boleh menggunakan wang untuk dilaburkan di dalam pekerjaan Tuhan. Paulus mengatakan:
17Perintahkan orang yang kaya pada masa ini supaya jangan angkuh, jangan berharapkan kekayaan yang sebenarnya tidak kekal, tetapi bergantunglah kepada Allah yang hidup, yang melimpahkan segala sesuatu kepada kita untuk dinikmati. 18Hendaklah mereka berbuat baik, supaya mereka kaya dengan amal kebajikan, sedia memberi, rela berkongsi. 19Dengan demikian mereka meletakkan asas yang teguh bagi diri mereka untuk hari kemudian supaya mereka dapat hidup kekal kelak. (1 Timotius 6:17-19, AVB)
Arahan ini ditujukan kepada orang kaya yang cenderung untuk bergantung kepada kekayaan mereka. Paulus mengingatkan orang kaya bahawa kekayaan mereka di dunia ini sebenarnya tidak kekal. Jadi, kekayaan di dunia ini tidak patut menjadi asas hidup kita. Sebaliknya asas yang teguh ialah melabur di dalam harta di syurga, yang merupakan memberitakan Injil kerajaan Allah serta berbuat baik dan menjadi kaya dengan amal kebajikan. Sikap dan gaya hidup yang sedia memberi dan rela berkongsi dengan murah hati serta ikhlas merupakan bukti bahawa kita bergantung kepada Allah yang hidup sebagai asas hidup kita di dunia ini yang melabur di dalam harta di syurga.
Arahan untuk orang kaya ini juga relevan kepada semua orang Kristian. Tuhan Yesus mendorong kita untuk menggunakan kekayaan dunia untuk memenangi sahabat di dunia ini:
9Aku berkata kepadamu supaya menggunakan kekayaan dunia untuk mendapat sahabat bagi dirimu. Apabila kekayaanmu lenyap, kamu akan disambut ke tempat kediaman yang kekal. (Lukas 16:9, AVB)
Menggunakan kekayaan dunia yang kita miliki, tidak kira banyak atau sedikit, adalah suatu tindakan yang bijaksana kerana kita melabur ke kekekalan, iaitu tempat kediaman yang kekal. Jadi, pelaburan kita di dunia ini akan menghasilkan keuntungan untuk hidup yang kekal.
Apakah ganjaran yang kita akan dapati dalam bentuk harta di syurga? Kita akan pelajari hal ini di dalam bahagian yang seterusnya.