ASAS UNTUK KEABADIAN PENYELAMATAN
Kini, kita sampai ke kemuncak Khutbah di Atas Bukit oleh Tuhan Yesus. Tuhan Yesus memberi cabaran yang terpenting untuk orang yang percaya, iaitu murid-murid-Nya. Apa yang dikatakannya seakan-akan suatu panggilan “altar” pada akhir suatu khutbah - amaran dicampur dengan panggilan untuk pendengar memberi respon yang positif kepada apa yang telah diajar. Maka, dalam konteks yang sama, cabaran Tuhan Yesus juga ditujukan kepada kita semua yang telah “mendengar”khutbah-Nya.
Di dalam Matius 7:13-27, Tuhan Yesus memberi cabaran yang tegas dan serius untuk membuat pilihan yang betul semasa hidup kita di dalam dunia ini. Sepanjang khutbah-Nya dia telah menjelaskan tentang manifesto kerajaan Allah untuk pemuridan yang sejati. Dalam pada itu, dia telah mengajar bahawa:
Mereka yang hidup di dalam kerajaan Allah akan memiliki sikap hati yang indah secara ajaib, iaitu miskin kerohanian, bersedih, lemah lembut, lapar dan dahaga akan perbenaran, berpengasihan, suci hati, mendamaikan manusia, tabah dianiaya kerana kebenaran, taat kepada Yesus dalam penganiayaan.
Sembilan sikap yang indah ini mempengaruhi apa yang berlaku di dalam hati mereka dan apa yang berlaku melalui perbuatan luaran mereka, supaya kesalihan mereka melebihi kesalihan orang Farisi, sesuai dengan keperluan untuk memasuki kerajaan Allah.
Amalan ibadat dan kerja amal kita patut dilakukan dalam kerahsiaan hati kita supaya kita tidak menjadi angkuh dan bongkak. Kita lakukan segala-galanya untuk pemerhatian dan kemuliaan Allah sahaja, bukan untuk mendapat pujian dan penerimaan manusia.
Di dalam hati kita, kita mesti mengasingkan takhta hanya untuk Allah. Ketuanan Yesus mesti eksklusif dan tidak boleh dikongsikan dengan sesiapa atau apa-apa di dalam dunia ini.
Berdasarkan ini, Tuhan Yesus memberi cabaran yang tegas untuk membuat pilihan sama ada menjadi murid yang sejati di dalam kerajaan Allah atau murid yang palsu di luar kerajaan Allah! Perkara ini sangat serius kerana hal ini merupakan soal hidup yang kekal atau hukuman yang kekal. Terdapat hanya dua penghujung sahaja dan penentunya adalah keputusan yang kita buat semasa kita hidup di dalam dunia ini.
Tolong baca apa yang Tuhan Yesus katakan di dalam petikan ini dengan seberapa serius yang anda mampu, kerana kita tahu bahawa Yesus menyampaikan seluruh khutbah ini, termasuk cabaran ini kepada murid-murid-Nya, iaitu orang yang percaya:
1Ketika Yesus melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah murid-murid-Nya kepada-Nya. 2Dia pun mula mengajar mereka: (Matius 5:1-2, AVB)
Maka, cabaran dan amaran yang diberikan oleh Tuhan Yesus sangat relevan kepada kita, orang yang percaya!
13"Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan menuju kebinasaan itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya. 14Sebaliknya, pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya."
15"Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas. 16Kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri? 17Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik. 18Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik. 19ASetiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar. 20Demikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka."
21"Tidak semua orang yang memanggil-Ku, 'Tuhan, Tuhan,' akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. 22Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, 'Tuhan, Tuhan, bukankah kami telah bernubuat dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?' 23CTetapi Aku akan menjawab, 'Aku tidak mengenalmu. Nyahlah kamu dari sini, hai kamu yang mungkar.' "
24"Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu. 25Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu.
26Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir. 27Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!" (Matius 7:13-27, AVB)
Tuhan Yesus membezakan antara dua jenis manusia yang saling berasingan.
Pilihan #1: Hanya terdapat dua pintu gerbang.
Pintu gerbang yang lebar dan luas (senang); RAMAI orang yang memilihnya, tidak masuk kerajaan Allah.
Pintu gerbang yang sempit dan sukar; SEGELINTIR sahaja orang yang menjumpainya dan masuk kerajaan Allah.
Pilihan #2: Hanya terdapat dua jalan untuk dijelajah.
Jalan yang lebar dan luas (senang); RAMAI orang yang menempuhnya dan tidak maju atau bertumbuh sehingga mencapai hidup yang kekal.
Jalan yang sempit dan sukar; SEGELINTIR sahaja orang yang menempuhnya dan maju atau bertumbuh sehingga mencapai hidup yang kekal.
Pilihan #3: Hanya terdapat dua jenis pokok dengan buahnya.
Pokok yang tidak subur dan tidak berbuah ialah orang yang mengakui tetapi mungkar atau tidak mematuhi perintah Yesus. Walaupun mereka begitu giat dalam pelayanan dan padat dengan aktiviti kekristianan, serta memanggil Yesus, “Tuhan,” namun hidup mereka tidak menunjukkan hati mereka benar-benar tunduk dan patuh kepada Yesus. Akhirnya, mereka dikutuk dan ditolak oleh Tuhan Yesus! (Tuhan Yesus akan mengisytiharkan dengan mengejut kepada orang sebegini, “Aku tidak mengenalmu. Nyahlah kamu daripada sini, hai kamu yang mungkar.”
Pokok yang subur dan banyak buahnya ialah orang yang mengakui Yesus adalah Tuhan mereka, dan membuktikannya dengan mematuhi Yesus dalam hati, perbuatan dan gaya hidup mereka. Hidup mereka menunjukkan buah Roh dan buah pelayanan belas kasihan mereka kepada orang lain. Oleh sebab itu, mereka diterima oleh Tuhan Yesus.
Pilihan #4: Hanya terdapat dua jenis asas rumah.
Asas rumah yang dibina di atas pasir akan runtuh dan dihanyutkan apabila hujan ribut dan banjir melanda, iaitu masa kesusahan, pencubaan dan penganiayaan berlaku. Dalam kata lain, mereka meninggalkan iman mereka dan murtad.
Asas rumah yang dibina di atas batu akan berdiri teguh walaupun hujan ribut dan banjir melanda, iaitu masa kesusahan, pencubaan dan penganiayaan berlaku. Mereka bertahan ke saat akhir (Matius 24:13) dan setia sampai mati (Wahyu 2:10), dan dikenali sebagai mereka yang menang.
Di dalam buku Wahyu, Tuhan Yesus telah menulis tujuh pucuk surat kepada tujuh buah gereja di Daerah Asia Minor. Di dalam setiap surat, Dia telah memberi satu janji kepada setiap gereja itu jika mereka bertahan dan menjadi orang yang menang. Dalam pada itu, kita boleh ketahui apakah harta di syurga dan warisan yang dijanjikan kepada mereka yang menang.
Harta di syurga dan warisan yang pertama adalah penyelamatan yang kekal:
11Mereka yang menang tidak akan mengalami sengsara kematian yang kedua. (Wahyu 2:11, AVB)
5Kepada yang menang akan dapat berpakaian putih seperti itu dan Aku tidak akan memadamkan nama mereka dari Kitab Hidup. Aku akan mengakui mereka sebagai milik-Ku di hadirat Bapa-Ku dan di hadapan para malaikat-Nya. (Wahyu 3:5, AVB)
Pada masa mereka beralih daripada kematian kepada hidup bersama-sama Kristus di firdaus, mereka dijamin penyelamatan yang kekal dan tidak akan dihukum lagi.
Harta di syurga dan warisan yang kedua adalah hidup yang kekal:
7Kepada yang menang akan Kuizinkan makan buah dari pokok hayat di Taman Firdaus Allah." (Wahyu 2:7. AVB)
17Aku akan memberikan sebahagian manna yang tersembunyi kepada sesiapa yang menang. Juga Aku akan memberinya batu putih yang bertulis nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa selain penerimanya." (Wahyu 2:17, AVB)
12Aku akan menjadikan dia yang menang seperti tiang di Bait Suci Allah-Ku dan dia akan tetap tinggal di situ. Aku akan menulis pada dirinya nama Allah dan Kota Allah, iaitu Yerusalem baru yang akan diturunkan Allah dari syurga, juga nama-Ku yang baru. (Wahyu 3:12, AVB)
Gambaran perbuatan memakan buah dari pokok hayat di Taman Firdaus Allah, dan memakan manna yang tersembunyi merupakan cara Alkitab menerangkan hidup kekal yang diwarisi untuk selama-lamanya. Kita dibenarkan hidup di dalam hadirat Allah yang suci dan mulia, iaitu berada di Bait Suci Allah di syurga di atas di bumi yang baru. Di situlah kita akan tetap tinggal bersama-sama Allah sebagai hidup yang kekal.
Harta di syurga dan warisan yang ketiga ialah kita akan diamanahkan untuk memerintah bersama-sama dengan Kristus:
26Kepada yang menang dan melakukan kehendak-Ku sampai akhir akan Kuanugerahi kekuasaan ke atas bangsa-bangsa. 27'Dia akan memerintah mereka dengan tongkat besi kerajaan dan meremukkan mereka seperti tembikar' – seiring dengan kekuasaan yang telah Kuterima daripada Bapa-Ku. 28Aku akan menganugerahi mereka bintang fajar. (Wahyu 2:26-28, AVB)
21Aku akan membenarkan mereka yang menang duduk di atas takhta-Ku, seperti Aku yang telah menang kini duduk di sisi Bapa-Ku di atas takhta-Nya. (Wahyu 3:21, AVB)
Kita tidak pasti dalam bentuk apa pemerintahan ini akan berlaku, tetapi saya pasti kita akan sangat bersyukur diberi kepercayaan yang begitu besar oleh Tuhan. Identiti kita sebagai anak-anak Allah yang memerintah bersama-sama dengan Kristus merupakan berkat yang besar dan tidak terhingga.
Oleh sebab itu, kita tidak mahu membuat pilihan yang salah semasa kita masih hidup di dalam dunia ini. Langkah salah akan menyebabkan kerugian yang tidak terhingga. Kita sudah mendengar berita baik Injil, maka jangan membuang semua harta di syurga dan warisan kekal dengan menjadi orang yang mungkar. Jangan jadi begitu bodoh menukarkan harta di syurga dengan harta di dunia fana ini. Nilai harta kita di bumi tidak boleh dibandingkan dengan nilai tidak terhingga harta kita di syurga.
Paulus mengatakan:
18Aku menganggap bahawa penderitaan kita sekarang terlalu kecil untuk dibandingkan dengan kemuliaan yang akan dinyatakan kepada kita. (Roma 8:18. AVB)
Sememangnya, benda-benda sementara di dunia ini terlalu kecil untuk dibandingkan dengan kemuliaan yang akan dinyatakan apabila kita menerima harta di syurga dan warisan yang kekal.
Sehingga itu berlaku, marilah kita tetap berdoa supaya kita bertekad masuk melalui pintu gerbang yang sempit dan sukar, serta menjelajah jalan yang sempit dan sukar sehingga kita melengkapkan perjalanan kita di dunia ini dengan mencapai kemenangan. Mari kita berdoa bahawa kita akan menjadi pokok yang subur dengan banyak buah di dalam hidup kita di dunia ini. Mari kita memilih untuk mendirikan asas rumah hidup kita di atas batu yang kukuh, iaitu berdasarkan kerja Tuhan Yesus untuk kita yang sempurna, supaya kita akan tetap bersama-sama dia sekarang dan selama-lamanya.
Segala ini, kita berdoa mengikut doa yang diajarkan oleh Yesus kepada kita:
9Berdoalah demikian:
'Ya Bapa kami yang di syurga,
sucilah nama-Mu.
10Datanglah kerajaan-Mu.
Terlaksanalah kehendak-Mu
di bumi sebagaimana di syurga.
11Berilah kami makanan untuk hari ini.
12Ampunkanlah kesalahan kami
sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.
13Janganlah biarkan kami tergoda,
tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat.
Engkaulah yang empunya kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.' (Matius 6:9-13, AVB)
Dengan demikian, kita akan memenuhi manifesto kerajaan Allah dan menjadi murid Yesus yang sejati. Kita akan selalu rindu untuk mendengar suara Yesus yang mengatakan:
23'Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit. Aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.' (Matius 25:23, AVB)
34 'Marilah, kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku! Warisilah kerajaan yang telah disediakan untukmu sejak dunia dicipta. (Matius 25:34, AVB)
Betapa indahnya saat itu apabila kita menamatkan larian hidup kita sebagai pemenang:
24Sebagaimana kamu tahu, dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian tetapi hanya seorang yang mendapat hadiah. Oleh yang demikian, berlarilah, hingga menerima hadiah. (1 Korintus 9:24, AVB)
13Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, 14aku terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Kristus Yesus. (Filipi 3:13-14, AVB)
7Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman. (2 Timotius 4:7, AVB)
1Oleh itu kita juga, yang dikelilingi dengan sebegitu ramainya saksi, hendaklah menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat kita, dan berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita. 2Marilah kita mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita. Untuk kebahagiaan yang ditentukan bagi-Nya, Dia telah menanggung seksa salib, tanpa menghiraukan pengaiban itu, dan sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah. (Ibrani 12:1-2, AVB)
Jom saudara dan saudari! Mari kita jumpa di garis penamat sebagai orang yang menang! Amin.
(Nota: Dengan demikian, kita telah menyempurnakan siri “Manifesto Kerajaan Allah Untuk Pemuridan Yang Sejati.” Kepada saudara dan saudari yang telah mengikuti siri ini dengan setia, saya berdoa semoga anda memperolehi pertumbuhan iman yang ajaib kerana kerja Roh Kudus di dalam hidupmu. Shalom!)
Terimakasih. Tuhan memberkati