(b) Bersedih
4Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur. (Matius 5:4, AVB)
Apabila seseorang sedar bahawa dia miskin rohani kerana dosa-dosanya serta mempunyai sikap hati yang hancur dan remuk, sudah tentu dia akan bersedih.
Kesedihan yang jujur ini ialah dorongan untuk mengubah arah daripada menuju dan membuat dosa kepada Allah dan kesucian. Dalam kata lain, kita menjadi cukup sedih tentang dosa kita sehingga kita rela mengubah arah kita daripada melakukan dosa-dosa itu dan meninggalkannya.
Paulus menulis tentang hal ini:
10Kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah membawa taubat dan penyelamatan, maka tidak harus disesali. Sebaliknya, kesedihan dari dunia ini membawa maut. 11Perhatikan bahawa kesedihanmu itu selaras dengan kehendak Allah. Betapa hebatnya yang dicetuskan dalam dirimu: kesungguhan, keinginan membersihkan diri daripada tuduhan, kemarahan, ketakutan, kerinduan, semangat, dan usaha menegakkan keadilan. Dari segala segi kamu telah membuktikan dirimu suci dalam hal ini. (2 Korintus 7:10-11, AVB)
Paulus mengatakan bahawa terdapat dua jenis kesedihan yang boleh berlaku di dalam seseorang Kristian yang melakukan dosa. Yang pertama ialah kesedihan dari dunia ini yang membawa maut. Kesedihan jenis ini adalah kesedihan yang bertumpu kepada diri sendiri.
Contohnya, apabila dosa seseorang Kristian terbongkar, dia rasa sedih kerana dia hilang air muka dan reputasinya. Dalam kata lain, dia sedih kerana dia tertangkap dalam dosanya, bukan kerana dia berdosa.
Dalam pada itu, dia sebenarnya tidak bertaubat, serta tidak membuat keputusan untuk mengubah fikiran dan arahnya. Orang begini masih terjerat dan terikat kepada dosa-dosanya. Maka, pada penghujungnya dia akan mengalami kematian rohani. Yakobus menerangkan proses dosa ini yang membawa kematian:
12Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan. Apabila mereka berjaya menangani cubaan itu, mereka akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya. 13Sekiranya seseorang tergoda ketika menghadapi cubaan demikian, tidaklah wajar dia berkata, "Godaan ini datang daripada Allah." Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak menggoda sesiapa. 14Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri. 15Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian. (Yakobus 1:12-15, AVB)
Kita boleh membayangkan proses dosa ini sebagai proses turun sebuah gelongsor. Setiap godaan mesti ada umpan yang menarik. Oleh sebab itu, dosa menarik nafsu atau sifat tabii kita. Dosa menjanjikan kenikmatan segera, tetapi kenikmatan itu sebenarnya untuk sementara sahaja (jangka pendek).
Langkah pertama, iaitu umpan godaan, adalah seperti kita sedang berdiri di tempat tertinggi sebuah gelongsor, sambil mempertimbangkan sama ada kita ingin turun gelongsor itu atau tidak. Jika kita terus berfokus kepada umpan itu, nafsu jahat kita akan menjadi lebih kuat sehingga kita terjerat. Apabila kita mengambil langkah untuk turun gelongsor dosa itu, kadar perkembangan proses dosa akan meningkat dengan cepat sekali.
Langkah seterusnya ialah kita membuat pilihan untuk menurut keinginan nafsu itu. Pada masa itulah, kita dilanda dengan kelupaan akan Allah dan segala prinsip kesucian. Kita hanya menumpu perhatian kepada memenuhi keinginan nafsu kita.
Apabila kita melakukan keinginan nafsu itu, kita telah jatuh ke dalam dosa. Ambil perhatian bahawa, perasaan digoda bukanlah dosa. Kita hanya berdosa apabila kita menggigit umpan itu!
Seperti yang telah diterangkan, dosa menjanjikan kenikmatan segera, tetapi untuk jangka pendek sahaja. Apabila seorang Kristian melakukan dosa, dia akan dilanda oleh perasaan bersalah di dalam hatinya. Inilah keadaan yang sungguh sengsara bagi seorang salih dan dia mesti bertaubat dengan segera melalui proses pertaubatan. Kalau dia tidak berbuat demikian, sebaik sahaja kenikmatan itu telah berlalu, suatu perasaan ketidakpuasan yang lebih kuat akan muncul di dalam hatinya.
Godaan untuk mengulangi dosa yang sama akan menjadi lebih kuat, dan jika dia tidak betul-betul bertaubat, akhirnya dia akan mengulangi dosa yang sama. Dosa itu sudah mula berakar di dalam hatinya. Dosa yang berulang-ulang begini akan bertumbuh dan menjadi matang sebagai “benteng-benteng yang kuat” di dalam hati orang itu:
4Senjata-senjata kami bukanlah benda-benda duniawi tetapi kekuatan Ilahi untuk meruntuhkan benteng-benteng, 5mematahkan hujah-hujah dan segala yang meninggikan diri menentang pengenalan Allah, menundukkan semua fikiran supaya mematuhi Kristus, 6serta bersedia menghukum segala keingkaran terhadap Allah apabila ketaatanmu disempurnakan. (2 Korintus 10:4-6, AVB)
Jika keadaan ini tidak ditangani dengan tegas dengan bantuan Roh Kudus, orang itu akan mengalami kematian rohani. Dia akan menjadi semakin selesa dengan dosa, dan keadaan ini akan membuka pintu kepada godaan-godaan lain yang lebih teruk lagi. Iman orang itu akan luntur dan menjadi sejuk. Dia sebenarnya hidup dalam kemunafikan dan kegelapan. Jika keadaan mendua hati ini berkelanjutan, dia mungkin menjadi murtad, iaitu kematian rohani yang paling ekstreme.
Apakah langkah yang paling penting untuk menghentikan proses jatuh dalam dosa ini? Sudah tentu pada langkah pertama! Jangan turun gelongsor dosa itu. Apabila kita membuat keputusan untuk turun gelongsor dosa, amatlah susah untuk menghentikan proses dosa itu. Sama seperti graviti akan menarik kita turun gelongsor itu, begitulah hawa nafsu dan daging kita akan menarik kita ke dalam lubang kegelapan dosa.
Sebab itu, kita mesti insaf akan kemiskinan rohani kita dengan hati yang jujur. Seterusnya, kita mesti bersedih, membenci, menolak, meninggalkan dan menutup pintu kepada dosa-dosa itu. Kita mesti bertegas menceraikan kita daripada dosa-dosa itu melalui proses pertaubatan.
Inilah yang dimaksukan oleh Paulus apabila dia menyeru semua orang salih yang melakukan dosa untuk melalui kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah.
11Perhatikan bahawa kesedihanmu itu selaras dengan kehendak Allah. Betapa hebatnya yang dicetuskan dalam dirimu: kesungguhan, keinginan membersihkan diri daripada tuduhan, kemarahan, ketakutan, kerinduan, semangat, dan usaha menegakkan keadilan. Dari segala segi kamu telah membuktikan dirimu suci dalam hal ini. (2 Korintus 7:11, AVB)
Orang ini bukan sahaja sedar bahawa dia telah melakukan dosa, tetapi dia begitu sedih kerana dia melukai hati Allah dengan perbuatannya. Kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah ini menjadi pendorong yang sangat kuat untuk mengubah arah dan meninggalkan dosa itu. Paulus memberi beberapa ciri seorang yang melalui kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah:
Dia mempunyai kesungguhan untuk berpaling daripada dosa itu serta memutuskan perhubungan dengan dosa itu.
Dia mempunyai keinginan untuk mengakui dosanya dan memohon agar darah Tuhan Yesus menyucikannya daripada segala dosa dan menebus semua dosa supaya tidak wujud apa-apa tuduhan lagi.
Dia juga begitu marah dan benci dengan dosa itu. Dia mula menganggap dosa itu sebagai musuhnya, dan bukan kawannya.
Dia memiliki sikap takut kepada Allah, iaitu dia begitu menyanjung tinggi Allah yang Maha Suci sehingga dia tidak tergamak untuk menjejaskan nama baik Allah dengan dosa.
Dia mempunyai kerinduan untuk hidup sebagai seorang yang suci di hadapan Allah dan manusia.
Dia begitu bersemangat untuk hidup bebas daripada dosa itu dan membuat komitmen dalam hatinya untuk hidup dalam kesucian dan kebebasan menurut bimbingan Roh Kudus.
Dia berusaha untuk menegakkan keadilan di dalam hidupnya melalui proses pertaubatan yang berterusan.
Bersedih merupakan langkah susulan kepada hati yang hancur dan remuk. Langkah ini merupakan titik perubahan arah yang jelas dan ketara dengan memutuskan perhubungan dengan dosa tertentu. Tuhan Yesus menjanjikan bahawa penghiburan Allah pasti akan datang apabila seseorang bersedih kerana Allah akan mencurahkan pengampunan-Nya dan membersihkannya daripada segala dosa. Seterusnya, kebebasan akan mula dikecapi dan diisytiharkan.
19Oleh itu, bertaubatlah dan berpalinglah kepada Allah, supaya dosa-dosamu dihapuskan dan supaya masa yang memberikan kesegaran datang kelak daripada Tuhan. (KPR 3:19, AVB)
Hasil kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah ialah kita mengubah arah daripada kehidupan yang berdosa kepada kehidupan yang suci. Bukankah itu yang kita ingini dan idamkan?
Tugasan:
Sila baca dan mempertimbangkan tentang Simon, seorang ahli sihir di Samaria yang dibaptis apabila dia mendengar Injil dan melihat kuasa penginjil Filipus (Kisah Para Rasul 8:9-24). Pada pendapat anda, adakah Simon telah sedar akan miskin kerohanian dan terus bersedih? Mengapa? Apakah kita memiliki keinsafan dan persepsi yang Alkitabiah terhadap dosa kita hari ini?
Jadi, adakah Simon, ahli sihir itu, seorang yang sudah lahir semula dengan sempurna dan telah selamat?