Topik Berfokus "Manifesto Kerajaan Allah Untuk Pemuridan yang Sejati":
Proses Pertaubatan (Bahagian 1) - Mengapa?
Scenario ini berlaku berpuluh-puluh kali di dalam setiap keluarga yang ada kanak-kanak. Dua orang adik-beradik berkelahi. Ibu atau bapa campur tangan, dan memaksa kedua-dua budak itu untuk mengatakan kepada satu sama lain, “Saya minta maaf” dan berjabat tangan. Mereka melakukannya di hadapan ibu atau bapa. Masalah selesai!
Betulkah masalah itu sudah selesai dengan begitu mudah sekali? Apakah kedua-dua budak itu betul-betul menyesal tentang perbuatan mereka? Adakah mereka meminta ampun dengan jujur? Apakah mereka telah benar-benar memaafkan satu sama lain? Adakah perhubungan mereka telah dijalin semula melalui perdamaian yang sejati?
Penyelesaian begini, sebenarnya, tidak berkesan. Kedua-dua budak itu tidak berubah di dalam hati mereka dan perhubungan mereka masih bermasalah dan mempunyai halangan. Lambat laun, mereka akan bergaduh lagi, dan scenario itu akan diulangi. Kitaran ini akan berlaku berulang-ulang, yang membuktikan bahawa punca masalah itu tidak sebenarnya ditangani.
Begitulah juga scenario pertaubatan yang cepat dan cetek apabila diamalkan oleh orang Kristian yang melakukan dosa. Apabila mereka sedar bahawa mereka telah berdosa, mereka berdoa kepada Allah, “Minta maaf, Tuhan. Saya telah berdosa. Ampunilah saya. Dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa.” Pertaubatan begini tidak berkesan, dan mereka sebenarnya tidak dilepaskan daripada cengkaman dosa-dosa itu. Dalam kata lain, orang Kristian yang bertaubat dengan cepat tanpa mengambil masa untuk melalui proses pertaubatan yang sejati, tidak akan memperolehi kemenangan ke atas dosa-dosanya.
“Bertaubatlah!” merupakan perkhabaran pertama yang diisytiharkan oleh Yohanes Pembaptis dan Tuhan Yesus:
1Pada masa itu Yohanes Pembaptis menyampaikan berita ini di gurun di Yudea. 2Dia berseru, "Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!" (Matius 3:1-2, AVB)
17Yesus pun mula menyampaikan perkhabaran-Nya, "Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!" (Matius 4:17, AVB)
Langkah pertama untuk masuk ke dalam kerajaan syurga adalah seseorang itu mesti bertaubat dahulu. Untuk lahir semula dengan sempurna, selain daripada bertaubat, dia mesti percaya di dalam Yesus Kristus, sesuai dengan Injil Penyelamatan Yesus:
14Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea lalu mengkhabarkan Injil daripada Allah. 15Yesus berkata, "Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!" (Markus 1:14-15, AVB)
Kombinasi bertaubat dan percaya merupakan tindakan yang pertama untuk memperolehi penyelamatan.
Namun begitu, pertaubatan bukan sekadar semasa kita pertama kali diselamatkan. Malah, hidup dalam pertaubatan adalah perkara yang amat penting sepanjang hidup setiap orang Kristian. Mengamalkan proses pertaubatan mesti menjadi suatu amalan yang dilakukan dengan jujur dan konsisten.
Ramai orang Kristian dibelenggu oleh dosa dan tidak dapat melepaskan diri daripada jerat dosa. Hal ini tidak patut terjadi sebab firman Tuhan memberi kita jaminan bahawa orang salih di dalam Kristus, sepatutnya hidup bebas daripada kuasa dosa:
4Melalui baptisan itu, kita dikuburkan dengan Dia dan ikut mati bersama-Nya. Demikian juga, sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian melalui kemuliaan Allah Bapa, kita juga dapat menikmati kehidupan yang baru. 5Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya. 6Kerana kita tahu bahawa diri kita yang dahulu telah disalib bersama-Nya supaya tubuh dosa itu dapat dihapuskan, dan kita tidak lagi diperhamba oleh dosa. 7Kerana sesiapa yang telah mati, dia dibebaskan daripada dosa. 8Jika kita telah mati bersama Kristus, kita percaya bahawa kita akan hidup dengan-Nya juga. 9Kerana kita tahu bahawa oleh sebab Kristus telah dibangkitkan daripada kematian, Dia tidak mungkin mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi. 10Dengan kematian-Nya, Dia telah mati kepada dosa sekali untuk selama-lamanya; tetapi dengan kehidupan-Nya, Dia hidup kepada Allah. 11Demikian juga, anggaplah dirimu telah mati kepada dosa tetapi hidup kepada Allah dalam Kristus Yesus. (Roma 6:4-11, AVB)
Salah satu hakikat Injil Penyelamatan Yesus yang paling menakjubkan dan ajaib ialah kita disatukan dengan Kristus. Apabila kita dibaptis dengan air semasa kita bertaubat, secara rohani, semua dosa kita dipindahkan kepada Yesus. Maka, apabila kita masuk ke dalam air secara iman, kita yang disatukan dengan Kristus, mati bersama-sama-Nya.
Seterusnya, apabila kita berada di dalam air semasa pembaptisan, kita dikuburkan bersama-sama dengan Kristus. Akhir sekali, apabila kita keluar dari air, kita bangkit dari kematian, bersama-sama dengan Kristus. Itulah realiti rohani apabila kita dibaptis dengan pertaubatan yang sejati dan ikhlas.
Kelahiran semula dengan sempurna bermaksud kita disalibkan bersama-sama Kristus supaya tubuh dosa kita dapat dihapuskan dan kita tidak lagi diperhamba oleh dosa. Maka, sebahagian daripada akibat dilahir semula dengan sempurna ialah kita dilepaskan daripada cengkaman dosa.
Hal ini menjadi kenyataan sebab sesiapa sahaja yang telah mati, dibebaskan daripada jerat dosa. Hutang dosanya telah dilunaskan dan dia dibebaskan daripada tuduhan salah. Kita diperbenarkan oleh Yesus. Jadi, kita yang telah mati bersama-sama dengan Kristus, malah bangkit bersama-sama-Nya, patut hidup secara bebas daripada segala dosa.
Hal ini demikian kerana sepanjang hidup kita sebagai orang salih, kita masih disatukan dengan Kristus. Maka, hidup dan kuasa Kristus masih terus berfungsi di dalam hidup kita. Kebenaran ini dinyatakan oleh Paulus begini:
20Aku telah disalib bersama Kristus, bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalam aku. Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Anak Allah, yang mengasihiku dan menyerahkan diri-Nya untukku. (Galatia 2:20, AVB)
Paulus mengatakan bahawa bukanlah kita lagi yang hidup, tetapi Kristus yang hidup di dalam kita. Maka, mustahillah bagi orang yang mana Kristus hidup di dalamnya, masih dibelenggu oleh dosa. Hakikat ini diterangkan oleh Yohanes:
4Sesiapa yang berbuat dosa, dia melakukan keleluasaan kerana dosa itu perbuatan keleluasaan. 5Kamu tahu bahawa Kristus dihantar untuk menghapuskan dosa umat manusia; dalam diri-Nya tiada dosa. 6Oleh itu, sesiapa yang tetap di dalam Kristus tidak akan berbuat dosa berterusan. Sesiapa yang terus berbuat dosa belum melihat dan mengenal Dia. (1 Yohanes 3:4-6, AVB).
Perbuatan keleluasaan (iaitu hidup tanpa batas untuk melakukan dosa) memang tidak cocok dan tidak sesuai untuk orang salih, kerana sesiapa yang “tetap di dalam Kristus tidak akan berbuat dosa berterusan.” Bagaimanakah seorang yang mengatakan dia dipersatukan dengan Kristus yang Maha Suci, masih melakukan dosa secara berterusan. Itu seakan-akan mengatakan bahawa Yesus juga melakukan dosa. Tidak mungkin! Yesus mati dan bangkit untuk menghapuskan kuasa dosa ke atas orang salih yang disatukan dengan-Nya. Seorang yang telah lahir semula dengan sempurna telah diubahkan dan disucikan. Maka, dia tidak mungkin selesa dengan dosa-dosa di dalam hidupnya.
Namun begitu, ramai orang Kristian mengeluh bahawa, secara realitinya, mereka masih bergelut dengan dosa, malah ditewaskan oleh godaan serta melakukan dosa-dosa tertentu secara berterusan. Mengapakah ini menjadi pengalaman yang lumrah dalam kalangan orang Kristian?
Salah satu sebab ialah orang Kristian yang sedemikian tidak diajar dengan baik bagaimana hidup dalam pertaubatan. Tambahan pula, mereka tidak sedar bahawa pertaubatan ialah suatu proses. Jika seseorang tidak sedar tentang langkah-langkah yang terlibat dalam proses ini, maka pertaubatannya adalah cetek dan tidak berkesan. Keadaan ini menyebabkan mereka masih terperangkap dalam dosa-dosa yang tertentu.
Adakah anda mahu mencapai kebebasan daripada dosa-dosa yang spesifik dan memperolehi kemenangan yang mutlak ke atasnya? Apakah anda sudah cukup jemu dengan rasa bersalah yang menyusul setiap perbuatan dosa anda? Apakah anda sudah bersedia untuk melangkah ke arah kehidupan yang suci dan tidak bercela?
Sekiranya jawapan anda kepada soalan-soalan ini ialah “Ya,” marilah kita belajar dengan teliti proses pertaubatan dan mengamalkannya di dalam kehidupan kita.
(Nota: Sila ikuti bahagian yang seterusnya)